GRAF GABUNGAN (STPM 2008)

GRAF GABUNGAN (STPM 2008)

Berdasarkan maklumat dalam petikan di bawah, sediakan graf yang sesuai untuk menunjukkan pengeluaran dan maklumat perolehan eksport barangan utama terpilih bagi tahun 2002 hingga tahun 2005.

Sektor pertanian dan perlombongan terus menjadi penyumbang utama kepada pendapatan eksport negara di samping membekalkan bahan mentah kepada industri tertentu di Malaysia.

Pengeluaran minyak sawit Malaysia dianggar mencatat peningkatan yang berterusan dari tahun 2002 hingga tahun 2005 berikutan dengan peningkatan hasil sehektar dan harga minyak sawit yang tinggi. Pada tahun 2002, minyak sawit mencatat pengeluaran sebanyak 11 909 ribu tan metrik, iaitu pengurangan sebanyak 1446 ribu tan metrik berbanding dengan tahun 2003. Pengeluaran minyak sawit terus meningkat kepada 13 976 ribu tan metrik pada tahun 2004 dan dianggar meningkat lagi sebanyak 1324 ribu tan metrik setahun kemudiannya. Walau bagaimanapun, peningkatan pengeluaran ini tidak menjamin peningkatan yang berterusan bagi jumlah perolehan eksport minyak sawit Malaysia kerana pada tahun 2004, perolehan eksport minyak sawit telah menurun sebanyak RM364 juta berbanding dengan RM20 411 juta pada tahun 2003. Pada tahun 2002, perolehan eksport minyak sawit Malaysia ialah RM14 838 juta dan dianggar mencapai RM20 550 juta pada tahun 2005.

Pengeluaran getah pula mencatat peningkatan yang berterusan hingga tahun 2004, tetapi dianggar merosot pada tahun 2005 kerana keluasan kawasan tanaman getah yang semakin berkurang. Pada tahun 2002, pengeluaran getah adalah sebanyak 890 000 tan metrik dan terus meningkat sebanyak 96 000 tan metrik pada tahun 2003. Pada tahun 2004, pengeluaran getah meningkat lagi sebanyak 182 000 tan metrik berbanding dengan tahun sebelumnya, tetapi diramalkan merosot sebanyak 23 000 tan metrik pada tahun 2005. Perolehan eksport getah negara mengalami situasi yang sama apabila mengalami penurunan pada tahun 2005 setelah mencatat peningkatan dari tahun 2002 hingga tahun 2004. Pada tahun 2003, perolehan eksport getah adalah sebanyak RM3582 juta, iaitu peningkatan sebanyak RM1090 juta berbanding dengan tahun 2002. Pada tahun 2004, perolehan eksport getah adalah sebanyak RM5197 juta, tetapi dianggar berkurang sebanyak RM197 juta pada tahun 2005.

Gas asli cecair pula menunjukkan pengeluaran yang tinggi selaras dengan pertambahan medan gas asli cecair yang baru beroperasi. Pada tahun 2002 sahaja, pengeluarannya adalah sebanyak 15 007 ribu tan metrik dan meningkat kepada 20 729 ribu tan metrik pada tahun 2004, iaitu peningkatan sebanyak 3418 ribu tan metrik berbanding dengan pengeluaran pada tahun 2003. Pengeluaran ini dijangka meningkat lagi kepada 20 936 ribu tan metrik pada tahun 2005, manakala perolehan eksport gas asli cecair pada tahun 2003 telah meningkat sebanyak RM3470 juta berbanding dengan tahun 2002 yang mencatat perolehan sebanyak RM9888 juta. Jumlah perolehan ini meningkat kepada RM17 079 juta pada tahun 2004 dan dijangka meningkat lagi sebanyak RM1596 juta pada tahun 2005 berbanding dengan tahun 2004.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Kementerian Kewangan Malaysia Laporan Ekonomi 2005/2006, Kuala Lumpur

Advertisements

ANJING HUTAN YANG GANAS

Angkara pembalakan?

Oleh NOOR HASLIZA NUSI
hasliza.nusi@kosmo.com.my

Dendam dipercayai menjadi punca sekumpulan anjing hutan mengganas dengan membaham haiwan ternakan di Felda Tenang, Besut, Terengganu baru-baru ini. Mengapakah haiwan itu semakin ‘dekat’ dengan manusia.



ISU melibatkan segerombolan anjing hutan yang mengganas lalu membaham lebih daripada 230 ekor lembu milik peneroka Felda Tenang, di Besut, Terengganu baru-baru ini begitu menggemparkan.

Kebimbangan yang dirasai penduduk bertambah apabila haiwan liar itu bergerak memasuki ladang pada waktu malam dengan sasarannya ternakan lembu milik peneroka.

Lebih aneh, bukan bahagian badan kambing atau ayam yang dimakannya, tetapi hati dan limpa lembu sahaja yang dibahamnya.

