DASAR 1MURID 1SUKAN

Beberapa langkah perkukuh pembangunan sukan di sekolah

17/03/2010 2:20pm

KUALA LUMPUR 17 Mac – Kementerian Pelajaran hari ini memutuskan pelaksanaan beberapa langkah untuk memperkukuhkan pembangunan sukan di sekolah mulai tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu diambil bagi mengembalikan kecemerlangan sukan di sekolah.

Beliau berkata, antara yang diputuskan ialah menjadikan aktiviti sukan di sekolah sebagai satu bahagian khusus yang mempunyai pengarah dan timbalan-timbalan pengarah yang akan dilantik seramai empat orang.

Selain itu, katanya, bahagian sukan yang sebelum ini dicantum dengan seni dan kokurikulum akan dipisahkan.

“Kerajaan juga memutuskan bahawa pemarkahan kepada pelajar yang menyertai aktiviti sukan adalah lima peratus berbanding 10 peratus yang diperuntukkan di bawah aktiviti kokurikulum sebelum ini yang tidak memberikan sebarang penekanan terhadap sukan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa induk pembangunan sukan di sekolah di bangunan Parlimen di sini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, dasar 1Murid 1Sukan akan dikuatkuasakan.

Selain itu, beliau berkata, turut diputuskan ialah penambahan tenaga kerja seperti guru khas untuk melaksanakan pembangunan sukan di sekolah yang akan dibuat secara berperingkat-peringkat.

Muhyiddin berkata, peruntukan untuk aktiviti sukan juga akan ditambah bagi setiap pelajar iaitu RM4 bagi pelajar sekolah rendah dan RM6 untuk pelajar sekolah menengah, berbanding peruntukan RM2.40 bagi setiap pelajar sebelum ini. – Bernama

TIPS MENJAWAB PENGAJIAN AM KERTAS 1 STPM

1. Calon perlu mengulangkaji soalan-soalan tahun lepas. Kebarangkalian terdapat beberapa soalan mungkin diulang semula untuk tahun ini.

2. Jika soalan yang mempunyai pilihan jawapan  – I, II, III dan IV. Langkah memilih jawapan ialah:

a. Pilih jawapan yang 100% di yakini betul dan potong pilihan jawapan A, B, C dan D yang tidak mempunyai pilihan jawapan tadi. ATAU

b. Pilih jawapan yang diyakini 100% salah dan potong pilihan jawapan A, B, C dan D yang tidak mempunyai pilihan jawapan tadi.

3. Fokus kepada tajuk Dasar Luar Negara, Dasar Dalam Negara, Pentadbiran Kerajaan (Pusat dan Negeri) dan Perundangan (Bidang Kuasa Kerajaan)

4. Istilah kehakiman setiap tahun keluar 1 soalan. Jadi perlu dihafal

5. Soalan pengiraan biasanya berkisar berkaitan tajuk Peratus dan Peratus Perubahan.

6. Calon jangan takut dengan soalan pengiraan berbentuk Jadual. Ingat bukan semua maklumat dalam Jadual yang ditanya hanya beberapa perkara sahaja. Highlightkan dengan pen perkara yang ditanya itu.

SELAMAT MENJAWAB EXAM ESOK. GOOD LUCK

Kabel dasar laut hubungkan negara anggota EAGA

Kabel dasar laut hubungkan negara anggota EAGA
22/11/2009 7:14pm

KOTA KINABALU 22 Nov. — Satu projek kabel dasar laut yang menghubungkan Filipina dan negara anggota Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), serta negara lain di Asia, sedang dalam perhatian.

Ini berikutan mesyuarat Kumpulan Kerja Teknologi Komunikasi Maklumat BIMP-EAGA di Cagayan De Oro, Mindanao, baru-baru ini.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Pembangunan Ekonomi Mindanao (MEDCo), di sini hari ini menyebut cadangan itu dikemukakan oleh EA Trilink, sebuah syarikat telekomunikasi Filipina, dalam mesyuarat yang diadakan pada 10 Nov. lepas. – Bernama

STPM : FTA Malaysia-NewZealand

Malaysia, New Zealand Meterai FTA

afta2

NAJIB dan Key menyaksikan majlis menandatangani FTA antara Malaysia dan New Zealand diwakili Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed dan Menteri Perdagangan New Zealand, Tim Groser, di Kuala Lumpur, semalam.
Hubungan Tradisi Kukuh: PM

PUTRAJAYA: Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara Malaysia dan New Zealand akan menjadi mercu tanda penting dalam peningkatan perdagangan serta pelaburan membabitkan kedua-dua negara, sekali gus memperkukuhkan hubungan tradisi yang sedia terjalin, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, hubungan tradisi kedua-dua negara sentiasa baik yang dibuktikan dengan jumlah perdagangan antara Malaysia dan New Zealand yang meningkat dua kali ganda antara 2006 hingga 2008.
“Sebagai contoh, perdagangan dua hala antara kedua-dua negara meningkat dua kali ganda daripada 2006 hingga 2008 dengan jumlah RM6.15 bilion,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri New Zealand, John Key di sini, semalam.

