PENGAJIAN AM STPM :Dasar/Program Pembaharuan dan Peningkatan Produktiviti dan Kualiti Dalam Perkhidmatan Awam

Dasar/Program Pembaharuan dan Peningkatan Produktiviti dan Kualiti Dalam Perkhidmatan Awam
Latarbelakang
Dalam era pembangunan yang dipelopori sejak negara mencapai kemerdekaan, fungsi pentadbiran awam telah mengalami perubahan yang dinamik di mana keseluruhan jentera Kerajaan digembleng dan dijuruskan kepada usaha-usaha meningkatkan taraf hidup rakyat di samping menjamin keamanan, kesejahteraan dan keselamatan awam. Jentera pentadbiran Kerajaan memainkan peranan yang penting dalam merealisasikan aspirasi negara menerusi pelaksanaan secara berkesan segala dasar, program dan projek Kerajaan. Keupayaan perkhidmatan awam memberikan perkhidmatan yang bermutu dan berwibawa perlulah dipertingkatkan sealiran dengan perkembangan-perkembangan yang pesat berlaku di dalam atau di luar negeri. Ini memerlukan perubahan-perubahan yang boleh meningkatkan produktiviti dan keberkesanan perkhidmatan awam dalam menghadapi cabaran-cabaran pembangunan negara.

Rasional
Jentera Kerajaan bukan sahaja besar dan rumit malah Kerajaan adalah merupakan majikan yang terbesar di negara ini. Keupayaan jentera Kerajaan bergerak secara licin dan cekap dan memainkan peranan dalam pembangunan negara tidak hanya bergantung kepada bilangan petugas perkhidmatan awam semata-mata tetapi kepada mutu dan produktiviti mereka. Kos belanja mengurus negara dari setahun ke setahun adalah tinggi dan meningkat. Sungguhpun ada langkah-langkah tertentu seperti penswastaan dan usaha mengurangkan perbelanjaan awam, namun perkhidmatan awam akan terus memikul tanggungjawab yang berat dalam pembangunan negara. Ini antara lainnya adalah disebabkan oleh:
(i) Keadaan dunia yang berubah dengan cepat dan setiap negara berlumba-lumba mencapai kemajuan;

(ii) Aspirasi dan kehendak rakyat yang makin meningkat hasil dari peningkatan taraf hidup dan tahap pendidikan mereka;

(iii) Kemajuan dalam sains dan teknologi;

(iv) Kekurangan sumber dan perubahan pemikiran bahawa sumber-sumber yang digunakan oleh perkhidmatan awam adalah pelaburan yang memerlukan pulangan; dan

(v) Hasil dari keluaran negara menghadapi persaingan hebat di pasaran dunia.

Perkara-perkara di atas memerlukan langkah-langkah tertentu diambil bagi memastikan produktiviti sektor awam dan mutu perkhidmatan kepada orang ramai terus meningkat. Dengan itu perubahan-perubahan pentadbiran dan permodenan birokrasi bagi meningkatkan produktiviti yang dapat dinilai menerusi peningkatan kecekapan, kekesanan dan kualiti perkhidmatan telah dibuat melalui penggubalan dan pelaksanaan beberapa dasar dan proram tertentu.
Objektif
Dasar-dasar pembaharuan ini mempunvai objektif seperti berikut:

(i) Meningkatkan keupayaan dan produktiviti sektor awam supaya ia dapat memainkan peranannya meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi yang menyumbang ke arah pembangunan;

(ii) Memastikan sumber-sumber negara digunakan secara optimum; dan

(iii) Meningkatkan jumlah dan mutu perkhidmatan kepada orang ramai.

PENGAJIAN AM STPM : DASAR PENSWASTAAN

Penswastaan
Latarbelakang
Pengswastaan mula mendapat perhatian yang wajar di Malaysia mulai pertengahan tahun 1983 apabila Y.A.B. Perdana Menteri melancarkan Dasar Persyarikatan Malaysia yang juga telah menyentuh peranan pihak swasta dalam pembangunan dan pengurusan negara.
Penswastaan adalah bertentangan dengan pemiliknegaraan (nationalization), iaitu satu proses yang menambahkan pemilikan dan penguasaan Kerajaan dalam ekonomi. Pada dasarnya, pengswastaan melibatkan beberapa kepentingan atau pelaburan kerajaan yang tertentu kepada sektor swasta. Keadaan ekonomi meleset juga menjadi faktor-faktor utama yang membawa kepada Dasar Pengswastaan ini diperkenalkan.

Objektif
Dasar Pengswastaan diperkenalkan dengan mempunyai objektif seperti berikut:
(i) Mengurangkan Bebanan Kewangan Kerajaan

Pada masa yang lepas, pihak Kerajaan telah membelanjakan ribuan juta ringgit dalam sektor kesihatan, pertahanan, air, api, jalan keretapi, pelabuhan, lapangan terbang dan sebagainya, dan perbelanjaan tersebut terus meningkat dari masa ke semasa dan kadar pulangan balik kepada Kerajaan adalah lambat dan sangat rendah.
Di samping itu, Kerajaan juga terpaksa menyelenggarakan perkhidmatan dan pelaburan-pelaburan tertentu. Jumlah emolumen merupakan satu item yang terbesar iaitu lebih satu pertiga daripada keseluruhan perbelanjaan mengurus. Perbelanjaan dalam bentuk pindahan juga telah meningkat dengan pesatnya sejak akhir-akhir ini dan sekarang telah menjadi hampir setengah daripada perbelanjaan mengurus.

(ii) Meninggikan Kecekapan Dan Penghasilan Kerja

Pencapaian kebanyakan daripada perusahaan awam yang terlibat dalam bidang perdagangan dan perindustrian masih tidak memuaskan walaupun mereka mempunyai kedudukan monopolistik dan menikmati berbagai sokongan Kerajaan. Dengan mengswastakan beberapa perkhidmatan Kerajaan yang tertentu, serta dengan kepakaran dan peluang yang lebih baik yang boleh di beri oleh pihak swasta, adalah dijangka perkhidmatan tersebut dapat di tingkatkan dengan lebih baik lagi.

(iii) Menggalakkan Pertumbuhan Ekonomi Dan Kekesanan Negara

Harta-harta atau kekayaan yang dimiliki oleh negara masih belum diusahakan sepenuhnya. Halangan-halangan yang terdapat dalam sektor awam tidak menggalakkan penggunaan sumber-sumber kekayaan negara ini dengan cekap dan sepenuhnya.
Lebih banyak syarikat swasta yang dapat di wujudkan yang dengan secara tidak langsung dapat meninggikan pertumbuhan ekonomi negara. Di samping itu, pihak Kerajaan pula dapat mengecap nikmat bersama dengan mengutip cukai pendapatan dari syarikat-syarikat yang berkenaan.
(iv) Pembahagian Sumber Serta Kecekapan
Lebih banyak penglihatan Kerajaan dalam ekonomi bermakna lebih banyak penguasaan Kerajaan terhadap sumber-sumber negara. Keputusan pula biasanya dibuat berasaskan pertimbangan yang bukan bercorak pasaran. Sebahagian besar daripada barang-barang dan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh Kerajaan mencerminkan nilai pasaran. Harga barangan tersebut adalah berasaskan subsidi dan sumber yang diuntukkan itu untuk pengeluarannya tidak dapat diagihkan dengan cekap.
Subsidi dan pengekalan sikap yang berkehendakkan kebajikan, akan menggalakkan rakyat Malaysia terlalu bergantung kepada bantuan Kerajaan. Keadaan ini tidak sesuai dengan kepentingan jangka panjang perseorangan dan negara keseluruhannya.

