Pelajar perempuan dijumpai mati dalam bilik pusat peranginan

KOTA BHARU: Seorang pelajar perempuan tingkatan lima sebuah sekolah menengah di Pasir Mas, dijumpai mati di sebuah bilik penginapan di Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini, hari ini dipercayai akibat pendarahan berlebihan kerana keguguran.

Noraini Mohd Noor, 17, dijumpai terbaring dengan berlumuran darah di bahagian pinggang ke bawah ketika dijumpai pekerja sebuah pusat peranginan di situ, kira-kira jam 9 pagi tadi.

Bagaimanapun, menurut polis tiada kesan tikaman terdapat pada badan mangsa.

Menurut seorang saksi, pelajar Sekolah Menengah Sultan Ibrahim (I) itu dipercayai mendaftar masuk untuk menginap di pusat peranginan itu jam 8 pagi bersama seorang teman lelakinya, yang berumur sebaya dengannya.

“Hampir sejam kemudian, teman lelaki gadis itu mengadu kepada kaunter penyambut tetamu bahawa rakannya pengsan dalam sebuah bilik di pusat peranginan itu,” katanya.

Katanya, selepas meninjau ke bilik itu, pihaknya mendapati terdapat banyak darah di bahagian bawah badan pelajar itu sebelum menghubungi pihak polis.

Polis juga menyoal siasat rakan pelajar terbabit berumur dalam lingkungan 18 tahun yang dipercayai dari sekolah agama berhampiran sekolah mangsa untuk membantu polis dalam siasatan kes itu.
Menurut guru pelajar sekolah berkenaan yang tidak mahu namanya disiarkan, pelajar itu ponteng sekolah hari ini selepas dihantar oleh ibunya pagi tadi bersama seorang adiknya.

“Dia seorang pelajar yang pendiam dan tidak menghadapi masalah disiplin walaupun tidak tergolong sebagai pelajar cemerlang dalam pelajaran,” katanya.

Katanya lagi, sepanjang pengetahuannya pelajar terbabit mempunyai perwatakan yang baik dan sering solat berjemaah di masjid serta pernah menyertai kegiatan agama di sekolahnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Amir Hamzah Ibrahim, mengesahkan menerima laporan penemuan mayat pelajar itu.

Beliau berkata, setakat ini polis menyifatkan kes itu sebagai kematian mengejut. Bagaimanapun, mayat pelajar itu masih dalam siasatan dan bedah siasat akan dijalankan oleh unit Forensik Polis Diraja Malaysia.

Menurutnya, pihaknya akan mengklasifikasikan semula kes itu sebaik bedah siasat ke atas mayat itu selesai dilakukan sekiranya kematian pelajar itu membabitkan kes jenayah. – Bernama

SITUASI TERKINI DEMAM DENGGI

Jumlah kematian kerana demam denggi naik kepada 38

17/03/2010 6:54pm

KUALA LUMPUR 17 Mac – Empat lagi mati akibat denggi dalam tempoh seminggu dari 7 hingga 13 Mac, walaupun jumlah kes menurun tiga peratus kepada 1,039 berbanding minggu sebelum itu.

Tiga kematian dilaporkan di Selangor dan satu di Kelantan, menjadikan jumlah 38 yang maut setakat tahun ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican.

Dr. Mohd. Ismail berkata, empat kes kematian itu disebabkan komplikasi demam denggi iaitu ”sindrom kejutan denggi”.

Beliau berkata, masyarakat setempat masih lagi tidak menunjukkan keprihatinan terhadap masalah denggi di kawasan masing-masing kerana masalah tempat pembiakan aedes masih berterusan di ”kawasan panas”.

“Tiga negeri menunjukkan peningkatan kes yang agak tinggi iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya, Sarawak dan Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan masalah demam denggi tidak akan dapat dikawal tanpa kerjasama daripada orang ramai.

