PENGAJIAN AM STPM : SELSEMA BURUNG

Apakah selesema burung?
Lebih seabad, selesema burung hanya beredar di kalangan unggas sahaja, terutamanya ayam ternakan. Bagaimanapun, penyakit ini mula dikenali Avian Influenza apabila beberapa jenis virusnya menjangkitinya manusia. Virusnya pula semakin bertambah kuat dan tegar, malah bermutasi (berlaku perubahan genetik sesuatu organisma seperti tumbuhan, haiwan, dan sebagainya yang mengakibatkan perubahan ciri tertentu organisma tersebut) pula. Ia kini berjangkit dari unggas kepada manusia.
Pada 1997, terbukti selesema burung memang membawa maut apabila ada penduduk Hong Kong mati kerananya. Ketika para saintis sedang bergelut mengenal pasti jenis-jenis virus berbahaya dan mencari pencegah wabak membawa maut ini, wabak selesema burung ini terus berjangkit merentas dunia dari sebuah negara ke sebuah negara lain.
Bagaimana selesema burung berjangkit?
Lazimnya, virus selesema burung dibawa di dalam usus unggas liar dan tidak berbahaya. Namun virus ini mula menyesuaikan diri mengikut keadaan dan bermutasi menjadi virus yang paling berbahaya sehingga menyerang manusia.
Avian Influenza boleh berjangkit melalui air liur, lelehan hidung, dan najis burung. Burung-burung lain yang menyentuh cairan itu membawa virus tersebut ke tempat lain pula. Begitulah seterusnya. Keadaan ini sukar dibendung kerana unggas liar ini berhijrah dari satu negara ke negara lain.
Virus Avian Influenza merebak di dalam udara dan baja serta hidup lebih lama di dalam udara sejuk. Ia juga boleh dipindahkan melalui air dan makanan tercemar, peralatan serta pakaian. Tempoh pengeraman ialah antara tiga hingga lima hari. Virus berbahaya seperti H5N1 boleh membunuh dalam masa beberapa hari sahaja.
Kenapa ditakuti?
Untuk berjangkit, tiga perkara mesti berlaku terlebih dahulu:
1. Munculnya virus jenis baru.
2. Ia menyebabkan penyakit yang serius kepada manusia.
3. Berjangkit dengan mudah sesama manusia.
Faktor pertama dan kedua sudah pun berlaku. Virusnya baru bagi manusia dan menyebabkan sakit yang serius. Walau bagaimanapun, oleh kerana setakat ini ia berjangkit dari burung kepada manusia, tahap ketiga belum lagi berlaku. Ia masih belum berjangkit dari manusia kepada manusia.
Inilah faktor yang ditakuti. Dikhuatiri virus itu akan terus bermutasi hingga ke tahap boleh berpindah dari manusia kepada manusia. Semakin banyak manusia dijangkiti, ia mungkin berpotensi untuk bermutasi. Jika suatu hari nanti ia berlaku, rawatan semakin mustahil. Ramai manusia akan mati.
Selesema burung sangat bahaya kepada manusia kerana sistem imun kita tidak mempunyai antibodi untuk menentang penyakit berasal daripada haiwan. Lantas ia bersarang di paru-paru dan menolak ubat-ubatan anti-bakteria serta antiviral dan membunuh manusia dengan cepat.
Orang dewasa sihat lebih berisiko dijangkiti virus selesema burung. Virus H5N1 menyebabkan tindak balas imunologi yang besar terhadap virus yang ada di dalam sistem imun orang yang paling kuat. Malangnya keadaan ini menyebabkan pula pembebasan enzim manusia yang dipanggil cytokines yang memusnahkan sel paru-paru.
Sehingga kini, lebih 60 orang mati di serata dunia kerana dijangkiti wabak selesema burung.
Bagaimana membendung selesema burung
Sehingga kini, belum ada penawar yang dapat mengubati unggas mahupun manusia. Apa yang dapat dilakukan ialah membunuh semua ternakan yang ada secara besar-besaran biarpun hanya seekor dua yang dijangkiti. Itu sahaja langkah terbaik setakat ini.
Menghapuskan ternakan ayam ini telah menjejaskan pula ekonomi sesebuah negara. Para penternak kerugian kerana ternakan ayamnya terpaksa dimusnahkan. Manakala penjual ayam runcit juga mengalami nasib sama kerana para pengguna takut hendak menyentuh atau makan ayam.
Bagaimana mencegah selesema burung berjangkit
Kita tidak semestinya memulaukan memakan ayam sama sekali. Apa yang penting ialah mengampil berat aspek kebersihan. Apa yangboleh kita lakukan ialah:
1. Pastikan ayam masak sepenuhnya. Suhu memasak mestilah sekurang-kurangnya 70-75 darjah Celcius.
2. Basuh tangan dengan sabun (sabun antibakteria) sebelum dan selepas menyentuh daging mentah.
3. Basuh dengan bersih semua permukaan dan peralatan dapur yang terkena daging mentah.
4. Masak telur sampai masak sepenuhnya. Elakkan makan telur separuh masak.
Jenis-jenis virus
Virus-virus Avian Influenza dikenali sebagai H5N1 (paling bahaya), H7N2, H1N7, H7N3M, H13N6, H5N9, H11N6, H3N6, HPN2, H5N2, H4N8, H10N7, H2N2, H8N4, H14N5, H6N5, H12N5, dan banyak lagi.
Rawatan dan pelalian
Gejala selesema burung pada manusia berbeza-beza dari selesema (demam, batuk, sakit kerongkong dan sengal otot) sehinggalah sakit mata, paru-paru berair, penyakit pernafasan teruk, dan beberapa komplikasi mengancam nyawa yang teruk. Gejala selesema burung bergantung kepada jenis virus yang menyebabkan jangkitan.
Terdapat ubat untuk rawatan dan pencegahan penyakit ini tetapi keberkesanannya masih dalam kajian. Virus H5N1 merupakan jenis virus yang dianggap paling merbahaya kerana mampu merebak kepada manusia dan menyebabkan kematian. Virus H5N1 kebal kepada ubat antivirus biasa seperti amantadine dan rimantadine. Dua jenis ubat antivirus lain, Oseltamavir (Tamiflu) dan zanamavir, kemungkinan berkesan merawat selesema yang disebabkan oleh virus H5N1. Setakat ini masih belum ada ubat pelalian.