(v) Mempercepatkan Pencapaian Matlamat dasar Ekonomi Baru
Dengan memberi lebih banyak peluang kepada pihak swasta, Kerajaan dapat mengwujudkan lebih banyak penyertaan syarikat swasta Bumiputera atau bilangan pengurus-pengurus Bumiputera bagi memenuhi kehendak-kehendak Dasar Ekonomi Baru itu.

Strategi Pelaksanaan
Beberapa isu penting perlu diselidiki, dikaji dalam menimbangkan cadangan-cadangan pengswastaan sesuatu perkhidmatan itu. Kabinet telah mengarahkan satu Jawantankuasa ditubuhkan di Unit Perancang Ekonomi (EPU) dengan dianggotai oleh Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU), Kementerian Kewangan dan Jabatan Awam (PSD) dengan dipengurusikan oleh Unit Perancang Ekonomi bagi menyediakan satu garis panduan yang lengkap untuk memudahkan Kementerian/Jabatan mengswastakan beberapa perkhidmatan di bawah Kementerian/Jabatan masing-masing. Antara isu-isu yang perlu di pertimbangkan ialah:
(a) Pemecahan sesuatu khidmat (fragmentation);
(b) Soal keselamatan;
(c) Perundingan;
(d) Implikasi kewangan;
(e) Penentuan harga;
(f) Implikasi kepada kakitangan;
(g) Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru;

Berdasarkan kepada angka perbelanjaan dan peruntukan-peruntukan pembangunan awam, sektor swasta pula mengkaji keupayaan mereka dalam mengurus dan mengambilalih harta-harta yang akan diswastakan. Pengawasan dan penilaian yang rapi terhadap perkhidmatan-perkhidmatan yang diswastakan juga merupakan sebahagian dari program pengswastaan. Tingkat kecekapan daya pengeluaran, daya persaingan yang sihat serta tingkat harga yang dikenakan terhadap perkhidmatan-perkhidmatan berkenaan perlu diawasi untuk menilai kos dan faedah dari perkhidmatan yang diswastakan.

Penutup
Kebimbangan-kebimbangan terhadap Dasar Pengswastaan timbul kerana akan berlakunya beberapa pemindahan hakmilik ‘national monopoly’ yang sepatutnya dikendalikan oleh sektor awam kepada syarikat swasta. Pemindahan itu dikuatiri boleh menyebabkan kenaikan kos, harga dan agihan pendapatan yang tidak serata disebabkan oleh pemonopolian tersebut.
Walaubagaimanapun, jika dasar ini dikaji secara mendalam dan dipraktikkan secara sempurna selepas mengambil kira kemungkinan penyalahangunaan kuasa monopoli di atas, ianya akan dapat menyediakan satu perkhidmatan yang lebih cekap, cepat dan murah pada pengguna penggunanya, yang mana secara tidak langsung akan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.

PENGAJIAN AM STPM : IMPAK LA NINA ATASI EL NINO

Impak La Nina Atasi El Nino
DALAM tempoh seminggu bermula 3 Mac lalu, bandar raya Kuala Lumpur dan Johor Bahru, Johor dilanda banjir kilat akibat hujan lebat antara tiga hingga tujuh jam menyebabkan lebih 300 kenderaan musnah dihanyutkan air manakala lebih 1,200 penduduk terpaksa berpindah.
Banjir kilat itu menyebabkan kira-kira 40 orang terperangkap dalam bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) manakala hampir semua jalan utama di ibu negara mengalami kesesakan teruk berikutan air naik mendadak.
Kebiasaannya, menjelang Mac, cuaca di Malaysia dikatakan mengalami musim panas tetapi situasi sebaliknya berlaku. Semua ini mempunyai kaitan dengan La Nina, iaitu fenomena yang mana suhu permukaan di Lautan Pasifik Tengah dan Timur menjadi lebih rendah daripada biasa.
Fenomena ini berlaku disebabkan tekanan atmosfera permukaan di khatulistiwa Pasifik Barat menurun menyebabkan pembentukan awan lebih banyak dan hujan lebat. Ringkasnya, La Nina ialah perubahan cuaca sejuk menyebabkan hujan dan ia berlawanan dengan fenomena El Nino yang membawa perubahan cuaca panas menyebabkan kemarau.
Di Malaysia, secara umumnya jumlah hujan melebihi purata dijangka berlaku di kebanyakan tempat di seluruh negara, namun, taburan hujan ini bergantung kepada pelbagai faktor lain selain faktor La Nina.

Perlu diketahui, kekuatan La Nina dan faktor masa juga memberi impak yang berbeza terhadap jumlah taburan hujan.
Hakikat sebenarnya, walaupun beberapa kawasan dilanda banjir kilat, negara ini masih selamat kerana ketika ini perubahan yang berlaku itu hanya disebabkan ‘La Nina lemah’ dan Pertubuhan Meteorologi Dunia belum pasti sama ada fenomena ini akan berterusan atau sebaliknya.
Ini kerana, perubahan data bacaan indeks suhu permukaan lautan hanya mencatatkan peningkatan yang sedikit iaitu -0.6 bagi November 2008 hingga Januari 2009 kepada -0.8 bagi Disember 2008 hingga Februari 2009.
Pengarah Bahagian Pembangunan Teknikal Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr Wan Azli Wan Hassan ketika mengulas situasi terkini itu berkata, belum ada mana-mana pihak yang benar-benar yakin fenomena itu akan meningkat dan mereka perlu menunggu sehingga tamat Mac ini bagi bacaan perubahan seterusnya.
“Memang ada perubahan ketara jumlah taburan hujan di beberapa kawasan dan secara kebetulan ia berlaku di Kuala Lumpur dan Johor Bahru menyebabkan banjir kilat. Jika ia berlaku di Temerloh (Pahang), mungkin tidak memberi kesan apa-apa.
“Secara umumnya tempoh La Nina adalah antara sembilan hingga 12 bulan tetapi bagi sesetengah keadaan, mungkin boleh menjangkau sehingga dua tahun. Kajian saintis dunia menerusi pelbagai agensi meramalkan peningkatan tetapi belum ada pihak yang benar-benar pasti mengenainya,” katanya.
Berdasarkan rekod kajian, kali terakhir fenomena La Nina melanda dunia ialah pada April 2007 hingga Julai 2008 sebelum keadaan cuaca dikategorikan normal pada Mei hingga Disember 2008. Bagaimanapun, bacaan indeks menunjukkan peningkatan semula selepas itu hingga sekarang.
Dr Wan menjelaskan, fenomena La Nina dan El Nino memberi impak global kepada kehidupan seluruh dunia, corak iklim dan di kebanyakan lokasi terutama di kawasan tropika, La Nina menunjukkan variasi iklim yang berlawanan dengan El Nino.
Contohnya, sebahagian Australia dan Indonesia terdedah kepada keadaan kemarau ketika El Nino tetapi hujan lebat melebihi paras normal ketika La Nina melanda.
Sehubungan itu, katanya, ketepatan ramalan keadaan ini menjadi penting bagi memberi gambaran kemungkinan episod iklim melampau seperti banjir dan kemarau akan berlaku sekali gus dapat mengelakkan sesebuah negara daripada mengalami kerugian besar.
“Ramalan kedatangan fasa sejuk atau panas adalah amat kritikal terutama bagi sektor pengangkutan, pertanian, tenaga dan pelbagai lagi bagi mengelak kerugian. Kemajuan ramalan iklim ini dapat meningkatkan peluang ekonomi terutama dalam bidang pertanian, perikanan, perhutanan dan sektor tenaga dan faedah sosial.
“Jika ia dapat diramal awal, kerajaan dan orang ramai dapat bersedia lebih awal, misalnya banjir yang sering memusnahkan barang perniagaan, kenderaan dan kerosakan harta benda,” katanya.
Sumber Maklumat: Berita Minggu

