PENGAJIAN AM STPM : LARAS SAINS

Gaya Pemakanan Mempengaruhi Kesihatan Masyarakat Norkumala binti Awang
Pegawai Penyelidik

05/03/2007 | Artikel Bahasa Malaysia
Memang mudah melakar impian, tetapi mungkin sukar untuk menterjemahkannya mengikut hakikat. Namun, biar apapun kemungkinan yang bakal berlaku, kita sebagai umat Islam perlu sedaya upaya menguatkan semangat agar apa yang dicitakan tercapai. Sejajar dengan itu, seharusnya amalan pemakanan seharian kita perlu diubah agar dapat meningkatkan taraf kesihatan dengan pemakanan yang sihat berteraskan faham halalan tayyiban. Mungkin runtunan nafsu terhadap makanan yang tidak berkhasiat menjadi penghalang kerana ia telah menjadi tabiat kita tetapi jika kita memiliki keazaman untuk mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang, ia mungkin dapat diatasi. Jika sebelum ini, kita seorang hamba Allah yang tidak pernah mengambil berat tentang sumber makanan yang menjadi darah daging kita, anjakkanlah sikap kita agar dapat berubah kepada gaya pemakanan dan hidup yang sihat serta menekankan kepentingan pengambilan makanan yang memberi kesan yang mendalam sama ada jasmani mahupun rohani.
Tidak dapat disangkal lagi bahawa amalan pemakanan seseorang akan mempengaruhi kesihatan masyarakat. Kehidupan yang sihat bertitik tolak daripada pemakanan yang baik. Bagi yang menjalani gaya hidup yang sihat, barangkali mempunyai banyak pilihan untuk mempertingkatkan tahap kesihatan contohnya mengurangkan berat badan dengan cara yang betul, melakukan aktiviti yang sihat, pengambilan makanan yang seimbang walaupun sesetengah daripada kita dihambat dengan kesibukan tugas. Untuk meningkatkan lagi kualiti kehidupan, kita tidak boleh lupa akan faktor yang mempengaruhi tubuh kita, kerana tubuh badan manusia adalah satu organisma hidup yang amat mengkagumkan di mana ia mempunyai kemampuan untuk membesar, mengawal, memperbaiki dan mempertahankan diri jika diberi pemakanan seimbang, bermutu tinggi dan semula jadi.
Di dalam memilih makanan, Islam menekankan agar umatnya mencari yang halal serta baik. Ini kerana faham halalan tayyiban yang dianjurkan dalam Al Quran mencerminkan kepada kita bahawa Islam itu syumul hatta di dalam bab pemilihan makanan sekalipun diperincikan dengan faham yang cukup lengkap panduannya. Intipatinya mudah, pilih makanan yang halal, sumber rezeki yang halal, menekankan unsur mutu makanan iaitu pemakanan yang sihat serta makanan yang baik dan bersih untuk kesihatan. Kalau sebelum ini, kita mengambil mudah dengan sumber makanan yang disuapkan ke mulut kita sehari- hari, anjakkanlah pemikiran kita agar unsur halal itu menjadi satu perkara yang amat penting mempengaruhi kesihatan rohani dan jasmani malah juga penting dalam pembentukan peribadi anak- anak. Sewajarnya kita menitikberatkan bahawa jika kita memberikan mereka makanan yang haram dan kotor, anak akan cenderung menjadi derhaka dan biadab.

Apakah yang ditakrifkan sebagai makanan yang bermutu supaya ia benar- benar memenuhi ciri- ciri tayyib? Makanan yang hendak dimakan itu dikatakan tayyib jika ia memenuhi kriteria seimbang. Jika sebelum ini, kita tidak pernah prihatin terhadap pemakanan yang seimbang, seharusnya kita sedar dan mengubah tabiat makan agar lebih menjuruskan kepada mementingkan unsur kesihatan. Saranan untuk mengambil makanan bagi memenuhi keperluan tubuh mengikut jumlah zat dan mineral dapat dilihat daripada amalan Rasulullah SAW sendiri di mana baginda mencampurkan beberapa jenis makanan untuk dimakan. Daripada Salh bin Saad pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah memakan buah tembikai dengan tamar basah. Dan amalan ini merupakan satu pendekatan yang dipamerkan oleh Rasulullah dalam pola pemakanan yang seimbang.
Dari satu sudut lain yang kini dipandang sepi oleh sesetengah daripada kita ialah industri perusahaan makanan. Dunia industri makanan dan minuman kita gersang dengan penyertaan dari umat Islam. Mereka lebih rela disogokkan dengan budaya makan gaji berbanding dengan berusaha sendiri untuk menjadi usahawan muslim yang berjaya contohnya dalam bidang industri makanan dan minuman. Umat Islam masih lagi bergantung harap kepada bukan Islam untuk keperluan harian. Seharusnya umat Islam tidak cepat melatah kerana isu makanan tidak halal yang diusahakan oleh pengilang bukan Islam. Ini kerana kebanyakan daripada makanan dan minuman yang digunakan oleh umat Islam adalah dikeluarkan oleh pengusaha bukan Islam. Sejajar dengan itu penyertaan oleh ramai lagi usahawan muslim ke dalam industri ini seharusnya lebih hebat lagi dan digalakkan oleh orang Islam itu sendiri. Barangkali dengan wujudnya pengusaha dari kalangan orang Islam akan menjamin ciri- ciri kebersihan dan kehalalan sesuatu produk makanan. Oleh itu, kita perlu persiapkan akal fikiran dan seharusnya menyokong peniaga dan usahawan Islam yang lain dengan memilih makanan yang diusahakan mereka jika kita sendiri tidak mampu untuk merintis menjadi usahawan makanan muslim. Sekurang- kurangnya, kita dapat membantu golongan seagama kita berjaya dalam perniagaan sekaligus memperkembangkan makanan muslim yang halal lagi baik.
Seharusnya, kita mampu mengubah pola pemakanan ke arah yang lebih sihat mengikut kemampuan kita. Makanan itu dikatakan memenuhi ciri tayyib apabila ia selamat dimakan. Mungkin di kalangan kita tidak memperhalusi erti tayyib sebenar dan mengambil mudah tentangnya sebelum ini. Namun, kita boleh menanamkan niat agar kita menekankan soal keselamatan makanan yang merangkumi soal kebersihan dan keracunan makanan. Apabila ingin mengubah selera makan diluar, sebagai pengguna yang bijaksana perlulah memilih kedai yang bersih, halal dan selamat. Penyajian makanan juga tidak meragukan kita. Di dalam satu hadis, Anas Ibn Malik meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW membersihkan buah kurma terlebih dahulu sebelum makan. Ini menunjukkan walaupun buah kurma itu makanan yang segar, ia mungkin tercemar oleh debu atau benda- benda lain yang menyebabkan ia tidak elok untuk dimakan. Oleh itu, membasuhnya adalah salah satu cara untuk kita mengekalkan keselamatan makanan tersebut.

Dalam sudut lain mengenai pemakanan, kadang- kadang ramai di antara kita bimbang dengan penampilan saiz badan masing- masing terutamanya wanita. Mungkin ada di kalangan kita mengalami masalah kegemukan. Kegemukan bukan sekadar masalah lahiriah tetapi dari sudut kesihatan ia mungkin mendatang bahaya yang lebih besar iaitu penyakit berkaitan jantung. Ia amat membimbangkan kerana penyakit ini dapat membunuh manusia secara senyap tanpa disedari. Oleh itu, pemakanan yang sihat dapat menjamin bentuk badan yang cantik secara langsung kesihatan yang baik. Bagi yang memiliki bentuk badan yang tidak memuaskan, dengan gaya pemakanan yang seimbang dan senaman yang berkala dapat menurunkan berat badan kepada bentuk yang diingini. Oleh itu, tiket atas dasar kesihatan mungkin menjadi satu titik tolak untuk kita berusaha mencapai berat badan yang unggul dalam memperbaiki taraf kesihatan yang lebih baik. Dengan azam yang kental, kita dapat menterjemahkan impian kita kepada kenyataan.