Anjing hutan atau nama saintifiknya Dhole (Canis Alpinus) lebih dikenali sebagai Asiatic Wild Dog, Red Dog atau Dhole.

Mempunyai bentuk fizikal yang lebih menyerupai anjing hutan Afrika dan anjing Bush, beratnya boleh mencecah sehingga 12 hingga 20 kilogram, manakala tingginya antara 43 hingga 55 sentimeter dengan panjang lebih satu meter.

Mamalia karnivor itu mempunyai tengkorak berbentuk kubah, pendek dan muncung yang luas. Tulang dahi dan rahang atasnya bersaiz besar. Begitu juga, saiz telinga yang besar dan bulat serta memiliki bentuk mata bertukup dengan iris matanya berwarna coklat gelap.


ANJING hutan tidak pandai mengepung atau membaham mangsa secara berkumpulan.


Bagi mamalia seperti serigala atau nama saintifiknya Canis Lupus, secara umumnya ia mempunyai ketinggian 60 hingga 80 sentimeter dan berat antara 23 hingga 59 kilogram. Terdapat juga spesies anjing yang memiliki bentuk fizikal mirip serigala, misalnya anjing Siberian Husky dan Samoyed. Mamalia itu juga adalah haiwan liar paling besar dalam keluarga Canidae.

Menjadi persoalan, adakah tabiat anjing hutan menyerupai serigala sewaktu membaham dan menyerang mangsanya?

“Asal usul anjing hutan adalah daripada serigala kelabu atau Grey Wolf. Dari segi kepintaran, serigala lebih cerdik berbanding anjing hutan, memandangkan saiz otaknya lebih besar daripada saiz otak anjing hutan.

“Serigala adalah sejenis haiwan yang cerdik dan mempunyai strategi untuk mengepung mangsa dalam satu kumpulan spesies yang sama.

“Anjing hutan tidak pandai untuk mengepung atau membaham secara berkumpulan. Haiwan itu akan menyerang mangsa secara bersendirian mahupun berkumpulan tanpa perlu melakukan strategi, sekiranya terlalu lapar,” jelas Pengarah Zoo Negara, Dr. Mohamad Ngah ketika ditemui Kosmo! di Hulu Kelang, Ampang,

PEMBALAK yang menjadikan anjing sebagai penjaga kawasan dan kemudian melepaskannya antara faktor yang mendesak anjing mengancam ternakan penduduk kampung. – Gambar hiasan


DR. MOHAMAD NGAH


Selangor baru-baru ini. Kini, terdapat lebih daripada 400 spesies anjing di dunia. Spesies anjing domestik seperti German Shephard, Dalmatian, Bull Dog dan Doberman, manakala anjing hutan seperti Himalayan Wolf, Dhole, Indian Wolf dan Canis Sumatraensis.

Menyentuh mengenai apakah yang dimakan oleh anjing hutan dan serigala, Dr. Mohamad berkata, ia bergantung pada kekuatan gigi dan usia haiwan tersebut.

“Jangka hayat haiwan bergantung pada gigi. Sekiranya ia sudah lanjut usia, tidak mungkin ia akan memilih daging-daging yang keras, sebab tiada kemampuan untuk menggigit. Sebab itulah, ia lebih gemar memilih organ-organ dalam seperti limpa dan hati yang lebih lembut.

“Bagi haiwan yang masih muda dan bertenaga, mereka akan membaham secara berkumpulan dan biasanya, serangan yang dilakukan adalah menerkam dari kepala, perut dan kaki,” katanya sambil memberitahu, haiwan yang masih bertenaga itu mampu meratah daging mangsa sehingga ke tulang.

Berdasarkan kajian, katanya, serigala tidak boleh dijinakkan walaupun telah dikacuk sejak kecil kerana tabiat dan unsur-unsur keganasan semula jadinya masih ada dalam diri.


TINDAKAN anjing hutan menyerang ternakan penduduk kampung berkemungkinan disebabkan sikap manusia itu sendiri.


DR. MOHAMMAD DANIAL FELIX


Berbeza pula dengan anjing, ia boleh dijadikan kawan dan dilatih untuk kegunaan manusia.

“Perasaan dendam? Memandangkan semua haiwan memiliki memori yang kuat, ia berupaya mengingati apa yang telah manusia lakukan terhadapnya.

“Walaupun sudah berjaya dijinakkan, lama-kelamaan perasaan lamanya itu akan timbul semula,” katanya beza anjing hutan dan anjing liar ialah tempat tinggalnya. Anjing hutan tinggal di dalam hutan manakala anjing liar berasal daripada anjing belaan yang terbiar dan akhirnya menjadi liar.

