KHASIAT BETIK

Makan betik boleh awet muda

Oleh FATIHAH MOHAMED
fatihah.mohamed@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR – Seseorang yang ingin kelihatan muda rupa-rupanya tidak perlu membelanjakan wang yang banyak untuk membeli pelbagai jenis kosmetik, sebaliknya memadai dengan hanya memakan betik.

Menariknya, betik yang dimakan bukan setakat berupaya memenuhi keperluan nutrisi harian sesiapa yang memakannya tetapi juga mampu mengekalkan seseorang itu awet muda.

Kenyataan itu disokong oleh pensyarah dari Jabatan Sains Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Azizah Abdul Hamid yang menyatakan kandungan komponen aktif dalam buah-buahan seperti betik mampu mengurangkan tindak balas pengoksidan.

“Tindak balas pengoksidan mampu menjadikan kulit seseorang berkedut selain mengundang tompok-tompok hitam tetapi dengan adanya komponen aktif iaitu sebatian fenolik, ia akan bertindak sebagai antipengoksidan yang melambatkan proses penuaan,” katanya selepas seminar bertajuk Optimization of Nutraceutical Processing Using Parameter Estimation di UPM semalam.

Menurut Azizah, selain berguna sebagai agen antipenuaan, betik juga berperanan untuk menghalang kanser seperti kanser prostat, penyakit berkaitan jantung dan penyakit alzheimer.

Selain betik, buah-buahan lain yang turut memberikan kelebihan yang sama kepada manusia ialah jambu batu isi merah, buah naga isi merah, ubi keledek serta kelompok herba seperti pegaga dan mengkudu.

Advertisements

HADIAH ALLAH JANGAN DITOLAK

Jangan gugurkan anak!

WANITA yang pernah menggugurkan janin berisiko melahirkan bayi pramatang pada kelahiran seterusnya.


PENGGUGURAN kandungan bakal mengundang risiko pada kemudian hari. Wanita yang melakukan pengguguran sebenarnya berisiko melahirkan bayi pramatang pada kelahiran yang seterusnya.

Kajian pakar perubatan dari Kanada mendapati wanita yang menjalani proses pengguguran berisiko sebanyak 72 peratus mendapat bayi kurang berat badan dan 93 peratus bayi pramatang.

Pakar Jabatan Pediatrik di Hospital Mount Sinai, Toronto Dr. Prakesh Shah mendedahkan, antara punca utama keadaan itu adalah kerosakan fizikal pada bahagian serviks yang terjadi ketika pengguguran secara konvensional dilakukan.

PENYAKIT KELAM KABUT

Kelam-kabut sindrom penyakit

Oleh SHANIKA ABADULLATIB

Dysprexia umumnya tidak mampu dilihat dengan mata kasar kerana ia melibatkan ketidakjajaran antara arahan dari otak dan pergerakan tangan atau kaki pada masa yang sama.


SIKAP kelam-kabut mampu menyebabkan rutin harian kehidupan menjadi penuh bercelaru. – Gambar hiasan


SEIMBAS pandang, pelajar lelaki berusia 10 tahun yang dikenali dengan nama ringkasnya, Alim langsung tidak berbeza dengan rakan-rakan sebayanya yang lain sehinggalah guru sekolahnya kerap menegur tingkah lakunya yang suka melanggar meja dan kerusi secara sembrono.

Suatu hari, gurunya melihat koordinasi pergerakan Alim agak berbeza berbanding rakan-rakannya termasuk lambat dalam menyalin sesuatu yang ditulis di papan tulis, lalu akhirnya dia menyarankan agar Alim dibawa berjumpa pakar perubatan.

Diagnosis dan ujian yang dijalankan mendapati, tingkah laku kelam-kabut Alim itu sebenarnya berpunca daripada abnormaliti pada sistem motor dan saraf dalam tubuhnya.

Dikenali sebagai Dysprexia, penyakit ini umumnya tidak mampu dilihat dengan mata kasar kerana ia melibatkan ketidakjajaran antara arahan dari otak dan pergerakan tangan atau kaki pada masa yang sama.

Pakar Runding Psikitri Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Nor Hamidah Mohd. Salleh menjelaskan, dysprexia yang banyak dihadapi kanak-kanak lelaki sebenarnya mampu dikesan dari awal lagi.