Advertisements

PENGAJIAN AM STPM : H1N1 (SELSEMA BABI)

Influenza A (H1N1)
ABSTRAK
Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau World Health Organization (WHO) pada 24 April 2009 telah mengisytiharkan krisis kecemasan kesihatan antarabangsa ekoran merebaknya wabak Virus Influenza A (H1N1) (Selesema Babi atau Swine Flu) bagi memberi amaran wabak yang dianggap makin mencemaskan dan berpotensi untuk menjadi pusat ‘pandemik’ atau wabak yang akan merebak. Selesema babi yang disebarkan oleh manusia ini telah mencetuskan keadaan panik di seluruh dunia terutamanya di Mexico dan Amerika Syarikat (AS). Sehingga 6 Mei 2009, wabak ini telah mengorbankan 29 orang di Mexico, 2 orang di United State (US), 1786 orang telah disahkan dijangkiti dan lebih 4169 orang disyaki dijangkiti di seluruh dunia. Jumlah kematian dan mereka yang dijangkiti meningkat dari semasa ke semasa dan amat dikhuatiri merebak ke Negara ini.
PENGENALAN
Demam Virus Influenza A (H1N1) adalah sejenis penyakit sistem pernafasan (respiratory) yang biasanya ditemui dalam kawanan babi. Virus Influenza A (H1N1) atau demam babi ini biasanya berlegar dalam spesies babi sahaja dan tidak menjangkiti manusia. Namun jangkitan terhadap manusia telah berlaku dan penyebaran virus ini dalam kalangan manusia telah mula dikesan sejak tahun 1988.
Apakah Virus Influenza A (H1N1)?
Virus Influenza A (H1N1) adalah sejenis penyakit respiratory yang ditemui dalam kawanan babi disebabkan oleh virus influenza jenis A (H1N1). Selesema babi ini dikesan saban tahun dan biasanya terjadinya kepada mereka yang mempunyai kaitan dengan babi. Manusia biasanya tidak dijangkiti oleh virus ini tetapi jangkitan terhadap manusia telah dikesan. Virus selesema babi telah dilaporkan merebak dari manusia ke manusia lain. Tetapi pada masa lepas, pemindahan virus ini adalah terhad dan menjangkiti sehingga tiga orang sahaja.

Adakah Terdapat Jangkitan Demam Virus Influenza A (H1N1) di US?
Pada akhir Mac dan awal April 2009, beberapa kes jangkitan virus ini (H1N1) terhadap manusia telah dilaporkan di Southern California berdekatan San Antonio, Texas. Beberapa negeri lain di US juga telah melaporkan jangkitan yang sama pada manusia dan juga telah dilaporkan di peringkat antarabangsa. (Perkembangan terkini mengesahkan bilangan jangkitan virus di Amerika Syarikat boleh di dapati di http://www.cdc.gov/swineflu/investigation.htm. Pusat pencegahan dan kawalan penyakit (CDC – Centers for diseases control and prevention dan Jabatan serta agensi kesihatan sedang bekerjasama dalam menyiasat situasi ini).

Adakah Virus Ini Berjangkit?
CDC telah mengesahkan bahawa virus ini (H1N1) adalah berjangkit dan merebak dari seorang ke seorang manusia lain. Walau bagaimanapun masih belum diketahui cara dan bagaimana mudahnya jangkitan ini terjadi.
Apakah Tanda-tanda dan Simptom Virus Influenza A (H1N1) Terhadap Manusia?
Simptom Virus Influenza A (H1N1) ini terhadap manusia adalah sama dengan simptom selesema biasa seperti demam, batuk, sakit tekak, sakit badan, pening kepala, sejuk dan kelesuan. Ada juga sesetengah kes cirit-birit dan muntah yang berkait dengan selesema burung yang dilaporkan.
Pada masa yang lepas, beberapa penyakit (kegagalan paru-paru dan sistem pernafasan) dan kematian telah dilaporkan dengan jangkitan selesema babi dalam manusia. Seperti virus selesema bermusim, selesema babi boleh menyebabkan keadaan kesihatan kronik.

Bagaimanakah Selesema Burung Merebak?
Virus jenis A (H1N1) selesema burung ini dijangka akan merebak seperti mana virus selesema bermusim lain. Virus selesema ini biasanya disebarkan dari seorang ke seorang yang lain melalui batuk dan bersin mereka yang terkena jangkitan. Kadang-kadang seseorang itu boleh dijangkiti melalui barang yang disentuh dengan tangan dan kemudiannya menyentuh mulut dan hidung mereka.
Bagaimanakah Seseorang Yang Dijangkiti Selesema Menjangkiti Seorang Lain?
Seseorang yang dijangkiti mungkin boleh menjangkiti seorang lain bermula sehari sebelum simptom itu merebak hingga ke hari ke-7 selepas dijangkiti (sakit). Ini bermakna kita mungkin boleh menyebarkan virus ini sebelum mengetahui yang kita telah dijangkiti.

Apa Yang Perlu Dilakukan Untuk Mengelak Daripada Dijangkiti Selesema?
Perkara yang terpenting sekali adalah membasuh tangan. Cuba untuk berada pada tahap yang paling sihat. Dapatkan tidur yang cukup. Sentiasa aktif, menangani tekanan, minum banyak air dan makan makanan berkhasiat. Cuba mengelak dari menyentuh tempat yang dicemari dengan virus. Mengelak hubungan dengan mereka yang sakit.
Adakah Terdapat Ubat Untuk Virus Influenza A (H1N1) Ini?
CDC menyarankan pengambilan ubat seperti oseltamivir atau zanamivir untuk merawat dan/atau mencegah jangkitan virus selesema babi ini. Ubat antiviral adalah ubat-ubatan berpreskripsi (pil, cecair ataupun ubat sedut) yang melawan virus dari terus membiak di dalam badan anda.
Jika anda jatuh sakit, ubat antiviral akan dapat melegakan dan membuat anda sihat dengan lebih cepat. Ia juga dapat mencegah dari komplikasi selesema yang lebih serius. . Untuk tujuan rawatan, ubat antiviral adalah lebih berkesan untuk diambil sebaik sahaja jatuh sakit (dalam dua hari selepas simptom).

Berapa Lama yang Diambil oleh Seseorang yang Dijangkiti dengan Selesema Burung Untuk Menyebarkan Kepada Orang Lain?
Mereka yang dijangkiti dengan virus ini boleh dikira sebagai pembawa virus selagi mereka di dalam simptom sehingga tujuh hari dari bermula sakit. Kanak-kanak, terutama anak-anak kecil berpotensi untuk dijangkiti untuk jangka masa yang lebih lama.
Apakah Kawasan-kawasan Yang Berkemungkinan Sebagai Tempat Yang Dicemari?
Kuman boleh merebak apabila seseorang menyentuh sesuatu yang dicemari dengan kuman dan menyentuh pula mata, mulut dan hidung mereka. Titisan rembesan dari batuk dan bersin dari mereka yang dijangkiti boleh bergerak melalui udara. Kuman boleh merebak apabila seseorang itu menyentuh titisan rembesan batuk dan bersin dari seorang di atas permukaan seperti meja dan permukaan lain dan menyentuh mata, mulut dan hidung sebelum membasuh tangan mereka.
Berapa Lama Virus Tersebut Boleh Hidup Di Luar Badan?
Seperti yang diketahui sesetengah virus dan dapat hidup sehingga lebih dua jam di permukaan seperti meja kafeteria, tombol pintu dan meja. Membasuh tangan dengan kerap akan mengurangkan kesan pencemaran yang didapati dari permukaan-permukaan ini.
Apa Yang Boleh Dilakukan Untuk Mengelak Daripada Dihinggapi Penyakit?
Buat masa ini belum lagi ada sebarang vaksin untuk melindungi dari selesema babi ini. Terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk membantu menghalang penyebaran kuman yang menyebabkan penyakit pernafasan seperti demam selesema. Cubalah langkah-langkah ini untuk melindungi kesihatan anda:

• Tutup/lindung mulut dan hidung anda dengan tisu sewaktu bersin atau batuk. Buangkan tisu tersebut ke dalam tong sampah selepas menggunakannya.