Berbicara mengenai serangan anjing hutan yang mengganggu penduduk di Terengganu, seorang veterinar di Zoo Negara, Dr. Mohammad Danial Felix, berkata, semua spesies haiwan menyimpan perasaan takut terhadap manusia.

Katanya, kebiasaannya haiwan tidak mahu bertembung dengan manusia dan berusaha mengelaknya.

“Tindakan anjing hutan menyerang mangsa kemungkinan besar disebabkan sikap manusia itu sendiri,” katanya.

Beliau memberi contoh bahawa kontraktor perumahan dan pembalak haram sering menjadikan anjing sebagai penjaga kawasan dan menganggap, menerusi salakan, musuh akan takut.

“Sebelum projek siap dijalankan, mereka tidak pernah gagal memberi anjing tersebut makanan.

“Tetapi setelah projek siap sepenuhnya, biasanya mereka melepaskan anjing tersebut tanpa pengawal dan penjagaan yang sepatutnya. Ini menyebabkan anjing berkenaan terbiar dan akhirnya menjadi liar.

“Ketika itulah, anjing-anjing tersebut terpaksa mencari sendiri makanan termasuk menjadikan haiwan ternakan penduduk kampung sebagai mangsa,” jelasnya yang melihat ia sebagai satu situasi desakan hidup haiwan itu.


FAKTOR usia dan kekuatan gigi anjing hutan mempengaruhi jenis organ mangsa yang dilapahnya.


Justeru, katanya, setiap pihak sepatutnya memiliki kesedaran dan didikan yang sewajarnya dalam memastikan haiwan-haiwan tidak terbiar.

“Jangan terlalu mementingkan diri sendiri, akibatnya orang lain yang ditimpa padah,” nasihatnya.

Pada satu perkembangan lain, Prof. Dr. Mohd. Hair Bejo dari Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam satu laporan Kosmo! pada 5 Mei lalu berpendapat, kejadian sekumpulan anjing hutan yang semakin buas menyerang haiwan ternakan mungkin ada kaitan dengan penyakit anjing gila atau rabies.

Katanya, kumpulan anjing hutan itu mungkin dijangkiti penyakit tersebut sehingga menyebabkan ia bertindak di luar kawalan dan lebih agresif.

“Disebabkan jangkitan itu, haiwan tersebut bukan sahaja mengancam ternakan tetapi juga manusia.

“Jika mangsa digigit, mereka boleh mengalami gangguan sistem saraf,” katanya.

Beliau berkata, walaupun anjing hutan bersifat ganas, kes di Felda Tenang itu agak ganjil kerana haiwan terlibat sangat agresif sehingga kerap membaham haiwan ternakan.

KHASIAT BETIK

Makan betik boleh awet muda

Oleh FATIHAH MOHAMED
fatihah.mohamed@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR – Seseorang yang ingin kelihatan muda rupa-rupanya tidak perlu membelanjakan wang yang banyak untuk membeli pelbagai jenis kosmetik, sebaliknya memadai dengan hanya memakan betik.

Menariknya, betik yang dimakan bukan setakat berupaya memenuhi keperluan nutrisi harian sesiapa yang memakannya tetapi juga mampu mengekalkan seseorang itu awet muda.

Kenyataan itu disokong oleh pensyarah dari Jabatan Sains Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Azizah Abdul Hamid yang menyatakan kandungan komponen aktif dalam buah-buahan seperti betik mampu mengurangkan tindak balas pengoksidan.

“Tindak balas pengoksidan mampu menjadikan kulit seseorang berkedut selain mengundang tompok-tompok hitam tetapi dengan adanya komponen aktif iaitu sebatian fenolik, ia akan bertindak sebagai antipengoksidan yang melambatkan proses penuaan,” katanya selepas seminar bertajuk Optimization of Nutraceutical Processing Using Parameter Estimation di UPM semalam.

Menurut Azizah, selain berguna sebagai agen antipenuaan, betik juga berperanan untuk menghalang kanser seperti kanser prostat, penyakit berkaitan jantung dan penyakit alzheimer.

Selain betik, buah-buahan lain yang turut memberikan kelebihan yang sama kepada manusia ialah jambu batu isi merah, buah naga isi merah, ubi keledek serta kelompok herba seperti pegaga dan mengkudu.

HADIAH ALLAH JANGAN DITOLAK

Jangan gugurkan anak!

WANITA yang pernah menggugurkan janin berisiko melahirkan bayi pramatang pada kelahiran seterusnya.


PENGGUGURAN kandungan bakal mengundang risiko pada kemudian hari. Wanita yang melakukan pengguguran sebenarnya berisiko melahirkan bayi pramatang pada kelahiran yang seterusnya.

Kajian pakar perubatan dari Kanada mendapati wanita yang menjalani proses pengguguran berisiko sebanyak 72 peratus mendapat bayi kurang berat badan dan 93 peratus bayi pramatang.

