PENGAJIAN AM STPM : DASAR PERTAHANAN NEGARA

Dasar Pertahanan Negara mencerminkan hasrat negara untuk mempertahankan kepentingan-kepentingan strategiknya dan memelihara keselamatan negara. Dasar pertahanan menggariskan tiga asas utama, iaitu kepentingan-kepentingan strategik negara, prinsip-prinsip pertahanan dan konsep pertahanan. Ia menekankan keperluan mengekalkan sekitaran kawasan kepentingan strategik negara yang stabil dan aman.
Kawasan kepentingan strategik negara dapat dilihat dari tiga lapisan iaitu kawasan terdekat, serantau dan global. Kawasan terdekat termasuk wilayah daratan, perairan negara, ruang angkasa, Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE), Selat Melaka dan laluan pintu keluar masuknya, dan Selat Singapura selain jaluran laluan perhubungan laut dan udara yang menghubungkan Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.
Kawasan serantau yang dianggap penting oleh Malaysia meliputi Asia Tenggara, termasuk Kepulauan Andaman dan juga Laut China Selatan. Malaysia melihat sebarang perkembangan di rantau ini akan juga memberi kesan kepada keselamatan dan pembangunannya. Ini adalah penting kerana Malaysia berkongsi sempadan darat atau laut atau kedua-duanya dengan hampir setiap negara anggota ASEAN. Sebarang gangguan kepada keselamatan rantau ini, sama ada berbentuk konflik dalaman rantau atau luaran rantau, akan membawa kesan ke atas keselamatan negara.
Hubungan dagangan negara yang kian berkembang, adanya pasaran baru untuk hasil-hasil keluarannya, pelaburan asing yang bertambah dan pengambilalihan negara terhadap syarikat-syarikat swasta yang memiliki kepentiangan-kepentingan di seluruh dunia, telah menjadikan kepentingnan-kepentingan negara menjangkau luar dari kawasan terdekat dan serantau. Berdasarkan keadaan sedemikian, maka adalah menjadi kepentingan negara untuk memastikan keamanan dunia terpelihara.
Dengan mengambilkira faktor-faktor kepentingan strategik negara dan persaingan dalam pelbagai kepentingannya yang lain, pertahanan Malaysia berkisar sekitar prinsip-prinsip utama iaitu Keupayaan untuk Berdikari, Kerjasama Serantau dan Bantuan Luar.
Sebagai sebuah negara yang bebas dan berdaulat, Malaysia menyedari bahawa langkah yang paling wajar untuk memelihara kepentingan dan keselamatan negara adalah melalui usaha ke arah keupayaan berdikari yang merupakan teras dasar pertahanan negara. Prinsip ini memberi penekanan kepada keupayaan berdikari Angkatan Tentera dalam struktur keupayaan berdikari nasional. Ianya melibatkan tidak hanya pasukan tempur tetapi juga rangkaian sokongan logistik cetusan kerjasama industri-ketenteraan yang sejajar dengan keutamaan program pembangunan negara. Dalam hubungan ini, keupayaan berdikari tidaklah terhad kepada usaha-usaha Angkatan Tentera semata-mata tetapi sewajarnya melibatkan semua agensi Kerajaan yang berkaitan dan rakyat jelata. Walau bagaimanapun, dengan mengambilkira had-hadnya, keupayaan berdikaris negara umumnya berasaskan dua landasan. Pertama, memiliki keupayaan untuk bertindak bersendirian tanpa bantuan luar dalam perkara-perkara berkenaan keselamatan dalam negeri, dan kedua, memiliki keupayaan untuk bertindak bersendirian dalam mempertahankan kedaulatan wilayah dan kepentingan-kepentingan keselamatan dalam lingkungan kawasan terdekat dari ancaman-ancaman luar tahap rendah dan pertengahan.
Oleh kerana kedudukan geografi negara di tengah-tengah Asia Tenggara, tidak dapat tidak kepentingan-kepentingan strategik Malaysia mempunyai pertalian yang rapat dengan negara-negara serantau yang lain. Berdasarkan kedudukan ini, keselamatan Malaysia adalah sebahagian daripada keselamatan negara-negara anggota ASEAN. Dengan demikian, sebarang ancaman terhadap ASEAN atau ke atas mana-mana negara ASEAN adalah juga dilihat sebagai ancaman kepada Malaysia. Dengan demikian sewajarnyalah, Malaysia memberi keutamaan kepada kerjasama serantau.
Dalam konteks kerjasama serantau, Malaysia juga memberi sokongan terhadap mengwujudkan hubungan kerjasama pertahanan dua hala di kalangan negara-negara ASEAN. Satu rangkaian kerjasama pertahanan dua hala dengan negara-negara ASEAN akan banyak membantu dalam proses membina keyakinan dan menggalakkan ketelusan. Seiring dengan pendekatan ini, Malaysia akan menggalak dan menyumbang ke arah membangunkan suatu kesatuan ASEAN yang teguh dan berkesan untuk memastikan Asia Tenggara yang aman.