• Basuhlah tangan dengan sabun dan air dengan kerap terutamanya selepas batuk atau selesema. Pembersih tangan berasaskan alcohol juga berkesan.

• Mengelak dari menyentuh mata, hidung dan mulut. Kuman boleh merebak dengan cara ini.

• Jika anda sakit akibat demam selesema, disyorkan supaya anda tidak bekerja atau ke sekolah juga mengehadkan pergaulan dengan orang lain supaya mereka tidak dijangkiti.
Apakah Cara Terbaik Untuk Mengelak Dari Menyebarkan Virus Melalui Batuk Dan Bersin?
• Jika anda sakit, hadkan pergaulan anda sebaik yang mungkin.
• Jangan pergi ke sekolah;
• Tutup mulut anda dengan tisu semasa batuk dan bersin. Ia boleh membantu mengelak orang-orang di sekeliling kamu dari jatuh sakit;
• Buangkan tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah;
• Tutup mulut anda semasa bersin dan batuk jika tiada tisu;
• Basuhlah tangan kamu setiap kali batuk dan bersin.

Apakah Teknik Terbaik Untuk Mencuci Tangan Dan Mengelak Dari Jangkitan Selesema?
Membasuh tangan dengan kerap akan membantu melindungi anda daripada kuman. Basuhlah dengan sabun dan air ataupun pembersih tangan berasaskan alcohol. Basuhlah tangan antara 15 ke 20 saat dengan air suam dan sabun. Jika tiada air dan sabun, tisu pakai buang berasaskan alcohol atau pembersih gel boleh digunakan. Ianya boleh didapati di kedai-kedai ubat dan pasar raya. Jika menggunakan gel, sapulah tangan anda sehingga gel itu kering. Alkohol di dalam gel tadi akan membunuh kuman dan ianya tidak memerlukan air untuk berkesan.

Apa Yang Perlu Saya Lakukan Jika Jatuh Sakit?
Jika anda tinggal di kawasan yang dikenal pasti wabak Virus Influenza A (H1N1) itu merebak dan mempunyai simptom-simptom demam selesema termasuk demam panas, sakit badan, selesema, sakit tekak, muntah mual dan cirit-birit, anda perlu berjumpa dengan doktor, terutamanya jika anda risau tentang simptom-simptom tadi. Doktor akan mengesahkan sama ada sebarang ujian atau rawatan adalah perlu.
Jika anda sakit anda perlu:-
• Tinggal di rumah dan mengelak hubungan dengan orang lain sebaik mungkin untuk mengelak jangkitan;
• Mendapatkan rawatan kecemasan jika mengalami tanda-tanda awal penyakit;
Untuk kanak-kanak tanda-tanda dan perlu dibawa untuk dirawat adalah seperti berikut:-
• Kesukaran bernafas dan pernafasan yang terlalu cepat;
• Warna kulit bertukar kebiru-biruan;
• Tidak minum air yang secukupnya;
• Tidak bangun dan berinteraksi;
• Tidak suka dipegang dan asyik merengek;
• Simptom seperti selesema dan pulih tetapi kemudiannya berulang bersama demam dan batuk yang lebih teruk;
• Demam dan beruam.

Bagaimana Seriusnya Jangkitan Virus Influenza A (H1N1) ini?
Seperti demam selesema yang lain, kesan selesema babi (Virus Influenza A) (H1N1) pada manusia adalah berbeza dari tahap sederhana ke tahap serius. Antara 2005 hingga Januari 2009, 12 kes jangkitan pada manusia tanpa kematian dikenal pasti di Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun kesan dari selesema babi ini boleh menjadi serius. Pada September 1988, seorang wanita mengandung berumur 32 tahun dari Wisconsin dimasukkan ke hospital akibat jangkitan paru-paru akibat selesema babi dan meninggal dunia 8 hari kemudian. Pada tahun 1976, wabak selesema babi dikesan di Fort Dix, New Jersey mengakibatkan lebih 200 kes serius dan satu kematian.

Bolehkah Saya Dijangkiti Melalui Memakan Dan Menyediakan Masakan Berasaskan Babi?
• Tidak.

