MODAL INSAN

PENGENALAN

Y.A.B. Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi telah mencetuskan revolusi idea dalam memberi penekanan terhadap usaha membangunkan Modal Insan sebagai satu landasan kecemerlangan generasi hadapan. Generasi hadapan merupakan aset insani Malaysia yang paling penting dalam usaha Kerajaan merealisasikan kewujudan sebuah Negara Bangsa yang Maju, Cemerlang, Gemilang dan Terbilang menjelang WAWASAN 2020.

TERAS DASAR PMI
Kanak-Kanak : Aset Negara* Melaksanakan penambahbaikan terhadap sistem penyampaian pendidikan dan latihan supaya ianya berkualiti dan releven dengan keperluan semasa;

* Memperkasakan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan utama rakyat Malaysia yang berbilang kaum bagi meningkatkan perpaduan negara

* Melaksana langkah bagi merapatkan jurang prestasi antara sekolah luar bandar dan bandar, termasuk mempertingkatkan kualiti pengajaran, prasarana dan kemudahan serta menempatkan guru berpengalaman di sekolah luar bandar;

* Membangunkan universiti bertaraf antarabangsa dan memastikan pendidikan dan latihan di peringkat tertiari memenuhi keperluan pasaran;

* Menyediakan lebih banyak peluang dan akses kepada pendidikan latihan dan pembelajaran sepanjang hayat yang berkualiti di semua peringkat;

* Membangunkan masyarakat inovatif dan kreatif, yang mempunyai pengetahuan dan keupayaan sains dan teknologi yang kukuh serta memiliki kemampuan memperoleh dan menggunakan pengetahuan;

* Memperkukuhkan perpaduan nasional dan membangunkan masyarakat yang mempunyai perspektif progresif, budaya prestasi tinggi, sistem nilai-nilai murni serta menghargai tradisi dan warisan; dan

* Memperluaskan dan memperkemaskan forum perbincangan dan perundingan antara kerajaan, sektor swasta, ibu bapa dan masyarakat dalam pembangunan modal insan.

Bagi merealisasikan matlamat tersebut, negara sentiasa berusaha menyediakan tenaga kerja berwibawa yang berbekalkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang, termasuk sains dan teknologi. Modal insan merupakan individu yang berilmu, berkeyakinan, mempunyai nilai murni dan moral yang tinggi, beretika, berbudi pekerti, bersopan-santun, berdisiplin, dinamik, inovatif, kreatif, sihat, bersemangat patriotik, adil, progresif, cekal dan berdaya saing. Inilah modal insan yang memiliki personaliti unggul. Merekalah yang akan menentukan hala tuju negara pada masa hadapan.

Aspek Perkhidmatan

a) Menubuhkan Institut Integriti Nasional bertujuan membina upaya modal insan untuk membanteras rasuah

b) Menubuhkan Pasukan Petugas Pemudah Cara Kerajaan (Pemudah) bagi meningkatkan kecekapan sistem penyampaian oleh jentera kerajaan.

c) Matlamat kerajaan untuk menyediakan satu perkhidmatan awam kelas pertama diantaranya menerusi Komitmen Perkhidmatan Awam Malaysia 2008

Aspek Pendidikan

(a) Melaksanakan Pelan Induk Pembangunan Pelajaran, 2006-2010 yang telah dirangka untuk melaksanakan dan merealisasikan satu sistem pendidikan yang holistik, progresif, bermoral dan bertaraf dunia

(b) Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara menetapkan matlamat untuk meningkatkan kualiti pelajar, keupayaan pensyarah, infrastruktur IPT dan membina rangkaian dengan institusi-institusi pendidikan tinggi ternama dunia.

Aspek Ekonomi

a) Melancarkan Iskandar Malaysia (dahulunya Wilayah Pembangunan Iskandar), sebuah kawasan untuk menjana pertumbuhan ekonomi.

b) Mewujudkan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER, Northern Corridor Economic Region) yang juga  merupakan kawasan pembangunan ekonomi dan sosial

c) Melancarkan Wilayah Ekonomi Koridor Timur (ECER, Eastern Corridor Economic Region) sebagai sebuah kawasan yang berupaya membentuk modal insan dan pertumbuhan ekonomi yang baik.

d) Melaksanakan Program Transformasi Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Program Transformasi Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) adalah untuk merancang dan melaksanakan dasar polisi kebangsaan dan garis panduan yang komprehensif bagi mengubah GLC kepada entiti berprestasi tinggi, serta mewujudkan rangka institusi untuk mengurus dan menyelia pelaksanaan dasar dan garis panduan ini.

Aspek Sains, Teknologi & Inovasi

a) Pembangunan Knowledge Workers Development Institute bagi memastikan bekalan tenaga berkemahiran tinggi menepati permintaan industri ICT.

b) Program Pembangunan Modal Insan (HCD, Human Capital Development) dalam bidang Sains, Teknologi & Inovasi bertujuan penambah bilangan dan meningkatkan kemahiran penyelidik

Aspek Politik

a) Melahirkan barisan pemimpin Melayu yang berketrampilan, dikagumi, dihormati dan dipercayai.

Aspek Kerohanian

a) Program Islam Hadhari bertujuan mengutamakan aspek ketamadunan umat seimbang atau apa yang dikatakan ummatan wasatan.

Advertisements

Minyak: Penjelasan Ku Li — ‘Terengganu tidak boleh mempertikaikan kedudukan wang ihsan’

ARKIB : 01/11/2000 : UTUSAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR 31 Okt. – Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, kerajaan Pas Terengganu tidak boleh mempertikaikan kedudukan wang ihsan kerana wang yang disalurkan selama ini walaupun atas nama royalti minyak, bukanlah hak negeri itu.

Beliau yang menerajui syarikat minyak nasional itu semasa perjanjian dengan kerajaan Terengganu dimeterai pada 1975 berkata, semasa Petronas ditubuhkan telah dinyatakan bahawa tiada sebuah negeri pun di Semenanjung berhak ke atas hasil minyak yang dijumpai di kawasan yang berada di luar ‘wilayah’ mereka.

”Dulupun, wang ini diberi bukan atas dasar ia adalah hak negeri Terengganu kerana minyak tersebut diperoleh di luar kawasan kekuasaan negeri itu.

”Dari segi undang-undang pula, ikut pandangan kita pada masa itu iaitu semasa Petronas ditubuhkan, memang negeri-negeri di Semenajung tidak ada hak ke atas minyak ini,” kata bekas Menteri Kewangan itu kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Beliau dilantik menyandang jawatan Pengerusi Petronas pada 5 September, 1974. Ini adalah kenyataan pertama beliau selepas tercetusnya kemarahan kerajaan Terengganu dan parti Pas mengenai isu pemberian wang ihsan menggantikan royalti.

Ketua Pembangkang, Datuk Fadzil Noor ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2001 semalam berkata, Kerajaan Pusat cuba menafikan hak kerajaan Pas Terengganu dalam isu itu.

Kata Fadzil, penggunaan istilah ”wang ihsan” adalah tidak tepat kerana semasa kerajaan negeri Terengganu di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) perkataan yang digunakan adalah royalti minyak.

Sehubungan itu, Tengku Razaleigh menegaskan, soal pembayaran wang kepada Terengganu sama ada atas nama wang ihsan atau royalti sepatutnya tidak menjadi isu.

Ini kerana wang tersebut tetap disalurkan kepada rakyat negeri itu.

”Saya rasa yang pentingnya bukan soal wang itu disalurkan menerusi negeri atau Pusat kerana yang pentingnya terjejas atau tidak rakyat Terengganu dalam hal ini.

”Kalau wang itu disalurkan menerusi apa-apa saluran pun dan rakyat tidak mendapat faedahnya serta menanggung kerugian, barulah perkara ini boleh dipersoalkan,” katanya.

Sehubungan itu Tengku Razaleigh berkata, rakyat harus memberi peluang kepada Kerajaan Pusat dan menilai sama ada cara penyaluran wang ihsan itu menguntungkan atau tidak.

”Tetapi saya percaya cara ini sudah tentu akan memberi faedah dan menguntungkan rakyat. Kalau menguntungkan rakyat, kenapa hendak persoalkan cara mana duit itu disalurkan,” katanya.

