PENGAJIAN AM : BUDAYA MEMBACA

MENGAPA kita dikatakan kurang membaca? Adakah disebabkan pengaruh kajian membaca kebangsaan? Sejauh manakah kebenaran itu? Bolehkah ia dibuktikan dengan kajian pemerhatian sendiri?.
Apakah kajian itu mengambil kira faktor-faktor mengapa keadaan sebegitu berlaku? Adakah kita perlukan kajian penanda aras ke atas budaya membaca kita berbanding dengan negara-negara yang mempunyai tahap membaca yang tinggi?
Itu adalah antara persoalan yang berlegar-legar di fikiran penulis ketika melihat senario di kalangan masyarakat kita apabila menyentuh tentang budaya membaca.
Tidak keterlaluan untuk penulis katakan bahawa purata dua buah buku dibaca oleh rakyat Malaysia setahun merupakan nombor yang perlu dikaji dengan lebih mendalam. Angka itu masih boleh dipersoalkan walaupun negara telah menyaksikan bahawa penambahan jumlah pengunjung ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini. Penganjuran pesta itu dikatakan telah mencapai matlamat apabila menerima kunjungan lebih 1 juta pengunjung. Atau penambahan pembaca buku-buku popular, tetapi seperti yang diucapkan oleh Datuk Hassan Ahmad ketika merasmikan Kelab Buku Kanak-Kanak Dewan Bahasa dan Pustaka pada 14 Julai 1979 dahulu bahawa bukan semua bahan bacaan boleh menjadikan sesebuah bangsa itu maju. Bahan bacaan perlu dipilih. Ini kerana membaca bahan-bahan yang sesuai dan bermutu adalah penting bagi perkembangan mental, perkembangan intelek individu.
Kita perlu lebih kritis. Mengapa hanya dua buah buku secara purata dibaca oleh rakyat Malaysia dalam setahun? Tentunya bersebab. Daripada pemerhatian dan pembacaan penulis, didapati bahawa:
Membaca tidak menjadi budaya orang Malaysia
Faktor ini mungkin didorong oleh kesibukan masa yang diperuntukkan untuk bekerja. Sekurang-kurangnya dua jam atau lebih dihabiskan di atas jalan raya untuk pergi ke tempat kerja dan kembali ke rumah. Apabila sampai di rumah, penat dan letih. Mungkin juga kerana semasa di bangku sekolah, tidak ditekankan kepentingan membaca, kecuali buku-buku teks. Mungkin juga kerana pengaruh ibu bapa atau keluarga yang tidak menitikberatkan budaya membaca. Tidak pernah dihadiahkan buku, dan tidak pernah terfikir bahawa buku itu penting dan membaca itu penting. Mungkin juga kerana pengaruh media massa yang semakin menjauhkan penontonnya dengan buku, sebaliknya menjadikan artis itu sebagai idola utama mereka.
Pengaruh suasana dan faktor sekeliling
Mungkin telah menjadi amalan kita untuk membaca dalam keadaan sunyi. Seperti mana yang seringkali menjadi amalan di dalam sesebuah perpustakaan disuruh diam. Memang amalan itu tidak salah tetapi kesannya secara tidak sedar ialah kita turut terpengaruh untuk membaca di dalam keadaan sunyi. Kerana itulah agak sukar untuk kita membaca di dalam LRT, bas atau di tempat-tempat awam.
Malah mungkin persepsi orang ramai bahawa orang yang membaca (terutamanya di tempat-tempat awam) adalah untuk menunjuk-nunjuk, dan memberikan gambaran ‘negatif’ bahawa pembaca itu ‘ulat buku’ yang tidak boleh dibuat kawan (kerana hanya berkepit dengan buku). Ulat buku mungkin dianggap antisosial atau antisukan. Persepsi-persepsi sedemikian amat berbahaya kerana ia akan menjauhkan buku dengan masyarakat.
Harga buku yang dianggap mahal
Mungkin ini juga antara faktor utama untuk tidak membaca. Harga buku yang mahal mungkin disebabkan oleh beberapa faktor lain seperti kadar tukaran wang asing yang tinggi yang menyebabkan harga buku import menjadi mahal, kos penerbitan dan percetakan yang tinggi, dan keengganan kita sendiri untuk keluarkan wang dari saku untuk membeli buku. Apatah lagi dengan kenaikan gaji kakitangan kerajaan, maka perbelanjaan perlulah dirancang dengan memasukkan elemen buku sebagai belanja wajib seperti mewajibkan makanan lain yang sentiasa dibeli.
Merasakan membaca tidak penting
Mungkin sifat untuk merasakan tidak ada kepentingan untuk membaca merupakan antara faktor utama rakyat Malaysia kurang membaca. Sama ada sebagai seorang bekas mahasiswa universiti atau bekas pelajar sekolah, kebanyakan daripada kita tidak mahu memegang buku apatah lagi membacanya. Ini juga satu kemungkinan. Hasil pemerhatian penulis, didapati amat kurang daripada mereka yang mahu membaca. Dan tidak ada satu perasaan gembira dan keseronokan untuk membaca. Sehingga seterusnya memberikan alasan kerana pengaruh masa (kerja) yang membatasi mereka daripada membaca. Mungkin kerana memikirkan bahawa buku tidak akan memberi sebarang faedah secara langsung kepada mereka, jika dibandingkan dengan perkara-perkara lain. Misalnya, dengan membeli kereta (atau bertukar-tukar kereta), secara langsung memberikan kepuasan kepada mereka dari segi nilai estetik dan kemewahan.
Inilah antara persoalan yang perlu kita jawab terlebih dahulu dalam usaha kita untuk menjadikan amalan membaca sebagai satu budaya.

