PENGAJIAN AM STPM : HUTAN (FLORA)

1.0 PENGENALAN
Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan sumber alam semulajadinya.Hutan adalah salah satu daripada sumber alamnya.Ia dikenali sebagai Hutan Hujan Tropika.Hutan hujan tropika di Semenanjung Malaysia adalah hutan yang tertua di dunia yang mana ia hanya boleh ditemui di kawasan Khatulistiwa.

Malaysia beruntung kerana mempunyai kawasan-kawasan hutan asli.Sebagaimana yang diketahui hutan hujan tropika di Semenanjung Malaysia mempunyai ekosistem yang kompleks.Ia sangat penting kepada kehidupan flora dan faunanya yang pelbagai jenis.Hutan bukan sahaja menyediakan berbagai keperluan asas kepada kehidupan flora dan fauna yang wujud di dalamnya, bahkan ia turut menyediakan pelbagai keperluan kepada kehidupan manusia.
Berdasarkan kepada penemuan fakta dan bukti-bukti botani, manusia telah bergantung hidup pada hutan sejak zaman purba lagi.Di peringkat itu, manusia hidup di dalam hutan dan menjadikan hutan sebagai sumber makanan untuk meneruskan penghidupan mereka.Manusia hidup sebagai pemburu, memburu binatang dan mengumpul makanan daripada tumbuhan serta menjadikan gua-gua batu kapur sebagai tempat kediaman.Jelas di sini, hutan sangat berguna dan berperanan dalam kehidupan manusia.Untuk melihat kegunaan dan peranan hutan terhadap manusia, tajuk-tajuk seterusnya akan membincangkan dengan lebih lanjut lagi.
2.0 KEGUNAAN DAN PERANAN HUTAN TERHADAP MANUSIA
2.1 Hutan sebagai Sumber Bahan Mentah
Hutan merupakan tempat asal kebanyakan daripada tanaman makanan manusia dan haiwan.Hutan hujan tropika di Semenanjung Malaysia adalah habitat asal beberapa pokok buah-buahan tempatan seperti durian (Durio sp.), manggis (Garcinia mangostana), tampoi (Baccaurea griffthii) dan rambutan (Nephelium lappaceum).Pada asalnya buah-buahan ini hanyalah merupakan sumber karbohidrat bagi kaum orang Asli dan masyarakat tempatan.Tetapi kini, ia mula menjadi salah satu daripada keluaran hutan yang diperdagangkan.Buah-buahan ini, telah dikomersilkan dan ini sekaligus membantu ekonomi manusia.
Selain daripada itu, hutan juga merupakan gedung yang penuh dengan pokok-pokok yang mempunyai nilai-nilai perubatan.Campuran bahan kimia penting yang terdapat pada tumbuh-tumbuhan telah menghasilkan bahan yang boleh dijadikan ubat.Contohnya, ubat anti-Malaria dan quinine telahpun ditemui dan terbukti mujarab.Di samping itu, terdapat juga sumber-sumber yang mempunyai nilai dagangan yang tinggi seperti damar, resin, pencelup (dyes) dan sebagainya.Hasil penemuan penyelidikan yang terbaru ialah minyak pokok keruing gondol (Dipterocarpus kerrii) sebagai bahan asas dalam pemprosesan minyak wangi tempatan.

Spesies durian (Durio sp.) merupakan tumbuhan asal dari hutan Sumber kayu-kayan yang bermutu tinggi
2.2 Hutan sebagai Sumber Kayu-kayan
Hutan hujan tropika di Semenanjung Malaysia mempunyai berbagai spesies pokok-pokok balak komersil negara seperti merbau, bitis, nyatoh dan kempas yang bernilai tinggi.Kewujudan berbagai spesies tumbuhan pokok di kawasan hutan jelas menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai bekalan sumber kayu-kayan yang banyak.
Satu bancian telah dijalankan di kawasan hutan dipterokarpa pamah seluas 10 hektar di Hutan Simpan Pasoh, Negeri Sembilan.Berdasarkan kajian ini, terdapat sebanyak 473 spesies pokok yang berdiameter lebih daripada 10cm ukuran pada paras dada.Ini tidak termasuk pokok-pokok kecil, herba, palma, paku-pakis dan tumbuhan lain.Kepelbagaian flora dan spesies kayu-kayan telah telah membolehkan industri yang berasaskan kayu-kayan berkembang dengan lebih pesat lagi.Sektor perhutanan dan industri kayu-kayan ini telah membangunkan sosio-ekonomi negara dari segi pendapatan pertukaran asing, hasil kerajaan, pelaburan dan pekerjaan.
2.3 Hutan sebagai Habitat Tumbuhan, Haiwan dan Serangga
Hutan hujan tropika di Semenanjung Malaysia merupakan habitat yang sesuai untuk tumbuhan, haiwan dan serangga.Ini dapat dilihat dengan jelas kerana terdapat lebih daripada 8000 spesies tumbuhan berbunga telah direkodkan.2500 daripadanya adalah jenis berpokok.Manakala haiwan pula, terdapat sejumlah 200 spesies mamalia dan 600 spesies burung,115 spesies ular, 80 spesies katak dan 80 spesies cicak.Jumlah ini jauh lebih besar jika dibandingkan dengan hanya 470 spesies yang terdapat di seluruh Eropah.Manakala serangga pula adalah komuniti haiwan terbesar di hutan hujan tropika.Kumpulan serangga ini sesetengahnya mengandungi lebih daripada 1000 spesies (Whitemore 1984).Hutan merupakan pembekal makanan secara langsung atau tidak langsung kepada haiwan dan serangga.Sekiranya hutan dimusnahkan, maka ini akan menyebabkan kehilangan spesies-spesies flora dan fauna ini.
2.4 Hutan sebagai Kawasan Tadahan Air
Air amat penting dalam kehidupan seharian manusia.Oleh itu, sekiranya hutan dimusnahkan ia akan menjejaskan sumber air yang diperlukan oleh manusia.Ini kerana hutan adalah kawasan tadahan air.Air berpunca dari hujan.Air hujan akan diserap oleh hutan yang berfungsi sebagai bunga kerang (sponge) yang berongga, seterusnya dialirkan perlahan-lahan ke dalam anak-anak sungai.Hutan juga bertindak sebagai penapis dalam menentukan kebersihan dan kejernihan air.

Selain daripada itu, hutan berperanan sebagai “regulator” air dan mengawal kadar alirannya.Contohnya silara pokok hutan boleh menyerap air hujan antara 20% hingga 28% yang mana sebahagian besarnya akan kembali ke atmosfera melalui sejatan pepeluhan.Kemusnahan hutan akan menyebabkan air hujan terus mengalir ke sungai-sungai dan akhirnya mengakibatkan banjir kilat secara tidak langsung akan mendatangkan bencana kepada manusia.

2.5 Hutan mengawal Hakisan Tanah
Hutan bertindak sebagai penutup bumi semulajadi serta melindungi tanah-tanih daripada hakisan air dan angin.Keupayaan ini mengelakkan butir-butir tanah daripada pecah dan dihakis oleh air.Manakala pokok-pokok pula berfungsi sebagai pengikat dengan cara mencengkam tanah-tanih dengan akarnya.Berdasarkan kepada keupayaan ini, hutan dapat memelihara kualiti alam sekitar daripada dicemari dan mencegah kejadian-kejadian buruk seperti banjir kilat yang boleh merosakkan harta benda serta mengancam nyawa manusia.
2.6 Hutan mengawal Kestabilan Cuaca
Hutan amat mempengaruhi cuaca.Oleh itu, pemusnahan kawasan hutan hujan tropika akan memberi kesan terhadap cuaca.Ini berlaku kerana kurangnya penukaran karbon dioksida kepada organik karbon di udara.Semasa proses fotosintesis, tumbuhan menyerap karbon dioksida dan mengeluarkan oksigen.
Manakala proses karbonisasi pula, haiwan dan manusia akan menggunakan oksigen dan mengeluarkan karbon dioksida ke udara.Jika kedua-dua proses ini dapat diseimbangkan,keadaan cuaca akan dapat distabilkan.Begitulah sebaliknya.
Saintis telah membuat ramalan bahawa pemekatan karbon dioksida di udara akan mengakibatkan pemanasan dunia (global warming effect).Inilah yang sedang berlaku sekarang.Cuaca di dunia semakin panas dan lapisan ozon di atmosfera semakin nipis.Kehadiran gas-gas seperti karbon dioksida, Chlorofluorocarbons (CFC), methene, tropospheric ozone dan nitrid oksida telah menyekat pelepasan tenaga sinaran daripada permukaan bumi dan menyebabkan suhu meningkat.Fenomena ini dikenali sebagai “kesan rumah hijau”.
3.0 PENGARUH MANUSIA TERHADAP KOMPONEN-KOMPONEN EKOSISTEM
Manusia memainkan peranan yang sangat penting di dalam mempengaruhi evolusi flora dan fauna selain daripada merubah komponen ekosistem hutan di sepanjang hayatnya.Pengaruh paling nyata yang dilakukan oleh manusia ialah aktiviti-aktiviti pembalakan dan pertanian yang tidak terkawal yang mengakibatkan hakisan kepada tanah.Ini secara tidak langsung akan memusnahkan pelbagai spesies flora dan fauna selain daripada mengubah sistem aliran air di muka bumi.
Di samping itu, hutan yang terdedah kepada aktiviti-aktiviti manusia telah mempengaruhi ciri-ciri hawa dalam ekosistem hutan.Pertambahan penduduk yang meningkat dari masa ke semasa memerlukan ruang-ruang hutan yang lebih luas untuk diterokai dan dieksploitasikan.Ini akan mengubah sistem kehidupan dan ekosistem hutan dan alam sekitar itu sendiri.
Selain daripada itu, pembunuhan binatang secara haram juga turut mempengaruhi komponen-komponen ekosistem.Aktiviti ini semakin berleluasa dan sukar untuk dibendung.Ini adalah akibat permintaan yang tinggi terhadap binatang-binatang ini untuk dikomersilkan.Bahagian-bahagian tertentu yang terdapat pada binatang-binatang seperti kulit, gading dan sebagainya amat berguna untuk dijadikan barangan-barangan yang bernilai.Contohnya pembuatan sebuah beg tangan atau sepasang kasut kulit.Ini sudah tentulah akan mengorbankan binatang-binatang yang sekaligus akan menyebabkannya pupus.
Akhir sekali, manusia turut berperanan dalam mempengaruhi kepelbagaian biologi dan perubahan yang terjadi terhadap haiwan, tumbuhan dan organisma-organisma mikro ‘biodiversity’ yang terdapat di hutan.Ini termasuklah pengaruh terhadap baka (genetik), spesies tumbuhan dan haiwan serta habitat di hutan.Hampir kesemua ini mempunyai potensi yang besar untuk menghasilkan baka-baka bermutu tinggi menerusi sistem kacukan spesies-spesies hutan, samada haiwan, ikan, unggas dan tanaman dengan spesies-spesies ternakan atau tanaman tempatan.Contohnya selembu atau durian.
Sistem ini dapat menambah sumber makanan kepada manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan baja hijau untuk tanaman pertanian.Namun demikian, kemusnahan hutan yang terjadi masa kini telah mengurangkan peluang-peluang bagi memperbaiki pengeluaran tanaman dan ternakan yang sedia ada.
4.0 KESIMPULAN
Hutan hujan tropika di Semenanjung Malaysia sememangnya menyediakan pelbagai keperluan asas kepada kehidupan manusia dan haiwan.Daripada sumber air dan makanan, hinggalah bahan-bahan untuk menyediakan kediaman.Walau bagaimanapun akibat daripada eksploitasi yang tidak dikawal dengan sewajarnya menjadikan kawasan hutan semakin berkurangan.Ini memberikan kesan terhadap perubahan alam sekitar dan kehidupan flora dan fauna.
Masyarakat sepatutnya lebih prihatin dan bertanggungjawab memelihara hutan kerana sekiranya kawasan hutan ini dimusnahkan, ia akan menjejaskan sistem penampungan penghidupan bersumberkan hasil hutan yang sedia ada.Kita tidak seharusnya mengabaikan masalah-masalah yang sedang mengancam kawasan hutan.Hutan tidak boleh dimusnahkan semata-mata untuk mengaut keuntungan jangka pendek.
Oleh yang demikian itu, sebagai warganegara Malaysia yang mempunyai rasa tanggungjawab kita hendaklah sentiasa melindungi hutan kita daripada dicerobohi secara tidak wajar.Sesungguhnya manusia dan hutan mempunyai kaitan yang erat dan kuat.