Pakar Jabatan Pediatrik di Hospital Mount Sinai, Toronto Dr. Prakesh Shah mendedahkan, antara punca utama keadaan itu adalah kerosakan fizikal pada bahagian serviks yang terjadi ketika pengguguran secara konvensional dilakukan.

PENYAKIT KELAM KABUT

Kelam-kabut sindrom penyakit

Oleh SHANIKA ABADULLATIB

Dysprexia umumnya tidak mampu dilihat dengan mata kasar kerana ia melibatkan ketidakjajaran antara arahan dari otak dan pergerakan tangan atau kaki pada masa yang sama.


SIKAP kelam-kabut mampu menyebabkan rutin harian kehidupan menjadi penuh bercelaru. – Gambar hiasan


SEIMBAS pandang, pelajar lelaki berusia 10 tahun yang dikenali dengan nama ringkasnya, Alim langsung tidak berbeza dengan rakan-rakan sebayanya yang lain sehinggalah guru sekolahnya kerap menegur tingkah lakunya yang suka melanggar meja dan kerusi secara sembrono.

Suatu hari, gurunya melihat koordinasi pergerakan Alim agak berbeza berbanding rakan-rakannya termasuk lambat dalam menyalin sesuatu yang ditulis di papan tulis, lalu akhirnya dia menyarankan agar Alim dibawa berjumpa pakar perubatan.

Diagnosis dan ujian yang dijalankan mendapati, tingkah laku kelam-kabut Alim itu sebenarnya berpunca daripada abnormaliti pada sistem motor dan saraf dalam tubuhnya.

Dikenali sebagai Dysprexia, penyakit ini umumnya tidak mampu dilihat dengan mata kasar kerana ia melibatkan ketidakjajaran antara arahan dari otak dan pergerakan tangan atau kaki pada masa yang sama.

Pakar Runding Psikitri Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Nor Hamidah Mohd. Salleh menjelaskan, dysprexia yang banyak dihadapi kanak-kanak lelaki sebenarnya mampu dikesan dari awal lagi.

Gagal ikat tali kasut

“Dysprexia atau istilah mudahnya sindrom kanak-kanak kelam-kabut, merupakan satu keadaan yang tidak ubah seperti autisme, dylexia, dan kanak-kanak hiper aktif (ADHD).”

“Namun yang membezakannya ialah dysprexia melibatkan ketidakjajaran pergerakan motor anggota badan dan otak,” jelasnya.

Tambah Nor Hamidah, simptom awal dysprexia boleh dikesan pada setiap peringkat perkembangan motor bayi iaitu daripada merangkak dan berjalan.

INDIVIDU yang cantik dan seksi tidak terkecuali daripada mengalami dysprexia. – Gambar hiasan


Daripada perkembangan ini, pakar akan melihat sebarang abnormaliti yang wujud terutamanya dari aspek mengimbangkan diri, sensitiviti terhadap sentuhan dan pergerakan fizikal yang berterusan.

“Paling mudah untuk mengesannya ialah kanak-kanak tersebut sukar mengimbangi diri ketika berbasikal, mengikat tali kasut serta sering melanggar objek sewaktu berjalan,” ujarnya.

Pelakon remaja yang terkenal menerusi siri filem Harry Potter, Daniel Radcliffe sebagai contoh, merupakan salah seorang pengidap dysprexia. Meskipun, tidak mempunyai masalah untuk menghafal skrip filem-filem lakonannya, Radcliffe akan menghadapi masalah apabila mahu mengikat tali kasutnya.

“Disebabkan gagal melakukan perkara semudah mengikat tali kasut, saya melalui fasa kehidupan yang sukar ketika zaman persekolahan dulu,” ujarnya kepada akhbar Britain, Daily Mail.

NOR HAMIDAH MOHD. SALLEH


Kesukaran kawal pernafasan

Dalam pada itu, selain melibatkan pergerakan, Dysprexia Oral pula merupakan gangguan melibatkan ketidakjajaran perkembangan linguastik atau fonologi ketika bercakap.

“Masalah ini akan menyebabkan pesakit sukar mengawal organ pertuturan, membuat bunyi-bunyian, serta menyatakan perkataan secara berturut-turut termasuk membina ayat daripada perkataan,” jelas Nor Hamidah.


Bukan itu sahaja, mereka juga mengalami kesukaran mengawal pernafasan dan lambat dari segi perkembangan bahasa.

Bagi pengawalan koordinasi motor halus, ia mengakibatkan pesakit termasuk individu pada peringkat dewasa mengalami masalah untuk menulis dengan tangan.

Lebih malang, ketidakseimbangan koordinasi ini turut membuatkan pesakit sukar menjalani rutin harian seperti membutangkan baju, menggunakan sudu dan garpu serta membuka penutup botol.

“Koordinasi yang tidak simbang melibatkan saraf motor ini akan berterusan dan menyebabkan pesakit sering terlanggar objek, tidak kira kecil atau besar,” ujarnya.