Sewajarnya kita sendiri berusaha ke arah pemakanan yang sihat. Daripada bab pemilihan makanan halal dan baik, penglibatan dalam industri makanan halal sehinggalah kepada penyediaan sendiri makanan yang baik di rumah menjadi tanggungjawab setiap individu muslim. Ayuh, kita tanamkan niat agar kita sendiri menjadi seorang insan yang bertaraf tinggi, kesihatan yang baik dan terjamin untuk kesinambungan masyarakat pewaris beradab pada masa hadapan.
Soalan
‘Amalan Pemakanan Baik’ perlu diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat. Bincangkan rasional amalan ini dan langkah-langkah untuk menghindarkan penyakit dalam kalangan warga emas di negara-negara membangun.

Advertisements

PENGAJIAN AM STPM : LARAS SASTERA

Manfaat penganjuran temasya sukan
Oleh: SHAHRIL ANUAR ABDUL GHALIM (Utusan Malaysia 8/12/2007)
TIDAK dapat disangkal lagi bahawa sukan memainkan peranan penting dalam membentuk kesihatan tubuh yang paling berkesan. Tetapi fungsinya kini sudah jauh ke hadapan. Ia kini telah menjadi aset bagi sesebuah negara dalam mempelopori kemasyhuran.
Ini terbukti dengan tanggapan spontan jika seseorang itu ditanyakan soalan seperti, siapakah kuasa bola sepak dunia? Negara manakah yang mengungguli sukan bola keranjang, tenis, hoki, badminton atau sebagainya.
Ternyata sukan dapat membantu negara mengharumkan namanya di peringkat persada dunia. Malaysia juga kini lebih dikenali kerana pencapaian yang cemerlang dalam sukan badminton, skuasy dan hoki serta beberapa lagi jenis sukan.
Dari segi ekonomi, sukan juga telah membuka satu lagi hubungan erat di antara sukan, media dan syarikat pengiklanan.
Ini amat baik dari segi pertumbuhan ekonomi negara. Syarikat-syarikat televisyen berlumba- lumba untuk membuat liputan secara langsung sesuatu acara sukan dan tidak ketinggalan juga syarikat pengiklanan yang berlumba-lumba untuk menjadi penaja utama.
Bagi negara yang mempunyai rakyat pelbagai kaum seperti Malaysia, sukan dapat digunakan sebagai alat mengintegrasikan atau menyatupadukan masyarakat.
Kegiatan sukan yang melibatkan pelbagai kaum dan etnik menyediakan peluang untuk mereka senantiasa bekerjasama, saling memahami dan menyemai konsep saling perlu memerlukan di antara satu dengan yang lain.
Ini dapat memupuk semangat kesukanan yang kuat sesama mereka sekali gus mengeratkan lagi perpaduan dan mengikis aspek negatif ke arah keharmonian negara.
Jalinan politik antara negara juga dapat dikukuhkan dengan penganjuran pelbagai temasya sukan seperti Piala Dunia, Sukan Olimpik, Sukan Komanwel, Sukan SEA dan tak kurang juga temasya sukan di peringkat kebangsaan seperti Sukma yang telah pun berakhir beberapa bulan yang lalu. Jalinan dua hala dapat dibentuk dengan semangat sukan yang jitu.
Soal menang atau kalah bukanlah perkara yang menjadi tumpuan tetapi cuba kita selongkar kebaikan yang diperoleh daripada penyertaan sukan berkenaan.
Tetapi mungkin ada yang kurang bersetuju kerana ada pendapat yang mengatakan bahawa kemenangan adalah menjadi keutamaan dan penentu kejayaan sesuatu acara sukan.
Bagaimanapun kita juga tidak dapat lari daripada pendapat yang mengatakan bahawa biarlah kalah dalam pertandingan asalkan kita menang dalam pembangunan politik, ekonomi dan sosial.
Soalan
Penganjuran sukan merupakan suatu peluang yang diharap-harapkan oleh sesebuah negara termasuk negara kita. Banyak negara bersaing untuk mendapatkan hak tersebut lantaran manfaat yang boleh dijangkakan. Bincangkan penyataan ini.

DASAR HARTA INTELEK NEGARA

1. KENYATAAN DASAR

1.1 Tujuan utama Dasar Harta Intelek Negara (DHIN) adalah untuk memanfaatkan harta intelek (HI)sebagai enjin pertumbuhan yang baru untuk meningkatkan kemakmuran ekonomi dan sosial.

1.2 DHIN memberi fokus kepada memaksimumkan sumbangan HI dalam mempercepatkan pembangunan sosio-ekonomi dan teknologi dengan cara mewujudkan suasana yang menggalakkan penghasilan berterusan HI, menyediakan sistem perlindungan HI berpiawaian tinggi, memajukan pengeksploitan HI berpontensi komersil, memupuk pembangunan industri-industri sokongan dan membangunkan keupayaan sumbermanusia untuk melaksanakan dasar denganjayanya.

1.3 Pentingnya HI untuk pertumbuhan ekonomi telah lama disedari. Dalam ekonomi semasa yang berasaskan pengetahuan, HI adalah aset ekonomi berharga dan juga alat perniagaan kritikal yang boleh memberi daya saingan. Mungurus dan memanfaatkan HI secara strategik adalah cara untuk meningkatkan daya saingan jangka panjang negara dalam ekonomi pengetahuan.

2. RASIONAL DHIN

2.1 DHIN diperlukan sebagai panduan utama dalam menggubal undang-undang berkaitan dengan HI bagi melaksanakan semua aktiviti berkaitan dengan HI oleh agensi-agensi kerajaan,institusi-institusi penyelidikan, institusi-institusi pengajian tinggi, organisasi-organisasi bukan kerajaan dan sektor swasta dengan tujuan untuk memajukan penggunaan HI untuk pembangunan sosio-ekonomi dan teknologi. DHIN juga wajar digunakan sebagai panduan dalam penggubalan mana-mana dasar ekonomi atau sosial negara.
2.2 Dasar ini juga diperlukan untuk memudahkan pembentukan suasana yang menggiatkan dan memupuk ciptaan, perlindungan, penguatkuasaan,pengurusan dan pengeksploitan maksimum HI bertujuan pada akhirnya untuk membangunkan industri HI yang cergas sebagai pendorong pertumbuhan masa depan negara. Tujuannya ialah untuk menempatkan DHIN sebagai komponen penting dan bersepadu dasar ekonomi negara untuk meningkatkan daya saingan Malaysia.

2.3 Dasar ini juga perlu untuk memaju dan menanamkan budaya HI di kalangan masyarakat perniagaan dan juga orang awam. Tujuannya ialah untuk mewujudkan masyarakat yang menghargai HI sebagai aset ekonomi berharga serta menghormati hak-hak pemilik HI.

2.4 Dasar juga perlu untuk menyokong salah satu daripada objektif Akta Jaminan (Bill of Guarantees)Koridor Raya Multimedia (MSC) – untuk “menjadipemimpin rantau dalam perlindungan HI dan undang-undang siber.”, Dasar Bioteknologi Kebangsaan, Dasar Kepelbagaian Biodiversiti dan lain-lain dasar yang berkaitan dengan HI.

3. OBJEKTIF DHIN

3.1 Tahap Sistem Perlindungan HI Yang Terbaik
Membangunkan sistem perlindungan HI yangcekap dan berkesan untuk memastikan perolehan perlindungan dan hak-hak yang cepat dan mudah serta mekanisma penguatkuasaan yang cekap dan praktikal untuk menyediakan pembetulan dan penyelesaian pelanggaran-pelanggaran hak-hak HI dan juga untuk mencegah berlakunya pelanggaran.Dalam dunia hari ini di mana teknologi pesat berubah, perlindungan HI yang cepat dan mudah memberi pemilik kelebihan saingan yang lebih baik dan masa yang lebih panjang untuk mengeksploit HI yang dicipta dan memperolehi pulangan daripada daya usaha dan pelaburan mereka.Pemilik oleh itu digalak untuk membangunkan lagi HI dan mencipta yang baru. Daripada perspektif undang-undang, semua undang-undang dan peraturan-peraturan HI perlu memenuhi keperluan tempatan dan menunaikan piawaian yang ditetapkan oleh perjanjian dan konvensyen antarabangsa yang Malaysia sertai.

3.2 Memajukan Aktiviti-aktiviti Penghasilan HI
Memajukan aktiviti-aktiviti penghasilan HI dengan memberi fokus kepada pengurusan inovasi dan penyelidikan dan pembangunan yang lebih efektif di kalangan institusi-institusi penyelidikan,universiti-universiti, industri kecil dan sederhana(IKS) dan individu-individu dan juga dengan perolehan HI asing dalam bidang keutamaan tertentu. Untuk memajukan aktiviti-aktiviti penghasilan HI ini perlu diwujudkan suasana menggalakkan, suasana yang menyediakan insentif-insentif, geran-geran, pengurusan,kewangan, urusniaga, penguatkuasaan dan penyelesaian pertikaian.

3.3 Memajukan Pengeksploitan Komersil HI
Memajukan pengeksploitan komersil HI sebagai aktiviti utama penghasilan nilai yang diperlukan untuk pembangunan industri HI. Tujuan muktamad adalah untuk membangunkan industri HI yang giat dan penting bagi menjana pertumbuhan ekonomi Malaysia pada milenium baru ini.

3.4 Membangunkan Kemampuan Mengurus HI
Membangunkan kemampuan pengurusan HI yang mahir di sektor awam dan swasta, untuk meliputi keseluruhan rangkaian aktiviti-aktiviti HI daripada peringkat ciptaan kepada perlindungan,pengeksploitan, penilaian, pelesenan, perolehan,penguatkuasaan dan penyelesaian pertikaian.Kemampuan mengurus adalah amat penting kepada industri HI yang matang dan sofistikated.

3.5 Pembangunan Infrastruktur Urusniaga HI
Industri HI yang giat memerlukan pengwujudan industri sokongan yang sangat maju terutamanya dalam bidang urusan bank dan kewangan. Oleh ituperlu dikaji infrastruktur perniagaan, urusan bank dan kewangan berkaitan dengan urusniaga berdasarkan HI semasa dan masa depan,terutamanya perdagangan, pelesenan,pencagaran dan pensekuritian.

3.6 Perlindungan Kepentingan HI Negara
Menentukan kepentingan HI Malaysia dikawal diperingkat antarabangsa dengan memantau perkembangan HI di arena antarabangsa dan menyertai secara aktif dalam forum-forum antarabangsa yang membincang peningkatan perlindungan HI, isu-isu baru muncul dan cabaran-cabaran baru yang disebabkan oleh kemajuan pesat teknologi.

3.7 Pembangunan Sumber Manusia dan Kesedaran Awam
Memajukan pembangunan sumber manusia dengan tujuan membentuk sekumpulan pakar-pakar yang besar untuk pengurusan HI di semua peringkat rangkaian aktiviti-aktiviti HI, untuk urusniaga HI dan untuk pengeksploitan komersilHI. Adalah juga perlu untuk meningkatkan tahap kesedaran awam berkaitan dengan tujuan mengadakan sistem perlindungan HI, peranan penting HI dalam pembangunan sosio-ekonomi dan teknologi negara dan perlunya hak-hak eksklusif pemilik HI yang diberi oleh undang-undang diiktiraf dan dihormati. Pembangunan sumber manusia dan kesedaran awam boleh menyumbang kepada pengurangan pelanggaran hak dan menanam budaya HI.

3.8 Memajukan Pelaburan dan Pemindahan Teknologi Asing
Menggalakkan lebih banyak pelaburan dan pemindahan teknologi asing dengan member jaminan piawaian perlindungan HI tertinggi yang boleh meyakinkan pelabur-pelabur akan perlindungan HI yang dibawa ke Malaysia, peluang untuk memperolehi pulangan daripada pelaburan mereka dan adanya saluran-saluran perundangan untuk mendapat pembetulan dan penyelesaian kes-kes pelanggaran. Dengan adanya teknolog iasing, pemindahan teknologi yang diperlukan dapat digalakkan melalui perolehan, pelesenan,francais, dan lain-lain.

4. MATLAMAT DHIN

4.1 Peningkatan Kemakmuran Ekonomi dan Sosial
Matlamat utama DHIN adalah untuk meningkatkan kemakmuran ekonomi dan sosial masyarakat dengan mempergunakan HI sebagai enjin pertumbuhan ekonomi yang baru dengan cara memperluaskan kapasiti Malaysia untuk meningkatkan penghasilan, melindung dan menguatkuasakan dengan efektif, mengurus dengan baik dan memaksimumkan pengeksploitan komersil HI.

4.2 Memperkukuhkan Daya Saing Negara
Mengukuhkan daya saingan jangka panjang negara dengan cara membangunkan industri HI sebagai industri matang dan termaju yang menghasil, mengurus dan memperdagangkan HI.

4.3 Malaysia Sebagai Hab HI Terkemuka
Membangunkan Malaysia sebagai hab HI terkemuka di mana penghasilan nilai ekonomi daripada aktiviti-aktiviti perniagaan beasaskan HI memperkukuhkan keseluruhan prestasi ekonomi Malaysia. Dengan industri HI yang matang dan termaju Malaysia boleh menjadi pengeksport HI.

4.4 Penubuhan Budaya HI

Memaju dan menanamkan budaya HI di kalangan masyarakat perniagaan dan industri serta orang awam. HI perlu diterima sebagai aset penting dan berharga dalam pembangunan sosio-ekonomi negara dan sebagai pemangkin kepada kemajuan pengetahuan dan teknologi yang menentukan daya saingan jangka panjang negara. Sebagai aset berharga, HI perlu diurus secara efektif untuk menentukan ianya dilindungi, diperbangunkan selanjutnya dan potensi ekonominya dieksploitasi ke tahap maksima.

5. STRATEGI Strategi-strategi utama berikut boleh dilaksanakan bagi tujuan mencapai objektif-objektif yang telah ditetapkan:

5.1 Tahap Sistem Perlindungan HI Yang Terbaik Pembangunan sistem perlindungan HI yang cekap dan berkesan memerlukan strategi-strategi berikut:

i) Memperkukuhkan pentadbiran HI Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) untuk menghadapi peningkatan tahunan permohonan pendaftaran dan keperluan pelanggan dan juga untuk menyediakan prosidur-prosidur permohonan yang mudah dan pendaftaran yang segera, garis panduan pendaftaran yang jelas, kemudahan carian awam yang berkualiti dan sistem penyebaran maklumat yang berkesan.

ii) Sentiasa mengemaskini undang-undang dan peraturan-peraturan untuk selaras dengan perkembangan antarabangsa, cabaran-cabaran baru dan isu-isu baru.

iii) Membina keupayaan untuk mewujudkan sekumpulan sumber manusia yang besar danmahir dalam pendaftaran dan penguatkuasaan HI.

iv) Mengukuhkan agensi-agensi penguatkuasaan Kerajaan yang menguatkuasakan pelanggaran Akta Perihalan Dagangan 1972,Akta Cakera Optik 2000, Akta Hakcipta 1987,Akta Paten 1983, Akta Hakcipta 1987, AktaReka Bentuk Perindustrian 1996,
Akta Reka Bentuk Susun Atur Litar Bersepadu 2000 danAkta Petunjuk Geografi 2000.

v) Menubuhkan Mahkamah HI untuk mempercepatkan pendengaran kes-kes berkaitan dengan HI serta system penyelesaian pertikaian alternatif.