Ahli Parlimen Gua Musang itu juga tidak menolak kemungkinan, Kerajaan Pusat mengambil alih peranan menyalurkan wang tersebut kerana kerajaan Pas Terengganu yang baru memerintah belum lagi mempunyai keupayaan dan kemampuan untuk melaksanakan projek.

Oleh itu, Tengku Razaleigh menambah biarlah rakyat menentukan sama ada langkah Kerajaan Pusat itu menjejaskan mereka atau tidak.

Bagaimanapun, beliau yakin cara baru itu tidak akan menjejaskan kehidupan rakyat Terengganu memandangkan Kerajaan Pusat adalah pihak yang mementingkan pembangunan rakyat.

”Takkan Kerajaan Pusat nak kurangkan wang itu atau melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan kemarahan rakyat Terengganu. Tak mungkin ini berlaku.

”Kerajaan Pusat adalah berorientasikan pembangunan tentu dia akan bagi segala kemudahan dan projek yang dia boleh rancang dengan baik untuk dilaksanakan,” katanya.

Pada 5 September lepas, Kementerian Kewangan mengumumkan keputusan Kerajaan Pusat untuk menyalurkan wang itu dalam bentuk projek-projek pembangunan meliputi pendidikan untuk manfaat rakyat dan tidak kepada kerajaan negeri.

Ia akan dibayar melalui kaedah dikenali sebagai Program Pembiayaan Wang Ehsan yang akan dikendalikan oleh satu Jawatankuasa Peringkat Pusat (JPP) dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

Oleh: AKMAR HISHAM MOKHLES

JADI SEBAGAI PEMBACA, NILAILAH SIAPA KU LI DAN APA AGENDA BELIAU.

UMNO PEMBELA RAKYAT

KOTA BHARU – Klinik 1Malaysia bukan sahaja digunakan oleh kaum Melayu, malahan pelbagai kaum seperti Cina, India, Siam dan lain-lain bangsa dialu-alukan menggunakannya.

Perkhidmatan Klinik 1Malaysia di Kelantan juga mampu menarik pelbagai golongan termasuk belia, dewasa dan warga emas tanpa mengira fahaman politik di kawasan berkenaan.

Seorang pelajar yang tinggal berhampiran Taman Seri Cemerlang, Nik Nurdini Ndarina Sharifuddin, 16, dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Chung Cheng, Kota Bharu berpuas hati menggunakan perkhidmatan klinik tersebut.

“Sejak dua hari saya mengalami demam dan batuk dan apabila kali pertama menggunakan khidmat Klinik 1Malaysia di Seri Cemerlang, ternyata ia seolah-olah klinik swasta yang menawarkan khidmat terbaik.

“Bukan sahaja mengambil masa yang cepat selepas mendaftar nama pesakit, malahan saya tidak perlu menunggu lama untuk bertemu doktor yang bertugas,” katanya ketika ditemui sewaktu kunjungannya ke klinik berkenaan.

Bazldlisyam Awang, 30, berpendapat, klinik tersebut merupakan satu usaha dan alternatif yang baik dan dengan adanya Klinik 1Malaysia yang perlu dilihat oleh rakyat secara positif, selain memantapkan perkhidmatan lebih baik pada masa hadapan.

“Seperti di negeri-negeri lain, Klinik 1Malaysia yang dibina di Kelantan adalah bersesuaian iaitu di taman-taman perumahan utama dan membolehkan pesakit mudah sampai,” katanya.

Sementara itu, bagi warga emas Tengku Rosnah Tengku Mohamad, 58, dari Kota Bharu pula gembira kerana klinik berkenaan ditubuhkan berdekatan rumahnya dan tidak memerlukan dia keluar jauh mendapatkan rawatan kesihatan.

”Dengan hanya perlu membayar RM1 setiap kali pendaftaran, klinik ini dilihat sebagai klinik yang membantu golongan berpendapatan rendah menikmati perkhidmatan kesihatan yang berkualiti tanpa mengira kaum.

“Sesuai dengan kawasan Seri Cemerlang yang mempunyai ramai kaum selain Melayu, ada juga Cina, ada India dan Siam dan dengan bertemu di sini, hubungan sesama komuniti dieratkan semasa mendapatkan rawatan,” katanya.