Selesema babi tidak boleh merebak melalui makanan. Ianya tidak boleh dijangkiti melalui makanan dan produk berasaskan babi. Memakan produk berasaskan babi yang dimasak dan disediakan dengan sempurna.
TINDAKAN SERTA-MERTA KEMENTERIAN KESIHATAN
• Kementerian Kesihatan menguat kuasa serta-merta empat langkah pencegahan:-

i. Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia mengaktifkan Bilik Gerakan untuk membuat pemantauan situasi wabak Virus Influenza A (H1N1) dengan pihak WHO bagi memastikan tindakan-tindakan proaktif diambil untuk melindungi kesihatan awam penduduk Malaysia.

ii. Semua Pengamal Perubatan termasuk di sektor swasta yang merawat kes-kes yang mempunyai tanda-tanda atau gejala ‘influenza-like illness’ atau ‘severe pneumonia’ dan mempunyai sejarah melawat Mexico, California, Kansas, Ohio, Texas, New York atau Kanada selepas 17 April 2009 diminta untuk memaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat dengan serta merta melalui telefon untuk tindakan pencegahan dan kawalan.

iii. Saringan tanda-tanda jangkitan Virus Influenza A (H1N1) di semua pintu masuk negara untuk pelawat atau warga Malaysia yang ada melawat ke negara Mexico, California, Kansas, Ohio, Texas, New York atau Kanada selepas 17 April 2009.

iv. Membuat kenyataan akhbar dari masa ke semasa situasi wabak Virus Influenza A (H1N1) untuk maklumat orang awam di Malaysia dan langkah kawalan dan pencegahan yang diambil oleh Kerajaan.
• Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menyatakan pada Sidang Media pada 26 April 2009 mengenai wabak berkenaan amat berbahaya kerana ia tersebar melalui manusia bukannya haiwan seperti selesema burung atau ‘avian flu’ yang pernah melanda negara ini.
• Beliau bagaimanapun meminta rakyat negara ini supaya tidak panik kerana Kerajaan sentiasa berwaspada terhadap apa jua wabak yang boleh menyebabkan kematian.
• Pengawasan itu membabitkan pemeriksaan kesihatan terhadap orang ramai antaranya mereka yang menunjukkan tanda-tanda demam panas.
• Pengawasan di semua pintu masuk negara diperketatkan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengekang penularan wabak selesema babi dari merebak ke dalam negara terutama penumpang penerbangan dari luar negara termasuk AS.
• Orang awam yang ingin mendapat maklumat lanjut berkaitan dengan wabak Virus Influenza A (H1N1) ini boleh mendapatkan maklumat tersebut melalui talian 03-88810200 atau 03-88810300 pada waktu pejabat atau di laman web Kementerian http://www.moh.gov.my

Sumber : Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)
• Pusat Pencegahan dan Kawalan Wabak Amerika Syarikat (US Centers of Diseases Control and Prevention) atau CDC
• Akhbar-akhbar Utama Tempatan

PENGAJIAN AM STPM : KEGANASAN ANTARABANGSA

KEGANASAN antarabangsa semakin menjadi-jadi. Pengeboman dua pesawat Russia, penahanan dan pembunuhan tebusan di Beslan, Ossetia Utara, pengeboman kedutaan Australia di Jakarta, pembunuhan pejuang berani mati di Iraq, Palestin, Afghanistan dan Sudan menunjukkan keganasan terus menular.

Keadaan menjadi di luar kawalan hingga negara polis dunia iaitu Amerika Syarikat (AS) menyatakan matlamat utama dasar luar negara itu ialah unilateralisme dalam mengekang keganasan antarabangsa.

Berikutan dasar itu, keadaan menjadi lebih menyedihkan apabila AS memencilkan dan menidakkan peranan pertubuhan antarabangsa khususnya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam penyelesaian konflik antarabangsa di beberapa negara.

AS turut menyemarakkan sesetengah pihak untuk bertindak lebih rakus dan melampau seperti yang dilakukan Israel di Palestin, hingga beberapa kumpulan pejuang di Iraq, Afghanistan, Chechnya dan Palestin menjadi semakin terdesak dan hilang kepercayaan terhadap sistem penyelesaian konflik antarabangsa sedia ada.

Dengan keadaan yang bercelaru, rejim Israel terus meluaskan penguasaan mereka di Palestin hingga pejuang kemerdekaan bertindak nekad melancarkan pengeboman berani mati di mana saja mereka beroperasi.

Sebenarnya tidak sukar memahami tindakan kumpulan ini yang terdesak lebih-lebih lagi apabila kekuasaan semakin tidak berpihak kepada mereka.

Stalemate yang berlaku dalam perhubungan antarabangsa kini sebenarnya didorong oleh sikap negara kuasa besar khususnya AS dan konconya yang melihat penyelesaian masalah keganasan antarabangsa daripada sudut yang salah.

Angkuh dengan penguasaan teknologi dan ekonomi, mereka silap mengarahkan dasar membanteras keganasan antarabangsa melalui tindakan unilateral dan pre-emptive yang berorientasikan falsafah might is right atau besar atau kuat itu benar.

Mereka mengetepikan soal kemanusiaan, maruah bangsa, kemerdekaan, kedaulatan dan hak orang yang tertindas, miskin dan terabai.