5.2 Memajukan Aktiviti-aktiviti Penghasilan HI Memajukan aktiviti-aktiviti penghasilan HImemerlukan strategi -strategi berikut:

i) Tahap sistem perlindungan HI terbaik yang menjamin perolehan perlindungan dan hak-hak yang segera dan mudah dan membolehkan pemilik mendapat kelebihan daya saingan yang lebih baik dan memperolehi pulangan daripada daya usahadan pelaburan mereka.

ii) Pusat Sumber MyIPO yang pro-aktif untuk menyedia dan menggalakkan penggunaan oleh industri-industri dan individu-individu terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan data paten dan reka bentuk yang berharga dan mengandungi maklumat mengenai rekacipta terbaru atau teknologi terkini dalam dunia serta tren dunia dalam bidang teknologi tertentu.

iii) Mewujudkan suasana menggalakkan yang menyediakan insentif-insentif, geran-geran, kewangan, pengurusan, urusniaga,penguatkuasaan dan penyelesaian pertikaian.

iv) Memperbesarkan tabung HI nasional dengan memajukan dan memberi fokus kepada penciptaan dalam Malaysia.

v) Memperolehi HI asing dalam bidang priority tertentu dan juga menggalakkan usaha-usaha niaga (ventures) asing yang intensif dalam HI supaya membawa HI mereka ke Malaysia.

vi) Memupuk kerjasama dan perkongsian bijak antara sektor kerajaan dan sektor swasta danantara institusi-institusi penyelidikan dan industri-industri.

vii) Memajukan penyebaran hasil penyelidikandan pembangunan.

5.3 Memajukan Pengeksploitan Komersil HI Memajukan pengeksploitan komersil HImemerlukan strategi – strategi berikut:

i) Mengambil kesempatan tabung HI sedia ada dan memperolehi nilai komersil yang lebih tinggi.

ii) Mengenal pasti pencipta-pencipta HI di Malaysia dan memupuk kemajuan mereka supaya perolehan nilai HI dimaksimumkan. iii) Menyokong IKS, syarikat-syarikat usaha niaga dan individu-individu terlibat dalam pengeksploitan komersil HI.

iii) Mempergiatkan aktiviti-aktiviti keusahawanan dengan memberi fokus kepada pengeksploitan HI yang berdaya majukomersil.

iv) Mewujudkan suasana perniagaan bagi menggalakkan perusahaan-perusahaan tempatan dan asing menempatkan keseluruhan, jika tidak sebahagian besar daripada rangkaian nilai HI mereka diMalaysia.

v) Memajukan kaedah-kaedah penilaian dan peraturan-peraturan-peraturan kontrak dan pelesenan yang sesuai untuk memudahkan pengeksploitan komersil HI. vi) Memajukan pelepasan hak-hak HI yang tidak dieksploitasi oleh kerajaan atau syarikat-syarikat besar kepada IKS dan individu-individu untuk pengeksploitan komersil melalui pelesenan atau serahhak.

5.4 Pembangunan Kemampuan Mengurus HI Memajukan pembangunan kemampuan mengurus memerlukan strategi-strategi berikut:

i) Membangunkan sekumpulan pakar-pakar mahir di semua peringkat rangkaian aktiviti-aktiviti HI.

ii) Menggalakkan sektor awam dan sector swasta supaya mengurus baik HI yang dimiliki dengan menyediakan garis panduan atau buku panduan yang jelas.

iii) Menggalakkan pemilik-pemilik HI seperti usaha-usaha niaga asing mengguna Malaysiasebagai hab HI.

iv) Mengulangkaji undang-undang dan peraturan-peraturan sedia ada dan juga amalan-amalan perniagaan supaya memperbaiki pengurusan dan pengeksploitan HI di sektor awam dan sektor swasta.

5.5 Pembangunan Infrastruktur Urusniaga HI Membangunkan infrastruktur urusniaga HI memerlukan strategi-strategi berikut:

i) Mengulangkaji undang-undang dan peraturan-peraturan sedia ada berkaitan dengan undang-undang syarikat, peraturan sekuriti dan undang-undang urusan bank dan kewangan secara am untuk menjamin infrastruktur perniagaan, urusan bank dan kewangan boleh memudahkan urusniaga beasaskan HI.

ii) Menggalakkan sektor urusan bank dan kewangan membangunkan surat-cara urusan bank dan kewangan berasaskan HI bagitujuan pencagaran dan pensekuritian aset HI.

iii) Mewujudkan Bursa HI bagi menggiatkan perdagangan HI dan untuk membangun pasaran lebih cair untuk perdagangan HI.

iv) Mengulangkaji undang-undang dan amalan pernigaan sedia wujud dengan tujuan meningkatkan suasana perniagaan untuk membiayai pelaburan-pelaburan berasaskan HI termasuk penubuhan badan pembiayaan HI yang khusus.

