INIKAH NAMANYA KEJUJURAN DAN AMANAH?

ARKIB : 01/11/2000 : UTUSAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR 31 Okt. – Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, kerajaan Pas Terengganu tidak boleh mempertikaikan kedudukan wang ihsan kerana wang yang disalurkan selama ini walaupun atas nama royalti minyak, bukanlah hak negeri itu.

Beliau yang menerajui syarikat minyak nasional itu semasa perjanjian dengan kerajaan Terengganu dimeterai pada 1975 berkata, semasa Petronas ditubuhkan telah dinyatakan bahawa tiada sebuah negeri pun di Semenanjung berhak ke atas hasil minyak yang dijumpai di kawasan yang berada di luar ‘wilayah’ mereka.

”Dulupun, wang ini diberi bukan atas dasar ia adalah hak negeri Terengganu kerana minyak tersebut diperoleh di luar kawasan kekuasaan negeri itu.

”Dari segi undang-undang pula, ikut pandangan kita pada masa itu iaitu semasa Petronas ditubuhkan, memang negeri-negeri di Semenajung tidak ada hak ke atas minyak ini,” kata bekas Menteri Kewangan itu kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Beliau dilantik menyandang jawatan Pengerusi Petronas pada 5 September, 1974. Ini adalah kenyataan pertama beliau selepas tercetusnya kemarahan kerajaan Terengganu dan parti Pas mengenai isu pemberian wang ihsan menggantikan royalti.

Ketua Pembangkang, Datuk Fadzil Noor ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2001 semalam berkata, Kerajaan Pusat cuba menafikan hak kerajaan Pas Terengganu dalam isu itu.

Kata Fadzil, penggunaan istilah ”wang ihsan” adalah tidak tepat kerana semasa kerajaan negeri Terengganu di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) perkataan yang digunakan adalah royalti minyak.

Sehubungan itu, Tengku Razaleigh menegaskan, soal pembayaran wang kepada Terengganu sama ada atas nama wang ihsan atau royalti sepatutnya tidak menjadi isu.

Ini kerana wang tersebut tetap disalurkan kepada rakyat negeri itu.

”Saya rasa yang pentingnya bukan soal wang itu disalurkan menerusi negeri atau Pusat kerana yang pentingnya terjejas atau tidak rakyat Terengganu dalam hal ini.

”Kalau wang itu disalurkan menerusi apa-apa saluran pun dan rakyat tidak mendapat faedahnya serta menanggung kerugian, barulah perkara ini boleh dipersoalkan,” katanya.

Sehubungan itu Tengku Razaleigh berkata, rakyat harus memberi peluang kepada Kerajaan Pusat dan menilai sama ada cara penyaluran wang ihsan itu menguntungkan atau tidak.

”Tetapi saya percaya cara ini sudah tentu akan memberi faedah dan menguntungkan rakyat. Kalau menguntungkan rakyat, kenapa hendak persoalkan cara mana duit itu disalurkan,” katanya.

Ahli Parlimen Gua Musang itu juga tidak menolak kemungkinan, Kerajaan Pusat mengambil alih peranan menyalurkan wang tersebut kerana kerajaan Pas Terengganu yang baru memerintah belum lagi mempunyai keupayaan dan kemampuan untuk melaksanakan projek.

Oleh itu, Tengku Razaleigh menambah biarlah rakyat menentukan sama ada langkah Kerajaan Pusat itu menjejaskan mereka atau tidak.

Bagaimanapun, beliau yakin cara baru itu tidak akan menjejaskan kehidupan rakyat Terengganu memandangkan Kerajaan Pusat adalah pihak yang mementingkan pembangunan rakyat.

”Takkan Kerajaan Pusat nak kurangkan wang itu atau melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan kemarahan rakyat Terengganu. Tak mungkin ini berlaku.

”Kerajaan Pusat adalah berorientasikan pembangunan tentu dia akan bagi segala kemudahan dan projek yang dia boleh rancang dengan baik untuk dilaksanakan,” katanya.

Pada 5 September lepas, Kementerian Kewangan mengumumkan keputusan Kerajaan Pusat untuk menyalurkan wang itu dalam bentuk projek-projek pembangunan meliputi pendidikan untuk manfaat rakyat dan tidak kepada kerajaan negeri.

Ia akan dibayar melalui kaedah dikenali sebagai Program Pembiayaan Wang Ehsan yang akan dikendalikan oleh satu Jawatankuasa Peringkat Pusat (JPP) dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

Oleh: AKMAR HISHAM MOKHLES

JADI SEBAGAI PEMBACA, NILAILAH SIAPA KU LI DAN APA AGENDA BELIAU.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: