PENGAJIAN AM STPM : DASAR URBANISASI NEGARA

Dasar Urbanisasi Negara
Objektif
Selaras dengan usaha kerajaan untuk membentuk satu Dasar Urbanisasi Negara; objektif-objektif dasar yang khusus sedang dirangka. Dalam hal ini faktor-faktor berikut yang berkaitan dengan proses urbanisasi dan hubungannya dengan pembangunan ekonomi akan diambil kira:-

(i) Proses demographi dan urbanisasi.

(ii) Keadaan perkaitan yang rapat yang wujud di antara proses pembangunan sosio- ekonomi dengan proses dan pola-pola urbanisasi

(iii) Kesan ‘spatial’ berikutan dengan perlaksanaan dasar dan program di peringkat negara dan wilayah.

(iv)Dimensi-dimensi khusus dari segi proses perbandaran

(v) Peralatan-peralatan dasar (Policy Instrument) yang telah dirangka untuk mencapai matlamat DEB.

Strategi Pelaksanaan
Dalam usaha kerajaan untuk mencapai matlamat pembangunan negara melalui proses pembangunan bandar yang dirancang dan dikenalpasti maka kerajaan telah merangka beberapa strategi khusus. Di antaranya ialah:
(i) Mempastikan pembangunan bandar dengan lebih seimbang dari segi pembangunan fizikal, susunan kaum dan penyertaan dalam pembangunan bandar melalui pengurusan sumber yang lebih cekap seperti tanah, pengangkutan, perumahan, tenaga manusia dan infrastruktur sosial.

(ii) Mempercepatkan proses pembandaran di kawasan luarbandar dengan cara melibatkan peneroka-peneroka di sekim pembangunan tanah dan penduduk-penduduk di kawasan in-situ dalam kegiatan-kegiatan ekonomi bandar melalui perkembangan perkhidmatan,perdagangan dan runcit serta industri-industri kecil. Penyertaan tersebut adalah bertujuan untuk mengurangkan pengaliran pendapatan kekawasan lain dan juga untuk menerapkan unsur-unsur pembangunan bagi mempergiatkan ekonomi tempatan.

(iii) Mempastikan pembangunan secara teratur di pusat-pusat bandar yang sedia ada dengan mengambilkira keadaan tempatan. Selaras dengan tujuan ini pelan-pelan struktur bagi pusat-pusat utama dan pelan-pelan tempatan bagi umpulan-kumpulan pusat-pusat bandar kecil akan disediakan. Pelan-pelan ini akan menjadi garispanduan bagi pembangunan dan pembaharuan semula bandar di samping meningkatkan kecekapan dalam perancangan-perancangan kawasan-kawasan bandar.

(iv) Mempercepatkan pembangunan bandar didalam kawasan-kawasan Lembaga Kemajuan Wilayah dengan cara mengkaji kemungkinan-kemungkinan memperluaskan liputan dan bidang penglibatan sektor swasta selaras dengan usaha menggalakkan pembangunan kegiatan-kegiatan bandar terutamanya pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan dalam kawasan-kawasan pembangunan wilayah berkenaan.

(v) Memperkenalkan konsep memperbandarkan kampung-kampung dengan cara pengelompokan kampung-kampung kecil yang terletak berdekatan bagi dijadikan bandar kecil atau pusat pembangunan desa di mana kegiatan-kegiatan perindustrian kecil, perniagaan dan pertanian secara komersial dapat diwujudkan.

Advertisements

PENGAJIAN AM STPM : DASAR PERSYARIKATAN MALAYSIA

Persyarikatan Malaysia
Objektif
Persyarikatan Malaysia bertujuan mengujudkan satu kerjasama yang erat, bermakna dan berkesan di antara pihak sektor awam dengan pihak swasta dalam menjayakan pembangunan negara yang akan membuahkan munafaat yang akan dikecapi oleh kedua-dua pihak.
Y.A.B. Perdana Menteri sendiri menerangkan konsep Persyarikatan Malaysia memerlukan kedua-dua sektor menghapuskan sikap permusuhan dan sebaliknya bersama berkongsi maklumat, tanggongjawab, cabaran serta memahami polisi, objektif dan prosediur-prosediur dalam usaha-usaha mempertingkatkan pembangunan sosial, pentadbiran dan ekonomi negara. Hubungan kerjasama yang erat ini sebenarnya akan menguntungkan semua pihak di mana dasar-dasar awam akan mudah difahami, dilaksana dan diterima oleh segenap lapisan masyarakat. Keuntungan yang diperolehi oleh sektor swasta pula akan dapat dikecapi bersama-sama melalui cukai dan penglibatan sosial secara bersungguh oleh pihak swasta.