5.6 Perlindungan Kepentingan HI Negara
Melindung kepentingan HI Malaysia memerlukan strategi-strategi berikut:

i) Memantau pembangunan dan kemajuan HI diperingkat antarabangsa.

ii) Menyertai secara aktif forum-forum antarabangsa yang membincang peningkatan perlindungan HI, isu-isu baru muncul dan cabaran akibat kemajuan teknologi.

iii) Membentuk pendirian nasional mengenai isu-isu penting setelah berbincang dengan agensi-agensi dan organisasi-organisasi berkenaan di sektor awam dan sektor swasta.

5.7 Pembangunan Sumber Manusia dan Kesedaran Awam
Memajukan pembangunan sumber manusia dan kesedaran awam mengenai HI memerlukan strategi-strategi berikut:

i) Penubuhan Institut HI Negara untuk menyediakan program latihan HI yang khusus seperti perolehan hak-hak, penguatkuasaan,penyelesaian pertikaian, pengurusan,penilaian dan pelesenan dan juga kesedaran am.

ii) Memperkenalkan mata pelajaran HI dalam sistem pendidikan formal di sekolah-sekolah rendah dan menengah dan institusi-institusi pengajian tinggi.

iii) Mengendalikan program kesedaran awam secara berterusan dan tetap yang member fokus kepada kumpulan-kumpulan sasaran khusus dan juga orang awam amnya.

iv) Menyebarkan maklumat mengenai HI melalui media massa, penerbitan, dll.

v) Mengadakan seminar-seminar, bengkel-bengkel, ceramah-ceramah, wawancara-wawancara dan kempen-kempen awam. vi) Menyertai pameran-pameran yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna atau lain-lain agensi awam dan swasta.

5.8 Memajukan Pelaburan dan Pemindahan Teknologi Asing Memajukan pelaburan dan pemindahan teknologi asing memerlukan strategi-strategi berikut:

i) Tahap sistem perlindungan HI terbaik yang menjamin perlindungan hak-hak HI,memastikan pelabur-pelabur berpeluan memperolehi pulangan daripada pelaburan

ii) mereka dan menyediakan saluran undang-undang untuk mendapat pembetulan dan penyelesaian pelanggaran.

iii) Memudahkan industri tempatan memperolehi HI asing yang diperlukan melalui pelesenan,francais dan lain-lain.

6. PENUTUP

HI adalah aset strategik utama dan pengeksploitannya yang efektif adalah satu daripada kunci untuk meningkat kemakmuran ekonomi dan sosial Malaysia.Pelaksanaan DHIN yang berkesan dan berjaya adalahsatu daripada langkah kritikal untuk mendorong daya saing negara Malaysia dan untuk membolehkan Malaysia akhirnya menjadi negara maju.

Soalan
Pembangunan dan pengkomersialan harta intelek semakin penting dalam era globalisasi masa kini. Sumbangan harta intelek kepada pertumbuhan ekonomi sesebuah negara adalah besar. Bincangkan kesan pembangunan aktiviti ini dan langkah-langkah yang sesuai dilaksanakan agar usaha ini mendatangkan kebaikan.

Skema 2+2
Jawapan
A. Kesan positif
1. Pertumbuhan ekonomi
2. Menggalakkan penciptaan
3. Meningkatkan imej Negara
4. Hubungan baik dalam perniagaan
B. Langkah Mengatasi
1. Dasar Kerajaan (Dasar Harta Intelek Negara)
2. Penguatkuasaan Undang-Undang
3. Pendidikan etika perniagaan sihat