Advertisements

PENGAJIAN AM STPM : TEKNOLOGI SATELIT

Memahami Teknologi Satelit

Satelit sebagai penghubung komunikasi
Analisis misi satelit adalah penting kerana ia memastikan misi satelit ditepati. Analisis yang selalu dilakukan adalah seperti analisis orbit yang diperlukan untuk menetapi misi satelit, analisis sistem beban bayar dan analisis bus satelit. Ia selalu dilakukan oleh jurutera aeroangkasa. Secara khususnya, satelit melibatkan komponen seperti;
Payloads atau beban bayar yang dapat menentukan misi satelit.
Ia terdiri daripada sistem penderiaan jauh, sistem komunikasi dan kajian sains angkasa;

Penderiaan jauh (remote sensing)
Penderiaan jauh adalah sistem untuk mengimbas permukaan bumi membabitkan pemerolehan maklumat untuk tujuan pemetaan;

Sistem Komunikasi Satelit
Melibatkan sistem perhubungan yang menggunakan satelit sebagai penghubung antara dua (atau lebih) titik komunikasi di bumi dan terdiri daripada reka bentuk sistem komunikasi dan pengoperasian stesen bumi oleh jurutera komunikasi dan elektrik/elektronik.

Kajian Sains Angkasa
Merupakan pakej saintifik yang kajiannya diadakan di angkasa lepas dan melibatkan saintis dalam bidang sains fizik.

Bas Satelit (Satellite Bus)
Ia melibatkan pelantar satelit itu sendiri, iaitu terdiri daripada struktur satelit dan subsistem satelit yang perlu kepakaran yang khusus.

Melibatkan struktur yang memerlukan kepakaran dalam reka bentuk, analisis, ujian dan pembuatan. Bidang-bidang yang diperlukan adalah:

• Jurutera aeroangkasa dalam reka bentuk, analisis, ujian dan penggunaan bahan logam dan bukan logam yang sesuai untuk misi satelit.
• Jurutera bahan dalam penggunaan bahan logam (seperti aluminium dan lain-lain) dan bukan logam (seperti komposit).
• Jurutera awam dalam analisis struktur.
Subsistems melibatkan;

Kuasa (Power)
Subsistem kuasa memerlukan kepakaran dalam reka bentuk, analisis, ujian dan pembuatan. Bidang-bidang yang diperlukan adalah;
• Jurutera aeroangkasa dan jurutera kuasa dalam reka bentuk, analisis, ujian dan penggunaan teknologi kuasa seperti sel suria dan bateri yang sesuai untuk misi satelit.
• Jurutera aeroangkasa dalam mereka bentuk sistem kuasa misi, iaitu kaedah penggunaan kuasa semasa satelit mengorbit bumi.
• Jurutera elektrik dan elektronik untuk membangunkan litar yang mengawal penjanaan kuasa dan penggunaan kuasa, termasuk pengaturcaraan dan algoritma yang sesuai.
• Saintis dalam bidang fizik untuk mengkaji bahan-bahan dalam pembuatan sel suria yang terkini.
Penentuan Sikap dan Kawalan
Subsistem ADCS memerlukan kepakaran dalam reka bentuk, analisis, ujian dan pembuatan.
• Sistem penentuan sikap seperti penderia matahari (sun sensor), penderia bumi (earth sensor), magnetometer dan penderia bintang (star sensor).
• Sistem kawalan sikap seperti magnetork (magnetorque), roda tindakbalas (reaction wheel), sistem pendorong (propulsion system) dan lain-lain.
• Kawalan Haba Subsistem kawalan haba memerlukan kepakaran dalam reka bentuk, analisis, ujian dan pembuatan sistem-sistem kawalan haba sama ada aktif atau pasif di angkasa. Bidang-bidang yang diperlukan adalah;
• Jurutera aeroangkasa untuk reka bentuk, analisis, ujian dan penggunaan teknologi kawalan haba yang sesuai untuk misi satelit.
• Jurutera mekanikal, dan jurutera bahan untuk membangunkan bahan-bahan terkini yang boleh digunakan untuk mengawal haba.
• Saintis dalam bidang fizik
Kawalan Telemetri & Telekomunikasi (TT&C)
Sistem TT&C satelit adalah sistem perhubungan yang menghantar maklumat kesihatan satelit (satellite health) dan pengawalan (control) satelit. Ia terdiri daripada;
• Reka bentuk sistem komunikasi yang akan dibuat oleh jurutera. aeroangkasa dan jurutera komunikasi.
• Pengoperasian stesen bumi oleh jurutera komunikasi.
• Sistem pendorong satelit adalah sistem pendorong dan kawalan satelit. Ia terdiri daripada;
• Reka bentuk sistem pendorong yang akan dibuat oleh jurutera aeroangkasa dan jurutera mekanikal.
• Bahan pembakarnya pula akan dijalankan oleh jurutera aeroangkasa, jurutera kimia, jurutera mekanikal dan saintis dalam bidang sains kimia.
Data Arahan dan Pengendalian Sistem ini merupakan sistem pengoperasian satelit yang mengawal semua subsistem dan beban bayar satelit. Ia akan memerlukan kepakaran jurutera aeroangkasa, jurutera elektronik, jurutera komputer dan pakar pengaturcaraan (programmer) untuk mereka bentuk sistem pemproses komputer dan menulis program dan algoritma yang sesuai.

Teknologi pelancar Ia berkaitan dengan pemilihan pelancar untuk melancarkan satelit ke angkasa. Ia selalu dilakukan oleh jurutera aeroangkasa.

Aplikasi/Penggunaan Teknologi Satelit
Untuk melihat penglibatan kerjaya dalam penggunaan teknologi satelit, terdapat dua kategori, iaitu;

Penderiaan Jauh
Penderiaan jauh adalah sistem untuk mengimbas permukaan bumi di mana maklumat yang diperolehi akan digunakan untuk pemetaan, perancangan, pertanian dan pembuat keputusan.

Komunikasi Satelit
Sistem komunikasi satelit adalah sistem perhubungan yang menggunakan satelit sebagai penghubung antara dua (atau lebih) titik komunikasi di bumi.

Satelit Tempatan

MEASAT-1
Dilancarkan pada 13 Januari 1996 di Kourou, French Guaiana. Ianya menyediakan aplikasi khas iaitu perkhidmatan ‘terus ke rumah’ dalam iklim hujan dan tropika serta isyarat tinggi untuk memancarkan program televisyen di negara ini, sama ada di kawasan bandar atau luar bandar.

MEASAT-2
Dilancarkan pada 13 November tahun yang sama di Kourou, French Guianan. Kesinambungan kepada siri gemilang negara dalam dunia komunikasi satelit. Seperti juga MEASAT-1, MEASAT-2 merupakan sistem satelit komunikasi dua pesawat putar distabil berkuasa tinggi HS376 yang dibina oleh syarikat Hughes Space and Communications Inc. dari Amerika Syarikat. Perkhidmatannya memberi kesan dalam tiga bidang utama iaitu komunikasi, maklumat dan pembaharuan kepada industri hiburan.

TiungSAT-1
Dilancarkan pada 26 September 2000. Pemantauan TiungSAT-1 dari stesen bumi di negara ini, dijalankan sepasukan empat jurutera dari stesen bumi yang ditempatkan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. Mampu merakamkan imej muka bumi menggunakan empat kamera pelbagai guna dengan resolusi 80 meter.

MEASAT-3
Dilancarkan 12 Disember 2006 di Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan. Direka bentuk dengan objektif untuk menyediakan landasan transmisi satelit serba guna yang paling berkuasa dan paling berpotensi dari segi komersial.

RazakSat
Dijadualkan dilancarkan antara 31 Ogos hingga 16 September 2008 bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan dan pembentukan Malaysia. Pusat Angkasa Negara akan berfungsi sebagai stesen bumi yang akan menerima data satelit berkenaan selepas ia berada di angkasa lepas.

RazakSAT seberat 180 kilogram telah melalui dua fasa pembinaan iaitu model kejuruteraan dan model kelayakan. Ia mampu menghasilkan imej pankromatik dengan resolusi 2.5 meter dan imej panca spektra lima meter.
Kedua-dua ciri ini antara lain akan digunakan untuk melakukan pemetaan prasarana, memantau laluan perkapalan, melakukan pemetaan geologi dan memantau ekosistem marin.
RazakSAT akan ditempatkan 600 kilometer (km) atau 700 km dari bumi dalam kedudukan Orbit Hampir Khatulistiwa (NEO).
Satelit itu mempunyai kemampuan pencerapan ke bumi sejauh 600 km dari angkasa dan berupaya memantau sebarang bentuk penerokaan hutan secara berleluasa menerusi penghantaran imej yang lebih kerap berbanding TiungSAT-1.
Selain berupaya memantau sebarang aktiviti alam sekitar lain termasuk cuaca dan iklim, RazakSAT juga boleh mengesan objek setinggi 2.5 meter iaitu bersaiz sebuah bas atau lori.

PENGAJIAN AM STPM : KEPELBAGAIAN BIODIVERSITI

BYLINE: Rencana- Siti Mariam Md. Zain
KETUA Taman-taman dan Projek-projek Khas Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Andrew J. Sebastian berkata, jika tujuh keajaiban dunia boleh ditambah menjadi lapan, beliau tidak teragak-agak meletakkan nama Malaysia dalam kategori itu.
Ini kerana mengikut pendapatnya, sebagai sebuah di antara 12 negara mega biodiversiti yang menguasai 75 peratus daripada spesies hidupan hutan dan laut yang terdapat di dunia, Malaysia tidak syak lagi wajar menerima pengiktirafan tersebut.“Bayangkan dengan usia hutan hujan kita yang dianggarkan 200 juta tahun, tentunya terdapat pelbagai hidupan yang sehingga kini masih terus menjadi misteri,” katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
Jelas Andrew, di samping binatang dan haiwan liar, hutan hujan kita juga dihuni oleh 15,000 spesies tumbuhan berbunga selain turut menjadi tumpuan 736 spesies burung, 150,000 spesies invertebrat (binatang atau haiwan tanpa tulang belakang), 4,000 spesies ikan laut, 449 spesies ikan air tawar dan beberapa jenis batu karang. Malangnya, khazanah di hutan dan lautan yang begitu berharga di sekeliling kita, gagal dihayati oleh kita sendiri.Kemusnahan hutan atas nama pembangunan, pencemaran laut dan sikap tidak bertanggungjawab kita yang memilih membuang sampah merata-rata, adalah antara `sumbangan’ yang hanya akan melenyapkan nama Malaysia dalam senarai impian.
Memperkatakan tentang khazanah alam ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri beberapa kali menegaskan, betapa perlunya semua pihak menyedari tanggungjawab menjaga kestabilan biodiversiti yang tidak ternilai harganya. Malah ketika melancarkan Dasar Bioteknologi Negara (DBN), Abdullah berkata, ia menandakan permulaan era baru yang cukup bermakna dalam usaha kerajaan menggunakan kekayaan biodiversiti negara melalui pendekatan sains dan teknologi. Sewajarnya isu pembangunan seimbang seperti yang diutarakan oleh Perdana Menteri yang mahu agar alam sekitar diberi perhatian dan tidak dimusnahkan semata-mata untuk mencari keuntungan seharusnya dipandang serius.
Berkesan
Namun satu soalan yang sering menjadi pertanyaan ialah adakah kita benar-benar menjaga hutan dan alam sekitar? Sejauh manakah kita berusaha melindungi kawasan-kawasan ini daripada dirosak atau dimusnahkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab terutamanya mereka yang hanya bertuhankan wang ringgit?
Menurut Andrew, kesedaran itu tidak wujud sebenarnya kerana negara langsung tidak mempunyai `sistem pembesar suara’ yang dapat melarang pihak-pihak berkenaan melakukan perkara-perkara tersebut. “Kita ada kawalan undang-undang malangnya sehingga kini ia gagal dilaksanakan dengan berkesan,” katanya kesal. Kekesalan seperti yang ditunjukkan oleh Andrew bukan suatu perkara baru.
Sebelum ini kita juga sering terdengar malah turut marah dengan tindakan golongan yang hanya mengejar keuntungan semata-mata. Malangnya, marah itu tidak kekal lama. Mungkin sikap kita yang `hangat-hangat tahi ayam’ merupakan faktor penyumbang kepada kemusnahan alam sekitar yang kian membimbangkan kebelakangan ini. Kemusnahan alam sekitar yang menjadi nadi kehidupan kepelbagaian biodiversiti di negara ini, secara sedar atau tidak juga membawa mudarat kepada kita semua.
Jika hutan ditebang, bukan sahaja tumbuhan, serangga, haiwan atau binatang liar yang menjadi mangsa malah ia turut mengganggu sumber atau bekalan air akibat pengaliran takungannya yang terganggu. Di Kedah, hal ini pernah menjadi isu apabila hasrat kerajaan negeri memberi konsesi balak kepada sebuah syarikat swasta mendapat tentangan walaupun kaedah yang dipilih – pembalakan helikopter dikatakan mampu mengurangkan kadar pencemaran air empangan di kawasan terbabit.
Walaupun hutan yang dimaksudkan sehingga hari ini masih `selamat,’ namun tanpa kesedaran, orang seperti Andrew melihat keselamatannya tetap tidak terjamin. Sambil memberi contoh satu lagi kawasan `selamat’ yang mungkin hanya menunggu masa untuk `diterokai,’ katanya, adalah satu kerugian besar jika keaslian kawasan-kawasan berkenaan yang kaya dengan khazanah alam fauna dan flora dibiarkan musnah demi keuntungan jangka pendek.“Satu-satunya paya air tawar yang tinggal di Johor sehingga kini masih dapat dipertahankan, tetapi sampai bila?” soalnya. Menyingkap perasaannya lebih lanjut, Andrew mengaku beliau agak hairan dengan sikap kebanyakan rakyat Malaysia.
Jika pelancong luar datang ke negara ini semata-mata untuk menikmati keindahan alam sekitarnya, masyarakat kita pula seolah-olah langsung tidak tahu menilainya.
“Kelip-kelip di Kuala Selangor misalnya. Orang luar menganggap ia sebagai satu keajaiban dunia tetapi kita tidak pernah menghargai kewujudannya,” kata Andrew. Lebih mendukacitakannya apabila sehingga kini, MNS belum menerima permohonan daripada mana-mana pelajar tempatan yang berminat membuat kajian tentang kehidupan serangga tersebut berbanding yang diterima daripada pelajar asing.
“Mereka datang dari jauh untuk melihat dengan mata kepala sendiri fenomena ini tetapi anak-anak kita langsung tidak peduli,” katanya sekali lagi dengan nada kesal. Justeru tegas Andrew, demi kebaikan semua pihak, sudah sampai masanya kerajaan sendiri lebih bersikap proaktif dalam usaha merapatkan jurang yang berlaku. Ditanya tentang masa depan alam sekitar, biarpun tidak mempunyai jawapan yang pasti, namun Andrew tetap percaya perjuangannya akan berhasil suatu hari nanti. “Hanya masa akan menentukan. Apa pun harapan saya ialah agar kesedaran ini akan timbul bukan hanya setelah kita tidak mampu berbuat apa-apa lagi,” katanya.