PENGAJIAN AM : RAWATAN KANSER MELALUI PEMAKANAN

Mencegah lebih baik daripada merawat. Bagaimanapun dalam keadaan realitinya, tidak ramai yang mengamalkan aspek pencegahan. Sebaliknya, jika terkena atau disahkan menghidap penyakit, barulah tindakan segera diambil, sama ada melakukan rawatan, mahupun mula mengamalkan aspek berjaga-jaga ataupun pencegahan. Menyentuh mengenai aspek pencegahan penyakit terutamanya penyakit kanser, haruslah dilihat terlebih dahulu, mengenai punca penyakit tersebut. Apabila kita memperkatakan mengenai risiko untuk mendapatkan kanser, tidak ada satu sebab ‘solid’ yang boleh dikatakan menjadi punca kepada penyakit berbahaya itu. Menjelaskan lebih lanjut mengenai pencegahan penyakit kanser,

Pakar Kardiologi Pusat Perubatan Pantai, Datuk Dr. Ibrahim Wahid berkata, sehingga kini, tidak ada satu kajian tepat mengatakan bahawa sesetengah makanan ataupun tumbuh-tumbuhan boleh mencegah kanser. Isu ini sangat komplikated kerana dari segi risiko makanan dan kanser tidak ada kaitan yang terus. “Untuk mencegah kanser, kita tengok apa puncanya. Jika ia berpunca daripada makanan, kita tengok apa jenis makanan dan kurangkan makanan tersebut. Bagaimanapun, apabila memperkatakan mengenai makanan dan kanser, ia menjadi komplikated. “Contohnya, daging. Ada yang mengatakan bahawa daging boleh menyebabkan kanser dan ini bermakna, jika anda tidak memakan daging, maka anda tidak akan mendapat kanser. Walhal keadaan ini tidak semestinya berlaku. “

Ini kerana, jika kita tengok mereka yang mengamalkan pemakanan vegetarian pun boleh mendapat kanser. Misalnya, orang Buddha, mereka tidak makan daging tetapi makan sayur-sayuran, tetapi ada yang menghidap kanser dan saya sendiri mempunyai pesakit daripada penganut agama ini. Sebab itulah saya katakan tadi, ia agak komplikated. Mereka yang menjaga kesihatan pun boleh mendapat kanser. Sebenarnya banyak faktor lain, antaranya merokok, peningkatan usia, sinaran matahari, radiasi, bahan kimia, virus atau bacteria, hormon, sejarah keluarga yang pernah mengidap kanser, alkohol dan juga diet, kurang aktiviti kecergasan serta berat badan berlebihan,” jelas beliau.

Antioksida Cegah Kanser.

Ditanya mengenai kelebihan antioksida yang dikatakan mampu mencegah kanser, Dr. Ibrahim berkata antioksida bertindak melindungi sel rosak yang berpunca daripada molekul yang tidak stabil, dikenali sebagai radikal bebas. Sel yang rosak ini boleh meningkatkan risiko kanser. Antioksida terdiri daripada beta karotena, lycopene, vitamin C, E dan A. Antara makanan yang mengandungi antioksida yang tinggi termasuklah lobak merah, tomato, sesetengah sayur dan kacang. Menjelaskan lebih lanjut mengenai topik ini, Dr. Ibrahim menjelaskan mengenai beberapa kajian yang telah dijalankan sekitar tahun 1990-an.

• Kajian yang diterbitkan pada tahun 1993 ini dilakukan oleh Chinese Cancer Prevention Study ; ujian melibatkan kesan kombinasi di antara beta-karotin, vitamin E dan selenium ke atas masyarakat di Negara China (lelaki dan wanita)yang menghidapi kanser gastrik. Keputusannya, didapati kombinasi unsure tersebut boleh mengurangkan risiko kanser gastrik.

• 1994 – kajian melibatkan kaitan antara beta-karotena dengan vitamin E. menunjukkan bahawa kanser paru-paru di kalangan lelaki telah meningkat apabila mengambil beta-karotena. Sebaliknya, ia tidak menunjukkan kesan atau risiko apabila mengambil vitamin E.

• 1994 – kajian yang dinamakan Kajian CARET juga memberikan kesan yuang sama yang mana beta-karotena dan tetinol (Vitamin A) boleh meningkatkan kanser paru-paru.

• 1999 – Women’s Health Study yang mengkaji kesan antara Vitamin E dan beta-karotena dalam mencegah kanser dan penyakit kardiovaskular di kalangan wanita berusia 45 tahun, mereka dapati ia tidak memberi manfaat dan tidak mendatangkan risiko.

“Berdasarkan kelima-lima kajian, apa yang boleh katakana di sini ialah pengambilan makanan ataupun makanan tambahan tidak semestinya mengurangkan atau meningkatkan risiko kanser. Ini kerana daripada kajian tersebut, satu kajian menunjukkan kesan positif, dua kajian memberikan kesan yang negatif dengan meningkatnya risiko mendapat kanser dan dua lagi tidak memberi perubahan ataupun risiko ke atas kanser. Jadi, nasihat saya kepada pesakit, amalkan makanan seimbang.

Masyarakat kita tidak dapat lari daripada mempercayai pantang larang dalam makanan. Sebenarnya, pantang larang ini boleh memberi kesan buruk ke atas kesihatan pesakit itu. Mereka sebenarnya memerlukan kalori dan cukup berbanding dengan pesakit lain. Apabila mereka menjalani rawatan terutamanya kimoterapi, mereka memerlukan lebih banyak tenaga, protein dan kalori. Pakar nutrisi sentiasa menyarankan pesakit kanser meningkatkan pengambilan makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, bijiran dan makanan berasaskan gandum. “Begitu juga dengan daging, susu, telur dan juga keju.

Manakala cara memasak juga disarankan diubah dengan menggunakan mentega, marjerin dan minyak. Sesetengah pakar pemakanan menyarankan supaya kurang mengambil makanan yang mengandungi serat yang tinggi kerana makanan itu boleh membara kepada diarea (cirit birit) dan juga sakit mulut. “Bagi pesakit saya, saya galakkan mereka mengambil pelbagai makanan yang disarankan, walaupun berat mereka naik sedikit, tetapi mereka tidak perlu risau kerana ia memeri kesan yang baik. Sebaliknya jika terlalu megawal pemakanan, berat badan akan susut. Ini akan lebih memudaratkan penyakit,” katanya.

Pakar Imunologi Pemakanan beri pendapat berbeza.

Sementara itu, menurut Pakar Imunologi Pemakanan yang juga pengasas E. Excel International yang berpangkalan di Amerika Syarikat (pengeluar makanan kesihatan), Dr. Chen Jau-Fei dalam Penyelidikan Imunologi Pemakanan, beliau mendakwa bahawa makanan tumbuh-tumbuhan semulajadi dan berkhasiat seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan herba, mengandungi nutrien seperti fitokimia, antioksida dan polisakarida yang tidak hanya bermanfaat untuk kesihatan, malah boleh membantu mencegah dan merawat kanser. Menurut Dr. Chen cabaran paling hebat yang dialami oleh kebanyakkan penyakit yang berkait rapat dengan corak pemakanan moden seperti penyakit jantung, tekanan darah tinggi, diabetes dan kanser.