Terdahulu Najib mengetuai delegasi Malaysia bermesyuarat dengan rombongan negara berkenaan yang diketuai Key.

Berikutan pemeteraian FTA di antara kedua-dua negara katanya, Malaysia berharap akan menjadi lokasi pilihan bagi ahli perniagaan New Zealand, bukan saja dalam perdagangan di negara ini, sebaliknya sebagai hab bagi rantau Asean.
“Kita berharap pelabur New Zealand melihat Malaysia sebagai pintu pasaran negara Asean,” katanya.

Najib berkata, FTA juga akan merangsang lebih banyak syarikat New Zealand untuk mengembangkan operasi ke Malaysia kerana semua isu perdagangan dan pelaburan yang belum diselesaikan antara kedua-dua negara dapat ditangani.

Katanya, hubungan tradisi sedia ada dengan New Zealand selama ini turut membabitkan bidang pendidikan dan pelancongan yang terus berperanan sebagai bidang penting.

“Kita turut berbincang mengenai bidang (hubungan) tradisi seperti pendidikan dengan Malaysia akan terus menjalinkan hubungan kukuh dengan New Zealand dan seperti dijangkakan, bidang pendidikan akan terus menjadi faktor utama,” katanya.
Perdana Menteri berkata, bidang pelancongan antara kedua-dua negara juga menggalakkan, walaupun dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu apabila sebanyak 56,000 pelancong dari negara itu mengunjungi Malaysia pada tahun lalu.

Beliau berkata, walaupun jumlah perdagangan kedua-dua negara tahun ini agak berkurangan, Malaysia dan New Zealand yakin ia adalah fenomena sementara dan dijangka meningkat semula menjelang 2010 berikutan pemulihan ekonomi global.

Najib berkata, New Zealand akan terus berperanan sebagai rakan yang kuat dalam Perjanjian Lima Kuasa Pertahanan (FDPA) yang turut disertai oleh Australia, United Kingdom, Singapura selain Malaysia.

Menjawab soalan, Najib berkata, Malaysia juga berminat untuk bekerjasama dengan New Zealand dalam bidang alam sekitar berdasarkan rekod cemerlang negara berkenaan dalam bidang itu.

“Bagi Malaysia, kami komited untuk membangunkan teknologi hijau dan saya sangat berminat untuk bekerjasama dengan New Zealand untuk menjayakan agenda alam sekitar yang lebih baik di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Key berkata, pemeteraian FTA adalah titik tolak penting kepada hubungan kedua-dua negara.

“Malaysia adalah pasaran penting kepada New Zealand dan satu daripada lapan rakan niaga terbesar dan kita mengharapkan pelaburan yang lebih tinggi pada masa depan,” katanya yang turut menjemput Najib membuat lawatan ke negaranya.

Beliau berkata, New Zealand menghargai hubungan dua hala dengan Malaysia, terutama dalam bidang pendidikan.

“Jumlah penuntut peringkat doktor falsafah (PhD) dari Malaysia di New Zealand agak ramai dan kita berharap hubungan diperluaskan lagi membabitkan bidang pelancongan,” katanya.
Sumber: Berita Harian

DASAR KANAK-KANAK NEGARA

DASAR KANAK-KANAK NEGARA

PENGENALAN

Kanak-kanak merupakan sebahagian daripada masyarakat yang amat penting, yang menjadi aset negara dan penyumbang nadi pembangunan negara pada masa hadapan. Pada tahun 2008, terdapat seramai 10.5 (37.9%) orang kanak-kanak daripada 27.7 juta penduduk Malaysia[1].  Dengan itu, pihak Kerajaan amat prihatin kepada kesejahteraan dan kepentingan kanak-kanak.

Sehubungan ini, Malaysia telah meratifikasi Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak atau Convention on the Rights of the Child (CRC) pada 17 Februari 1995.  Konvensyen ini memberi tumpuan terhadap kebajikan dan kehidupan kanak-kanak yang menjurus kepada aspek kelangsungan hidup (survival), perlindingan (protection), perkembangan (development) dan penyertaan (participation).  Sebagai sebuah negara pihak (state party) kepada CRC, Malaysia amat prihatin dan komited terhadap tanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak yang merupakan generasi pewaris negara masa hadapan.

Kepentingan golongan kanak-kanak jelas dibuktikan dalam pernyataan Wawasan 2020 di mana institusi keluarga dan kanak-kanak merupakan salah satu fokus yang diberi keutamaan dalam usaha negara mencapai status negara maju di samping melahirkan masyarakat yang saksama dan penyayang.

DEFINISI

Kanak-kanak didefinisikan sebagai seseorang yang di bawah umur 18 tahun seperti yang termaktub dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak dan Akta Kanak-Kanak, 2001.

PERNYATAAN DASAR

Dasar Kanak-Kanak Negara adalah satu dasar mengenai hak kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak agar dapat menikmati peluang dan ruang untuk mencapai perkembangan holistik dalam persekitaran yang kondusif.

PERNYATAAN MATLAMAT

Dasar Kanak-kanak Negara bertujuan untuk melahirkan individu yang sihat, cergas, berilmu, inovatif, kreatif, berjati diri, berdaya saing, progresif dan mempunyai nilai-nilai murni.

OBJEKTIF

Objektif utama Dasar Kanak-kanak Negara ialah untuk memastikan:

1.         Setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk hidup dengan diberi jagaan, pemeliharaan, kasih sayang, perkhidmatan kesihatan, sokongan dan bantuan sosial;

2.         Setiap kanak-kanak termasuk kanak-kanak kurang upaya mempunyai hak untuk dilindungi daripada sebarang bentuk pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi; dan seterusnya diberi habilitasi, rehabilitasi dan di integrasi ke dalam keluarga dan masyarakat.

3.         Setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk perkembangan holistik dari segi fizikal, kognitif, bahasa, sosio-emosi, sahsiah dan kerohanian;

4.         Setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk bersuara, menyertai (turut serta) dan melibatkan diri mengikut tahap keupayaan dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan kepentingan terbaik dan kesejahteraan mereka;

5.         Kanak-kanak, ibu bapa, penjaga, komuniti dan masyarakat sedar akan hak-hak kanak-kanak untuk kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan; dan

6.         Penyelidikan dan pembangunan mengenai kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak dilaksanakan dari semasa ke semasa.

STRATEGI

Strategi-strategi bagi mencapai objektif di atas adalah seperti berikut:

Objektif 1

Kelangsungan Hidup

1.         Menyediakan keperluan asas seperti identiti, tempat tinggal, makanan, minuman, pakaian, kasih sayang, keselamatan dan persekitaran yang kondusif dan mesra kanak-kanak.

2.         Meningkatkan kerjasama antara agensi kerajaan, NGO, pihak swasta dan masyarakat setempat dalam penjagaan kesihatan, keselamatan dan pendidikan bagi menjamin kesejahteraan dan kebajikan kanak-kanak;

3.         Meningkatkan kualiti dan memperluaskan perkhidmatan sokongan dan bantuan sosial mengikut keperluan kanak-kanak termasuk kanak-kanak OKU dan anak yatim.

4.         Memperluaskan akses kepada maklumat dan bahan bersesuaian daripada pelbagai sumber supaya kanak-kanak mendapat pengetahuan dan kemahiran demi kelangsungan hidup mereka;

5.         Memastikan kanak-kanak mendapat perlindungan keselamatan sosial.

Objektif 2

Perlindungan

1.         Meningkatkan latihan kepada semua pihak yang berurusan dengan kanak-kanak supaya mempunyai pengetahuan, kelayakan dan kemahiran yang mencukupi serta bersikap positif dalam pengendalian kes penganiayaan, pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi terhadap kanak-kanak;

2.         Memberi perkhidmatan pemeliharaan, perlindungan dan pemulihan kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa penyeksaan, pengabaian, penganiayaan, keganasan, pengeksploitasian atau kanak-kanak tidak terkawal serta penyediaan rawatan pemulihan kepada pesalah kanak-kanak (child offender);

3.         Memberi perlindungan ke atas mangsa, pengadu dan keluarga daripada gangguan atau ancaman pihak-pihak tertentu;

4.         Memastikan kanak-kanak diberi hak kepada perundangan dan perkhidmatan sokongan;

5.         Memberi sokongan kepada keluarga yang berisiko tinggi supaya kanak-kanak dalam keluarga tersebut dapat menikmati hak-hak mereka;

6.         Memastikan semua pihak yang mempunyai hubungan atau memberi perkhidmatan kepada kanak-kanak mewujudkan dasar dan protokol perlindungan kanak-kanak dan melaksanakannya.

7.         Menyediakan program khusus bagi kanak-kanak jalanan, kanak-kanak tanpa dokumen, kanak-kanak tercicir, kanak-kanak terlibat dengan penagihan dadah dan kanak-kanak yang berada dalam situasi genting, kepayahan dan lain-lain bahaya (under difficult circumstances).

8.         Memastikan kanak-kanak mangsa bencana menerima rawatan yang sewajarnya bagi pemulihan, pembangunan dan pengintegrasian semula ke dalam masyarakat.

9.         Memastikan kanak-kanak mangsa eksploitasi seksual (termasuk perdagangan kanak-kanak, pelacuran kanak-kanak, child pornography) dan perdagangan orang diberi perlindungan, pemulihan dan pengintegrasian semula ke dalam masyarakat atau dihantar pulang ke negara asal.

10.      Mewujudkan mekanisme amaran awal dan mengukuhkan mekanisme perlindungan kanak-kanak di peringkat nasional dan antarabangsa.

11.      Menggalakkan penyediaan persekitaran yang sihat dan selamat untuk kanak-kanak.

Objektif 3

Perkembangan

1.         Meningkatkan perkhidmatan pengasuhan dan pendidikan kanak-kanak yang berkualiti, mudah diperoleh dan mampu dibiayai dalam persekitaran yang kondusif bagi merangsang perkembangan optimum kanak-kanak.

2.         Menyediakan kemudahan prasarana dan persekitaran mesra kanak-kanak.

3.         Memperluaskan program dan kemudahan khusus bagi perkembangan kanak-kanak kurang upaya dalam semua aspek seperti pengesanan dan intervensi awal, pemulihan, pendidikan dan pengintegrasian semula dalam masyarakat.

4.         Menyediakan bantuan, latihan dan pemantauan yang berterusan bagi memastikan kanak-kanak mendapat pengasuhan, penjagaan dan pendidikan yang bermutu tinggi.

Objektif 4

Penyertaan

1.         Memastikan kanak-kanak diberi akses kepada maklumat yang berkualiti dan bahan bersesuaian daripada pelbagai sumber supaya kanak-kanak dapat menyertai aktiviti yang berkaitan dengan hal ehwal mereka.

2.         Menggalakkan media massa dan pihak swasta untuk menyebarkan maklumat yang bersesuaian dan berkualiti.

3.         Menggalakkan kanak-kanak menyuarakan pendapat dan pandangan secara bertanggungjawab dan beretika sebagai input dalam merangka program untuk mereka atau program yang berkaitan dengan kepentingan mereka.

Objektif 5

Advokasi

1.         Meningkatkan kesedaran keluarga dan masyarakat akan kepentingan penjagaan kesihatan kanak-kanak.

2.         Meningkatkan kesedaran keluarga dan masyarakat mengenai hak kesamarataan kanak-kanak daripada sebarang bentuk diskriminasi.

3.         Memantapkan program sedia ada dan memperkenalkan program yang sesuai bagi mencegah penganiayaan, pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi terhadap kanak-kanak.

4.         Meningkatkan kesedaran ibu bapa, penjaga dan ahli masyarakat akan pentingnya pengasuhan dan pendidikan kanak-kanak.

5.         Meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai hak, kesejahteraan dan kepentingan kanak-kanak kepada semua pihak yang berkenaan.

Objektif 6

Penyelidikan dan Pembangunan

1.         Memperbanyakkan penyelidikan dan pembangunan dalam bidang pembangunan kanak-kanak dan menyebarluaskan hasil-hasil penyelidikan bagi tujuan penambahbaikan.


[1] Sumber Jabatan Perangkaan Malaysia,2008

SOALAN LATIHAN PENGAJIAN AM 1

SOALAN LATIHAN

PENGAJIAN AM STPM : CONTOH PENGIRAAN SOALAN POPULAR (PERATUS)

Tan Sui Eng menjual sebuah poster gambar dengan harga RM40. Tan Sui Eng mengalami kerugian sebanyak 20% dengan penjualan pada harga tersebut.

Berapakah harga beli poster tersebut?

A. RM40
B. RM50
C. RM60
D. RM70

TIPS : Soalan ini berkisar tajuk Peratusan di dalam matapelajaran Matematik yang telah pun semua pelajar pelajari. Tajuk peratusan amat popular di dalam topik penyelesaian masalah STPM ini.

Kaedah penyelesaian

Andaikan Harga Jual RM40 ialah 80%. Maka harga beli ialah 100%

Jadi :

80% = RM40
100% = (100/80) x RM40
= RM50