Lebih menarik lagi, Sinar Harian berpeluang menemui dua warganegara Malaysia berbangsa Cina yang berasal dari Kelantan dan menetap di Australia bagi menghabiskan cuti mereka di negara asal.

Tan Thian Seng, 47, dari Seri Cemerlang berkata, dia yang mengalami sakit perut setelah sampai di Malaysia begitu teruja melihat Klinik 1Malaysia yang baru sahaja ada di kawasan asal dia tinggal dahulu.

“Sudah lama tidak balik Malaysia dan apabila melihat klinik seperti ini, saya gembira dan rasakan ada pembaharuan yang perlu digunakan sebaik-baiknya oleh rakyat di negara ini.

“Konsep 1Malaysia itu baik, jadi kita perlu hayatinya. Jangan cakap sahaja dan saya lihat klinik ini memberi banyak ruang kepada pesakit dengan adanya keselesaan dan rawatan yang lebih mesra serta cepat,” katanya.

Sementara itu, bagi Chang Tan Fong, 48, kewujudan klinik tersebut di kawasan berdekatan kediamannya menjadikan klinik tersebut sebagai destinasi rawatan paling tepat terutama bagi kes kecemasan.

“Pada masa yang sama, masalah kesesakan di hospital atau klinik kesihatan dapat dikurangkan memandangkan mereka yang ditugaskan juga mempunyai kepakaran dalam menguruskan pesakit luar.

“Dengan membayar RM1, rakyat di negeri ini dapat menikmati perkhidmatan yang sama seperti di klinik kesihatan tanpa berbelanja lebih.
“Penubuhan klinik ini bukan dilihat sebagai persaingan kepada klinik swasta yang ada sekarang, akan tetapi ia bertujuan meringankan beban penduduk lebih-lebih lagi mereka yang berpendapatan rendah,” katanya.

ADUN KELABORAN UGUT KONTRAKTOR MELAYU

TUMPAT: Seorang kontraktor membuat laporan polis terhadap seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelantan kerana mendakwa menerima ugutan akan dikasari daripada pemimpin Pas itu.

Wan Din Wan Mamat, 49, mendakwa beliau diugut Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim, yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, dengan pelbagai ugutan termasuk akan menggunakan pengikutnya untuk bertindak kasar ke atasnya.

Katanya, ugutan itu dibuat melalui telefon bimbitnya kira-kira jam 1 tengah hari semalam ketika dalam perjalanan menaiki kereta dari bandar Tumpat ke Pasir Pekan dekat Wakaf Baharu di sini.

Wan Din berkata, beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat pada jam 5 petang semalam kerana takut dan bimbang dengan keselamatannya.

“Dalam perbualan telefon dia telah mengugut saya dengan pelbagai ugutan termasuk dia mempunyai pengikut yang ramai dan sekiranya pengikutnya bertindak, dia tidak akan bertanggungjawab apa jua yang berlaku ke atas saya,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini, hari ini.

Wan Din berkata, ugutan itu dibuat setelah beliau membuat kenyataan balas terhadap cabaran Adun terbabit yang dikatakan mempertikaikan kewibawaannya mendapat kontrak membersih Kawasan Bebas Cukai (KBC) Pengkalan Kubur.

“Dia suruh saya serah balik kontrak yang diperolehi itu, dia juga kata boleh batalkan kontrak saya itu,” katanya.

Seorang jurucakap polis daerah Tumpat mengesahkan menerima laporan daripada kontraktor itu. – Bernama

Tunku Ibrahim pewaris takhta berjiwa rakyat

KUALA LUMPUR: Tunku Ibrahim Ismail ibni Sultan Iskandar yang dilantik sebagai Pemangku Raja Johor hari ini, adalah seorang pewaris takhta yang mempunyai banyak keistimewaan.

Mewarisi sifat prihatin ayahanda baginda, putera sulung Sultan Johor, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail, itu bukan hanya mempunyai latar belakang akademik dan pencapaian membanggakan tetapi baginda juga cukup disenangi kerana keperibadian yang menawan hati rakyat.