Katanya lagi, apabila tubuh tidak mendapat nutrien asas, sistem imun menjadi lemah dan hilang keupayaan untuk melawan penyakit. Sebaliknya, apabila ia berfungsi dengan baik, system imun mampu melawan penyakit malah dapat menghalang serangan toksin dan bahan cemar yang sentiasa mengancam persekitaran kita. Oleh itu, daripada hasil kajiannya dalam bidang imunologi pemakanan ini, beliau menemui hubung kait yang pasti di antara nutrien yang ada dalam tumbuhan makanan dengan fungsi sistem imun. Kata Dr. Chen lagi, Persatuan Kanser Makanan yakin bahawa pemakanan merupakan faktor utama yang dapat mencegah kematian akibat kanser.

Fitokimia.

Ia merupakan sebatian unik dalam buah-buahan, sayur-sayuran dan herba. Ia bersifat menyembuh dan berupaya mencegah penyakit kerana mampu menyuburkan dan memperkasakan sistem imun.

Antioksida.

Melindungi daripada radikal bebas yang boleh menyebabkan kerosakan sel dan DNA yang boleh membawa kepada kanser dan penyakit lain yang degeneratif (merosot).

Polisakarida.

Rantaian panjang gula yang sering ditemui pada sesetengah cendawan. Kajian menunjukkan bahawa polisakarida cendawawan dapat menghapuskan pertumbuhan tumor dengan mengaktifkan sel imun. Ia juga membantu menyeimbangkan sistem imun dan membolehkannya memusnahkan sel-sel kanser sedia ada dan virus.

Sumber Pemakanan Semulajadi Yang Berkhasiat.

Kaktus.

Dalam penyelidikan kanser, ahli sains mendapati bahawa ekstrak kaktus meningkatkan mekanisme sel imun dengan membantu tindakbalas hipersensitiviti yang mana sebelumnya terdapat penyekatan fungis imun. Kaktus juga dilihat mampu mengurangkan paras kolesterol dan meinigkatkan metabolisme lipoprotein berketumpatan rendah. Ahli sains juga mengetahui bahawa kalsium dan fosforus yang mewakili tiga perempat daripada mineral tubuh, didapati banyak terkandung di dalam kaktus. Jesteru, ia membekalkan mineral yang membina tulang, sendi dan tisu perantara yang kuat.

Buah Kaktus.

Buah yang mengambil masa sehingga empat tahun untuk membesar dan ranum tetapi berbaloi krana buah kaktus kaua dengan antioksida dan fitonutrien yang menjadikan tubuh badan sihat, luar dan dalam. Menurut kajian, kaktus dan buahnya memainkan peranan penting dalam menguatkan sistem imun badan. Khasiat dan antioksida yang ditemui pada pelbagai tumbuhan makanan seperti buah kaktus mungkin dapat membantu menghindari kerosakan DNA, membantu penyembuhan luka dan merangsangkan aktiviti fagosit, selain menjadikan tekstur dan rupa kulit bertambah baik.
Beri Ginseng.

Beri Ginseng mengandungi sari ginseng yang memelihara biji benih yang bakal menjadi baka tumbuhan itu. Mengambil masa tiga hingga empat tahun untuk membesar sebelum buah beri ranum dan sedia untuk dipetik. Hasil penyelidikan menunjukkan ekstrak beri ginseng yang unik itu membantu melindungi kulit daripada terdedah kepada anasir alam sekitar dan akibat tekanan aktiviti semula jadi tubuh. Juga kaya dengan antioksida sehingga 1.4 kali ganda lebih banyak dariapada vitamin C. Apabila dimakan, antioksida beri ginseng boleh melenyapkan sistem pertahanan antioksida badan dengan ketara.

Biji Anggur.

Proantosiandin, lazimnya disebut sebagai OPC ialah flavonoid yang amat berkesan, ditemui terutamanya di dalam kulit tumbuhan dan biji anggur. Pelbagai kajian menunjukkan bahawa aktiviti antioksida OPC adalah jauh lebih banyaj daripada vitamin E, C dan beta-karotena. OPC mempunyai hampir 20 kali ganda lebih banyak aktiviti antioksida berbanding vitamin C dan dipercayai mempunyai 50 kali ganda lebih banyak antioksida daripada vitamin E. Antioksida dipercayai menghalang dan mengawal pelbagai jenis penyakit daripada artritis hinggalah kepada menjaga sel daripada dimusnahkan oleh molekul oksigen tidak stabil.

Cendawan Agaricus Blazel Murill (ABM).

Dikenali juga sebagai cendawan matahari dan cendawan puteri, jaya dengan dua campuran polisakarida. Polisakarida yang ditemui dalam cendawan ABM memperbaharui dan menyokong system imun badan dengan merangsang pengeluaran limfosit sel T penentang kanser, sel T pembantu, interferon dan interleukin. Ini menyebabkan bilangan sel kanser yang dihasilkan dalam badan berkurang mengikut pertimbangan.

Soya.

Makanan yang rendah lemak, tanpa kolesterol, tinggi serat diet dan kaya dengan mineral. Kajian menunjukkan bahawa isoflavon iaitu fitokimia yang terdapat dalam kacang soya mengurangkan paras kolesterol serum dan risiko mendapat penyakit jantung. Isoflavon juga didapati boleh mencegah pertumbuhan sel kanser dan mengurangkan risiko osteoporosis di kalangan wanita. Kajian menunjukkan bahawan genistein menyekat angiogenesis atau pertumbuhan pembuluh darah baru yang menyebabkan pertumbuhan tumor. Ahli sains juga menyefari bahawa genistein menambahkan kemujaraban ubat kanser. Institut Kanser Kebangsaan Amerika Syarikat ketika ini, mengkaji kemungkinan menggunakan genistein sebagai ubat mencegah kanser.

Cendawan Maitake.

Mempunyai kandungan polisakarida bermanfaat yang tinggi iaitu beta-glukan dan polisakarida lain termasuk fosfolipid, nucleotides dan asid lemak tak tepu. Ia boleh menambah fungsi system imun dan menghalang pertumbuhan tumor. Pecahan D, bahagian polisakarida yang mengandungi aktiviti antitumor yang kuat boleh diekstrak daripada cendawan maitake. Pecahan D sahaja boleh menghalang pertumbuhan tumor dengan lebih berkesan berbanding dengan MMC diantara 45 peratus kepada 80 peratus. Dengan gabungan cendawan Maitake dan MMC, tumor dapat dihalang lebih daripada 80 peratus. Cendawan ini juga berguna untuk rawatan dan pencegahan kanser, AIDS, tekanan darah tinggi, diabetes, obesity dan kolesterol tinggi.

PENGAJIAN AM : PEMANASAN GLOBAL

Aktiviti pemanasan global meningkatkan suhu bumi hingga boleh menjejaskan kesihatan manusia. Menurut kajian yang dilakukakn oleh Persatuan Kesihatan Sedunia (WHO), perubahan iklim yang telah terjadi sejak tahun 1970-an telah menyebabkan 150 ribu kematian setahun akibat peningkatan kejadian penyakit.

Jangkitan virus, bakteria dan kuman pembawa penyakit dikatakan akan semakin berleluasa. Jika dahulu, penyakit influenza hanya akan menyerang ketika di musim dingin (di negara empat musim) atau di musim hujan ( di Negara iklim tropika), tetapi kini sudah mula menyerang tidak mengira musim lagi.
Oleh itu, berwaspadalah dan pelihara kesihatan anda setiap waktu. Berhati-hati dengan penyakit-penyakit akibat bakteria dan kuman. Ikuti beberapa panduan di bawah:

1. Cirit birit.
Perubahan iklim yang berkaitan dengan pola hujan mempengaruhi penyebaran berbagai mikro organisma penyebar penyakit. Hujan mencemari air dengan cara memindahkan kotoran manusia dan haiwan ke air tanah. Antara organisma yang dikaitkan dengna penyakit cirit-birit adalah Kriptosporodium, Giardia dan E.Coli. Walaupun begitu, penularan penyakit ini bukan hanya disebabkan olah organisma-organisma yang disebutkan sahaja. Ia juga boleh berlaku akibat kontaminasi air dan sebagainya.

2. Demam Denggi Berdarah dan Malaria
Udara lembap dan hangat menjadi habitat yang paling digemari nyamuk, terutama nyamuk jenis Anopheles dan Aedes Aegypti. Nyamuk jenis ini merupakan penyebar parasit malaria dan virus denggi. Jika dulu nyamuk ini kerap muncul ketika transisi musim hujan dan kemarau, tetapi kini serangannya boleh dikatakan berlaku hamper di kesemua musim sepanjang tahun. Suhu lebih panas ternyata memendekkan kitaran hidup nyamuk-nyamuk ini sekaligus mengurangkan tempoh matang kuman yang terdapat di dalam badan nyamuk. Akibatnya, populasi nyamuk tersebut meningkat dan penularannya semakin cepat. Apa yang boleh lakukan untuk mencegah gigitan nyamuk:
• Tidur dalam kelambu
• Sapukan krim pencegah gigitan nyamuk.
• Sembur ruangan kediaman anda dengan semburan nyamuk satu jam sebelum masuk tidur.
Untuk membanteras sarang nyamuk:
• Bersihkan bekas-bekas yang memudahkan air bertakung
• Bersihkan semak belukar di sekitar rumah.
• Pelihara ikan untuk membunuh larva nyamuk.
• Taburkan ubat khas yang mampu membunuh larva nyamuk di dalam bekas seperti pasu bunga, kolam ikan, kolam air dan sebagainya.
• Pastikan tiada kain yang bergantungan di rumah.
Apa yang boleh anda lakukan:
• Biasakan mencuci tangan dan kaki setiap kali anda pulang ke rumah. Ini kerana anda berkemungkinan terkena kotoran atau kuman sepanjang anda berada di luar rumah.
• Tempatkan alas kaki di pintu depan atau bahagian dapur rumah bagi mencegah penyebaran kotoran atau parasit yang boleh masuk melalui kulit.
• Elakkan tabiat membeli makanan di tempat yang kotor atau diketahui tahap kebersihan yang rendah.

3. Kanser kulit.
Gas rumah kaca yang terkumpul di atmosfera bumi menyumbangkan peningkatan pemanasan global dan seterusnya merosakkan lapisan ozon. Jika dalam keadaan normal, atmosfera bumi boleh menahan 95 peratus radiasi ultra lembayung matahari dan hanya lima peratus daripada sinaran tersebut yang masuk ke bumi, tetapi kini lapisan tersebut sudah tidak mampu untuk menahannya, terutama di sekitar kawasan kutub selatan.
Keadaan ini seterusnya menyebabkan penduduk di kawasan itu terdedah kepada penyakit kanser kulit. Walaupun begitu, ia tidak bermaksud bahawa kita di sini bebas untuk terdedah di bawah sinaran matahari tanpa sebarang pelindung. Yang boleh kita lakukan:Pastikan anda sapukan krim atau losyen pelindung matahari 20 minit sebelum anda keluar dari rumah. Sebaik-baiknya yang mempunyai SPF 15 atau lebih.Sebaik-baiknya, sapukan juga krim tersebut pada kedua telinga dan kaki anda. Jika anda rasakan anda akan berada di bawah sinaran matahari untuk tempoh waktu yang panjang, pilihlah losyen yang mempunyai SPF 30 atau lebih. Ia lebih berkesan menahan sinaran matahari yang berbahaya kepada kulit anda.

4. Penyakit Paru Obstruktif Kronik.
Rata-rata kenaikan suhu udara global ‘hanya’ 0.8o Celcius. Namun di beberapa tempat, suhu udara naik cukup tinggi, termasuklah suhu air laut hingga ada ketikanya membuatkan sesetengah tempat bertekanan rendah. Angin kencnag mudah terbentuk ketika ini. Tiupan angin kencang yang bercampur dengan udara kering boleh membentuk percikan api sehingga akhirnya mengakibatkan kebakaran hutan. Akibatnya, timbul asap tebal yang memenuhi ruangn udara. Debu halus dan pelbagai oksida karbon itu menyebabkan gangguan pernafasan seperti asma dan lebih teruk lagi boleh menyebabkan penyakit paru obstruktif kronik. Selain itu, asap tersebut juga membawa racun dioksin yang boleh menimbulkan kanser paru-paru dan gangguan kehamilan. Sebaliknya bahan kayu yang terbakar di hutan pula menghasilkan jutaan gas-gas rumah kaca yang akhirnya pemanasan global.

Apa yang boleh anda lakukan:
Jika sudah mengalami penyakit paru obstruktif kronik, elakkan daripada anda mengidap influenza atau pneumonia, yang boleh memburukkan lagi keadaan kesihatan anda. Sebaiknya lakukan vaksinasi influenza setiap tahun dan vaksinasi pneumokokus setiap enam tahun atau lebih.

Info Sihat (Sumber Majalah Mingguan Wanita, 20 – 26 Julai 2008)Oleh : Khairun Nisa Ishak

PENGAJIAN AM : INTERNET

INTERNET MAKLUMAT TERUS TANPA SEKATAN

Sana sini orang memperkatakan tentang Internet (International Network – saluran perhubungan komputer tercanggih masa kini). Kecanggihan teknologi maklumatnya merangkumi pelbagai fungsi samada menyediakan maklumat politik antarabangsa dan setiap negara di dunia, sosio~ekonomi, aliran pelaburan dan kewangan, peperangan, sistem perbankan, sukan, seiarah, sains dan teknologi, geografi, lukisan dan lain-lain maklumat terkini yang kita inginkan.
Internet sudah mula menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat moden hari ini. Bukan hanya orang dewasa sahaja yang menggunakan Internet malah kanak-kanak pun tahu menggunakannya.
Internet bukan sahaja beriaya menghubungkan komunikasi ke seluruh dunia tetapi juga boleh menyelesaikan banyak permasalahan, pertikaian ekonomi dan aliran pelaburan global.
Kini terdapat lebih daripada 40,000 rangkaian yang membentuk Internet di seluruh dunia dan Malaysia juga turut mencapai kejayaan yang membanggakan apabila ahli seluruh Malaysia.
Jaring (salah satu daripada rangkaian dalam Internet)telah mencapai bilangan ahli seramai lebih daripada 30,000 orang di seluruh Malaysia.
Perkhidmatan Internet di Malaysia dikendalikan oleh Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia . (MlMOS) dengan menggunakan Sistem Jaring.
“Pendekata penggunaan Internet sudah semakin bertambah. Pada tahun 1995 bilangan pelanggan Jaring telah bertambah seramai 22 peratus setiap bulan,” kata Pengarah Bahagian Sistem Komputer MIMOS, Dr. Mohamed Awang Lah.
Menurut Dr. Mohamed, Internet, membolehkan komputer berkomunikasi untuk memindahkan maklumat di antara satu tempat dengan satu tempat yang lain.
Katanya, semua maklumat yang terdapat dalam Internet boleh digunakan oleh sesiapa sahaja yang inginkan maklumat terkini. Apabila komputer disambung melalui wayar telefon maklumat di seluruh dunia akan diperolehi oleh pelanggan Internet dalam sekelip mata sahaja.
Setiap komputer yang menggunakan modem berfungsi menyampaikan maklumat atau menghantar dan memberi laluan data. Pendekata maklumat dalam Internet boleh dicari kerana ianya ada dalam sistem Internet tersebut.
Tambahnya lagi, melalui Internet setiap pengguna mendapat pelbagai maklumat yang diingini termasuklah maklumat perniagan. Iklan juga akan dapat diperolehi melalui Internet sehinggakan banyak barangan boleh dibeli melalui Internet.
Pengguna Internet hanya memerlukan sebuah komputer samada DOS, Window’s, 05/2 ataupun Machintosh yang mempunyai kecepatan modem yang tinggi untuk memperolehi informasi dalam bentuk teks, grafik dan gambar.
Antara program yang terkandung dalam Internet ialah E-Mail, Chatting, Gopher, WWW, News Reader, Netscape- Win Tapestry, Mozaic dan lain-lain.
Sebagai contoh melalui WWW, pengguna Internet boleh melihat hampir 3 juta homepage yang menyediakan pelbagai informasi data perniagaan, pelajaran, objek, berita daripada Rumah Putih liputan berita daripada Malaysia seperti New York Times, Time, Life dan lain akhbar dan majalah dari seluruh negara.
Melalui Gopher kita mendapat bahan rujukan ilmu pengetahuan, majalah dan buletin tertentu dan buku, melalui Hot Java pula pengguna boleh menikmati muzik, games dan video klip daripada penyanyi seluruh dunia dan pelbagai maklumat lagi.
Sementara melalui perpustakaan Internet pula, setiap permasalahan dapat diketahui dengan mendalam. Sebagai contoh, seorang pelajar yang melanggan Internet akan dapat mempelajari sesuatu bidang atau mata pelajaran dengan cepat dan mudah hanya dengan menekan satu butang sahaja.
Kalau dahulu kita berhubung dengan syarikat atau rakan karib dengan berutus surat tetapi kini semuanya boleh dilakukan melalui Internet. Melalui program E-Mail, kita dapat berhubung terus dengan syarikat atau individu lain tidak kira di mana sahaja untuk membincangkan soal perniagaan, peribadi, pendidikan dua hala dan sebagainya. Program ini benar-benar mendatangkan faedah dan menjimatkan kos perhubungan dua hala.
Dengan kata lain Internet menyediakan maklumat secara terus tanpa sekatan atau tapisan dan terpulanglah kepada pelanggan untuk memilih mana yang terbaik untuk mereka.
Namun penggunaan Internet tanpa sekatan hanya akan memberi kesempatan kepada pihak yang tidak bertanggunglawab melakukan sesuatu yang tidak baik sedangkan Internet diperkenalkan untuk membantu manusia dalam mengharungi arus teknologi maklumat.
Kadang-kadang apabila bercakap tentang Internet kita terlalu mengharapkan tahap keselamatan yang tinggi. Sedangkan kalau kita lihat maklumat yang ada dan bukannya dalam Internet tidaklah selamat. Apabila bercakap tentang komputer kita lebih memberi penekanan tentang soal keselamatan sedangkan apabila dilihat dalam penggunaan harian seperti penggunaan telefon, faks, kertas, fail dan lain-lain perkhidmatan ini juga tidak cukup kuat tahap sekuritinya. “Berbalik soal sekuriti, terdapat banyak tahap sekuriti untuk menentukan bahawa maklumat itu tidak dicerobohi oleh orang lain. Walau bagaimana kuat pun tahap keselamatan ini tidak boleh menjamin 100 peratus sebagaimana kita tidak boleh menjamin kekukuhan sebuah bank menyimpan duit akhirnya kena rompak juga. Jadi pel- ,bagai langkah perlu diambil untuk memberi tahap kese- lamatan yang tinggi. Ini termasuklah dari segi penggunaan hardware, sofware dan sebagainya. Tetapi lagi tinggi tahap keselamatan lagi tinggi kosnya. Kalau kita sanggup membayar lebih kita boleh mendapat tahap sekuriti yang tinggi juga,” ujarnya memberi pandangan.
Menurut beliau lagi, soal sekatan adalah masalah yang sukar dibuat dan tidak boleh diatasi dengan mudah kerana maklumat boleh disebarkan bukan sahaja dengan Internet tetapi boleh disebarkan melalui CD-Roms atau pita video yang tidak boleh dikawal penggunaannya.
“Masalah boleh wujud bukan hanya dengan Internet sahaja. Tetapi dari soal maklumat kita mesti melihat dari dua pihak. Pertama ialah dari segi maklumat negatif yang masuk dalam saluran Internet dan yang kedua ialah saluran yang sama yang boleh digunakan untuk menyebarkan maklumat kita sendiri. Jadi kita harus menggunakan saluran yang sama untuk menangkis maklumat yang salah itu.
“Internet telah memberi satu cara hidup yang baru dari segi sosial, politik, kerajaan dan sebagainya. Ia memberi implikasi yang besar kepada kita. Kita tidak boleh lagi hidup dengan kaedah lama iaitu dengan cara yang bukan berasaskan elektronik. Kita perlu menukar cara-cara kita melakukan sesuatu. Kerajaan juga telah menekankan soal pendemokrasian maklumat. Maknanya maklumat harus diperolehi oleh sesiapa sahaja dan sesiapa sahaja boleh memberi pandangan. Asalkan ia tidak sensitif dari segi bangsa dan agama. Selagi kita tidak lari daripada landasan itu ia tidak menjadi masalah yang besar.
Kesimpulannya, sekatan fizikal bukanlah cara untuk menyekat maklumat. Dengan kata lain maklumat hanya boleh dikawal melalui tangkisan sendiri,” beritahunya.
Selain itu ujarnya, kesan sampingan hanya boleh berlaku kerana kita belum bersedia untuk menerima atau berhadapan dengan maklumat-maklumat yang kita tidak sangka-sangkakan atau perkara yang berlaku di luar daripada jangkaan kita.
“Dalam mana-mana hal sekalipun jika kita sudah bersedia bahawa perkara itu akan datang dan kita pula telah dididik sepenuhnya serta diberi peluang untuk mengkaji masalah itu saya rasa ia tidak akan memberi kesan sampingan. Yang penting adalah ketahanan diri dan bagaimana kita dapat menangkis segala maklumat-maklumat baru ini kerana maklumat ini sentiasa akan datang melalui Internet, televisyen dan parabola,”jelasnya lagi.
Apa yang datang dari sumber Internet akan terus sampai kepada pengguna dan tidak ada orang tengah yang boleh menapis setiap maklumat tersebut. Dengan kata lain, peranan orang tengah akan menjadi lebih kecil dengan adanya Internet. Kawalan hanya boleh dikeluarkan daripada pihak pengguna samada dari segi kawalan emosi atau fizikal. Sebagai contoh ibu bapa boleh mengawal anak-anak supaya menggunakan Internet dengan betul.
“Ada perisian tertentu yang boleh digunakan oleh ibu bapa untuk mengawal anak mereka dari menggunakan Internet secara berleluasa dan berseorangan. Kanak-kanak perlukan bimbingan dari ibu bapa. Sebagai contoh softwore yang dipanggil Net Nanny dan Cyber Patrol program membenarkan ibu bapa mengawal penggunaan Internet terhadap anak-anak,” tegasnya.
Menyentuh tentang masa depan Internet dalam jangka masa 10 tahun lagi, kata Dr. Mohamed, mungkin di masa hadapan setiap rumah mempunyai Terminal Internet atau Terminal Network mereka sendiri.
“Kami berhasrat agar setiap rumah di masa akan datang mempunyai telefon yang boleh disambungkan kepada Internet. Apabila masuk sahaja ke rumah sudah ada alat Internet cuma jika mereka hendak menggunakan Internet untuk tujuan mendapatkan maklumat tertentu kita harus membayarnya. Sistem Internet juga boleh menjadi saluran untuk pemasaran jualan. Mungkin di masa hadapan kita tidak perlu membeli televisyen kerana dengan adanya terminal penggunaannya pun seakan sama dengan fungsi televisyen. Dan sudah tentu ketika itu harganya akan lebih murah dan mampu dimiliki oleh semua lapisan masyarakat,” tambahnya lagi.
NONA, JULAI 1996, BIL: 174, M/S 157-159

PENGAJIAN AM : DIET (BAIK & BURUK)

Tanya mana-mana wanita, semuanya pasti mengatakan tubuh yang langsing menambah daya tarikah pada diri mereka. Jesteru, mereka sanggup melakukan apa sahaja asalkan dapat kelihatan cantik dan langsing termasuklah mengamalkan diet. Ada yang mementingkan kesihatan diri selain daripada mahu dilihat langsing, tetapi membuat program diet sendiri mengikut kesukaan. Apa yang penting berat badan turun dan tubuh kekal langsing. Ikuti buruk baik diet sesuka hati begini.

1. Diet epal dan detoks.
Makan hanya epal manis (selalunya epal merah) selama 7 hari berturut-turut. Setiap kali makan dua hingga tiga biji dan dalam sehari menjadi sampai lima hingga enam biji. Selain epal, hanya minum air dan mengambil suplemen untuk detoksifikasi. Tujuannya untuk menjadikan tubuh lebih segar dan pencernaan lebih lancar. Seminggu boleh turun sehingga 2 kilogram(kg).

Fakta: Buah-buahan hanya mengandungi vitamin dan karbohidrat. Tidak ada protein dan lemak seperti yang diperlukan oleh tubuh badan untuk menjalankan fungsinya setiap hari.

Komen Pakar : Menurut pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penurunan berat badan yang sihat adalah 1 hingga 1.5 kg/minggu dengan pengurangan makanan sebanyak 500 kalori/hari. Dalam setiap penurunan berat badan, sebaik-baiknya kurangkan jumlah lemak di dalam badan. Pengambilan buah-buahan untuk menurunkan berat badan bukan hanya menyebabkan jumlah lemak di dalam tubuh menurun, tetapi juga kandungan protein otot dan jumlah cairan di dalam tubuh berkurang. Kehilangan air yang terlalu banyak dapat membahayakan ginjal. Bila berat badan kembali naik, kemungkinan lemak semakin meningkat. Sebenarnya tubuh kita mampu mendetoksifikasikan bahan-bahan beracun dan yang tidak diperlukan tubuh secara semulajadi. Proses detoksifikasi berlaku di hati. Jadi, pengambilan suplemen untuk detoksifikasi bukanlah satu keperluan.

2. Diet elak nasi.
Langsung tidak menyentuh nasi dan hanya sesekali makan roti atau mi, selebihnya makan sayur dan buah-buahan. Malah, makanan bergoreng, terus dielakkan. Minuman seperti kopi dan gula juga tiada di dalam menu seharian. Makan selepas jam 7 malam? Tidak sesekali!

Fakta: Makanan seperti nasi, roti dan mi semuanya mengandungi karbohidrat. Nasi yang berasal daripada beras merah sebenarnya lebih menyihatkan kerana ia bukan sahaja mengandungi karbohidrat tetapi juga kaya dengan protein dan serat.

Komen Pakar : Beras merah, kentang (dengan kulitnya), roti dari biji-bijian dan bijirin amat disarankan sebagai pengganti sumber karbohidrat. Karbohidrat yang mengandungi banyak serat dapat digunakan untuk mengendalikan kadar gula rendah, kadar lemak darah, dan juga berat badan. Jangan terus ‘bermusuh’ dengan nasi. Cara terbaik, kurangkan saja kuantitinya. Ikut pola pemakanan sihat mengikut piramid makanan Asia bermula seperti hasil beras, tepung dan bijiran, diikuti dengan sayur dan buah-buahan. Seterusnya protein haiwan dan tumbuhan seperti susu rendah lemak, daging tanpa lemak dan kekacang dan akhir sekali makanan yang paling sedikit diambil seperti lemak atau minyak dan gula.

3. Makan tiga sudu.
Berat badan mudah naik bagi sesetengah orang, jadi diet seperti ini sering diamalkan. Sayur-sayuran menjadi sahabat baik. Lauk kegemaraan seperti ikan atau dada ayam tanpa kulit. Biasanya, makan secara perlahan-lahan agar mudah rasa kenyang. Juga banyak minum air putih.

Fakta: Makan dengan perlahan memberi peluang kepada otak untuk mengirimkan signal sudah kenyang. Cara begini membantu menggelakkan anda daripada makan berlebihan.

Komen Pakar: Pola pemakanan yang sihat, lengkap dengan air, karbohidrat, protein, lemak dan serat. Namun, masih kurang pengambilan protein tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan sehingga kekurangan keperluan vitamin dan mineral. Cuba variasikan sumber protein dengan menambah pengambilan makanan seperti kekacang. Nutrien makanan harus seimbang kerana tubuh amat memerlukannya. Apatah lagi protein tumbuhan yang kaya dengan isoplavon sebagai antioksidan, fitestrogen sebagai sumber estrogen dari tumbuhan yang digunakan untuk meningkatkan kadar estrogen dalam tubuh dan fitesterol. Perhatikan juga cara memasak. Kurangkan menggoreng makanan. Makan tiga sudu sudah cukup kerana pengambilan sayur-sayuran sudah cukup banyak. Tambahan, sayur dan buah juga mengandungi karbohidrat yang tinggi serat.

Kelolaan: Khairun Nisa Ishak, Sumber : Majalah Mingguan wanita, Bil: 1286, 11-17 Julai 2008.

PENGAJIAN AM : HIDROPONIK

Hidroponik (berasal daripada perkataan Greek hydro iaitu air dan ponos iaitu bekerja) adalah kaedah bercucuk tanam dengan meletakkan akar pohon ke dalam air baja (nutrien) tanpa mengunakan tanah. Kaedah ini menggunakan bahan seperti bulu mineral, sabut kelapa, pasir, batu bata pecah, habuk kayu dan lain-lain menggantikan tanah.
Penanaman secara hidroponik dilakukan oleh individu sebagai hobi dan juga secara besar-besaran untuk tujuan komersil. Di negara Singapura misalnya, oleh kerana kekurangan tanah, bumbung-bumbung bangunan dijadikan tempat untuk menanam sayur-sayuran seperti bak choy, sawi, kailan dan bayam di mana semuanya menggunakan kaedah hidroponik. Begitu juga, untuk penerokaan angkasa lepas, angkasawan boleh bercucuk tanam sayur-sayuran di dalam kapal angkasa. Kaedah yang sama digunakan oleh tentera di atas kapal perang, maupun kapal selam. Dengan cara ini mereka tidak perlu membawa bekalan makanan yang banyak, hanya sekadar membawa benih-benih sayur-sayuran dan boleh ditanam semasa dalam perjalanan.
Kelebihan
• Tidak memerlukan tanah sebagai media tanaman.
• Akar pokok boleh dipantau dengan cara mengangkat pasu dan melihat akarnya.
• Pembaziran baja tidak berlaku; kerana air baja sentiasa dikitar semula.
• Tidak perlu menyiram baja setiap hari.
• Hasil tanaman boleh di makan keseluruhannya, sebab akarnya bebas dari kotoran dan penyakit.
• Penyakit pokok tanaman dapat dikurangkan kerana banyak penyakit akar/pokok berpunca dari kandungan tanah.
• Pengusaha secara komersial tidak memerlukan tenaga pekerja utk tugasan menyiram.
Kelemahan
• Tanaman boleh mati dengan cepat jika sistemnya gagal.
• Hidroponik lebih rumit daripada menanam menggunakan tanah.
• Tumbuhan yang ditanam secara hidroponik selalunya lebih mahal daripada yang ditanam biasa.

PENGAJIAN AM : MAKANAN SEGERA

PENSYARAH Sosiologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Fatimah Daud berpendapat, langkah kerajaan mewajibkan pengeluar makanan segera mempamerkan kandungan produk mereka dilihat sebagai perang psikologi. Itu adalah tindakan yang dirasakan wajar dalam usaha menyedarkan orang ramai supaya lebih berhati-hati akan kesan makanan segera terhadap kesihatan menerusi peringatan berterusan.
“Tidak dinafikan bukan semua akan membelek fakta kandungan kalori makanan yang mereka beli atau makan, tetapi sekurang-kurangnya maklumat itu ada depan mata. Jika tidak hari-hari, sekali sekala pasti terbaca juga.
“Masyarakat perlu sentiasa didedah dan diingatkan kesan makanan segera terhadap kesihatan mereka. Cara terbaik ialah menerusi pendidikan berterusan termasuk meletakkan maklumat khasiat makanan,” katanya.
Beliau berkata, selain menyebabkan penyakit kronik dan obesiti, budaya menjadikan makanan segera sebagai pilihan utama turut mendatangkan kesan terhadap institusi keluarga.
Prof Fatimah berkata, remaja hari ini menganggap makanan segera sebagai satu gaya hidup dan tidak hairan jika setiap hari restoran makanan segera dipenuhi golongan berkenaan.
Beliau berkata, disebabkan lebih gemar menikmati makanan segera, suasana kemesraan antara ibu bapa dan anak semakin terhakis kerana budaya makan bersama satu keluarga kini semakin hilang.
Tambahan pula, kebanyakan ibu bekerja dan ada kalanya disebabkan penat atau tidak sempat memasak, mengambil langkah mudah membeli makanan segera sebagai hidangan cepat untuk keluarga.
“Sebab itu ada anak yang tidak sayang ibu bapa mereka kerana tidak makan air tangan emak, asyik makan makanan segera. Bagi pasangan yang baru kahwin, makan luar terutama di restoran makanan segera menjadikan mereka malas masak.
“Perkara ini mungkin dianggap remeh oleh sesetengah pihak, tetapi ia tetap menjejaskan hubungan kekeluargaan seterusnya memberi kesan kepada pembangunan masyarakat yang ahlinya terdiri daripada institusi keluarga,’ katanya.
Beliau berkata, ekonomi keluarga juga boleh terjejas dan amalan menyimpan tidak dapat dilaksanakan apabila wang lebih kerap dibelanjakan untuk membeli makanan segera.
Pof Fatimah berkata, pengaruh makanan segera turut menyebabkan remaja sekarang sudah tidak kenal makanan tradisional yang menjadi kebanggaan setiap negeri di negara ini.
“Inilah yang berlaku apabila makanan segera sudah menguasai kehidupan masyarakat hari ini. Anak sudah tidak kenal nasi kerabu dan nasi dagang kerana lebih terdedah kepada makanan segera,” katanya.
Muncul di Berita Harian (Nasional) pada 23.3.2007

