PERCAYAKAH ANDA PADA TENGKU RAZALEIGH

Sebenarnya Tg. Razaleigh bukannya orang lain dengan saya, kaum kerabat juga. Bondanya orang kebanyakan, saudara moyang saya. Tapi itu bukan yang ingin saya utarakan dalam ruangan ini.

Hari ini Tg. Razaleigh menafikan bahawa beliau tidak “dibeli” oleh Anwar Ibrahim bagi menjatuhkan kerajaan pada 16 September 2008 lalu. Betul ke beliau tidak pernah berunding dengan Anwar? Rakan rapatnya Tg. Azlan mengiakan bahawa baginda pernah minum kopi di Bangsar dan berborak pasal rampasan kuasa 16 September lalu.

Kita kenal siapa Tg. Razaleigh. Ingin saya tegas dan ingatkan pembaca, Tg. Razaleighlah bapa pemecah perpaduan Melayu. Beliaulah yang membawa UMNO ke mahkamah dan akhirnya UMNO diharamkan pada tahun 1989. Beliau sengaja membawa parti ke mahkamah agar UMNO diharamkan dan kerajaan Melayu Islam ditumbangkan di Malaysia ini. Ini sejarah dan jangan kita lupa. Sebelum ini, walaupun Dato Onn, Tunku Ab. Rahman dan Tun Hussin Onn dikeluarkan dari UMNO, namun ketiga-tiga pemimpin tadi tidak bertindak untuk mengharamkan UMNO kerana mereka sedar UMNO ialah parti tunjang orang Melayu. Parti yang diberi kepercayaan untuk menjaga agama Islam, parti yang menjaga keamanan negara. Namun tidak begitu dengan Ku Li. Ku Li bukan kuli UMNO tetapi Ku Li nak jadi raja UMNO. Ku Li pengkhianat parti hingga memaksa Tun Dr. Mahathir mengumpul semula saf pemimpin UMNO terutama dari kalangan Ahli Parlimen seterusnya mendaftar semula UNMO dengan nama UMNO Baru. Ku Li menjadi raja bagi Parti Semangat 46. Tengku Razaleigh menjadi raja dalam parti S46 tak lama, mungkin beliau fikir partinya tak boleh hidup lama, jadi parti S46 dibubarkan dan beliau akhirnya masuk UMNO semula.

Ku Li adalah pengkhianat UMNO di Kelantan. Pada pilihanraya 1990 buktinya di mana Kerajaan UMNO ditumbangkan oleh PAS dan S46. Maka sejak itu hingga kini PAS memerintah Kelantan ini. Hari ini istana Kelantan bergolak berkaitan takhta dan kuasa. Tengku Anis meluahkan rasa bencinya terhadap PAS yang tidak menziarahi Sultan Ismail yang gering. Fikir-fikir kepada jadi begini? Inilah akibatnya PAS memerintah Kelantan. Rakyat pun sudah tidak hormat pada Sultan malahan rakyat lebih hormat pada Nik Aziz. Daripada tinjauan dan pemantauan, rakyat Kelantan tidak marah pada Nik Aziz yang tidak menziarahi Sultan. Jadi jelas rakyat lebih sayangkan Nik Aziz daripada Sultan Ismail. Kaji balik..ini lah bahana yang dibawa oleh Ku Li kepada rakyat Kelantan dan Istana.

Ku Li pernah mengatakan di Parlimen bahawa tiada sebuah negeri pun di Malaysia ini layak menerima royalti minyak. Terengganu tak layak, maka semestinya Kelantan tak layak. Semua kata-kata ini ada hitam putihnya dan bukan wasiat lisan macam nenek moyang kita buat dulu-dulu. Hari ini dan sehingga kini beliau berdiri di pentas yang kononnya NGO tetapi kita tahu ianya pentas pembangkang, beliau berceramah dan berbohong. Soalnya adakah wajar seorang ahli parti mengutuk parti sendiri. Wajarkah seorang isteri bercerita tentang hal keburukan rumahtangga kepada khalayak awam atau rakan? Haram begitu. Adalah haram bagi parti atau individu meruntuhkan sebuah kerajaan Islam yang pemimpinnya Islam. Tindakan ini dibuat oleh Ku Li. Ku Li cuba memusnahkan kerajaan UMNO/BN sekali lagi.

Sebagai rakyat, kita kena fikir. Ku Li akan buat apa sahaja bagi mencapai puncak kuasa. Beliau pernah berjuang di dalam UMNO, gagal. Berjuang di dalam UMNO dan sekali lagi menawarkan diri bertanding Presiden UMNO menentang Pak Lah, gagal lagi.

Jika Anwar berjaya memujuk 30 Ahli Parlimen, saya rasa mungkin Ku Li orang pertama masuk PKR, tetapi Anwar tak berjaya. Hanya Ahli Parlimen dari Sabah yang termakan pujukan Anwar.

Masihkah Ku Li nak nafikan tidak diumpan Anwar? Tolonglah…jangan berbohong dan jangan jadi biawak lidah bercabang. Jangan pula bersikap telunjuk lurus kelingking berkait. Jangan juga jadi seperti gunting dalam lipatan. Ku Li tak usahlah berangan nak jadi Perdana Menteri lagi, sudah tidak sesuai dengan usia. Gunakanlah kebijaksanaan untuk sama-sama menyatupadukan rakyat dan memajukan negara ini.

JANGANLAH BERBOHONG…

Advertisements

PENDERAAN KANAK-KANAK

Sikap tak peduli kita dorong kes dera kanak-kanak berleluasa
Oleh Noor Mohamad Shakil Hameed

2010/03/20

BELUM lagi reda isu penderaan dan kematian adik Syafiah Humairah Sahari yang berusia 3 tahun dan K Haresyarren berusia 18 bulan, kita dikejutkan pula dengan berita perkahwinan membabitkan kanak-kanak.

Siti Nur Zubaidah Hussin yang baru saja berusia 11 tahun dipaksa berkahwin dengan seorang lelaki dewasa dan lebih malang lagi perkahwinan ini diwalikan oleh bapa kandungnya sendiri. Sebagai manusia yang waras, kita boleh bayangkan apalah nasib masa depan kanak-kanak ini dan pada usia yang begitu muda, sejauh manakah dia mengerti makna sebuah perkahwinan.

Kita juga pasti budak ini masih mentah dan belum bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri. Apa yang jelas perkahwinan ini menyalahi undang-undang syariah negara kita kerana pernikahan itu dilakukan tanpa kebenaran secara bertulis mahkamah syariah dan lebih jelas lagi, mengikut Seksyen 8, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Kelantan 2002, pasangan wanita berumur bawah 16 tahun perlu mendapat kebenaran bertulis daripada mahkamah syariah. Walaupun aspek undang-undangnya sangat jelas, kita masih hairan kenapa perkara sebegini masih terus membelenggu dan menghantui masyarakat kita? Kenapa kita begitu mudah taksub dan terpedaya dengan individu yang sering kali menyalahgunakan pegangan agama atau imej warak?

Belum cukupkah dengan pelbagai pendedahan mengenai ajaran sesat dan salah laku yang dibuat oleh individu mahupun kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai nabi. Isu begini juga terus mencemarkan institusi agama serta nama baik ulama di negara kita.

Kejadian yang menimpa kanak-kanak di negara kita dewasa ini sangat merisaukan semua pihak. Kita khuatir jika insiden sebegini tidak dibendung segera, suatu hari nanti bilangan kanak-kanak di negara kita akan semakin pupus.

Sikap tidak peduli dan tidak endah dengan apa yang berlaku di sekeliling kita dilihat sebagai antara punca utama kejadian sebegini terus berleluasa. Kita masih dengan budaya selagi tidak kena batang hidung sendiri maka tiada apa dan tidak peduli dengan apa yang berlaku.
Budaya tidak peduli, lepas tangan dan tidak mengapa ini jelas mula menular menjadi wabak yang serius dalam masyarakat kita. Virus ini jika tidak diubati atau dibendung segera, kita khuatir pelbagai lagi insiden lebih dahsyat dan menggerunkan boleh berlaku dalam masyarakat kita.

Kita perlu mengubah pemikiran dan gaya hidup supaya menjadi masyarakat yang lebih prihatin dan responsif dengan apa yang berlaku di sekitar kita. Tidak salahnya dalam hal begini kita menyibuk dan mengambil tahu tepi kain orang lain asalkan ia demi kesejahteraan bersama.

Hukuman berat dari segi undang-undang ternyata masih belum mampu membendung kes sebegini daripada terus berulang. Maka alternatif yang kita ada hanyalah perubahan sikap dan tingkah laku masyarakat kita yang perlu dilaksanakan segera.

Justeru, di samping kita begitu asyik dalam menegakkan undang-undang yang ada, kita juga wajar memberi perhatian kepada usaha untuk mendidik masyarakat kita menjadi masyarakat penyayang dan lebih responsif kepada masalah sosial yang melanda negara kita.

Pihak yang bertanggungjawab dalam hal ini perlu melihat perubahan sikap sebagai suatu aspek penting dengan langkah untuk memupuk budaya masyarakat penyayang perlu dilipat gandakan.

Masyarakat kita perlu disedarkan segera kesan yang bakal menimpa generasi masa depan jika masalah sosial ini tidak dibendung secepat mungkin. Semoga beberapa insiden yang berlaku ini dapat menyedarkan kita seterusnya mengubah kita menjadi masyarakat yang lebih bertanggungjawab.

Penulis ialah Penolong Pendaftar Kanan Pusat Kesihatan Universiti di UPM

IKLAN HARAM

Iklan haram yang bersepah di sepanjang tiang jejambat Lebuhraya Lingkaran Tengah Dua (MRR2) berhampiran Kepong dan Selayang memburukkan pemandangan di kawasan terbabit.

Jika sebelum ini iklan haram ditampal di tembok, pondok telefon dan tiang elektrik di tepi jalan, kini lokasi iklan itu lebih luas dipercayai bertujuan untuk menarik lebih ramai pelanggan sekitar.
Walaupun terdapat tanda-tanda iklan haram lama sudah dibuang, ia tidak menghalang mereka yang masih berdegil daripada menampal iklan haram baru di tempat sama.
Beberapa penduduk sekitar ketika ditemui berkata, iklan haram yang ditampal di situ pernah beberapa kali dibersihkan pekerja pembersihan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
“Namun, ia seolah-olah tidak memberi kesan untuk iklan haram baru ditampal keesokan harinya,” kata pekerja kilang, Radhi, 20-an, ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Radhi, kebanyakan iklan haram itu mengandungi pelbagai tawaran perkhidmatan seperti tuisyen, kerja kosong, pemasangan perkakas teknikal dan pinjaman wang haram yang dipercayai along.

Eksekutif pemasaran, Fatihah Yahya, 27, berkata dia pernah melihat beberapa pekerja dipercayai warga asing sedang menampal iklan haram itu di sekitar Kepong pada lewat petang dan malam.
“Mereka akan berpecah dan berjalan dari satu lokasi ke lokasi berlainan dipercayai untuk menampal iklan terbabit,” katanya.
Tinjauan Metroplus mendapati, hampir setiap tiang di jejambat MRR2 menghala ke semua arah mempunyai iklan haram yang ditampal secara berselerak.
Tidak seperti iklan lain yang berlesen dan mengikut spesifikasi pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kelihatan lebih kemas, iklan haram bersepah mengundang pandangan buruk orang awam.
Dalam pada itu, Pegawai Perhubungan Awam MPS, Helda Shima Abu Talab, ketika dihubungi berkata MPS kini sedang berusaha membanteras iklan haram sama ada ditampal atau digantung secara berperingkat.
“Masalahnya, MPS tidak mempunyai kuasa untuk menangkap pihak terbabit yang menjalankan aktiviti menampal dan menaikkan iklan haram,” katanya.

MASYARAKAT DIMINTA PEKA HAK MEREKA

SHAH ALAM: Kira-kira 42 peratus pengguna yang dikaji selidik didapati masih tidak menyedari hak sebagai pengguna termasuk hak menuntut ganti rugi melalui Tribunal Tuntutan Pengguna.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata maklumat itu diperoleh melalui kajian ke atas 5,000 responden tahun lalu. “Berdasarkan kajian itu, ramai tidak peka dan tidak tahu hak mereka sekiranya berlaku penindasan. Malah, ada yang tidak tahu mereka mempunyai saluran untuk mengadu bagi menuntut hak mereka sebagai pengguna apabila dinafikan pihak tertentu,” katanya pada sidang media di sini, semalam. Beliau berkata demikian pada majlis menyampaikan geran bantuan bernilai RM500 setiap satu kepada Kelab Pengguna Sekolah dari 117 sekolah menengah di Selangor.
Ismail Sabri berkata, terdapat juga responden yang tidak mengetahui bayaran serendah RM5 dikenakan bagi membuka sesuatu kes di tribunal tanpa perlu melantik peguam. Sehingga ini, katanya, terdapat 23 tribunal pengguna di seluruh negara dengan tujuh lagi bakal ditubuh menjelang hujung tahun ini. Beliau berkata, pengguna perlu bijak dan sedar hak mereka yang apabila merasakan ditindas perlu tampil ke tribunal untuk melaporkan kes. Berhubung soal penyelesaian kes, katanya, 6,491 kes dicatat di tribunal di seluruh negara sepanjang 2009 dengan 97.17 peratus kes sudah diselesaikan. — Bernama