Beliau juga berkata, mereka yang mengalami gejala demam denggi hendaklah segera mendapatkan rawatan dan para pengamal perubatan yang mengendalikan kes juga diminta segera melaporkan kes-kes denggi yang disyaki supaya tindakan segera boleh diambil. –

WARGA EMAS : ASET ATAU BEBAN?

WARGA EMAS : ASET ATAU BEBAN?

Negara bakal berhadapan dengan ledakan warga emas apabila jumlah rakyat negara ini melebihi 60 tahun dijangka meningkat kepada 3.4 juta orang menjelang tahun 2020.

Saban tahun jumlah warga emas meningkat dengan pantas iaitu dari 1.03 juta orang pada tahun 1991 kepada 2.1 juta orang pada masa kini.

Perangkaan juga menunjukkan 65 peratus warga emas tersebut adalah wanita yang tinggal di kawasan luar bandar.

Aliran penuaan yang melanda negara ini adalah kesan daripada pengurangan kesuburan, ekonomi meningkat serta penjagaan kesihatan berpanjangan.

Faktor lain pula termasuk penurunan kadar kelahiran dan kematian serta perpindahan generasi muda ke negara lain atas alasan pekerjaan.

Fenomena semakin ramai yang memilih untuk hidup membujang juga turut menyumbang kepada aliran penuaan di negara ini.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, banci yang dibuat pada tahun 2000 menunjukkan bilangan warga emas di negara ini meningkat hamper dua kali ganda untuk tempoh 20 tahun.

Sebagai contoh, pada tahun 1970 warga emas hanya berjumlah 546,000 di seluruh negara. Bagaimanapun pada tahun 1991 jumlah warga emas meningkat menjadi 1.03 juta orang.

Bilangan warga emas terus meningkat sebanyak 35 peratus lagi untuk 10 tahun yang iaitu 1.4 juta orang atau 6.3 peratus daripada penduduk negara ini pada tahun 2000.

Jumlah warga emas terus bertambah pada tahun 2010 iaitu sejumlah 2.1 juta orang yang mewakili 7.3 peratus rakyat negara ini.

Pada 2020, bilangan warga emas dijangka terus meningkat kepada 3.4 juta orang.

Perangkaan juga menunjukkan Perak dan Perlis mencatatkan peratusan warga emas tertinggi iaitu 9.4 peratus dan 9.2 peratus.

Sementara Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang mencatatkan penambahan warga emas kira-kira 7 peratus.

Sementara itu, Selangor mencatatkan penurunan kecil jumlah warga emas iaitu daripada 4.7 peratus kepada 4.5 peratus.

Ini adalah kesan penghijrahan go;ongan muda dari negeri-negeri lain ke Selangor.

Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan pula mencatatkan jumlah warga emas paling rendah iaitu kira-kira 3.9 peratus.

Keadaan ini disebabkan penghijrahan masuk warga asing dari Indonesia dan Filipina yang menambahkan golongan muda di kedua negeri itu.

Penuaan penduduk merupakan satu fenomena yang berlaku di Negara-negara membangun dan perindustrian sejak beberapa dekad lalu dan ia merupakan kesan awalan dalam usaha mengurangkan tahap kesuburan dan lanjutan usia penduduk.

Persoalannya, adakah Negara kita sudah bersedia dengan perancangan dan persediaan untuk menangani isu penuaan penduduk mencakupi pelbagai aspek kehidupan.

Penuaan penduduk akan menyebabkan implikasi sosial antaranya lebih ramai warga emas wanita hidup bersendirian, penyediaan kediaman yang sesuai dengan kemampuan mental serta fizikal mereka.

Selain itu, penuaan juga berkait rapat kesannya pada ekonomi dan implikasi kesihatan.

Justeru, institusi-institusi sosial dan polisi kerajaan juga perlu selaras dengan perubahan struktur umur bagi menangani peningkatan keperluan warga emas.

(Dipetik daripada Utusan Malaysia 25 Mei 2009)