Segala yang ada pada mereka termasuk kekuatan teknologi dan ekonomi digunakan untuk mengeksploitasi negara miskin dan bangsa yang lemah bagi membolehkan mereka terus berkuasa.

Senario hubungan antarabangsa nampaknya tidak akan berubah dalam masa yang terdekat. Gambaran kesinambungan falsafah kuno itu kini dapat kita lihat terus dipertahankan oleh negara kuasa besar.

Di Asia Tenggara, sebagai wakil atau Timbalan Syerif kepada AS di rantau ini, Australia bersungguh-sungguh mentaati suruhan tuannya dalam menangani keganasan antarabangsa.

Perdana Menteri Australia, John Ho-ward, buat kali keduanya baru-baru ini membuat penegasan semula untuk bertindak secara unilateral dan pre- emptive merentasi sempadan negaranya dalam menangani keganasan antarabangsa.

Kenyataan itu dibuat sebagai maklum balas Howard kepada tragedi pengeboman kedutaan Australia di Jakarta baru-baru ini. Sikap itu sama sekali membelakangkan nilai kejiranan rantau Asia Tenggara dan dilihat sebagai ancaman yang terus menjadikan rantau ini sasaran kumpulan pengganas antarabangsa.

Meskipun apa yang didakwa sebagai suspek pengeboman itu ialah warga negara Malaysia, tidak wajar kerakyatan negara ini dijadikan sebab untuk bertindak dan menyerang demi membanteras keganasan.

Apakah rasional pemimpin Australia mengugut rakyat rantau ini termasuk Malaysia yang majmuk dan komited dalam menghadapi keganasan antarabangsa?

Rakyat Malaysia bersedia mempertaruhkan nyawa demi mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan tanah air serta tidak akan membenarkan sama sekali rantau ini diheret ke dalam satu konflik seperti di Palestin atau Iraq.

Sudahlah pribumi di Australia ditindas di bumi sendiri, kini rantau Asia Tenggara pula hendak dijadikan medan penguasaan mereka. Jika ini matlamat dan hasrat Australia, selama-lamanya dunia akan gagal menangani keganasan antarabangsa.

Kitaran keganasan yang kini berpusar di Timur Tengah, Afghanistan, Asia Tengah dan Afrika Utara wujud pula di rantau ini. Percaya pusaran dan kitaran keganasan di mana-mana pun tidak akan mendatangkan keuntungan kepada mana-mana negara sebaliknya akan membawa kesengsaraan yang berpanjangan.

Bagi rakyat biasa di Malaysia dan barangkali di Australia, gelagat pemimpin seperti Howard amat mendukacitakan kerana majoriti rakyat kedua- dua negara inginkan keamanan dan kestabilan serantau, beliau pula seolah- olah dengan sengaja mengundang masalah.

Barangkali ia adalah gimik politik Howard kali ini terutama ketika berusaha menghadapi pilihan raya umum Oktober ini.

Malaysia berusaha menjadi model terbaik negara Islam majmuk yang sederhana dan selaras dengan prinsip kemanusiaan sejagat.

Nilai Islam yang cintakan perdamaian dan kesejahteraan manusia yang dipancarkan melalui kepemimpinan negara kini dan dimanifestasikan dalam dasar sosial dan luar negara termasuk dalam menangani isu keganasan antarabangsa.

Bagi Malaysia, sebarang ancaman kepada usaha menangani keganasan mesti berasaskan penyelesaian pokok iaitu masalah itu seharusnya disokong dan bukan sebaliknya.

Perdana Menteri Malaysia dijangka membangkitkan hal yang sama pada Persidangan Agung PBB minggu depan dan pasti memberi penekanan kepada penyelesaian keganasan kepada punca keganasan antarabangsa terus berleluasa iaitu kemiskinan, kemunduran, pengabaian, penindasan, ketidakadilan, penafian hak akibat kerakusan memonopoli kuasa ekonomi dan mentaliti imperialis sesetengah kuasa besar.

Barangkali ada baiknya isu berkaitan dengan campur tangan asing dan tindakan unilateral dibangkitkan oleh Malaysia bagi menghindar kuasa besar dan konco seperti Australia daripada terus merosakkan keadaan.

Penegasan semula juga harus dibuat oleh Malaysia bagi memberi PBB peranan lebih besar, bebas, adil dan berkesan dalam menghadapi keganasan antarabangsa.

Walaupun pendirian Malaysia tegas tidak menyokong kempen keganasan mana- mana kumpulan pejuang di dunia, hakikatnya diakui bahawa permasalahan yang menghantui dunia dan mencetuskan keganasan tidak dapat diselesaikan selagi dunia terutama negara kuasa besar gagal mengiktiraf dan menyelesaikan masalah asas serta pokok yang disebutkan tadi.