PENGAJIAN AM : PENYAKIT TIBI

Penyakit TIBI

TIBI ialah sejenis penyakit yang merbahaya yang boleh membawa maut jika tidak mendapat rawatan sempurna. Disebabkan oleh bacteria TIBI (Tubercle Bacilli) dan hanya boleh dilihat dengan mikroskop. Bakteria ini biasanya menjangkiti paru-paru dan boleh menyerang organ-organ lain seperti selaput otak, tulang, kelenjar leher, buah pinggang, kulit dan lain-lain.

Bagaimana TIBI Merebak ?

Bakteria TIBI disebarkan melalui udara. Pesakit TIBI yang menderita akan mengeluarkan berjuta-juta bacteria TIBI terawang-awang di udara seketika apabila bersin atau batuk. Individu yang menyedut udara tercemar ini mempunyai peluang dijangkiti bacteria TIBI. Biasanya pesakit TIBI boleh menyebarkan bacteria TIBI kepada individu yang berhubung rapat dengannya.

Tanda-Tanda TIBI

  • Batuk yang berterusan lebih dari 2 minggu
  • Kahak yang mungkin mengandungi darah
  • Demam dan berpeluh di sebelah petang dan malam
  • Susut berat badan dan hlang selera makan
  • Mengalami sakit dada apabila batuk atau semasa menarik nafas panjang
  • Mudah menjadi letih

Cara Mengesan Penyakit TIBI

Jika anda mengalami batuk yang berterusan atau tanda-tanda yang disebutkan tadi hendaklah :-

  1. mendapatkan pemeriksaan doktor
  2. melakukan pemeriksaan kahak untuk mengenalpasti bakteria TIBI
  3. menjalani pemeriksaan x-ray dada

Rawatan

Penyakit TIBI mengambil masa 6 bulan di bawah penyeliaan anggota-anggota kesihatan yang dilantik.

  • 2 bulan pertama dengan 4 jenis ubat diambil setiap hari
  • 4 bulan berikutnya dengan 2 atau 3 jenis ubat yang diambil 2 kali seminggu

Pencegahan

  • Bayi-bayi yang baru dilahirkan mestilah diberikan suntikan BCG. Dapatkan suntikan dos ke 2 sekiranya tiada bekas parut dna pada umur 12 tahun.
  • Sekiranya batuk yang berterusan lebih daripada 2 minggu, segeralah berjumpa doktor
  • Kontek iaitu ahli keluarga atau sesiapa sahaja yang tinggal sebumbung dengan pengidap TIBI dalam tempoh yang lama hendaklah datang membuat pemeriksaan di klinik atau di hospital kerajaan

PENGAJIAN AM STPM : CONTOH PENGIRAAN SOALAN POPULAR (PERATUS)

Tan Sui Eng menjual sebuah poster gambar dengan harga RM40. Tan Sui Eng mengalami kerugian sebanyak 20% dengan penjualan pada harga tersebut.

Berapakah harga beli poster tersebut?

A. RM40
B. RM50
C. RM60
D. RM70

TIPS : Soalan ini berkisar tajuk Peratusan di dalam matapelajaran Matematik yang telah pun semua pelajar pelajari. Tajuk peratusan amat popular di dalam topik penyelesaian masalah STPM ini.

Kaedah penyelesaian

Andaikan Harga Jual RM40 ialah 80%. Maka harga beli ialah 100%

Jadi :

80% = RM40
100% = (100/80) x RM40
= RM50

PENGAJIAN AM STPM : CONTOH SOALAN POPULAR PENYELESAIAN MASALAH

Puan Ramlah ialah seorang pengurus Syarikat Ramjani. Beliau mula bertugas pada 1 Januari 2008. Beliau diberi gaji RM5300 sebulan. Tiga bulan kemudian, setelah disahkan, beliau menerima kenaikan RM500 sebulan. Usaha cemerlang beliau dihargai dengan kenaikan gaji sebanyak RM400 sebulan selepas 6 bulan.

Berapakah purata pendapatan bulanan Puan Ramlah pada tahun tersebut?
A. RM5258
B. RM5300
C. RM5775
D. RM5800
TIPS:
Kehendak soalan : Pengiraan Purata Sebulan
*NOTA : Soalan PURATA seringkali keluar di dalam peperiksaan STPM. Jadi calon perlu hafal formulanya.

Formula :

PURATA = Jumlah Keseluruhan/Jumlah Bulan

Kaedah pengiraan :
Ada pelbagai kaedah penyelesaian. Bagi pelajar yang pintar, boleh memilih kaedah pengiraan pantas. Tetapi bagi pelajar yang sederhana dan lemah boleh guna kaedah pengiraan yang panjang tetapi dapat menghasilkan jawapan yang tepat dan betul.

Langkah 1 : Kira Jumlah Pendapatan setahun

Jan 5300
Feb 5300
Mac 5300
Apr 5800
Mei 5800
Jun 5800
Jul 5800
Ogos 5800
Sept 5800
Okt 6200
Nov 6200
Dec 6200
JUMLAH 69300

Langkah 2 : Kira PURATA

= 69300/12 bulan
= 5775