Mesra disapa sebagai TMJ (Tengku Mahkota Johor), Tunku Ibrahim, 51, cukup sinonim dengan Program Kembara Mahkota Johor, aktiviti berteraskan kerja-kerja sosial yang diilhamkan baginda sejak 2001.

// <![CDATA[// // <![CDATA[// // <![CDATA[// Konvoi motosikal berkuasa tinggi itu yang dijadikan acara tahunan, membawa baginda dan rombongan pengiringnya terdiri daripada Menteri Besar dan pegawai negeri lain ke semua lapan daerah di Johor yang menyaksikan Tunku Ibrahim dan rombongan melaksanakan pelbagai projek kebajikan sepanjang laluan konvoi.

Sikap prihatin dan kesungguhan baginda untuk turun padang bagi melihat sendiri kehidupan dan menyelami susah senang masyarakat membina kredibiliti baginda sebagai pewaris takhta yang mesra rakyat.

Semasa kembara pertamanya pada 2001, Tunku Ibrahim tidak kekok untuk mendokong dan mendodoikan seorang bayi yang terlentuk di bahu baginda.

Ketika melawat Kampung Temiang di Muar, baginda sempat menjamah ubi rebus yang menjadi makanan rakyat dengan begitu berselera serta memuji pembuat sambal ubi rebus, iaitu seorang nenek yang terharu dengan pujian Tunku Mahkota Johor.

Kesungguhan baginda untuk merasai kehidupan seharian rakyat jelata di situ jelas terserlah apabila pada satu ketika baginda meneguk air tebu dalam bungkusan plastik yang dihulurkan oleh seorang penduduk.

Tidak bersendirian, aktiviti turun padang itu memecah tembok pemisah antara istana Johor dan rakyat apabila Tunku Ibrahim turut membabitkan isteri, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, dan putera-puteri baginda dalam ekspedisi itu.

Tunku Ibrahim yang menikahi Raja Zarith Sofiah pada 1982 dikurniakan lima putera dan satu puteri, iaitu Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar, Tunku Amina, Tunku Idris, Tunku Abdul Jalil, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Iman.

Diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu, putera sulung daripada 10 adik-beradik itu dilantik sebagai pewaris takhta Negeri Johor apabila ditabalkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981.

Baginda pernah dilantik sebagai Pemangku Raja pada 25 April 1984 semasa Sultan Iskandar dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelapan.

Tunku Ibrahim menerima pendidikan awal di Sekolah Temenggong Abdul Rahman Satu, Johor, dan kemudian belajar di Trinity Grammar School, Australia, pada 1968 hingga 1970 sebelum meneruskan pelajaran menengah di Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB).

Pewaris takhta itu menerima pendidikan agama di Sekolah Agama Bukit Zaharah dan Sekolah Agama Air Molek, Johor Baharu.

Setelah tamat pengajian peringkat menengah, Tunku Mahkota dihantar oleh ayahanda baginda ke Pusat Latihan Darat (Pulada), Kota Tinggi untuk menerima latihan asas ketenteraan selama tiga bulan.

Bagi melengkapkan lagi pengetahuan baginda dalam asas ketenteraan, Tunku Ibrahim yang segak itu dihantar ke Fort Bening, Georgia, Amerika Syarikat untuk mengikuti Kursus Asas Pegawai-Pegawai Infantri dan Udara.

Baginda kemudiannya mengikuti latihan lanjut ketenteraan dalam Kursus Pegawai-Pegawai Pasukan Khas di Fort Bragg, Amerika.

Sekembalinya baginda ke tanah air, Tunku Ibrahim dilantik sebagai Timbalan Komander, Angkatan Tentera Johor.

Baginda menghadiri kursus latihan helikopter di Pangkalan Tentera Kluang dan menerima sayap selain menamatkan tugas latihan selama dua bulan dalam Tentera Laut Diraja Malaysia.

Tunku Ibrahim juga sangat berminat dalam bidang sukan, khususnya polo yang telah membawa baginda menyertai kejohanan sehingga ke peringkat antarabangsa, termasuk Singapura, Manila dan Brunei.

Turut menjadi kegemaran baginda ialah sukan tenis, luncur layar, menembak dan memandu kereta. – Bernama