PENGAJIAN AM STPM : JEREBU

Jerebu
Apakah Itu Jerebu?
Jerebu disebabkan oleh zarah terampai di dalam atmosfera. Pada kepekatan yang tingg, zarah ini terserak dan menyerap cahaya matahari menyebabkan ketampakan mengufuk mengurang serta menjadikan atmosfera kelihatan pendar baiduri.
Jerebu tidak hanya terbatas di kawasan bandar tetapi juga di luar bandar. Zarah yang menyebabkan fenomena jerebu berasal daripada pelbagai sumber yang terhasil secara semulajadi atau aktiviti manusia.
Zarah-zarah terhasil daripada aktiviti manusia seperti:
• Pembakaran terbuka
• Pembukaan tanah
• Penggunaan kenderaan bermotor
• Pembakaran bahan api industri
Jerebu di Malaysia
Di kawasan tropika , angin biasanya bertiup perlahan. Bagi tempoh tertentu terutamanya semasa monsun barat daya, keadaan atmosfera sangat stabil dimana pergerakan udara mengufuk dan menegak berkurangan. Dalam keadaan ini, pembentukan awam adalah tidak aktif dan menyebabkan cuaca menjadi kering.
Faktor-faktor yang membantu pembentukan jerebu:
• Tempoh cuaca kering yang panjang
• Keadaan atmosfera yang stabil
• Sumber pencemaran yang pelbagai

Zarah-zarah yang bebas di atmosfera akan terperangkap dalam jisim udara yang terapung dan meningkatkan kepekatannya yang menyebabkan keadaan atmosfera berjerebu. Di Semenanjung Malaysia, keadaan berjerebu biasanya berlaku dari bulan Januari ke Februari dan Jun ke Ogos. Sebaliknya, semasa Monsun Timur Laut, angin lengas timur laut bertiup kuat dari Laut China Selatan mempunyai kelembapan tinggi sering membawa hujan di daratan, oleh itujerebu jarang kelihatan.
Bagaimana Jerebu Menghilang?
Dalam keadaan atmosfera yang berubah-ubah, terdapat hari yang berjerebu dan cerah. Apakah yang menyebabkan perubahan ini? Bila keadaan berjerebu, zarah-zarah di atmosfera disingkirkan melalui beberapa proses iaitu:
• Pemendapan – zarah yang lebih berat mendap ke bumi melalui pemendapan graviti.
• Basuhan hujan (rainout) – pemeluwapan wap ke atas zarah membentuk titis air yang akhirnya menghasilakan awan.
• Cucian (washout) – zarah disingkirkan melalui pelanggaran dan pencantuman dengan titisan hujan.
• Pergolakan – zarah jerebu di paras atmosfera tinggi lebih senang terserak dan tersebar. Hujan lebat atau ribut petir yang menyeluruh dengan arus menaik dan menurun yang kuat boleh menyingkirkan jerebu dengan berkesan.
• Tempoh hujan renyai yang singkat biasanya tidak berkesan dalam menghilangkan jerebu teruk.
Adakah Jerebu Berbahaya?
Jerebu berasal daripada sumber semulajadi seperti garam laut dan tanah adalah tidak memudharatkan manusia. Jerebu nipis dan sementara yang wujud di kebanyakan bandar tidak memberi kesan serius pada kesihatan jangka panjang penduduk. Namun, episod jerebu yang teruk boleh membahayakan kesihatan. Kejadian terdahulu melaporkan peningkatan kejadian iritasi mata dan kerongkong serta kesukaran bernafas kepada mereka yang sensitif.
Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Malaysia
IPU PENGKELASAN
0 – 5 Sihat
51 – 100 Sederhana
101 – 200 Tidak Sihat
201 – 300 Sangat Tidak Sihat
> 300 Berbahaya

Ketebalan Jerebu dan Jarak Penglihatan
KETEBALAN JARAK PENGLIHATAN MENDATAR
Tersangat Tebal 10 000

Langkah Mengurangkan Masalah Jerebu
• Hindari daripada membakar bahan buangan secara terbuka. Kebanyakan kejadian jerebu setempat disebabkan oleh aktiviti ini
• Peningkatan kenderaan bermotor di jalanraya. Untuk mengurangkan jerebu, kenderaan perlulah diselenggara dengan baik disamping memilih bahan api yang rendah bahan cemarnya
• Pembukaan tanah secara meluas bukan sahaja menyebabkan hakisan dan penurunan gred tanah. Promosi ke arah penanaman semula pokok dan pengurangan pembukaan tanah boleh mengurangakan jerebu.