Tambah beliau, kes terjatuh tanpa sebab, tidak dapat mengagak kedudukan objek serta gagal melakukan dua tugasan serentak juga merupakan sebahagian daripada masalah dysprexia.

“Ada kes yang lebih teruk, mereka sukar mengesan arah kanan atau kiri apabila mata ditutup serta terlupa pada pergerakan seterusnya ketika melakukan sesuatu seperti ketika sedang berjalan,” kata Nor Hamidah.

Tiada rawatan khusus

Menyentuh mengenai rawatan, Nor Hamidah menjelaskan bahawa tiada rawatan khusus bagi penyakit namun rawatan terapi dapat memperbaiki koordinasi pergerakan pesakit ini.

Nor Hamidah memberitahu, sekiranya dibiarkan begitu sahaja, kanak-kanak tersebut akan membesar dengan keadaan kurang keyakinan diri, pemalu, kurang matang dan sensitif.

“Disebabkan itu, kanak-kanak yang mengalami masalah tersebut perlu dibiarkan bermain dengan pasir, tanah liat termasuk memanjat serta berlari di taman permainan bagi melatih koordinasi dan sensitiviti pergerakan motor tubuh,” jelasnya.

ISU MEDIA DAN KESELAMATAN SIBER

Isu Media Dan Keselamatan Siber

Abstrak

Malaysian Cyber Security Agency (MCSA) telah ditubuhkan pada tahun 2006 di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang berfungsi sebagai Pusat Keselamatan Siber di Malaysia. Perkhidmatan yang disediakan oleh MCSA ialah berkaitan tindak balas kecemasan siber, penyelidikan terhadap ancaman siber, pemantauan pematuhan dasar, pengurusan keselamatan dan amalan terbaik, latihan dan outreach serta jaminan keselamatan siber. Wujudnya pelbagai laman web berbentuk hasutan dan lucah boleh memberi implikasi buruk kepada Negara.  Oleh itu, kita perlu sentiasa peka dengan isu keselamatan siber kerana penggunaan internet telah menjadi gaya hidup masyarakat kini.

Pendahuluan

Kemunculan internet sebagai medium komunikasi terkini menjanjikan satu wadah penyebaran maklumat yang memantapkan ilmu dan maklumat. Oleh kerana itu, tiada siapa yang dapat mengawal perjalanan maklumat di dunia siber. Orang ramai boleh memperoleh pelbagai maklumat sama ada yang berbentuk idea, propaganda, pornografi dan sebagainya yang disebarkan menerusi internet.  Kebebasan yang tiada batasnya dalam dunia siber menyebabkan aspek keselamatan seperti serangan siber dan sistem data maklumat negara boleh terancam.  Negara kita juga tidak terkecuali dan terpaksa berhadapan dengan ancaman siber ini.  Justeru, MCSA telah ditubuhkan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang berfungsi sebagai pusat keselamatan siber di Malaysia.

Sejarah Penubuhan MCSA

• 13 Januari 1997
Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia (Malaysian Computer Emergency Response Team–MyCERT) telah ditubuhkan untuk menangani isu-isu keselamatan komputer di kalangan pengguna internet di Malaysia;

• 24 Januari 1998
Mesyuarat Majlis IT Kebangsaan (National IT Council–NITC) 6/98 telah mengarahkan sebuah agensi dibentuk untuk menangani isu-isu keselamatan ICT di negara ini.  Hasilnya, National ICT Security and Emergency Response Centre (NISER) telah diwujudkan;

• 28 Mei 1999
Mesyuarat Jawatankuasa Teras Strategik (Strategic Thrusts Implementation Committee–STIC) 1/99 mengambil keputusan bahawa NISER bertujuan untuk mewujud, menyelaras dan menyenggara inisiatif pertahanan siber bersama-sama dengan agensi-agensi berkaitan;
• 10 April 2001
NISER telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri (ketika itu), Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi;

• 7 April 2006
Mesyuarat NITC 1/2006 bersetuju dengan penubuhan MCSA; dan

• 25 Julai 2006
Y.B. Dato’ Sri Dr. Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi mengumumkan bahawa NISER memulakan proses transformasi untuk menjadikannya sebagai MCSA.

Perkhidmatan MCSA

• Tindak balas kecemasan siber
o Amaran awal siber.
o Tindak balas insiden siber.
o Penyiasatan forensik siber.

• Penilaian ancaman siber
o Penyelidikan dan penilaian media siber.
o Penyelidikan dan penilaian teknologi siber.

• Pemantauan pematuhan
o Koordinasi Pelaksanaan Polisi Keselamatan Siber Nasional.
o Pemantauan pematuhan dasar.