Strategi Pelaksanaan
Kesefahaman dan kerjasama di antara kedua-dua sektor boleh dicapai melalui:

i) Sikap kurang faham terhadap pihak awam dengan pihak swasta perlulah dihapuskan.

ii) Pihak awam dan swasta haruslah mempunyai satu persetujuan bagi mencapai matlamat negara. Dengan itu kedua-dua pihak mempunyai matlamat iaitu menjaga maruah negara dan tidak hanya satu pihak sahaja yang akan bersungguh membangunkan negara.

iii) Peraturan dan prosediur kerja pihak awam hendaklah dikaji dan diubah di mana perlu dan jika boleh pihak swasta hendaklah dilibatkan dalam menggubal peraturan serta prosediur yang ada.

iv) Hubungan di antara Kementerian/Jabatan/Badan Berkanun di antara satu sama lain hendaklah dipertingkatkan supaya setiap agensi kerajaan mempunyai matlamat kerja dan cara bekerja yang sama. Ini membolehkan pihak swasta mudah menghubungi dan menguruskan kerja-kerja mereka.

Dalam hubungan ini, pihak INTAN telah mengadakan beberapa siri forum, seminar dan perbincangan dalam usaha-usaha mendapatkan pandangan-pandangan pertukaran-pertukaran maklumat di peringkat persekutuan dan negeri-negeri. Beberapa syarikat swasta juga telah mengambil inisiatif untuk mengadakan seminar yang serupa.
Dalam usaha mengujudkan kerjasama yang lebih erat dan penglibatan pihak swasta dalam penggubalan dasar dan prosediur, secara lebih berkesan, satu Surat Pekeliling Am Bil. 2 Tahun 1984 yang ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Negara telah dikeluarkan, mengarah supaya semua Kementerian, Jabatan, badan berkanun dan Pejabat Daerah menubuhkan Perundingan di antara pihak swasta dan pihak awam.
Selain dari itu beberapa program-program lain juga telah dijalankan seperti menempatkan pegawai kerajaan ke syarikat swasta. Sebagai permulaannya seramai 18 orang pegawai telah ditempatkan di British Malaysian Industry and Trade Association (BMITA) mulai tahun 1984 yang lalu dengan tujuan membolehkan pegawai-pegawai itu mempelajari selok belok pengurusan sektor swasta tentangnya dibidang perniagaan, perdagangan dan industri.

PENGAJIAN AM STPM : DASAR PERINDUSTRIAN NEGARA

Dasar Perindustrian Negara
Objektif
Objektlf Pelan Induk Perindustrian (PIP)
Pelan Induk Perindustrian yang telah diumumkan oleh Menteri Perdagangan dan Perindustrian pada 3 Februari, 1986 telah menggariskan tiga matlamat iaitu:
(a) Menjadikan sektor perkilangan sebagai catalyst pertumbuhan
perindustrian negara;
(b) Menggalakkan penggunaan sepenuhnya sumber asli negara; dan
(c) Meninggikan tahap penyelidikan dan pembangunan (R & D) teknologi
tempatan sebagai asas bagi Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian

Strategi Pelaksanaan
Strategi Pelan Induk Perindustrian
Untuk mencapai matlamat-matlamat tersebut, PIP telah mengenalpasti 12 sektor industri yang patut diberi penekanan. Tujuh daripada sektor-sektor ini adalah yang berasaskan sumber tempatan iaitu industri yang berasaskan getah, kelapa sawit, kayu-kayan, makanan, kimia, logam bukan ferus dan keluaran-keluaran galian bukan logam. Lima sektor lagi merupakan industri yang bukan berasaskan sumber iaitu eletrik dan eletronik, peralatan pengangkutan, mesin dan kejuruteraan, logam-logam ferus, dan tekstil dan pakaian. Kesemua industri ini telah dipilih berasaskan kepada potensi untuk mencapai matlamat memperluaskan asas industri negara. PIP juga telah mencadangkan langkah-langkah berikut diambil supaya Malaysia dapat mencapai taraf sebuah negara perindustrian:
(a) Melaksanakan dasar perindustrian yang berpandangan ke luar. Untuk mengekalkan kadar pertumbuhan perindustrian yang tinggi, Malaysia harus menumpukan kepada pengeksportan keluaran-keluaran perkilangan secara besar-besaran. Masalah pasaran yang kecil telah menjadi satu faktor penghalang bagi industri-industri tempatan mencapai produktiviti yang lebih tinggi dan lebih kompetitif;

(b) Memajukan secara intensif industri-industri berasaskan sumber untuk eksport dan mempelbagai serta meningkatkan industri bukan berasaskan sumber untuk eksport. Dari 12 sektor industri yang terpilih, beberapa keluaran/industri telah dikenalpasti sebagai keluaran/industri keutamaan untuk dimajukan;

(c) Memajukan industri-industri berat terpilih untuk menyokong industri-industri eksport. Strategi ini dipilih memandangkan kerajaan sudahpun membuat pelaburan yang banyak dalam beberapa jenis industri berat. Usaha-usaha perlu ditumpukan kepada memastikan kejayaan projek-projek itu dahulu sebelum menceburi bidang-bidang industri berat yang lain;

(d) Memaju dan menggunakan sistem perkhidmatan maklumat yang
bersepadu;

(e) Membangunkan teknologi dan tenaga rakyat;

(f) Mengurangkan perbelanjaan dalam pembinaan infrastruktur dengan
memberi tumpuan kepada pertumbuhan industri-industri di kawasan yang telah sedia mempunyai kemudahan infrastruktur yang diperlukan. Penubuhan industri-industri diutamakan di sepanjang western corridor di pantai barat Semenanjung yang mempunyai hampir 75-80 peratus penduduk dan di mini corridor di pantai timur. Semenanjung, dengan tumpuan di kawasan sekitar Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Kuantan, dan di bandar-bandar di Sabah dan Sarawak seperti Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Labuan, Kuching, Sibu dan Bintulu;

(g) Memoden dan menyusun semula struktur perindustrian dengan
mempertingkatkan pembangunan industri-industri kecil dan sederhana kerana sektor ini merupakan tulang belakang proses perindustrian seperti yang ternyata di negara Taiwan dan menyusun semula industri-industri yang kurang berkesan tetapi penting dalam ekonomi negara;

(h) Memperkukuhkan institusi-institusi yang bertanggungjawab kepada
pembangunan sektor pembuatan; dan

(i) Menyusun semula sistem galakan perindustrian yang sedia ada
untuk memupuk kecekapan dan daya bersaing yang lebih tinggi

PENGAJIAN AM STPM : DASAR PERINDUSTRIAN BERAT

Dasar Perindustrian Berat Di Malaysia
Objektif
Dasar Industri Berat dijangka akan mencapai objektif-objektif berikut:
(1) Mengimport dan menyerap teknologi yang lebih sophisticated
untuk memajukan teknologinya sendiri. Dengan itu, perindustrian di Malaysia tidaklah hanya setakat memproses dan menghasilkan barang-barang pengguna yang mudah, tetapi sebaliknya dapat mengeluarkan bahan-bahan mentah serta jentera-jentera perindustrian dan barang-barang gantian import untuk keperluan negara secara kompetitif.

(2) Mengelakkan pergantungan berterusan kepada barangan dan teknologi asing. Dengan ini, negara boleh menyelamatkan tukaran wang asing dan seterusnya mengasaskan langkah berjaga-jaga ke atas ketidak-tentuan harga dan bekalan bahan-bahan keperluan strategik.

(3) Mempelbagaikan dan memperkukuhkan eksport barangan Malaysia
untuk mengatasi dasar perlindungan yang ada di negara-negara maju terhadap barangan yang dihasilkan oleh perindustrian intensif buruh negara-negara membangun.

(4) Industri berat dijangka dapat meningkatkan keupayaan
industri-industri kecil dan industri sokongan di samping mengwujudkan industri-industri pertengahan yang baru. Pengalaman di negara-negara lain menunjukkan bahawa pelaburan dan gunatenaga yang diwujudkan oleh industri-industri pertengahan, sokongan dan kecil ini adalah lebih besar dari yang ditimbulkan oleh industri-industri berat itu sendiri.

(5) Mengwujudkan peluang untuk para pekerja dilatih dalam
bidang-bidang kejuruteraan dan kemahiran-kemahiran berkaitan.

Strategi Pelaksanaan
Industri berat memerlukan modal besar, teknologi yang tinggi dan sophisticated dan pekerja mahir. Selain dari Kerajaan, tidak ada pelabur-pelabur tempatan yang sanggup melabur modal dalam projek-projek yang sebegini besar. Pelabur-pelabur tempatan juga tidak mempunyai teknologi yang diperlukan. Dengan demikian, pelaburan dalam bidang ini terpaksa diusahakan oleh Kerajaan dan pelabur-pelabur asing.
Bagi tujuan ini, Kerajaan telah menubuhkan Perbadanan Industri Berat Malaysia (HICOM) pada tahun 1980. Peranan HICOM adalah untuk mengenalpasti, memulakan, melaksanakan dan menguruskan projek-projek dalam bidang industri berat. Berikutan dari ini beberapa projek tajaan Kerajaan dengan usaha sama pelabur asing telah dilancarkan. Ini termasuk logi simen, besi panas dan pancang keluli, projek kereta nasional, logi enjin kecil, palpa dan kertas dan kompleks kejuruteraan.
Kesemua projek-projek ini adalah memerlukan bahan-bahan atau komponen-komponen tertentu dalam pengeluarnnya. Di sini timbullah peranan yang patut dimainkan oleh industri-industri sokongan dan kecil untuk membekalkan bahan-bahan tersebut. Dengan itu, perlaksanaan program industri berat mempunyai serampang dua mata; iaitu mengwujudkan projek industri berat itu sendiri dan meningkat keupayaan industri sokongan atau mengwujudkan industri-industri baru. Di sini pelabur-pelabur tempatan (swasta) haruslah memainkan peranan aktif bagi mengwujudkan ‘secondary industries’ yang berasaskan ‘high-teknologi’ dan berkeupayaan mempercepatkan pertumbuhan industri pertengahan dan sederhana. Dengan tidak secara langsung ianya akan mengwujudkan industri gantian import pusingan kedua dan ‘resource-based industries’ untuk eksport.
Oleh kerana industri berat memerlukan teknologi yang sophisticated dan kemahiran yang tinggi di mana ianya menjadi masalah di Malaysia, dasar ini memerlukan pengimportan kedua-dua sumber itu secara mengadakan usahasama dengan pelabur asing. Rakan perkongsian asing dimestikan menyediakan kerjasama dan bantuan dalam melatih pekerja, pengendalian dan pengurusan projek. Ini adalah bagi menentukan pemindahan teknologi berjalan dengan berkesan dan projek mencapai kejayaan.
Insentif berbentuk kredit, tariff atau subsidi patutlah diberi kepada projek-projek ini bagi membolehkan industri ini berdiri buat permulaannya.
Pengeluaran juga haruslah bukan sahaja untuk pasaran dalam negara tetapi hendaklah juga ditujukan kepada pasaran dunia. Dari segi ini, tindakan pemasaran yang agresif hendaklah dijalankan dan usaha-usaha dibuat dalam penyelidikan dan pembangunan demi mengurangkan kos pengeluaran agar barangan menjadi lebih kompetitif.
Kajian juga hendaklah dibuat bagi mengenalpasti projek-projek yang sesuai dan paling bermunafaat kepada Malaysia dan menentukan pilihan teknologi yang akan digunakan.

PENGAJIAN AM STPM : DASAR PENGURANGAN BEBAN PERBELANJAAN AWAM

Dasar Pengurangan Beban Perbelanjaan Awam
Objektif
Dalam konteks kedudukan ekonomi yang meruncing, dasar awam sewajarnya ditumpukan kepada mengukuhkan asas-asas ekonomi di samping mengawal kadar inflasi dan memperbaiki kedudukan imbangan pembayaran negara. Dasar bagi mengurangkan perbelanjaan awam adalah dirangka dengan tujuan-tujuan seperti di bawah ini:-
(a) Untuk mengukuhkan kedudukan kewangan Kerajaan selaras dengan
sumber-sumber yang ada;
(b) Untuk mengurangkan defisit belanjawan Kerajaan ke tahap yang
selaras dengan pengurusan ekonomi yang berhati-hati;
(c) Untuk mengawal pertumbuhan hutang awam supaya tidak menjejaskan
kedudukan imbangan pembayaran negara dan kadar pertukaran asing.

Strategi Pelaksanaan
Bagi melaksanakan dasar ini, Kerajaan telah mengkaji semula skop, kekesanan dan faedah-faedah perbelanjaan sektor awam meliputi bukan sahaja perbelanjaan Kerajaan Persekutuan tetapi juga Badan-Badan Berkanun dan Perbadanan-Perbadanan Awam yang dikawal oleh Kerajaan Persekutuan dan negeri. Agensi-agensi adalah diminta untuk mengkaji balik keperluan-keperluan mereka, keutamaan dan faedah-faedah program-program selaras dengan kedudukan kewangan yang terhad, terutamanya projek-projek pembangunan yang lazimnya melibatkan kandungan impot yang tinggi. Hanya projek-projek yang dapat menyumbang kepada perkembangan ekonomi dan pencapaian matlamat DEB sahaja akan dilaksanakan.
Lanjutan daripada strategi di atas, Kerajaan juga telah membekukan pengisian jawatan-jawatan kosong dan pengambilan kakitangan baru. Jawatan-jawatan awam yang sedia ada juga akan dikaji semula bagi memastikan tidak ada jawatan-jawatan yang bertindihkan dari segi bidang kerja. Jawatan-jawatan ini jika dimansuhkan tidak akan menjejaskan perkhidmatan awam keseluruhannya.
Satu lagi langkah yang diambil untuk mengurangkan perbelanjaan awam ialah pengawalan ke atas agensi-agensi di luar belanjawan memandangkan agensi-agensi tersebut mempunyai pengaruh yang besar kepada kewangan Kerajaan.
Selain daripada itu, langkah-langkah bagi memperkemaskan operasi pentadbiran awam merupakan sebahagian daripada strategi perlaksanaan. Ini termasuk meningkatkan kekesanan sistem pengawalan belanjawan yang ada (iaitu Sistem Belanjawan Program Prestasi) dan pengenalan sistem-sistem baru seperti ‘micro-accounting’.
Satu lagi langkah yang diambil oleh Kerajaan untuk mengurangkan perbelanjaan awam ialah untuk menswastakan beberapa kegiatan Kerajaan di bawah dasar penswastaan.

PENGAJIAN AM STPM : DASAR PEMBANGUNAN NASIONAL

Dasar Pembangunan Nasional (DPN)
Objektif
Perpaduan negara akan terus menjadi matlamat terakhir DPN kerana masyarakat yang bersatupadu adalah penting untuk memperkukuhkan lagi kestabilan sosial dan politik dan mengekalkan pembangunan ekonomi yang berterusan. DPN menetapkan satu langkah ke arah membolehkan Malaysia mencapai taraf sebuah negara yang maju dalam semua segi iaitu dari segi keadilan sosial, nilai, etika dan moral, kestabilan politik, kualiti hidup, kecekapan pentadbiran kerajaan, dan kecemerlangan ekonomi.

Strategi Pelaksanaan
DPN akan terus mengekalkan strategi asas DEB iaitu pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat untuk memperbaiki ketidakseimbangan sosial dan ekonomi antara kaum dan dengan ini akan menyumbangkan ke arah mengukuhkan perpaduan negara. DPN adalah bertujuan untuk mewujudkan satu corak pembangunan yang lebih seimbang yang merangkumi aspek-aspek kritikal seperti berikut:
(i) Mewujudkan keseimbangan yang optimum di antara matlamat pertumbuhan ekonomi dengan pengagihan yang saksama;

(ii) Memastikan pembangunan yang seimbang bagi sektor-sektor utama ekonomi untuk meningkatkan daya saling melengkapi antara sektor bagi mengoptimumkan pertumbuhan;

(iii) Mengurang dan akhirnya menghapuskan ketidaksamaan sosial dan ekonomi negara untuk menggalakkan perkongsian secara lebih adil dan saksama faedah yang diperolehi dari pertumbuhan secara lebih adil dan saksama untuk semua rakyat Malaysia;

(iv) Menggalak dan memperkukuhkan integrasi nasional dengan mengurangkan jurang ketidakseimbangan yang luas dalam pembangunan ekonomi antara negeri dan antara kawasan bandar dan luar bandar;

(v) Membangunkan sebuah masyarakat yang progresif di mana semua rakyat menikmati kesejahteraan hidup yang tinggi di samping mempunyai nilai-nilai sosial dan kerohanian yang positif serta menghayati perasaan bangga dan cintakan negara;

(vi) Memajukan sumber manusia dan termasuk mewujudkan tenaga kerja yang berdisplin dan produktif serta meningkatkan kemahiran yang perlu bagi menghadapi cabaran pembangunan industri melalui satu budaya kecemerlangan tanpa menjejaskan matlamat penyusunan semula masyarakat;

(vii) Menjadikan sains dan teknologi sebagai satu teras penting dalam perancangan dan pembangunan sosio-ekonomi yang memerlukan usaha membangunkan keupayaan dan kebolehan dalam teknologi strategik dan berasaskan ilmu serta memajukan budaya sains dan teknologi dalam proses membangunkan satu ekonomi perindustrian yang moden; dan

(viii) Memastikan bahawa dalam usaha mencapai pembangunan ekonomi perhatian yang sewajarnya diberikan kepada perlindungan alam sekitar dan ekologi supaya dalam jangka panjang bagi memastikan pembangunan negara dapat dikekalkan secara berterusan.

PENGAJIAN AM STPM : DASAR 70 JUTA PENDUDUK

Dasar Kependudukan Malaysia Ke Arah 70 Juta Penduduk
Rasional
Jumlah penduduk Malaysia adalah masih kecil dan ada faedah-faedah besar jika kependudukan Malaysia dibesarkan dalam jangka perancangan di atas. Jika dibandingkan dengan negara-negara lain, Malaysia dengan kawasan yang seluas 334,000 km persegi mempunyai penduduk sebanyak 45 juta, Negeri Thai dengan kawasan seluas 514,000 km persegi mempunyai penduduk sebanyak 50 juta dan Republik Indonesia dengan kawasan tanah 2,027,087 km persegi mempunyai sebanyak 150 juta.
Rasional untuk mencapai matlamat kependudukan 70 juta adalah untuk menyediakan satu asas permintaan dan pasaran bagi keluaran industri industri tempatan. Ini akan mengujudkan keadaan persaingan dalam pasaran dan selanjutnya akan meninggikan daya dan mutu pengeluaran untuk eksport. Pertumbuhan adalah dianggap sebagai modal yang utama untuk kemajuan ekonomi dan sosial sesebuah negara, disamping itu ianya juga dapat meningkatkan daya pengeluaran ekonomi. Dengan yang demikian, adalah wajar angkubah-angkubah demografik ini diambil kira di dalam perancangan pembangunan untuk mempastikan kemajuan ekonomi dan pertumbuhan kebajikan yang berterusan.

Malaysia masakini mengalami kadar pertumbuhan kependudukan sebanyak 2.5%* bagi jangkamasa 1981-1985. Mengikut kadar ini, jumlah penduduk dianggarkan menjadi 15.279 juta dalam tahun 1984, iaitu pertambahan sebanyak 11.2% daripada jumlah 13.745 juta pada tahun 1980.