BAHAYA PENYAKIT TUBERCULOSIS (TIBI)

Tibi penyakit sepanjang zaman

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my

PESAKIT tibi hilang selera makan dan berat badan turun secara mendadak.


PELBAGAI cara telah dilakukan. Langkah pencegahan juga telah dilaksanakan. Namun, penularan penyakit tibi (tuberculosis) tetap tidak ada surutnya.

Malah angkanya terus meningkat dari tahun ke tahun.

Menurut perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hari ini terdapat lebih kurang 20 juta kes tibi aktif di seluruh dunia.

Penyakit ini dikatakan menjangkiti antara 50 hingga 100 juta penghuni dunia terutama kanak-kanak secara tahunan.

Tiga juta kematian berlaku setiap tahun disebabkan penyakit jangkitan tibi dan 80 peratus daripadanya melibatkan negara-negara membangun.

WHO juga menyatakan hampir 26 peratus kematian di negara dunia ketiga boleh dielakkan sekiranya pesakit tibi mendapatkan rawatan sewajarnya.

Apakah punca utama penyakit yang sudah wujud sejak zaman kuno ini terus bertahan? Bagaimana pula peranan kita dalam usaha untuk memastikan penyakit ini tidak lagi menjadi antara pembunuh utama penyakit berjangkit ini?

Senario jangkitan tibi di Malaysia

Di negara ini, angka mereka yang dijangkiti penyakit ini semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Sejak 1989 secara purata sebanyak 11,500 hingga 12,000 kes dikesan setiap tahun. Separuh daripada kes ini didapati positif dijangkiti tibi.

Pada 2006, seramai 14,000 pesakit tibi telah dapat dikesan dimana nisbah jangkitan adalah 61 untuk setiap 100,000 penduduk.

Tahun berikutnya, sebanyak 16,000 kes baru dicatatkan dan pada 2008 pula sebanyak 17,506 kes baru didaftarkan. Daripada angka ini, 10,441 disahkan dijangkiti kuman tibi dengan 2207 kes melibatkan pendatang asing.

Angka jangkitan terus meningkat tahun lalu dengan 17,496 kes baru direkodkan.

Bagaimanapun, kes tibi di Malaysia masih rendah berbanding Filipina, Thailand dan Indonesia, namun lebih tinggi dari negara Singapura.

Tibi dan pendatang asing

Kemasukan pekerja dari negara-negara dunia ketiga sememangnya menjadi punca utama jangkitan tibi masih berleluasa biar pun tahap kebersihan dan kesihatan di negara ini boleh dikatakan berada pada paras sederhana.

Menurut Dr. Hairulfaizi, tibi sememangnya sangat sinonim dengan negara mundur dan kemasukan pekerja dari negara-negara ini turut membawa sekali penyakit tersebut.

“Pemeriksaan kesihatan menyeluruh perlu dilakukan kepada pekerja asing ini agar mereka tidak membawa sekali kuman yang mudah berjangkit ini. Bagaimanapun, langkah ini masih belum boleh diimplementasi sepenuhnya atas beberapa sebab, antaranya kemasukan pendatang tanpa izin,” kata beliau.

Penyebaran kuman di kalangan pendatang berlaku dengan mudah disebabkan keadaan persekitaran yang memudahkan penyakit merebak dan menular.

Boleh dikatakan dengan keadaan tempat tinggal yang sempit dan kurang ventilasi menjadi salah satu sebab penting kepada jangkitan ini menular dengan mudah.

Selain itu kata beliau, negara maju seperti Amerika Syarikat juga turut berdepan dengan masalah ini disebabkan kemasukan pendatang asing dari negara membangun seperti Mexico.