• Pengurusan keselamatan dan amalan terbaik
o Garis panduan keselamatan siber dan amalan terbaik.
o Pembangunan standard keselamatan antarabangsa.
• Latihan dan outreach
o Kesedaran dan pembangunan kompetensi.
o Pembangunan profesional dan pensijilan.

• Jaminan keselamatan
o Penilaian produk keselamatan maklumat.
o Penilaian kelemahan teknologi kritikal.

Contoh-contoh Laman Web yang Mengancam Keselamatan Negara dan Ketenteraman Awam

• http://members.cox.net/terroristhunters

Dihoskan di Amerika Syarikat.

• http://www.malaysiasucks.com/Malaysia_Sucks.html
Dihoskan di Amerika Syarikat.

Contoh-contoh Laman Web Berunsur Hasutan

• http://malaysia-today.net
Dihoskan di Singapura tetapi pemilik adalah rakyat Malaysia.
o Isu laporan ASLI berkenaan Dasar Ekonomi Baru.
o Perhimpunan Agung UMNO 2006.
o Kes kematian Rayapan Anthony.
o Isu perdebatan anti-hadis.
o Isu Dasar Ekonomi Baru.
o Pameran Kegemilangan Sains dan Tamadun Islam.

• http://jameswongwingon-online.blogspot.com/
Dihoskan di Amerika Syarikat tetapi pemilik adalah rakyat Malaysia.
o Menyokong pergerakan Komunisme di Malaysia.

Laman web video YouTube

• Laman web YouTube ialah sebuah laman web menggunakan teknologi
perkongsian video di internet.
• Syarikat yang beribu pejabat di San Bruno, California ini menumpukan
kandungan video muzik, klip video amatur dan video blogging.

Contoh laman web lucah

Implikasi Kepada Negara

• Keselamatan
• Menjejaskan nama baik Malaysia
• Provokasi sentimen perkauman dan keagamaan
• Ekonomi
• Menakutkan pelabur dan peniaga asing dan tempatan
• Menjejaskan industri pelancongan
• Kenegaraan
• Mewujudkan sentimen anti Malaysia dan persepsi palsu dan negatif
• Tatasusila dan kebudayaan
• Bertentangan dengan tatasusila dan budaya masyarakat Malaysia

Undang-undang Negara yang Diguna Pakai untuk Kes-kes Tempatan

• Akta Fitnah 1957
Tindakan sivil ke atas penyebaran kenyataan berunsur fitnah untuk menjatuhkan reputasi seseorang.

• Akta Hasutan 1948
Melarang penyebaran dan penerbitan maklumat yang menghasut.

• Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998
Melarang penyebaran bahan berunsur kesat/lucah melalui kenyataan undang-undang tertentu (Seksyen 211 dan 233) dan penyelarasan industri di bawah Kod Kandungan (Content Code).

Klasifikasi Kod Kandungan

• Forum Kandungan Komunikasi Multimedia Malaysia berdasarkan Akta
Komunikasi dan Multimedia 1998;

• Kandungan lucah – perbuatan berunsurkan seks secara nyata, pornografi,
pornografi kanak-kanak;

• Kandungan tidak bermoral – lucah, tidak bermoral;

• Kandungan berbentuk ancaman – propaganda menghasut, menanam kebencian, mengancam keselamatan negara, kesihatan dan keselamatan awam;

• Bahasa kesat – ucapan yang menghasut, keganasan;

• Kandungan salah/tidak tepat – salah, mengelirukan.

Cabaran Menangani Masalah Keselamatan Siber

• Luar Negara

o Laman web didaftarkan dan dihoskan di luar negara.

o Perintah mahkamah diperlukan untuk tindakan penguatkuasaan.  Penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan tidak dapat dikuatkuasakan di negara luar secara terus.

o Kerjasama di peringkat antarabangsa tertumpu kepada kes-kes
pornografi kanak-kanak (child porn), pencerobohan laman web dan
kecurian identiti secara on-line dan tidak kepada isu-isu berkaitan isi
kandungan (content).

• Dalam Negara

o Agensi-agensi pemantauan dan penguatkuasaan melihat isu ini
secara global.

o Kurang pendakwaan yang melibatkan kes siber di mahkamah.

Cadangan

• Mewujudkan rangka kerjasama antara pelbagai pihak dalam menangani laman-laman web luar negara yang berunsur hasutan, berniat jahat atau mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam.

• Melaksanakan tindakan lanjut bersama agensi-agensi penguatkuasaan yang lain terhadap laman-laman web tempatan yang ekstrem, berunsur hasutan, lucah, berniat jahat atau mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Penutup

Kekebalan sistem pertahanan negara bukan sahaja perlu dilihat daripada sudut ketenteraan, malah negara juga perlu sentiasa bersiap sedia untuk menangkis sebarang serangan siber. Aspek keselamatan siber ini amat penting dititikberatkan kerana dalam dunia tanpa sempadan, sebarang ancaman dan serangan terhadap negara boleh dilakukan beribu-ribu batu jauhnya. Oleh kerana itu, masyarakat hendaklah sentiasa peka dengan isu keselamatan siber kerana penggunaan internet kini telah menjadi sebahagian gaya hidup dan keperluan dalam mencari maklumat dan melakukan tugasan harian.