Malaysia melihat penubuhan Forum Serantau ASEAN (ASEAN Rgional Forum – ARF) sebagai satu perkembangan penting ke arah kesinambungan keamanan dan kestabilan serantau. Inisiatif ASEAN ini telah berjaya membawa bersama ahli-ahli untuk berkongsi pandangan mengenai masalah keselamatan yang melibatkan kepentingan bersama. Proses dialog yang dilaksanakan terbukti merupakan mekanisme penting ke arah membina keyakinan. Aktiviti-aktiviti ARF akan dapat mengwujudkan kerjasama yang lebih akrab serta persefahaman yang lebih baik di kalangan peserta ARF.
Bagi melengkapi usaha-usaha kerjasama serantau, Malaysia juga menyedari perlunya untuk mendapat bantuan luar dari negara-negara luar rantau. Bantuan tersebut meliputi sokongan moral dan fizikal, kemudahan-kemudahan latihan, pemindahan teknologi dan bekalan peralatan. Ke arah usaha ini, Malaysia telah mengambil langkah untuk menjalin dan meningkatkan hubungan pertahanan dengan negara-negara luar rantau. Sungguh pun negara bertanggungjawab terhadap prinsip Kawasan Aman, Bebas dan Berkeculai (ZOPFAN), ini tidak seharusnya mengenepikan keperluan untuk meminta bantuan daripada sumber-sumber di luar rantau apabila diperlukan. Ini terutamanya apabila tahap ancaman adalah melebihi keupayaan angkatan tempatan untuk menghadapinya.
MaLAYSIA menganggap peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) yang dianggotai oleh Singapura, United Kingdom, Australia, New Zealand dan Malaysia sebagai satu saluran untuk memperolehi bantuan laur. FPDA merupakan satu-satunya peraturan pertahanan bentuk formal yang melibatkan Malaysia dengan negara-negara kuasa luar rantau. Di peringkat awal penubuhan FPDA, negara menyedari bahawa dasar keupayaan berdikari memerlukan jangka masa tertentu untuk dicapai. Lantaran itu, FPDA telah menjadi saluran kepada Malaysia untuk membangun keupayaan pertahanan dengan bantuan negara-negara rakan yang telah sekian lama menjalinkan hubungan pertahanan dengan Malaysia. Corak mekanisme perundignan FPDA membuka ruang kepada negara untuk mendapat bantuan luar dan juga jaminan keselamatan. Malaysia adalah komited dengan pendirian bahawa FPDA masih relevan. Walau bagaimanapun, berdasarkan senario strategik semasa dan peningkatan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), peranan FPDA telah disusun semula untuk mencerminkan keperluan semasa.
Komitmen tegas Malaysia terhadap Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu memerlukan negara berpegang kepada pendirian pertahanan yang bercorak defensif. Sehubungan dengan ini, dasar pertahanan telah menggubal strategi berdasarkan prinsip cegah rintang dan pertahanan menyeluruh. Dasar ini juga menggariskan perlunya mengelakkan terjadinya konflik dalam wilayah sendiri, sama ada dengan mencegahnya dari berlaku, atau melalui cara berdepan dengan musuh sejauh mungkin di luar wilayah Malaysia.
Konsep cegah rintang bertujuan untuk menghindarkan bakal musuh dari mengamalkan dasar-dasar yang bertentangan dengan langkah penyelesaian konflik secara aman. Ini memerlukan pelaksanaan strategi pencegahan di samping usaha-usaha untuk membangunkan sebuah angkatan tentera yang memiliki keupayaan yang mantap untuk menghadapi peperangan . Ini akan memastikan negara mempunyai keupayaan bagi menghalang sebarang tindakan kekerasan atau keganasan oleh pihak lawan.
Konsep pertahanan menyeluruh berkait dengan usaha yang total dan berse.padu yang dilaksanakan oleh Kerajaan, agensi bukan Kerajaan, sektor swasta dan rakyat jelata dalam mempertahankan negara. Pemeliharaan keutuhan dan kedaulatan Malaysia memerlukan komitmen semua lapisan rakyat, dan tidak hanya oleh Angkatan Tentera. Sungguhpun tugas mempertahankan negara merupakan tanggungjawab pasukan keselamatan, kewajipan untuk memastikan bahawa pasukan berkenaan mampu menghadapi cabaran adalah tanggungjawab nasional.
Sungguhpun menyedari betapa pentingnya kerjasama serantau dan bantuan luar, Malaysia yakin bahawa dasar keupayaan berdikari seharusnya terus menjadi tonggak pertahanan negara. Sehubungan ini, Malaysia akan terus berusaha ke arah meningkat dan membangunkan keupayaan ATM di samping menggalakkan kesedaran pertahan dan semangat patriotik di kalangan rakyat jelata.

PENGAJIAN AM STPM : NAM

Usaha M’sia Wujud NNN Bawa Manfaat Kepada Negara Membangun
KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) — Usaha Malaysia untuk mewujudkan Rangkaian Berita NAM atau “NAM News Network” (NNN) merupakan sesuatu yang baik dan membawa manfaat kepada negara membangun, khususnya anggota Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM), kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohd Khaled Nordin.

“Ini amat baik sebab kita tahu bahawa dalam zaman maklumat ini, kita tahu maklumat adalah satu bahan yang penting dan berharga yang boleh dijadikan aset.

“Jadi, kita sebagai negara dunia ketiga mestilah juga menguasai punca dan bahan berita dan sebagainya,” katanya kepada Bernama hari Khamis.

Khaled berkata demikian apabila ditanya mengenai usaha Malaysia untuk mewujudkan NNN di Persidangan Menteri-Menteri Penerangan Negara-Negara Berkecuali ke-6 (COMINAC) di sini pada 19-22 Nov.

Sebagai tuan rumah, Malaysia sedang berusaha keras agar NNN dapat dilaksanakan memandangkan ia boleh menangani laporan-laporan media barat yang kadangkala bersifat prejudis dan berat sebelah terhadap negara membangun.

“Sebagai Negara Berkecuali, kita tidak campur urusan negara lain dan saya percaya apabila sesuatu berita itu dibawa oleh dunia ketiga ia tidak mempunyai apa-apa agenda,” kata Khaled.

Sebagai menteri yang bertanggungjawab memangkin pembangunan usahawan, Nordin berkata dengan adanya saluran alternatif ia akan menjadi asas untuk membangunkan perdagangan dan pelaburan di kalangan usahawan-usahawan negara-negara anggota NAM.

Dengan adanya NNN, katanya, masyarakat dunia akan mendapat gambaran sebenar apa yang berlaku di negara-negara sedang membangun.

COMINAC VI yang bakal menghimpun para menteri penerangan di kalangan negara-negara anggota NAM, dijangka mencari jalan merapatkan jurang maklumat sesama mereka.

Dengan tema “Meningkatkan Kerjasama Maklumat dan Komunikasi ke arah NAM yang Lebih Dinamik”, persidangan empat hari itu akan diadakan di Palace of Golden Horses (POGH) di sini.