Mereka juga harus mengambil kira pandangan dan peranan setiap negara, kumpulan negara serantau yang terbabit dengan konflik dan peranan organisasi seperti PBB, Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

Dunia tidak mempunyai pilihan selain terus mendukung prinsip multilateralisme dalam perhubungan antarabangsa.

© 1992 – 2009 INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA (IKIM)

PENGAJIAN AM STPM : KEGANASAN RUMAHTANGGA

Keganasan Rumah Tangga

Apakah yang dimaksudkan dengan keganasan rumah tangga?
• Secara sengaja atau cuba meletakkan mangsa dalam ketakutan kecederaan fizikal.
• Mencederakan mangsa secara fizikal.
• Memaksa atau mengancam melakukan perbuatan berbentuk seksual atau selainnya yang mana mangsa itu berhak untuk tidak melakukannya.
• Mengurung atau menahan mangsa tanpa kerelaan mangsa.
• Khianat atau merosakkan harta dengan niat akan menyebabkan kesedihan atau kegusaran kepada mangsa.
Siapakah mangsa keganasan rumah tangga?
• Isteri / bekas isteri
• Suami / bekas suami
• Anak-anak
• Ibu bapa
• Ahli keluarga yang tinggal serumah

Apakah yang dikategorikan sebagai keganasan rumah tangga?
• Penderaan fizikal
• Penderaan mental
• Penderaan emosi
• Penderaan seksual
• Penderaan spiritual

Bagaimanakah keganasan rumah tangga boleh berlaku?
Keganasan rumah tangga berlaku melalui beberapa tahap dan peringkat iaitu:
• Tahap 1 : Peningkatan tekanan – Bermula dengan perselisihan yang kecil dan isteri akan cuba menenangkan Si suami dengan pelbagai tindakan. Si Isteri lebih banyak mengalah menyebabkan Si suami akan menjadi dominan.
• Tahap 2: Permulaan insiden keganasan – Di peringkat ini, keganasan berlaku secara mendadak disebabkan Si suami tidak dapat mengawal kemarahannnya. Si isteri pula, tidak akan melawan, sebaliknya memendam rasa dan menangis. Keadaaan ini akan menyebabkan Si isteri mengalami tekanan psikologi yang keterlaluan.
• Tahap 3: Penyesalan – Pihak mangsa akan merasa sedih dan takut akan ditinggalkan pasangan. Suami berjanji akan berubah sikap, memohon maaf dan menunjukkan kasih sayang dan kemesraan yang luar biasa. Keadaan ini akan memberikan keyakinan kepada Si isteri bahawa Si suami akan berubah.
Adakah perselisihan faham boleh membawa kepada berlakunya keganasan rumah tangga?

Terpulang kepada pasangan suami isteri mengendalikan emosi mereka. Jika pasangan itu dapat berkomunikasi secara positif dan menyelesaikan perselisahan itu dengan baik, dan pasangan akan mengakui dan menginsafi kesalahan yang di buat, ia tidak akan membawa kepada keganasan rumah tangga. Walaubagaimanapun jika pasangan itu tidak dapat mengawal emosi mereka, kemungkinan pertengkaran dan pergaduhan akan berlaku. Kesan yang lebih teruk akan berlakunya keganasan fizikal, mental dan emosi atau seksual.

Mengapa keganasan rumah tangga boleh berlaku?

Keganasan rumah tangga berlaku kerana beberapa sebab:
• Tiada keharmonian dan persefahaman dalam rumah tangga.
• Personaliti suami atau isteri.
• Latar belakang keluarga.
• Kesan penagihan dadah, alkohol atau judi.
• Masalah ekonomi.
• Faktor terlalu cemburu terhadap pasangan.
• Masalah mental
• Latar belakang masyarakat dan budaya.
• Pasangan yang tidak dapat menyesuaikan diri dalam rumah tangga.
• Wujudnya orang ketiga dalam rumah tangga.
• Kurangnya didikan agama.

Bagaimanakah untuk mengelakkan daripada berlakunya keganasan rumah tangga?
• Menjalani kehidupan yang harmoni dan memupuk kasih sayang dalam keluarga.
• Pasangan perlu menerima kekuatan dan kekurangan pasangan mereka dan sama memperbaikinya.
• Pasangan perlu sentiasa berbincang tentang masalah yang dihadapi dan mencari penyelesaian secara harmoni.
• Pasangan perlu tahu dan menunaikan tanggungjawab mereka.
• Pasangan mengetahui hak-hak mereka dari sudut agama dan perundangan.
• Berpegang teguh pada agama.

Mengapa keganasan rumah tangga mesti dibendung?