Sumber maklumat :
Malaysian Cyber Security Agency (MCSA)

DASAR KANAK-KANAK NEGARA

DASAR KANAK-KANAK NEGARA

PENGENALAN

Kanak-kanak merupakan sebahagian daripada masyarakat yang amat penting, yang menjadi aset negara dan penyumbang nadi pembangunan negara pada masa hadapan. Pada tahun 2008, terdapat seramai 10.5 (37.9%) orang kanak-kanak daripada 27.7 juta penduduk Malaysia[1].  Dengan itu, pihak Kerajaan amat prihatin kepada kesejahteraan dan kepentingan kanak-kanak.

Sehubungan ini, Malaysia telah meratifikasi Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak atau Convention on the Rights of the Child (CRC) pada 17 Februari 1995.  Konvensyen ini memberi tumpuan terhadap kebajikan dan kehidupan kanak-kanak yang menjurus kepada aspek kelangsungan hidup (survival), perlindingan (protection), perkembangan (development) dan penyertaan (participation).  Sebagai sebuah negara pihak (state party) kepada CRC, Malaysia amat prihatin dan komited terhadap tanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak yang merupakan generasi pewaris negara masa hadapan.

Kepentingan golongan kanak-kanak jelas dibuktikan dalam pernyataan Wawasan 2020 di mana institusi keluarga dan kanak-kanak merupakan salah satu fokus yang diberi keutamaan dalam usaha negara mencapai status negara maju di samping melahirkan masyarakat yang saksama dan penyayang.

DEFINISI

Kanak-kanak didefinisikan sebagai seseorang yang di bawah umur 18 tahun seperti yang termaktub dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak dan Akta Kanak-Kanak, 2001.

PERNYATAAN DASAR

Dasar Kanak-Kanak Negara adalah satu dasar mengenai hak kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak agar dapat menikmati peluang dan ruang untuk mencapai perkembangan holistik dalam persekitaran yang kondusif.

PERNYATAAN MATLAMAT

Dasar Kanak-kanak Negara bertujuan untuk melahirkan individu yang sihat, cergas, berilmu, inovatif, kreatif, berjati diri, berdaya saing, progresif dan mempunyai nilai-nilai murni.

OBJEKTIF

Objektif utama Dasar Kanak-kanak Negara ialah untuk memastikan:

1.         Setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk hidup dengan diberi jagaan, pemeliharaan, kasih sayang, perkhidmatan kesihatan, sokongan dan bantuan sosial;

2.         Setiap kanak-kanak termasuk kanak-kanak kurang upaya mempunyai hak untuk dilindungi daripada sebarang bentuk pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi; dan seterusnya diberi habilitasi, rehabilitasi dan di integrasi ke dalam keluarga dan masyarakat.

3.         Setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk perkembangan holistik dari segi fizikal, kognitif, bahasa, sosio-emosi, sahsiah dan kerohanian;

4.         Setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk bersuara, menyertai (turut serta) dan melibatkan diri mengikut tahap keupayaan dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan kepentingan terbaik dan kesejahteraan mereka;

5.         Kanak-kanak, ibu bapa, penjaga, komuniti dan masyarakat sedar akan hak-hak kanak-kanak untuk kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan; dan

6.         Penyelidikan dan pembangunan mengenai kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak dilaksanakan dari semasa ke semasa.

STRATEGI

Strategi-strategi bagi mencapai objektif di atas adalah seperti berikut:

Objektif 1

Kelangsungan Hidup

1.         Menyediakan keperluan asas seperti identiti, tempat tinggal, makanan, minuman, pakaian, kasih sayang, keselamatan dan persekitaran yang kondusif dan mesra kanak-kanak.

2.         Meningkatkan kerjasama antara agensi kerajaan, NGO, pihak swasta dan masyarakat setempat dalam penjagaan kesihatan, keselamatan dan pendidikan bagi menjamin kesejahteraan dan kebajikan kanak-kanak;

3.         Meningkatkan kualiti dan memperluaskan perkhidmatan sokongan dan bantuan sosial mengikut keperluan kanak-kanak termasuk kanak-kanak OKU dan anak yatim.

4.         Memperluaskan akses kepada maklumat dan bahan bersesuaian daripada pelbagai sumber supaya kanak-kanak mendapat pengetahuan dan kemahiran demi kelangsungan hidup mereka;

5.         Memastikan kanak-kanak mendapat perlindungan keselamatan sosial.

Objektif 2

Perlindungan

1.         Meningkatkan latihan kepada semua pihak yang berurusan dengan kanak-kanak supaya mempunyai pengetahuan, kelayakan dan kemahiran yang mencukupi serta bersikap positif dalam pengendalian kes penganiayaan, pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi terhadap kanak-kanak;

2.         Memberi perkhidmatan pemeliharaan, perlindungan dan pemulihan kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa penyeksaan, pengabaian, penganiayaan, keganasan, pengeksploitasian atau kanak-kanak tidak terkawal serta penyediaan rawatan pemulihan kepada pesalah kanak-kanak (child offender);

3.         Memberi perlindungan ke atas mangsa, pengadu dan keluarga daripada gangguan atau ancaman pihak-pihak tertentu;

4.         Memastikan kanak-kanak diberi hak kepada perundangan dan perkhidmatan sokongan;

5.         Memberi sokongan kepada keluarga yang berisiko tinggi supaya kanak-kanak dalam keluarga tersebut dapat menikmati hak-hak mereka;

6.         Memastikan semua pihak yang mempunyai hubungan atau memberi perkhidmatan kepada kanak-kanak mewujudkan dasar dan protokol perlindungan kanak-kanak dan melaksanakannya.

7.         Menyediakan program khusus bagi kanak-kanak jalanan, kanak-kanak tanpa dokumen, kanak-kanak tercicir, kanak-kanak terlibat dengan penagihan dadah dan kanak-kanak yang berada dalam situasi genting, kepayahan dan lain-lain bahaya (under difficult circumstances).

8.         Memastikan kanak-kanak mangsa bencana menerima rawatan yang sewajarnya bagi pemulihan, pembangunan dan pengintegrasian semula ke dalam masyarakat.

9.         Memastikan kanak-kanak mangsa eksploitasi seksual (termasuk perdagangan kanak-kanak, pelacuran kanak-kanak, child pornography) dan perdagangan orang diberi perlindungan, pemulihan dan pengintegrasian semula ke dalam masyarakat atau dihantar pulang ke negara asal.

10.      Mewujudkan mekanisme amaran awal dan mengukuhkan mekanisme perlindungan kanak-kanak di peringkat nasional dan antarabangsa.

11.      Menggalakkan penyediaan persekitaran yang sihat dan selamat untuk kanak-kanak.

Objektif 3

Perkembangan

1.         Meningkatkan perkhidmatan pengasuhan dan pendidikan kanak-kanak yang berkualiti, mudah diperoleh dan mampu dibiayai dalam persekitaran yang kondusif bagi merangsang perkembangan optimum kanak-kanak.

2.         Menyediakan kemudahan prasarana dan persekitaran mesra kanak-kanak.

3.         Memperluaskan program dan kemudahan khusus bagi perkembangan kanak-kanak kurang upaya dalam semua aspek seperti pengesanan dan intervensi awal, pemulihan, pendidikan dan pengintegrasian semula dalam masyarakat.

4.         Menyediakan bantuan, latihan dan pemantauan yang berterusan bagi memastikan kanak-kanak mendapat pengasuhan, penjagaan dan pendidikan yang bermutu tinggi.

Objektif 4

Penyertaan

1.         Memastikan kanak-kanak diberi akses kepada maklumat yang berkualiti dan bahan bersesuaian daripada pelbagai sumber supaya kanak-kanak dapat menyertai aktiviti yang berkaitan dengan hal ehwal mereka.

2.         Menggalakkan media massa dan pihak swasta untuk menyebarkan maklumat yang bersesuaian dan berkualiti.

3.         Menggalakkan kanak-kanak menyuarakan pendapat dan pandangan secara bertanggungjawab dan beretika sebagai input dalam merangka program untuk mereka atau program yang berkaitan dengan kepentingan mereka.

Objektif 5

Advokasi

1.         Meningkatkan kesedaran keluarga dan masyarakat akan kepentingan penjagaan kesihatan kanak-kanak.

2.         Meningkatkan kesedaran keluarga dan masyarakat mengenai hak kesamarataan kanak-kanak daripada sebarang bentuk diskriminasi.

3.         Memantapkan program sedia ada dan memperkenalkan program yang sesuai bagi mencegah penganiayaan, pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi terhadap kanak-kanak.

4.         Meningkatkan kesedaran ibu bapa, penjaga dan ahli masyarakat akan pentingnya pengasuhan dan pendidikan kanak-kanak.

5.         Meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai hak, kesejahteraan dan kepentingan kanak-kanak kepada semua pihak yang berkenaan.

Objektif 6

Penyelidikan dan Pembangunan

1.         Memperbanyakkan penyelidikan dan pembangunan dalam bidang pembangunan kanak-kanak dan menyebarluaskan hasil-hasil penyelidikan bagi tujuan penambahbaikan.


[1] Sumber Jabatan Perangkaan Malaysia,2008