Rawatan

Bakteria tibi mempunyai dinding sel yang tebal dan amat sukar untuk dibunuh menggunakan antibiotik. Kuman ini juga boleh hidup di dalam sel-sel darah dan di dalam tisu anggota badan lain.

Oleh itu, rawatan tibi perlu terus diberikan selama enam bulan supaya semua kuman di dalam dan di luar sel dapat dibunuh sepenuhnya.

Cara rawatan adalah dengan memberikan antibiotik kepada pesakit. Ini adalah untuk mengelakkan kuman tibi menjadi kebal kepada ubat (multidrug resistance tibi). Ubat yang biasa diberi adalah isoniazid, rifampicin, pyrazinamide, streptomycin dan ethambutol. Pesakit perlu mengambil ubat-ubat ini setiap hari bagi dua bulan pertama, sehinggalah pemeriksaan doktor dijalankan.

Sekiranya pemeriksaan doktor menunjukkan kemajuan dari segi simptom, imej imbasan sinar-X dan pemeriksaan kahak, cara pengambilan ubat akan diubah kepada dua kali seminggu untuk empat bulan seterusnya. Imbasan sinar-X dan ujian kahak perlulah dijalankan setiap dua bulan sepanjang tempoh rawatan, sehinggalah pesakit didapati sembuh sepenuhnya (selalunya hanya dalam tempoh enam bulan).

Seperti antibiotik lain, ubat-ubat untuk tibi juga mempunyai kesan sampingan termasuk loya, muntah, rasa gatal badan dan letih. Adalah sangat penting pesakit memaklumkan doktor atau jururawat jika terjadi sebarang kesan sampingan yang teruk.

Kejadian kuman tibi yang kebal kini didapati meningkat di beberapa negara di rantau Asia. Kuman jenis ini amat sukar dihapuskan dan kadar kematian pesakit akibat jangkitan kuman tibi kebal adalah setinggi 80 peratus.

Langkah pencegahan

Menurut kajian, pesakit yang aktif tibi akan menjangkiti 10 hingga 15 orang di sekelilingnya.

Bagi pesakit yang disahkan tibi mereka perlu:

  • Mematuhi arahan pengambilan ubat yang telah ditetapkan tempohnya.
  • Ambil cuti dan tidak ke tempat kerja atau sekolah bagi mengelakkan kuman tibi tersebar.
  • Selepas beberapa minggu rawatan, pesakit akan rasa lebih baik dan tidak akan menjangkiti orang lain lagi. Doktor akan menasihatkan waktu yang paling sesuai untuk kembali berkerja atau ke sekolah.
  • Asingkan bilik tidur, jangan berkongsi pakaian, makanan dan sebagainya. Elakkan sentuhan dengan orang lain bagi mengurangkan risiko jangkitan.
  • Dari segi ventilasi, pastikan sistem pengudaran rumah dan pejabat dalam keadaan baik. Halakan kipas ke arah tingkap untuk meniup angin keluar dari ruang bilik. Ini akan mengurangkan peluang bakteria tibi untuk terus berada dalam ruang dan menjangkiti orang lain.
  • Selain itu, kanak-kanak yang merupakan golongan mudah dijangkiti digalakkan tidak mengunjungi hospital bagi mengelakkan penyebaran kuman tibi. Bagi bayi baru lahir, suntikan BCG mampu memberi perlindungan daripada bakteria tibi.

    Pemeriksaan kesihatan menyeluruh perlu dilakukan ke atas pekerja yang masuk ke negara ini terutama jika dari negara dunia ketiga.

    We’re on the move – tema Hari Tibi Sedunia 2010

    Tahun ini menjadi titik tengah kepada Rancangan Memerangi Tibi Global yang dilancarkan WHO pada 2006. Pertubuhan itu menyasarkan tahun 2015 sebagai noktah kepada penyakit berbahaya ini. Pelbagai langkah dan usaha ditingkatkan demi satu matlamat iaitu memberhentikan penyebaran penyakit yang menjadi pembunuh utama penyakit berjangkit di dunia ini.

    Slogan on the move memerangi tibi menunjukkan tema yang dipilih tahun ini ringkas, fleksibel dan mudah difahami. Sesuai dengan kempen tahun ini memberi fokus kepada individu tidak kira dari seluruh pelosok dunia yang berjaya menemui cara memberhentikan tibi untuk menjadi inspirasi kepada orang lain.