Gagal ikat tali kasut

“Dysprexia atau istilah mudahnya sindrom kanak-kanak kelam-kabut, merupakan satu keadaan yang tidak ubah seperti autisme, dylexia, dan kanak-kanak hiper aktif (ADHD).”

“Namun yang membezakannya ialah dysprexia melibatkan ketidakjajaran pergerakan motor anggota badan dan otak,” jelasnya.

Tambah Nor Hamidah, simptom awal dysprexia boleh dikesan pada setiap peringkat perkembangan motor bayi iaitu daripada merangkak dan berjalan.

INDIVIDU yang cantik dan seksi tidak terkecuali daripada mengalami dysprexia. – Gambar hiasan


Daripada perkembangan ini, pakar akan melihat sebarang abnormaliti yang wujud terutamanya dari aspek mengimbangkan diri, sensitiviti terhadap sentuhan dan pergerakan fizikal yang berterusan.

“Paling mudah untuk mengesannya ialah kanak-kanak tersebut sukar mengimbangi diri ketika berbasikal, mengikat tali kasut serta sering melanggar objek sewaktu berjalan,” ujarnya.

Pelakon remaja yang terkenal menerusi siri filem Harry Potter, Daniel Radcliffe sebagai contoh, merupakan salah seorang pengidap dysprexia. Meskipun, tidak mempunyai masalah untuk menghafal skrip filem-filem lakonannya, Radcliffe akan menghadapi masalah apabila mahu mengikat tali kasutnya.

“Disebabkan gagal melakukan perkara semudah mengikat tali kasut, saya melalui fasa kehidupan yang sukar ketika zaman persekolahan dulu,” ujarnya kepada akhbar Britain, Daily Mail.

NOR HAMIDAH MOHD. SALLEH


Kesukaran kawal pernafasan

Dalam pada itu, selain melibatkan pergerakan, Dysprexia Oral pula merupakan gangguan melibatkan ketidakjajaran perkembangan linguastik atau fonologi ketika bercakap.

“Masalah ini akan menyebabkan pesakit sukar mengawal organ pertuturan, membuat bunyi-bunyian, serta menyatakan perkataan secara berturut-turut termasuk membina ayat daripada perkataan,” jelas Nor Hamidah.


Bukan itu sahaja, mereka juga mengalami kesukaran mengawal pernafasan dan lambat dari segi perkembangan bahasa.

Bagi pengawalan koordinasi motor halus, ia mengakibatkan pesakit termasuk individu pada peringkat dewasa mengalami masalah untuk menulis dengan tangan.

Lebih malang, ketidakseimbangan koordinasi ini turut membuatkan pesakit sukar menjalani rutin harian seperti membutangkan baju, menggunakan sudu dan garpu serta membuka penutup botol.

“Koordinasi yang tidak simbang melibatkan saraf motor ini akan berterusan dan menyebabkan pesakit sering terlanggar objek, tidak kira kecil atau besar,” ujarnya.

Tambah beliau, kes terjatuh tanpa sebab, tidak dapat mengagak kedudukan objek serta gagal melakukan dua tugasan serentak juga merupakan sebahagian daripada masalah dysprexia.

“Ada kes yang lebih teruk, mereka sukar mengesan arah kanan atau kiri apabila mata ditutup serta terlupa pada pergerakan seterusnya ketika melakukan sesuatu seperti ketika sedang berjalan,” kata Nor Hamidah.

Tiada rawatan khusus

Menyentuh mengenai rawatan, Nor Hamidah menjelaskan bahawa tiada rawatan khusus bagi penyakit namun rawatan terapi dapat memperbaiki koordinasi pergerakan pesakit ini.

Nor Hamidah memberitahu, sekiranya dibiarkan begitu sahaja, kanak-kanak tersebut akan membesar dengan keadaan kurang keyakinan diri, pemalu, kurang matang dan sensitif.

“Disebabkan itu, kanak-kanak yang mengalami masalah tersebut perlu dibiarkan bermain dengan pasir, tanah liat termasuk memanjat serta berlari di taman permainan bagi melatih koordinasi dan sensitiviti pergerakan motor tubuh,” jelasnya.