Tanduk badak sumbu atasi nilai emas

Tanduk badak sumbu atasi nilai emas

JOHANNESBURG – Nilai tanduk badak sumbu kini melebihi emas buat kali pertama dalam tempoh sedekad berikutan permintaan di Asia Selatan meningkat secara mendadak, lapor sebuah akhbar semalam.

Harga sekilogram tanduk badak sumbu kini mencecah £36,300 sekilogram (RM203,788) manakala harga emas tulen untuk berat yang sama hanya £24,600 (RM138,104).

Secara purata, berat sebatang tanduk badak sumbu ialah tujuh kilogram.

Pada 2007, sebanyak 13 badak sumbu dibunuh di Afrika Selatan namun tahun ini jumlah tersebut meningkat kepada 84 ekor.

Tanduk badak sumbu yang dijadikan serbuk mendapat permintaan tinggi setelah seorang menteri Vietnam mendakwa ia dapat membantu menyembuhkan penyakit kanser yang dialaminya. – Agensi

Advertisements

Nik Abdul Aziz tidak terima Husam letak jawatan

Nik Abdul Aziz tidak terima Husam letak jawatan
22/11/2009 5:02pm

KOTA BHARU 22 Nov. – Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan tidak akan menerima peletakan jawatan Exco kanan kerajaan negeri itu, Datuk Husam Musa sekiranya benar beliau berhasrat meletakkan jawatan.

Mursyidul Am Pas itu berkata, Husam yang juga Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan merupakan seorang pemimpin yang pintar dan berpandangan jauh serta banyak membantu rakyat di negeri ini bahkan mampu mengubah lanskap politik nasional.

Bagaimanapun, Nik Abdul Aziz menafikan dakwaan bahawa bekas Naib Presiden Pas itu pernah menyuarakan hasratnya untuk melepaskan jawatan dalam parti atau pun kerajaan negeri.

“Cerita mengenai Husam meletakkan jawatan tidak berlaku langsung dan saya pun tidak beri kalau dia hendak letak jawatan kerana Kelantan dapat banyak manfaat daripadanya.

“Husam ini Allah buat bukan untuk Kelantan sahaja tetapi untuk rakyat Malaysia, dia budak yang cerdik, pengalaman banyak dan pemikiran jauh ke depan,’’ katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini. – Utusan.

Kabel dasar laut hubungkan negara anggota EAGA

Kabel dasar laut hubungkan negara anggota EAGA
22/11/2009 7:14pm

KOTA KINABALU 22 Nov. — Satu projek kabel dasar laut yang menghubungkan Filipina dan negara anggota Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), serta negara lain di Asia, sedang dalam perhatian.

Ini berikutan mesyuarat Kumpulan Kerja Teknologi Komunikasi Maklumat BIMP-EAGA di Cagayan De Oro, Mindanao, baru-baru ini.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Pembangunan Ekonomi Mindanao (MEDCo), di sini hari ini menyebut cadangan itu dikemukakan oleh EA Trilink, sebuah syarikat telekomunikasi Filipina, dalam mesyuarat yang diadakan pada 10 Nov. lepas. – Bernama