PENGAJIAN AM STPM : NAM

Usaha M’sia Wujud NNN Bawa Manfaat Kepada Negara Membangun
KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) — Usaha Malaysia untuk mewujudkan Rangkaian Berita NAM atau “NAM News Network” (NNN) merupakan sesuatu yang baik dan membawa manfaat kepada negara membangun, khususnya anggota Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM), kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohd Khaled Nordin.

“Ini amat baik sebab kita tahu bahawa dalam zaman maklumat ini, kita tahu maklumat adalah satu bahan yang penting dan berharga yang boleh dijadikan aset.

“Jadi, kita sebagai negara dunia ketiga mestilah juga menguasai punca dan bahan berita dan sebagainya,” katanya kepada Bernama hari Khamis.

Khaled berkata demikian apabila ditanya mengenai usaha Malaysia untuk mewujudkan NNN di Persidangan Menteri-Menteri Penerangan Negara-Negara Berkecuali ke-6 (COMINAC) di sini pada 19-22 Nov.

Sebagai tuan rumah, Malaysia sedang berusaha keras agar NNN dapat dilaksanakan memandangkan ia boleh menangani laporan-laporan media barat yang kadangkala bersifat prejudis dan berat sebelah terhadap negara membangun.

“Sebagai Negara Berkecuali, kita tidak campur urusan negara lain dan saya percaya apabila sesuatu berita itu dibawa oleh dunia ketiga ia tidak mempunyai apa-apa agenda,” kata Khaled.

Sebagai menteri yang bertanggungjawab memangkin pembangunan usahawan, Nordin berkata dengan adanya saluran alternatif ia akan menjadi asas untuk membangunkan perdagangan dan pelaburan di kalangan usahawan-usahawan negara-negara anggota NAM.

Dengan adanya NNN, katanya, masyarakat dunia akan mendapat gambaran sebenar apa yang berlaku di negara-negara sedang membangun.

COMINAC VI yang bakal menghimpun para menteri penerangan di kalangan negara-negara anggota NAM, dijangka mencari jalan merapatkan jurang maklumat sesama mereka.

Dengan tema “Meningkatkan Kerjasama Maklumat dan Komunikasi ke arah NAM yang Lebih Dinamik”, persidangan empat hari itu akan diadakan di Palace of Golden Horses (POGH) di sini.

Ia akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Antara objektifnya ialah untuk meningkat dan memperkukuhkan kerjasama dalam aspek maklumat dan komunikasi bagi menghadapi cabaran globalisasi dan meningkatkan perpaduan serta kemakmuran negara Selatan-Selatan, demikian menurut urusetia COMINAC.

Ia juga berhasrat untuk memanfaatkan maklumat dan teknologi komunikasi dalam meningkatkan penyebaran maklumat di kalangan negara-negara NAM serta menyediakan platform bagi negara-negara NAM untuk berkongsi pengalaman tentang amalan terbaik, pencapaian, jurang dan cabaran dalam merapatkan jurang maklumat.

Persidangan COMINAC terakhir diadakan di Abuja, Nigeria pada 1996.

COMINAC lahir berikutan keputusan yang dicapai pada Persidangan Ketujuh Ketua-ketua Negara atau Kerajaan Negara-negara Berkecuali yang diadakan di New Delhi pada 1983.

Mesyuarat pertama telah diadakan di Jakarta pada 1984 yang melakar sejarah mencatatkan bermulanya Kerjasama Selatan-Selatan untuk mewujudkan hubungan dalam bidang maklumat dan komunikasi.

Matlamat unggulnya ialah untuk memupuk satu tatacara yang dikenali ‘The New International Information and Communication Order'(NIICO) dan meningkatkan perpaduan serta perkongsian kemakmuran negara Selatan-Selatan.

Kejayaan objektif ini tidak dapat dipisahkan dengan betapa perlunya negara Selatan-Selatan untuk berkongsi maklumat dan sumber-sumber di kalangan mereka dalam sebuah platform terbuka.

Justeru, negara-negara anggota NAM percaya pembentukan NIICO akan menjadi satu komponen penting untuk membetulkan penyebaran maklumat yang berat sebelah oleh pihak tertentu.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: