ADUN KELABORAN UGUT KONTRAKTOR MELAYU

TUMPAT: Seorang kontraktor membuat laporan polis terhadap seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelantan kerana mendakwa menerima ugutan akan dikasari daripada pemimpin Pas itu.

Wan Din Wan Mamat, 49, mendakwa beliau diugut Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim, yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, dengan pelbagai ugutan termasuk akan menggunakan pengikutnya untuk bertindak kasar ke atasnya.

Katanya, ugutan itu dibuat melalui telefon bimbitnya kira-kira jam 1 tengah hari semalam ketika dalam perjalanan menaiki kereta dari bandar Tumpat ke Pasir Pekan dekat Wakaf Baharu di sini.

Wan Din berkata, beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat pada jam 5 petang semalam kerana takut dan bimbang dengan keselamatannya.

“Dalam perbualan telefon dia telah mengugut saya dengan pelbagai ugutan termasuk dia mempunyai pengikut yang ramai dan sekiranya pengikutnya bertindak, dia tidak akan bertanggungjawab apa jua yang berlaku ke atas saya,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini, hari ini.

Wan Din berkata, ugutan itu dibuat setelah beliau membuat kenyataan balas terhadap cabaran Adun terbabit yang dikatakan mempertikaikan kewibawaannya mendapat kontrak membersih Kawasan Bebas Cukai (KBC) Pengkalan Kubur.

“Dia suruh saya serah balik kontrak yang diperolehi itu, dia juga kata boleh batalkan kontrak saya itu,” katanya.

Seorang jurucakap polis daerah Tumpat mengesahkan menerima laporan daripada kontraktor itu. – Bernama

Advertisements

Tunku Ibrahim pewaris takhta berjiwa rakyat

KUALA LUMPUR: Tunku Ibrahim Ismail ibni Sultan Iskandar yang dilantik sebagai Pemangku Raja Johor hari ini, adalah seorang pewaris takhta yang mempunyai banyak keistimewaan.

Mewarisi sifat prihatin ayahanda baginda, putera sulung Sultan Johor, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail, itu bukan hanya mempunyai latar belakang akademik dan pencapaian membanggakan tetapi baginda juga cukup disenangi kerana keperibadian yang menawan hati rakyat.

Mesra disapa sebagai TMJ (Tengku Mahkota Johor), Tunku Ibrahim, 51, cukup sinonim dengan Program Kembara Mahkota Johor, aktiviti berteraskan kerja-kerja sosial yang diilhamkan baginda sejak 2001.

// <![CDATA[// // <![CDATA[// // <![CDATA[// Konvoi motosikal berkuasa tinggi itu yang dijadikan acara tahunan, membawa baginda dan rombongan pengiringnya terdiri daripada Menteri Besar dan pegawai negeri lain ke semua lapan daerah di Johor yang menyaksikan Tunku Ibrahim dan rombongan melaksanakan pelbagai projek kebajikan sepanjang laluan konvoi.

Sikap prihatin dan kesungguhan baginda untuk turun padang bagi melihat sendiri kehidupan dan menyelami susah senang masyarakat membina kredibiliti baginda sebagai pewaris takhta yang mesra rakyat.

Semasa kembara pertamanya pada 2001, Tunku Ibrahim tidak kekok untuk mendokong dan mendodoikan seorang bayi yang terlentuk di bahu baginda.

Ketika melawat Kampung Temiang di Muar, baginda sempat menjamah ubi rebus yang menjadi makanan rakyat dengan begitu berselera serta memuji pembuat sambal ubi rebus, iaitu seorang nenek yang terharu dengan pujian Tunku Mahkota Johor.

Kesungguhan baginda untuk merasai kehidupan seharian rakyat jelata di situ jelas terserlah apabila pada satu ketika baginda meneguk air tebu dalam bungkusan plastik yang dihulurkan oleh seorang penduduk.

Tidak bersendirian, aktiviti turun padang itu memecah tembok pemisah antara istana Johor dan rakyat apabila Tunku Ibrahim turut membabitkan isteri, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, dan putera-puteri baginda dalam ekspedisi itu.

Tunku Ibrahim yang menikahi Raja Zarith Sofiah pada 1982 dikurniakan lima putera dan satu puteri, iaitu Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar, Tunku Amina, Tunku Idris, Tunku Abdul Jalil, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Iman.

Diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu, putera sulung daripada 10 adik-beradik itu dilantik sebagai pewaris takhta Negeri Johor apabila ditabalkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981.

Baginda pernah dilantik sebagai Pemangku Raja pada 25 April 1984 semasa Sultan Iskandar dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelapan.

Tunku Ibrahim menerima pendidikan awal di Sekolah Temenggong Abdul Rahman Satu, Johor, dan kemudian belajar di Trinity Grammar School, Australia, pada 1968 hingga 1970 sebelum meneruskan pelajaran menengah di Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB).

Pewaris takhta itu menerima pendidikan agama di Sekolah Agama Bukit Zaharah dan Sekolah Agama Air Molek, Johor Baharu.

Setelah tamat pengajian peringkat menengah, Tunku Mahkota dihantar oleh ayahanda baginda ke Pusat Latihan Darat (Pulada), Kota Tinggi untuk menerima latihan asas ketenteraan selama tiga bulan.

Bagi melengkapkan lagi pengetahuan baginda dalam asas ketenteraan, Tunku Ibrahim yang segak itu dihantar ke Fort Bening, Georgia, Amerika Syarikat untuk mengikuti Kursus Asas Pegawai-Pegawai Infantri dan Udara.

Baginda kemudiannya mengikuti latihan lanjut ketenteraan dalam Kursus Pegawai-Pegawai Pasukan Khas di Fort Bragg, Amerika.

Sekembalinya baginda ke tanah air, Tunku Ibrahim dilantik sebagai Timbalan Komander, Angkatan Tentera Johor.

Baginda menghadiri kursus latihan helikopter di Pangkalan Tentera Kluang dan menerima sayap selain menamatkan tugas latihan selama dua bulan dalam Tentera Laut Diraja Malaysia.

Tunku Ibrahim juga sangat berminat dalam bidang sukan, khususnya polo yang telah membawa baginda menyertai kejohanan sehingga ke peringkat antarabangsa, termasuk Singapura, Manila dan Brunei.

Turut menjadi kegemaran baginda ialah sukan tenis, luncur layar, menembak dan memandu kereta. – Bernama