PENGAJIAN AM STPM : BANJIR

Banjir
Faktor-Faktor Berlaku Banjir
Banjir berlaku disebabkan oleh beberapa faktor. Antara faktor-faktor berlaku banjir adalah:-
1. Hujan yang berterusan.
Hujan yang berterusan tanpa berhenti-henti akan menyebabkan banjir berlaku. Di kawasan-kawasan rendah, air hujan akan dialirkan ke sungai. Sungai yang dipenuhi air akan melimpah keluar sehingga menyebabkan kawasan tanah rendah dipenuhi air.
2. Proses pembandaran.
Proses pembandaran menyebabkan banyak kawasan yang dipermodenkan. Kawasan-kawasan tanah rendah telah ditebus guna dengan mengambil tanah dari kawasan bukit. Ada juga anak-anak sungai yang ditimbus untuk dijadikan tapak bangunan.Aktiviti-aktiviti seperti ini merupakan faktor penyebab berlakunya banjir. Jika dahulu anak-anak sungai dan lembah dijadikan kawasan aliran air, kini kawasan tersebut telah ditimbus dengan tanah. Apabila hujan turun, air akan mengalir dari kawasan bukit ke kawasan yang rendah dan kemudian bertakung. Lama-kelamaan air akan bertambah dan banjir kilat akan berlaku.
3. Hakisan sungai.
Hakisan sungai yang kerap berlaku disebabkan oleh dua faktor iaitu hakisan berlaku secara semula jadi dan pembuangan sisa domestik manusia. Faktor semula jadi berlaku apabila hujan turun dengan lebat, air akan mengalir deras and menghakis tebing-tebing sungai. Akhirnya tanah tebing akan runtuh dan membentuk satu mendapan di dasar sungai. Seterusnya sungai akan menjadi cetek. Begitu juga dengan aktiviti manusia yang suka membuang sisa-sisa domestik seperti sampah-sarap dan sisa-sisa industri ke dalam sungai boleh menyebabkan sungai menjadi cetek dan pengaliran air tersekat. Apabila hujan lebat turun, sungai yang telah menjadi cetek akibat hakisan semula jadi atau pencemaran tidak dapat menampung atau megalirkan air hujan yang banyak. Akhirnya air sungai akan melimpah ke tebing dan dengan ini banjir akan berlaku.
4. Hutan tadahan.
Hutan merupakan satu kawasan yang menempatkan pelbagai jenis tumbuhan dan haiwan. Selain itu hutan juga boleh dijadikan sebagai pengimbang ekosistem dunia dengan merendahkan kadar suhu. Hutan menyerap air hujan yang turun ke permukaan bumi dengan kadar antara dua peratus hingga 20%. Kemudian air yang diserap akan dialirkan ke anak-anak pokok melalui akar. Ada juga proses pemeluwapan dilakukan dengan membebaskan semula titisan-titisan air ke udara. Dengan ini berlaku kitaran air secara semula jadi.
5. Pemusnahan hutan menyebabkan hujan terus turun ke bumi tanpa diserap oleh tumbuhan. Hujan yang turun dengan lebat menyebabkan air mengalir dengan banyak ke dalam sungai. Sungai tidak mendapat menampung air hujan dalam jumlah yang banyak. Pada masa ini limpahan air sungai akan berlaku mengakibatkan banjir.
6. Sistem perparitan tidak terancang.
Masalah banjir yang sering melanda bandar adalah disebabkan kekurangan sistem perparitan yang dibina serta ianya terlalu kecil dan cetek. Jumlah air yang banyak menyebabkan air melimpah keluar dari parit menyebabkan banjir kilat berlaku.

PENGAJIAN AM STPM : TSUNAMI

Tsunami
Apa Itu Tsunami?
Tsunami adalah satu perkataan Jepun yang bermaksud ‘ombak laut pelauhan’. Tsunami merupakan perkataan dari bahasa Jepun yang membawa erti “ombak pelabuhan”. Dalam bahasa Inggeris, gelombang tsunami dikenali sebagai ombak pasang surut (Tidal wave). Gelombang tsunami sebenarnya merujuk kepada ombak besar yang membawa kemusnahan kepada bangunan tepi pantai.
Tsunami merupakan ombak besar yang disebabkan oleh kejadian gempa bumi yang terjadi di dasar laut. Tanah runtuh, ledakan gunung berapi, letupan dan juga hentaman bahan kosmik seperti meteorit juga boleh menghasilkan tsunami. Ombak ini bergerak dengan laju beberapa ratus kilometer sejam dan dalam perjalanannya akan menaikkan dan menurunkan paras air laut.
Dalam lautan yang dalam, gelombang tsunami mempunyai amplitud ketinggiannya hanya beberapa sentimeter atau kurang sahaja. Oleh kerana jarak dari puncak ke puncak adalah ratusan batu, pergerakan turun naik tidak dapat dilihat dan dirasai oleh kapal yang belayar diatasnya dan mungkin tidak menyedari kejadiaanya.

Apabila gelombang tsunami tiba di kawasan lautan yang kedalamannya makin mengurang, halajunya akan turut menjadi kurang. Apabila gelombang ini sampai ke kawasan pantai, hanya satu cara untuk mengabadikan tenaganya adalah dengan menambahkan ketinggian ombak.

Bagi penduduk Malaysia, kita beruntung disebabkan kita berada jauh daripada kawasan gunung berapi. Malaysia tidak terdedah kepada ancaman bencana alam gunung berapi dan bencana alam yang seiring dengannya seperti gelombang tsunami, bagaimanapun kita perlu tahu mengenai bencana alam memahami bumi dan alam sekitar kita.
Di Indonesia, Pulau Jawa, pantai yang sering dilanda tsunami adalah pantai selatan Jawa Barat, Pantai Selatan Cilacap dan Pantai Selatan Jawa Timur. Sejak tahun 1990, Indonesia mencatat 15 kali bencana alam dilanda tsunami yang berlaku di sepanjang zone-mendak serta zone aktif seismik.

Punca Tsunami
Ombak laut kebiasaannya di sebabkan oleh pergerakan angin yang menghasilkan ombak yang menghempas ke pantai. tetapi gelombang tsunami merupakan gelombang laut yang teramat kuat yang terhasil oleh letupan gunung berapi, tanah runtuh bawah laut, gempa bumi, dan hentaman oleh asteroid atau komet pada permukaan laut.
Gelombang tsunami mampu bergerak sejauh seribu batu merentasi lautan dan masih mampu menghancurkan bandar berhampiran laut, memusnahkan dan mengakibatkan kehilangan nyawa yang tidak terkira jumlahnya. Gelombang tsunami yang menyebabkan kehilangan jiwa paling ramai direkodkan berlaku selepas letupan gunung berapi Krakatoa pada tahun 1883. Dianggarkan seramai 36,000 people mati disebabkan letupan tersebut yang menghasilkan ombak setinggi 12 tingkat bangunan. Kebanyakannya disebabkan oleh ombak tsunami yang melanda perkampungan persisiran pantai, sejauh sehingga 120 kilometer dari gunung berapi Krakatoa di Selat Sunda Indonesia.
Selain itu jiwa yang terkorban akibat tsunami di Indonesia adalah seperti berikut, 19 Ogos 1977 tsunami di daerah Sumba mengorbankan seramai 189 nyawa. 12 Disember 1992 di daerah Flores, gelombang tsunami mengorbankan 2,100 nyawa dan pada 3 Jun 1994 bencana tsunami melandaa daerah Banyuwangi mengorbankan seramai 208 orang.
Bagaimana Tsunami Terhasil
Punca utama gelombang tsunami adalah pergerakan muka bumi dasar laut yang berpunca daripada gempa bumi dasar laut. Gempa bumi tsunami berlaku pada zon terbenam “subduction zones” di mana kepingan kerak bumi atau “lithosphere” yang dikenali sebagai plak tetonik bertembung sesama sendiri menyebabkan satu daripadanya terbenam di bawah yang satu lagi. Terdapat zon terbenam “subduction zones” di pinggir negara Chile, Nicaragua, Mexico, dan Indonesia yang mencetuskan tsunamis pembunuh dalam tempoh 100 tahun lalu. Di lautan Pasifik, terdapat rekod 17 tsunami dari tahun 1992 sehingga 1996 yang bertanggungjawab mengakibatkan kehilangan 1,700 nyawa. Negara Indonesia terdedah kepada bencana alam disebabkan kedudukannya yang merupakan pertembungan 3 plat tetonik, iaitu kepingan Euro-Asia, kepingan Indo-Australia dan kepingan Pasifik. Selain ketiga kepingan yang besar itu, Indonesia juga menjadi pertemuan plak tetonik dengan skala kecil seperti kepingan Filipina.
Apabila kepingan kerak bumi terbenam kedasar, pergerakannya bergerak tersekat-sekat – melekat sekejab sebelum tergelincir. Apabila ia terlekat pada tebing benua, tekanan terhasil. Apabila kawasan yang terlekat terbebas, sebahagian daripada dasar laut mungkin melantun naik seperti papan anjal, ketika tekanan terbebas; sementara bahagian lain mungkin tenggelam. Seketika selepas gempa bumi, air yang tertolak membentuk gelombang dan tsunami pun terhasil.
Zon terbenam “subduction zones” terdapat di seluruh dunia, tetapi lokasi yang paling dikenali adalah di sepanjang lingkaran Cincin Api Pasifik. “Pacific Ring of Fire”. Lingkaran Cincin Api Pasifik merupakan sempadan pertembungan antara dua plak tetonik. Lingkaran Cincin Api Pasifik terletak sepanjang pantai barat Tengah dan Selatan Amerika, Jepun, dan Filipina, merentasi New Zealand, ke lautan Atlantik. Gunung berapi juga wujud di tengah laut sepanjang rabung laut. Rabung Tengah Atlantik merupakan contoh gunung berapi dasar laut. Apabila gunung berapi dasar laut ini meletus, ia mampu menghasilkan gelombang tsunami.
Dalam lautan lepas, gelombang tsunami mencecah kelajuan 500 batu sejam, selaju jet penumpang. Tetapi di lautan lepas, gelombang tsunami itu tidak dapat dibezakan dengan ombak biasa. Di lautan dalam, ombak tersebar dan merunduk, dengan jarak beratus batu antara puncak ombak yang hanya kelihatan beberapa kaki tinggi. Tetapi sebenarnya, puncak gelombang tsunami hanyalah hujung jisim air menggunung yang bergerak. Berbeza dengan ombak yang disebabkan oleh angin yang berkesan pada lapisan atas air, gelombang tsunami terbenam sehingga beribu kaki di dalam laut.
Oleh kerana pergerakan ombak begitu kuat, dan sifat pedam air, gelombang tsunami mampu bergerak beribu batu dan kehilangan hanya sedikit tenaga. Sebagai contoh, gelombang tsunami yang disebabkan oleh gempa bumi di persisiran Chili pada tahun 1960 menghasilkan gelombang tsunami yang mempunyai cukup tenaga untuk membunuh 150 di Jepus setelah bergerak selama 22 jam sejauh 10,000 batu. Gelombang tsunami tersebut kemudiannya berulang-alik menyeberangi lautan selama beberapa hari.
Apabila gelombang tsunami sampai kepantai, ia menjadi perlahan disebabkan dasar laut menjadi cetek, dan kehilangan laju ini diiringi oleh peningkatan dalam ketinggian ombak. Ombak tersebut terhimpit antara satu sama lain seperti akordian dan meningkat naik. Bergantung kepada jenis punca gelombang tsunami itu, gelombang tsunami boleh menyebabkan air laut surut menyebabkan ikan tertinggal di dasar lautan. Ini menarik orang ramai untuk berkumpul melihat keadaan ini sebelum gelombang tsunami menghentam menyebabkan kematian mereka.
Gelombang tsunami juga mampu melanda dengan tiba-tiba tanpa sebarang amaran. Gelombang tsunami yang melanda tidak bergulong dikemuncak seperti ombak biasa. Mereka yang terselamat menggambarkan gelombang tsunami sebagai dinding air yang gelap. Ombak gergasi tsunami yang terdiri daripada jisim air yang menggunung ini akan menghentam ke pantai dan menenggeamkan kawasan persisiran, menumbangkan pokok seperti ranting kering, merobohkan tembok batu, dan rumah api, dan memusnahkan bangunan seperti bangunan permainan.
Bentuk permukaan dasar laut seperti berbentuk parit, dan persisiran pantai memainkan peranan penting dalam menentukan jenis glombang tsunami yang terhasil, kadang kala dengan keputusan yang mengejut dan merbahayakan Pada tahun 1993, satu glombang tsunami menghentam bandar, di Jepun, ombak purata setinggi 15 hingga 20 meter (50 – 65 kaki). Tetapi pada suatu tempat, ombah tertumpu oleh bentuk ‘V’ memampatkan ombak dalam ruang yang semakin sempit dan akhirnya menghasilkan gelombang tsunami setinggi 32 meter (90 kaki) dari aras laut, setinggi bangunan 8 tingkat.
Bagaimana Gempa Bumi Boleh Menghasilkan Tsunami?
Gempa bumi merupakan salah satu sebab utama yang biasanya menghasilkan tsunami. Tsunami akan terhasil apabila dasar lautan dengan tiba-tiba berubah kedudukan yang akan menyebabkan air berkocak kuat. Gempa bumi tektonik adalah gempa bumi yang biasanya akan menyebabkan kecacatan atau perubahan pada kerak bumi; apabila gempa bumi terjadi di dasar lautan, air yang berada dikawasan kejadian akan berubah dari kedudukan keseimbangannya.

Gelombang akan terhasil dari perubahan jisim air, yang bertindak dibawah pengaruh graviti yang cuba untuk mengembalikan keseimbangan kedudukannya. Apabila kawasan dasar laut yang berubah kedudukan (terangkat atau turun) adalah luas, tsunami akan terhasil. Gelombang yang terhasil dapat bergerak dengan pantas.
Langkah Berjaga-Jaga
Pada masa kini tidak terdapat banyak yang dapat dibuat oleh mereka yang berhadapan dengan gelombang tsunami. Di kepulauan Jepun, kerajaan telah membina benteng dipersisiran pantai untuk menahan bandar dari bahaya gelombang tsunami, tetapi bagi orang perseorangan, tidak banyak yang dapat dibuat oleh mereke kecuali mengosongkan kawasan yang dijangka akan dilanda tsunami.
Penduduk dipersisiran pantai dikawasan yang sering menghadapi tsunami juga perlu pergi kearah tanah tinggi apabila berlaku gempa bumi atau letusan gunung berapi bagi yang tinggal berhampiran gunung berapi. Mereka juga perlu mengelakkan dari pergi ke arah pantai sekiranya berlaku tanda-tanda awal tsunami seperti air yang surut secara tiba-tiba.
Tsunami juga mampu melanda beberapa kali, oleh itu adalah tidak digalakkan untuk pergi ke kawasan pantai untuk melihat kerosakan selepas ombak tsunami pertama melanda. Ini adalah untuk mengelakkan dilanda ombak tsunami yang berikutnya.
Kronologi Tsunami Di Kuala Muda

Tarikh Tragedi: 26 Disember 2004
• 8.58 pagi – Satu gegaran gempa bumi telah dikesan di utara Sumatera, Indonesia berukuran 9.0 mengikut skala richter.
• 1.15 tengahari – Gelombang pertama melanda pantai Kuala Muda dengan ketinggian mencecah 2.5 meter .
• 1.45 petang – Gelombang kedua dengan ketinggian melebihi 8 meter telah menghempas pantai sejauh 300 meter ke daratan mengakibatkan banyak rumah, kenderaan dan harta benda lain musnah.

PENGAJIAN AM STPM : PEMBUANGAN SAMPAH SECARA LESTARI

Pengguna domestik menghasilkan dua jenis sisa pepejal, iaitu sisa orgaPEMBUANGAN SAMPAH SECARA LESTARI nik dan sisa daripada bahan-bahan pembungkusan barangan yang dibeli. Bahan organik boleh mereput dengan mudah. Namun, sesetengah bahan pembungkusan tidak boleh mereput dengan cepat.
Sektor industri sewajarnya mulai mencari bahan alternatif untuk pembungkusan. Terdapat benyak penemuan teknologi yang terkini dalam sektor ini. Industri-industri di Malaysia patut melihat kepada perubahan yang lestari.
Industri makanan akan menjadi sektor yang sukar ditangani kerana peraturan keselamatan makanan yang sedia ada berkenaan dengan pembungkusan. Walau bagaimanapun, kita boleh bermula dengan tidak menggunakan bekas-bekas stirofoam untuk membungkus makanan di restauran dan gerai-gerai makanan.
Terdapat bekas-bekas yang di perbuat daripada serat tumbuhan dan juga serat pokok kelapa sawit yang berasaskan kertas. Pengunaan perkakas keluli nirkarat (stainless steel) dan barangan gelas juga boleh dipertimbangkan. Barangan ini boleh digunakan semula selepas mencucinya dengan bersih.
Industri-industri lain boleh memilih untuk menggunakan kotak-kotak dan pembungkus berasaskan kertas. Botol gelas dan pembungkus berasaskan logam juga boleh menjadi pilihan. Bahan-bahan ini boleh digunakan dan dikitar semula. Pelebelan akan menjadi lebih penting, kerana sentiasa mengingatkan pengguna untuk guna semula dan kitar semula.
Apakah Yang Perlu Anda Lakukan?
1. Bersikap cerewet semasa memilih barangan dan ketahui hak-hak anda sebagai pengguna.
2. Ada diantara kita boleh mengelakkan pengunaan hampir 15 beg plastik jika kita membawa beg sendiri untuk membeli belah.
3. Memilih barangan yang ingin dibeli sahaja. Jangan membeli lebih daripada pengunaan. Ini akan menyebabkan kekurangan barangan dalam pasaran dan juga pembaziran.
4. Jangan terikut-ikut dengan jualan murah atau potongan harga. Perancangan pembelian juga merangkumi pemilihan jenis produk.
5. Belilah produk mesra alam yang diktiraf, kerana ini menunjukan anda telah membantu mengurangkan beban kepada alam sekitar.
6. Belilah barangan yang mempunyai bahan pembungkusan yang boleh diguna semula dan dikitar semula (kertas, kaca dan logam).
7. Pengasingan sampah yang dihasilkan di rumah patut dibuat. Dengan cara ini kita boleh mengumpul dan menjual barangan ini.
8. Terdapat juga pusat pungutan bahan kitar semula yang menjalankan aktiviti amal daripada hasil pendapatan. Hantarlah bahan-bahan yang boleh dikitar semula untuk tujuan ini.
9. Meletakkan lebih banyak tong kitar semula dan pastikan persatuan-persatuan penduduk serta pengurusan bangunan pejabat mengambil bahagian.
Kita juga patut sedar akan kewujudan pusat pungutan di kompleks-kompleks membeli belah.
Pengurangan sisa yang dihasilkan di Malaysia tidak dapat dilakukan oleh satu pihak sahaja. Ia melibatkan usaha bersama pengguna, industri dan kerajaan. Dengan kerjasama yang erat ini kita dapat mengurangkan kesan buruk kepada alam sekitar.
Sumber : Berita Harian

PENGAJIAN AM STPM : MENJAGA KEBERSIHAN AIR

MENJAGA KEBERSIHAN AIR
65% hingga 70% badan manusia adalah air
75% daripada otak manusia adalah air
97% air didunia adalah air laut (air masin)
3% adalah air tawar dan daripada jumlah ini hanya 0.3% adalah air permukaan yang boleh digunakan untuk kegunaan manusia
Manusia hanya boleh hidup tanpa air untuk 5 – 7 hari
Pengguna Malaysia hanya menggunakan 15 hingga 18 billion m3 (meter padu) air untuk kegunaan tahunan tetapi air hujan yang diterima di Malaysia yang tidak digunakan adalah 990 billion m3
Dalam Keadaan Ini Bagaimana Kita Menjaga Sumber Kita?

1. Jangan membuang sampah ke sungai, tasik dan sumber air semulajadi yang lain. Pembuangan sampah ke parit dan longkang akan sampai ke sungai atau tasik juga.
2. Gunakan bahan pencuci yang mesra alam. Ini menggelakan kesan pencemaran kepada air.
3. Elakkan penggunaan baja kimia dan racun perosak. Masukkan bahan-bahan ini ke dalam sungai menyebabkan pencemaran serta boleh menyebabkan keracunan.
4. Pembuangan bahan berminyak ke dalam longkang patut dielakkan, bahan-bahan ini akan sampai ke sungai juga. Minyak tidak terbiodegrasi dengan senang.
5. Pencemaran air boleh membunuh hidupan akuatik dan juga tumbuhan sekeliling.
6. Laporkan kepada pihak berkuasa tempatan jika aktiviti pembuangan haram atau pencemaran dijalankan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.
7. Pastikan air kumbahan dirawat sebelum dilepaskan ke dalam sungai. Bahan-bahan dalam kumbahan boleh menyebabkan air sungai sukar untuk dirawat untuk di minum.
8. Jalankan aktiviti dengan penduduk tempatan untuk menjaga kebersihan longkang, sungai, tasik atau sumber air yang lain. Walaupun penjagaan sumber air adalah penting, sebagai pengguna kita juga patut menjimatkan pengunaan air yang dirawat. Penjimatan air dapat mengelakkan penggunaan kos yang tinggi untuk perawatan air.
Sumber : Berita Harian

PENGAJIAN AM STPM : Influenza A (H1N1)

Influenza A (H1N1)
ABSTRAK
Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau World Health Organization (WHO) pada 24 April 2009 telah mengisytiharkan krisis kecemasan kesihatan antarabangsa ekoran merebaknya wabak Virus Influenza A (H1N1) (Selesema Babi atau Swine Flu) bagi memberi amaran wabak yang dianggap makin mencemaskan dan berpotensi untuk menjadi pusat ‘pandemik’ atau wabak yang akan merebak. Selesema babi yang disebarkan oleh manusia ini telah mencetuskan keadaan panik di seluruh dunia terutamanya di Mexico dan Amerika Syarikat (AS). Sehingga 6 Mei 2009, wabak ini telah mengorbankan 29 orang di Mexico, 2 orang di United State (US), 1786 orang telah disahkan dijangkiti dan lebih 4169 orang disyaki dijangkiti di seluruh dunia. Jumlah kematian dan mereka yang dijangkiti meningkat dari semasa ke semasa dan amat dikhuatiri merebak ke Negara ini.
PENGENALAN
Demam Virus Influenza A (H1N1) adalah sejenis penyakit sistem pernafasan (respiratory) yang biasanya ditemui dalam kawanan babi. Virus Influenza A (H1N1) atau demam babi ini biasanya berlegar dalam spesies babi sahaja dan tidak menjangkiti manusia. Namun jangkitan terhadap manusia telah berlaku dan penyebaran virus ini dalam kalangan manusia telah mula dikesan sejak tahun 1988.
Apakah Virus Influenza A (H1N1)?
Virus Influenza A (H1N1) adalah sejenis penyakit respiratory yang ditemui dalam kawanan babi disebabkan oleh virus influenza jenis A (H1N1). Selesema babi ini dikesan saban tahun dan biasanya terjadinya kepada mereka yang mempunyai kaitan dengan babi. Manusia biasanya tidak dijangkiti oleh virus ini tetapi jangkitan terhadap manusia telah dikesan. Virus selesema babi telah dilaporkan merebak dari manusia ke manusia lain. Tetapi pada masa lepas, pemindahan virus ini adalah terhad dan menjangkiti sehingga tiga orang sahaja.

Adakah Terdapat Jangkitan Demam Virus Influenza A (H1N1) di US?
Pada akhir Mac dan awal April 2009, beberapa kes jangkitan virus ini (H1N1) terhadap manusia telah dilaporkan di Southern California berdekatan San Antonio, Texas. Beberapa negeri lain di US juga telah melaporkan jangkitan yang sama pada manusia dan juga telah dilaporkan di peringkat antarabangsa. (Perkembangan terkini mengesahkan bilangan jangkitan virus di Amerika Syarikat boleh di dapati di http://www.cdc.gov/swineflu/investigation.htm. Pusat pencegahan dan kawalan penyakit (CDC – Centers for diseases control and prevention dan Jabatan serta agensi kesihatan sedang bekerjasama dalam menyiasat situasi ini).

Adakah Virus Ini Berjangkit?
CDC telah mengesahkan bahawa virus ini (H1N1) adalah berjangkit dan merebak dari seorang ke seorang manusia lain. Walau bagaimanapun masih belum diketahui cara dan bagaimana mudahnya jangkitan ini terjadi.
Apakah Tanda-tanda dan Simptom Virus Influenza A (H1N1) Terhadap Manusia?
Simptom Virus Influenza A (H1N1) ini terhadap manusia adalah sama dengan simptom selesema biasa seperti demam, batuk, sakit tekak, sakit badan, pening kepala, sejuk dan kelesuan. Ada juga sesetengah kes cirit-birit dan muntah yang berkait dengan selesema burung yang dilaporkan.
Pada masa yang lepas, beberapa penyakit (kegagalan paru-paru dan sistem pernafasan) dan kematian telah dilaporkan dengan jangkitan selesema babi dalam manusia. Seperti virus selesema bermusim, selesema babi boleh menyebabkan keadaan kesihatan kronik.

Bagaimanakah Selesema Burung Merebak?
Virus jenis A (H1N1) selesema burung ini dijangka akan merebak seperti mana virus selesema bermusim lain. Virus selesema ini biasanya disebarkan dari seorang ke seorang yang lain melalui batuk dan bersin mereka yang terkena jangkitan. Kadang-kadang seseorang itu boleh dijangkiti melalui barang yang disentuh dengan tangan dan kemudiannya menyentuh mulut dan hidung mereka.
Bagaimanakah Seseorang Yang Dijangkiti Selesema Menjangkiti Seorang Lain?
Seseorang yang dijangkiti mungkin boleh menjangkiti seorang lain bermula sehari sebelum simptom itu merebak hingga ke hari ke-7 selepas dijangkiti (sakit). Ini bermakna kita mungkin boleh menyebarkan virus ini sebelum mengetahui yang kita telah dijangkiti.

Apa Yang Perlu Dilakukan Untuk Mengelak Daripada Dijangkiti Selesema?
Perkara yang terpenting sekali adalah membasuh tangan. Cuba untuk berada pada tahap yang paling sihat. Dapatkan tidur yang cukup. Sentiasa aktif, menangani tekanan, minum banyak air dan makan makanan berkhasiat. Cuba mengelak dari menyentuh tempat yang dicemari dengan virus. Mengelak hubungan dengan mereka yang sakit.
Adakah Terdapat Ubat Untuk Virus Influenza A (H1N1) Ini?
CDC menyarankan pengambilan ubat seperti oseltamivir atau zanamivir untuk merawat dan/atau mencegah jangkitan virus selesema babi ini. Ubat antiviral adalah ubat-ubatan berpreskripsi (pil, cecair ataupun ubat sedut) yang melawan virus dari terus membiak di dalam badan anda.
Jika anda jatuh sakit, ubat antiviral akan dapat melegakan dan membuat anda sihat dengan lebih cepat. Ia juga dapat mencegah dari komplikasi selesema yang lebih serius. . Untuk tujuan rawatan, ubat antiviral adalah lebih berkesan untuk diambil sebaik sahaja jatuh sakit (dalam dua hari selepas simptom).

Berapa Lama yang Diambil oleh Seseorang yang Dijangkiti dengan Selesema Burung Untuk Menyebarkan Kepada Orang Lain?
Mereka yang dijangkiti dengan virus ini boleh dikira sebagai pembawa virus selagi mereka di dalam simptom sehingga tujuh hari dari bermula sakit. Kanak-kanak, terutama anak-anak kecil berpotensi untuk dijangkiti untuk jangka masa yang lebih lama.
Apakah Kawasan-kawasan Yang Berkemungkinan Sebagai Tempat Yang Dicemari?
Kuman boleh merebak apabila seseorang menyentuh sesuatu yang dicemari dengan kuman dan menyentuh pula mata, mulut dan hidung mereka. Titisan rembesan dari batuk dan bersin dari mereka yang dijangkiti boleh bergerak melalui udara. Kuman boleh merebak apabila seseorang itu menyentuh titisan rembesan batuk dan bersin dari seorang di atas permukaan seperti meja dan permukaan lain dan menyentuh mata, mulut dan hidung sebelum membasuh tangan mereka.
Berapa Lama Virus Tersebut Boleh Hidup Di Luar Badan?
Seperti yang diketahui sesetengah virus dan dapat hidup sehingga lebih dua jam di permukaan seperti meja kafeteria, tombol pintu dan meja. Membasuh tangan dengan kerap akan mengurangkan kesan pencemaran yang didapati dari permukaan-permukaan ini.
Apa Yang Boleh Dilakukan Untuk Mengelak Daripada Dihinggapi Penyakit?
Buat masa ini belum lagi ada sebarang vaksin untuk melindungi dari selesema babi ini. Terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk membantu menghalang penyebaran kuman yang menyebabkan penyakit pernafasan seperti demam selesema. Cubalah langkah-langkah ini untuk melindungi kesihatan anda:

• Tutup/lindung mulut dan hidung anda dengan tisu sewaktu bersin atau batuk. Buangkan tisu tersebut ke dalam tong sampah selepas menggunakannya.

• Basuhlah tangan dengan sabun dan air dengan kerap terutamanya selepas batuk atau selesema. Pembersih tangan berasaskan alcohol juga berkesan.

• Mengelak dari menyentuh mata, hidung dan mulut. Kuman boleh merebak dengan cara ini.

• Jika anda sakit akibat demam selesema, disyorkan supaya anda tidak bekerja atau ke sekolah juga mengehadkan pergaulan dengan orang lain supaya mereka tidak dijangkiti.
Apakah Cara Terbaik Untuk Mengelak Dari Menyebarkan Virus Melalui Batuk Dan Bersin?
• Jika anda sakit, hadkan pergaulan anda sebaik yang mungkin.
• Jangan pergi ke sekolah;
• Tutup mulut anda dengan tisu semasa batuk dan bersin. Ia boleh membantu mengelak orang-orang di sekeliling kamu dari jatuh sakit;
• Buangkan tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah;
• Tutup mulut anda semasa bersin dan batuk jika tiada tisu;
• Basuhlah tangan kamu setiap kali batuk dan bersin.

Apakah Teknik Terbaik Untuk Mencuci Tangan Dan Mengelak Dari Jangkitan Selesema?
Membasuh tangan dengan kerap akan membantu melindungi anda daripada kuman. Basuhlah dengan sabun dan air ataupun pembersih tangan berasaskan alcohol. Basuhlah tangan antara 15 ke 20 saat dengan air suam dan sabun. Jika tiada air dan sabun, tisu pakai buang berasaskan alcohol atau pembersih gel boleh digunakan. Ianya boleh didapati di kedai-kedai ubat dan pasar raya. Jika menggunakan gel, sapulah tangan anda sehingga gel itu kering. Alkohol di dalam gel tadi akan membunuh kuman dan ianya tidak memerlukan air untuk berkesan.

Apa Yang Perlu Saya Lakukan Jika Jatuh Sakit?
Jika anda tinggal di kawasan yang dikenal pasti wabak Virus Influenza A (H1N1) itu merebak dan mempunyai simptom-simptom demam selesema termasuk demam panas, sakit badan, selesema, sakit tekak, muntah mual dan cirit-birit, anda perlu berjumpa dengan doktor, terutamanya jika anda risau tentang simptom-simptom tadi. Doktor akan mengesahkan sama ada sebarang ujian atau rawatan adalah perlu.
Jika anda sakit anda perlu:-
• Tinggal di rumah dan mengelak hubungan dengan orang lain sebaik mungkin untuk mengelak jangkitan;
• Mendapatkan rawatan kecemasan jika mengalami tanda-tanda awal penyakit;
Untuk kanak-kanak tanda-tanda dan perlu dibawa untuk dirawat adalah seperti berikut:-
• Kesukaran bernafas dan pernafasan yang terlalu cepat;
• Warna kulit bertukar kebiru-biruan;
• Tidak minum air yang secukupnya;
• Tidak bangun dan berinteraksi;
• Tidak suka dipegang dan asyik merengek;
• Simptom seperti selesema dan pulih tetapi kemudiannya berulang bersama demam dan batuk yang lebih teruk;
• Demam dan beruam.

Bagaimana Seriusnya Jangkitan Virus Influenza A (H1N1) ini?
Seperti demam selesema yang lain, kesan selesema babi (Virus Influenza A) (H1N1) pada manusia adalah berbeza dari tahap sederhana ke tahap serius. Antara 2005 hingga Januari 2009, 12 kes jangkitan pada manusia tanpa kematian dikenal pasti di Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun kesan dari selesema babi ini boleh menjadi serius. Pada September 1988, seorang wanita mengandung berumur 32 tahun dari Wisconsin dimasukkan ke hospital akibat jangkitan paru-paru akibat selesema babi dan meninggal dunia 8 hari kemudian. Pada tahun 1976, wabak selesema babi dikesan di Fort Dix, New Jersey mengakibatkan lebih 200 kes serius dan satu kematian.

Bolehkah Saya Dijangkiti Melalui Memakan Dan Menyediakan Masakan Berasaskan Babi?
• Tidak.

Selesema babi tidak boleh merebak melalui makanan. Ianya tidak boleh dijangkiti melalui makanan dan produk berasaskan babi. Memakan produk berasaskan babi yang dimasak dan disediakan dengan sempurna.
TINDAKAN SERTA-MERTA KEMENTERIAN KESIHATAN
• Kementerian Kesihatan menguat kuasa serta-merta empat langkah pencegahan:-

i. Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia mengaktifkan Bilik Gerakan untuk membuat pemantauan situasi wabak Virus Influenza A (H1N1) dengan pihak WHO bagi memastikan tindakan-tindakan proaktif diambil untuk melindungi kesihatan awam penduduk Malaysia.

ii. Semua Pengamal Perubatan termasuk di sektor swasta yang merawat kes-kes yang mempunyai tanda-tanda atau gejala ‘influenza-like illness’ atau ‘severe pneumonia’ dan mempunyai sejarah melawat Mexico, California, Kansas, Ohio, Texas, New York atau Kanada selepas 17 April 2009 diminta untuk memaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat dengan serta merta melalui telefon untuk tindakan pencegahan dan kawalan.

iii. Saringan tanda-tanda jangkitan Virus Influenza A (H1N1) di semua pintu masuk negara untuk pelawat atau warga Malaysia yang ada melawat ke negara Mexico, California, Kansas, Ohio, Texas, New York atau Kanada selepas 17 April 2009.

iv. Membuat kenyataan akhbar dari masa ke semasa situasi wabak Virus Influenza A (H1N1) untuk maklumat orang awam di Malaysia dan langkah kawalan dan pencegahan yang diambil oleh Kerajaan.
• Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menyatakan pada Sidang Media pada 26 April 2009 mengenai wabak berkenaan amat berbahaya kerana ia tersebar melalui manusia bukannya haiwan seperti selesema burung atau ‘avian flu’ yang pernah melanda negara ini.
• Beliau bagaimanapun meminta rakyat negara ini supaya tidak panik kerana Kerajaan sentiasa berwaspada terhadap apa jua wabak yang boleh menyebabkan kematian.
• Pengawasan itu membabitkan pemeriksaan kesihatan terhadap orang ramai antaranya mereka yang menunjukkan tanda-tanda demam panas.
• Pengawasan di semua pintu masuk negara diperketatkan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengekang penularan wabak selesema babi dari merebak ke dalam negara terutama penumpang penerbangan dari luar negara termasuk AS.
• Orang awam yang ingin mendapat maklumat lanjut berkaitan dengan wabak Virus Influenza A (H1N1) ini boleh mendapatkan maklumat tersebut melalui talian 03-88810200 atau 03-88810300 pada waktu pejabat atau di laman web Kementerian http://www.moh.gov.my

Sumber : Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)
• Pusat Pencegahan dan Kawalan Wabak Amerika Syarikat (US Centers of Diseases Control and Prevention) atau CDC
• Akhbar-akhbar Utama Tempatan