Keganasan rumah tangga mesti dibendung kerana ia meninggalkan kesan negatif dalam institusi kekeluargaan.
• Si mangsa akan mengalami tekanan fizikal, mental dan spiritual. Sentiasa berada dalam satu situasi yang tidak selamat. Jika ia dibiarkan ia akan menjadi trauma untuk kesan jangka panjang.
• Akan menimbulkan kesan negatif kepada pertumbuhan atau perkembangan anak-anak. Kemungkinan si anak akan mengulangi apa yang dipelajari dari ibu bapanya apabila mereka besar kelak. Mereka pula berpotensi untuk menjadi pendera.
• Jika ia berterusan jalan akhirnya akan berlakunya penceraian. Penceraian tidak menguntungkan semua pihak. Pihak yang paling rugi sekali ialah anak-anak. Anak-anak akan mengalami tekanan emosi dan mental akibat penceraian ibu bapa mereka.
• Anak-anak mangsa penceraian ini akan mengalami konflik identiti dan jika mereka tersalah haluan akan terlibat dengan kes-kes juvana seperti gangsterism, vandalism, penagihan dadah dan lain-lain masalah sosial.
• Si ibu pula akan menjadi ibu tunggal. Terpaksa memainkan peranan sebagai ketua rumah.

Siapakah yang paling mudah terjebak kepada keganasan rumah tangga?
• Pasangan yang berkahwin dalam usia yang muda.
• Pasangan yang berpersonaliti negatif ( panas baran, kuat berleter dll)
• Pasangan yang tidak dapat menyesuaikan diri dalam rumah tangga.
• Penagih, pemabuk dan kaki judi.
• Pasangan yang mengalami sakit mental.
• Pasangan yang kuat cemburu.
• Pasangan yang diganggu oleh orang ketiga.
• Pasangan yang menghadapi masalah ekonomi.

Apakah yang perlu dilakukan sekiranya anda adalah mangsa keganasan rumah tangga?

Jika keganasan rumah tangga di tahap tidak serius:
• Mengenalpasti punca berlakunya keganasan rumah tangga.
• Cuba berbincang dengan pasangan anda agar tidak berlaku lagi.
• Dapatkan bantuan orang ke tiga di kalangan kedua-dua keluarga anda.
• Hubungi JPW ( unit Kaunseling ) atau PPWN untuk mendapatkan khidmat nasihat.

Jika keganasan di tahap serius:
• Pastikan anda mendapat rawatan doktor jika berlaku kecederaan. Pergi ke OSCC ( Pusat Khidmat Bersepadu )
• Laporkan kepada pihak polis.
• Laporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendapatkan Perintah perlindungan Interim ( IPO ) atau Perintah Perlindungan (PO).
• Jika anda telah membuat keputusan untuk bercerai, failkan penceraian anda di mahkamah.

Bolehkah perkara ini ditangani sendiri tanpa bantuan pihak ketiga?

Boleh. Jika pasangan bersedia berbincang secara baik untuk menyelesaikan segala masalah yang timbul. Pada masa yang sama, pasangan dapat menerima kekuatan dan kelemahan pasangan dan memberi sokongan antara satu sama lain. Pasangan suami isteri perlu sedar bahawa perkahwinan bukan sahaja bersatunya dua hati tetapi penyatuan cara hidup, budaya dll. Kembali kepada agama dan memainkan peranan serta tanggungjawab sebagai suami isteri merupakan satu pendekatan yang terbaik.

Siapakah yang boleh membantu apabila anda mengalami keganasan Rumah Tangga?
• Diri sendiri
• Ahli Keluarga
• Jiran tetangga
• Ahli sukarelawan dan NGO
• Pihak Polis
• Hospital
• Jabatan Kebajikan Masyarakat
• Jabatan Agama Islam atau Badan Pendamai.
• Untuk mendapatkan khidmat nasihat hubungi Unit Kaunseling JPW atau PPWN ( Rumah Nur )

Bagaimanakah cara untuk mendapatkan bantuan?
• Ingin mendapatkan khidmat nasihat : Menelefon atau membuat temujanji dengan kaunselor-kaunselor dan Pegawai Pembangunan Masyarakat ( JPW, PPWN,JKM,JAIS dan sukarelawan-sukarelawan NGO )
• Ingin membuat aduan: Lapor segera kepada pihak polis yang berdekatan. Jika terdapat kecederaan, pergi ke Pusat Khidmat Sepadu( OSCC ) Ke Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendapatkan IPO dan tempat perlindungan jika perlu.
Mengapakah wanita atau mangsa keganasan rumah tangga sering berdiam diri (membisu ) atau lambat bertindak apabila didera?
• Wanita tidak mempunyai kesedaran tentang hak mereka sebagai isteri dalam aspek agama dan undang-undang.
• Perasaan takut kerana akan hilang tempat bergantung.
• Perasaan malu untuk membuat aduan tentang kepincangan keluarga sendiri.
• Memikirkan tentang anak-anak.
• Termakan pujuk rayu dan janji manis si suami