Ia akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Antara objektifnya ialah untuk meningkat dan memperkukuhkan kerjasama dalam aspek maklumat dan komunikasi bagi menghadapi cabaran globalisasi dan meningkatkan perpaduan serta kemakmuran negara Selatan-Selatan, demikian menurut urusetia COMINAC.

Ia juga berhasrat untuk memanfaatkan maklumat dan teknologi komunikasi dalam meningkatkan penyebaran maklumat di kalangan negara-negara NAM serta menyediakan platform bagi negara-negara NAM untuk berkongsi pengalaman tentang amalan terbaik, pencapaian, jurang dan cabaran dalam merapatkan jurang maklumat.

Persidangan COMINAC terakhir diadakan di Abuja, Nigeria pada 1996.

COMINAC lahir berikutan keputusan yang dicapai pada Persidangan Ketujuh Ketua-ketua Negara atau Kerajaan Negara-negara Berkecuali yang diadakan di New Delhi pada 1983.

Mesyuarat pertama telah diadakan di Jakarta pada 1984 yang melakar sejarah mencatatkan bermulanya Kerjasama Selatan-Selatan untuk mewujudkan hubungan dalam bidang maklumat dan komunikasi.

Matlamat unggulnya ialah untuk memupuk satu tatacara yang dikenali ‘The New International Information and Communication Order'(NIICO) dan meningkatkan perpaduan serta perkongsian kemakmuran negara Selatan-Selatan.

Kejayaan objektif ini tidak dapat dipisahkan dengan betapa perlunya negara Selatan-Selatan untuk berkongsi maklumat dan sumber-sumber di kalangan mereka dalam sebuah platform terbuka.

Justeru, negara-negara anggota NAM percaya pembentukan NIICO akan menjadi satu komponen penting untuk membetulkan penyebaran maklumat yang berat sebelah oleh pihak tertentu.

— BERNAMA

PENGAJIAN AM STPM: KERJASAMA SELATAN-SELATAN

Mesyuarat Selatan-Selatan Bincang Tangani Krisis Kewangan
KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) — Semasa krisis kewangan dan ekonomi mula menunjukkan kesannya, negara-negara membangun bertemu di Geneva untuk mencari jalan mengurangkan kesan daripada krisis berkenaan yang kini merebak ke ekonomi mereka.

Pakar kewangan dan pegawai kerajaan memulakan pertemuan dua hari pada mesyuarat pakar mengenai kerjasama antarabangsa berkaitan kerjasama Selatan-Selatan dan integrasi serantau di Geneva semalam.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini Persidangan Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Perdagangan dan Pembangunan (Unctad) berkata mesyuarat berkenaan bertujuan untuk mencari jalan menggunakan kerjasama ekonomi “Selatan-Selatan” terutamanya perdagangan, pelaburan, aliran kewangan dan usaha bersama untuk menstabilkan hutang dan kadar tukaran asing mata wang.

Setiausaha Agung Unctad, Supachai Panitchpakdi berkata krisis kewangan global telah menjejaskan asas ekonomi Utara dan mengancam pertumbuhan dan aspirasi pertumbuhan Selatan.

“Oleh itu, masanya sesuai untuk meneroka sejauh mana kerjasama Selatan-Selatan boleh membantu mereka menangani krisis itu,” kata beliau pada majlis perasmian mesyuarat berkenaan.

Supachai berkata perdagangan barangan antara negara membangun berkembang pada purata 13 peratus setahun daripada 1995 hingga 2007, dan pada akhir tempoh berkenaan ia berjumlah AS$2.4 trilion (AS$1=RM3.59), atau 20 peratus daripada perdagangan dunia.

Beliau berkata satu pertiga daripada eksport ini adalah barangan pembuatan berkemahiran tinggi, yang memberikan keuntungan yang banyak dan membolehkan negara membangun mempelbagaikan ekonomi mereka.

“Krisis kewangan global kini telah meletakkan trend ini dalam bahaya,” katanya.

Supachai berkata penurunan yang ketara dalam permintaan daripada Utara dengan pantas menembusi sistem perdagangan antarabangsa dan Unctad menganggarkan eksport dari dunia membangun kini boleh menyusut sebanyak 9.2 peratus pada 2009.

Beliau berkata penurunan yang ketara dalam harga komoditi hasil daripada kelembapan ekonomi, mengancam kesejahteraan negara-negara mundur yang amat bergantung kepada eksport daripada produk asas ladang ini dan bahan mentah perindustrian.

Supachai berkata sistem perbankan global yang hampir tidak bergerak menjadikan sukar bagi negara-negara itu memperoleh kredit dan pembiayaan lain untuk menjalankan perdagangan manakala penghantaran wang daripada pekerja yang bekerja di luar negara berkemungkinan berkurangan setelah jumlah yang diberhentikan semakin meningkat.

“Bantuan daripada negara kaya kepada negara miskin akan susut sebanyak 20-40 peratus setelah negara penderma bergelut untuk menyelamatkan ekonomi mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata langkah yang diambil Selatan-Selatan boleh melibatkan pembiayaan daripada bank pembangunan serantau di Selatan bagi mengganti kerugian beberapa bantuan antarabangsa.

“Pakej rangsangan serantau terutama untuk penambahbaikan yang amat diperlukan kepada infrastruktur, mungkin membantu mengekalkan pekerjaan dan memastikan ekonomi negara membangun berdaya maju,” katanya.

Mesyuarat itu akan disambung hari ini dengan perbincangan panel mengenai “Monetari Serantau dan kerjasama kewangan — Penyelesaian Selatan-Selatan?” dan akan dimuktamadkan dengan debat mengenai hala tuju masa depan.

— BERNAMA

PENGAJIAN AM : ISU DAN CABARAN ASEAN

Asean bincang desak bebas Suu Kyi

SINGAPURA: Pemimpin kanan kerajaan Asia Tenggara akan membincangkan cadangan mengemukakan satu gesaan bersama meminta Myanmar membebaskan ikon demokrasi negara itu, Aung San Suu Kyi dalam mesyuarat di Jakarta akhir minggu ini, kata sumber diplomatik.

Thailand menjadi Pengerusi Pertubuhan Negara Asia Tenggara (Asean), berkata ia mendesak satu pakatan antara negara untuk meminta junta Myanmar mengampunkan Suu Kyi.

“Kita akan membincangkan perkara ini dalam pertemuan dengan pemimpin kanan minggu ini di Jakarta. Mesyuarat akan diadakan ibu negara Indonesia, Jakarta.
“Kami menyokongnya tetapi tidak mengetahui jika semua negara anggota Asean juga akan menyokong. Tiada kepastian setakat ini, hanya cadangan,” kata diplomat yang namanya tidak didedahkan.

Sementara itu Senator Amerika Syarikat, Jim Webb dalam satu temuramah dengan stesen Cable News Network (CNN) semalam berkata selepas melawat Myanmar, beliau diberitahu bahawa Asean sedang berusaha mengemukakan cadangan mendapatkan pengampunan untuk Suu Kyi.

Webb turut menemui ketua junta Jeneral Than Shwe ketika lawatannya.
“Saya difahamkan bahawa kita akan menyaksikan Asean mengemukakan petisyen atau yang serupa dengannya untuk memohon pengampunan bagi pihak beliau dan ini adalah langkah penting dalam usaha mengatasi masalah itu,” katanya.

Asean berdepan semakin banyak kritikan kerana mengambil pendekatan lembut terhadap negara anggotanya yang paling bermasalah itu tetapi Webb berkata badan serantau itu mampu mengambil pendirian lebih keras.

Suu Kyi, 64 didapati bersalah minggu lalu atas dakwaan melanggar syarat tahanan dalam rumah selepas seorang lelaki Amerika, John Yettaw, berenang menyeberang tasik di hadapan vilanya dan tinggal di sana selama dua hari.

Beliau dijatuhi hukuman tahanan dalam rumah selama 18 bulan lagi dan tidak memberi peluang kepada beliau menyertai pilihan raya yang dijangka diadakan tahun depan. – AFP