ZAHRAIN BEDAL TEMBELANG ANWAR

KUALA LUMPUR 17 Mac – Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bebas-Bayan Baru) hari ini menggegarkan sidang Dewan Rakyat apabila ‘memecahkan tembelang’ Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung rancangan mengambil alih kerajaan Pusat ’16 September.’

Pendedahan itu juga menyebabkan Anwar ‘panas punggung’ sehingga mendorong beliau secara tergesa-gesa meninggalkan sidang Dewan.

Beberapa ahli Parlimen pembangkang lain yang turut ‘panas telinga’ dengan pendedahan tersebut mengekori Anwar meninggalkan sidang itu.

Ketika itu Zahrain baru sahaja berucap lima minit membahaskan usul ucapan titah menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong.

Zahrain mendedahkan bagaimana Anwar membohongi wakil rakyat pembangkang kononnya ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan melompat parti menyertai pembangkang lebih daripada mencukupi.

Anwar kata Zahrain, turut ‘menjaja’ nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Zahrain yang memulakan ucapannya pada pukul 5.05 petang berkata, Anwar mendakwa kononnya Seri Paduka pada satu ketika pernah menunggu di istana untuk mengesahkan jumlah ahli Parlimen BN yang melompat parti bagi menyertai pembangkang.

”Beliau mengakui bahawa Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikannya sebagai Perdana Menteri keenam sekiranya pakatan pembangkang berjaya membentuk kerajaan Persekutuan sementara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga menyokong pelantikan tersebut,” tegasnya.

Pada ketika itu, Anwar dilihat bangun sambil berjalan keluar meninggalkan dewan.

Tindakannya itu diikuti ramai wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Tian Chua (PKR-Batu) dan N. Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) pula kelihatan bangun mengherdik Zahrain tanpa mempedulikan nasihat Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee yang meminta mereka bertenang.

Dewan menjadi riuh rendah apabila beberapa penyokong kerajaan antaranya Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan); Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) dan Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) menjerit ‘pengecut,’ ‘penakut’ dan ‘kalau berani tunggu’ ke arah Anwar bagi mendesak Ahli Parlimen Permatang Pauh itu tidak keluar Dewan.

Sementara itu, Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) pada ketika itu pula meminta supaya Yang Dipertua Dewan mengarahkan Gobalakrishnan keluar dari dewan kerana terus bangun dan menjerit.

Bagai melepaskan tembakan bertubi-tubi, Zahrain meneruskan perbahasannya dan dengan selamba menggelarkan perbuatan wakil-wakil rakyat pembangkang yang keluar dewan dan mengherdiknya sebagai sindrom penafian.

”Kami juga dibohongi (Anwar) kononnya salah seorang Timbalan Speaker (Dewan Rakyat) akan mempengerusikan usul undi tidak percaya (terhadap) kerajaan dan menyokong pakatan pembangkang mengambil alih Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Gobalakrishnan yang dilihat masih tidak berpuas hati akhirnya diberi peluang oleh Zahrain untuk mencelah.

Gobalakrishnan yang pada mulanya gagal menyampaikan soalan dengan baik dan ditertawakan beberapa wakil rakyat BN menggunakan ruang itu dengan mendakwa Zahrain keluar PKR kerana gagal mendapat projek mengurus dan menyelenggara sebuah padang golf.

Zahrain menjawab dakwaan tersebut dengan mencabar Gobalakrishnan supaya mengulangi tuduhan itu di luar dewan supaya beliau boleh menyamannya.

Beliau seterusnya mendedahkan punca lain meninggalkan PKR adalah kerana parti itu yang pada mulanya memperjuangkan reformasi dan keadilan kini dilihat tertumpu kepada perjuangan peribadi individu tertentu.

Ahli Parlimen Bayan Baru itu turut menyifatkan Anwar sebagai “raksaksa pelbagai wajah” ekoran pendiriannya yang sentiasa berubah-ubah dalam memperjuangkan orang Melayu dan kepentingan agama Islam.

Zahrain juga mendedahkan bahawa Anwar yang kini mendabik dada mahu memperkasakan institusi Islam di negara ini pernah menggelarkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai ulama ‘terompah’ iaitu satu gelaran yang sinonim dengan tandas atau tempat kotor.

Selain itu, katanya, tindakannya keluar PKR adalah kerana parti itu terlalu ‘memperhambakan diri’ dan tunduk kepada DAP sedangkan Anwar pernah berjanji kepadanya bahawa mereka tidak akan sesekali mengikut telunjuk DAP.

Perbahasan Zahrain disambung esok.

Sementara itu, beliau yang ditemui selepas itu memberitahu hanya menggunakan kesempatan berbahas bagi menjelaskan punca meninggalkan PKR serta janji-janji yang pernah dibuat oleh Anwar sebelum ini.

Mengenai tindakan Anwar yang keluar dewan selepas beberapa minit beliau berucap berkata: ”Saya tidak tahu, saya tidak perasan pun tetapi apa yang penting ia tidak membawa apa-apa makna (kepada saya) dan saya hanya menyampaikan cerita sebelah saya.”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: