ISU MEDIA DAN KESELAMATAN SIBER

Isu Media Dan Keselamatan Siber

Abstrak

Malaysian Cyber Security Agency (MCSA) telah ditubuhkan pada tahun 2006 di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang berfungsi sebagai Pusat Keselamatan Siber di Malaysia. Perkhidmatan yang disediakan oleh MCSA ialah berkaitan tindak balas kecemasan siber, penyelidikan terhadap ancaman siber, pemantauan pematuhan dasar, pengurusan keselamatan dan amalan terbaik, latihan dan outreach serta jaminan keselamatan siber. Wujudnya pelbagai laman web berbentuk hasutan dan lucah boleh memberi implikasi buruk kepada Negara.  Oleh itu, kita perlu sentiasa peka dengan isu keselamatan siber kerana penggunaan internet telah menjadi gaya hidup masyarakat kini.

Pendahuluan

Kemunculan internet sebagai medium komunikasi terkini menjanjikan satu wadah penyebaran maklumat yang memantapkan ilmu dan maklumat. Oleh kerana itu, tiada siapa yang dapat mengawal perjalanan maklumat di dunia siber. Orang ramai boleh memperoleh pelbagai maklumat sama ada yang berbentuk idea, propaganda, pornografi dan sebagainya yang disebarkan menerusi internet.  Kebebasan yang tiada batasnya dalam dunia siber menyebabkan aspek keselamatan seperti serangan siber dan sistem data maklumat negara boleh terancam.  Negara kita juga tidak terkecuali dan terpaksa berhadapan dengan ancaman siber ini.  Justeru, MCSA telah ditubuhkan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang berfungsi sebagai pusat keselamatan siber di Malaysia.

Sejarah Penubuhan MCSA

• 13 Januari 1997
Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia (Malaysian Computer Emergency Response Team–MyCERT) telah ditubuhkan untuk menangani isu-isu keselamatan komputer di kalangan pengguna internet di Malaysia;

• 24 Januari 1998
Mesyuarat Majlis IT Kebangsaan (National IT Council–NITC) 6/98 telah mengarahkan sebuah agensi dibentuk untuk menangani isu-isu keselamatan ICT di negara ini.  Hasilnya, National ICT Security and Emergency Response Centre (NISER) telah diwujudkan;

• 28 Mei 1999
Mesyuarat Jawatankuasa Teras Strategik (Strategic Thrusts Implementation Committee–STIC) 1/99 mengambil keputusan bahawa NISER bertujuan untuk mewujud, menyelaras dan menyenggara inisiatif pertahanan siber bersama-sama dengan agensi-agensi berkaitan;
• 10 April 2001
NISER telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri (ketika itu), Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi;

• 7 April 2006
Mesyuarat NITC 1/2006 bersetuju dengan penubuhan MCSA; dan

• 25 Julai 2006
Y.B. Dato’ Sri Dr. Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi mengumumkan bahawa NISER memulakan proses transformasi untuk menjadikannya sebagai MCSA.

Perkhidmatan MCSA

• Tindak balas kecemasan siber
o Amaran awal siber.
o Tindak balas insiden siber.
o Penyiasatan forensik siber.

• Penilaian ancaman siber
o Penyelidikan dan penilaian media siber.
o Penyelidikan dan penilaian teknologi siber.

• Pemantauan pematuhan
o Koordinasi Pelaksanaan Polisi Keselamatan Siber Nasional.
o Pemantauan pematuhan dasar.

• Pengurusan keselamatan dan amalan terbaik
o Garis panduan keselamatan siber dan amalan terbaik.
o Pembangunan standard keselamatan antarabangsa.
• Latihan dan outreach
o Kesedaran dan pembangunan kompetensi.
o Pembangunan profesional dan pensijilan.

• Jaminan keselamatan
o Penilaian produk keselamatan maklumat.
o Penilaian kelemahan teknologi kritikal.

Contoh-contoh Laman Web yang Mengancam Keselamatan Negara dan Ketenteraman Awam

• http://members.cox.net/terroristhunters

Dihoskan di Amerika Syarikat.

• http://www.malaysiasucks.com/Malaysia_Sucks.html
Dihoskan di Amerika Syarikat.

Contoh-contoh Laman Web Berunsur Hasutan

• http://malaysia-today.net
Dihoskan di Singapura tetapi pemilik adalah rakyat Malaysia.
o Isu laporan ASLI berkenaan Dasar Ekonomi Baru.
o Perhimpunan Agung UMNO 2006.
o Kes kematian Rayapan Anthony.
o Isu perdebatan anti-hadis.
o Isu Dasar Ekonomi Baru.
o Pameran Kegemilangan Sains dan Tamadun Islam.

• http://jameswongwingon-online.blogspot.com/
Dihoskan di Amerika Syarikat tetapi pemilik adalah rakyat Malaysia.
o Menyokong pergerakan Komunisme di Malaysia.

Laman web video YouTube

• Laman web YouTube ialah sebuah laman web menggunakan teknologi
perkongsian video di internet.
• Syarikat yang beribu pejabat di San Bruno, California ini menumpukan
kandungan video muzik, klip video amatur dan video blogging.

Contoh laman web lucah

Implikasi Kepada Negara

• Keselamatan
• Menjejaskan nama baik Malaysia
• Provokasi sentimen perkauman dan keagamaan
• Ekonomi
• Menakutkan pelabur dan peniaga asing dan tempatan
• Menjejaskan industri pelancongan
• Kenegaraan
• Mewujudkan sentimen anti Malaysia dan persepsi palsu dan negatif
• Tatasusila dan kebudayaan
• Bertentangan dengan tatasusila dan budaya masyarakat Malaysia

Undang-undang Negara yang Diguna Pakai untuk Kes-kes Tempatan

• Akta Fitnah 1957
Tindakan sivil ke atas penyebaran kenyataan berunsur fitnah untuk menjatuhkan reputasi seseorang.

• Akta Hasutan 1948
Melarang penyebaran dan penerbitan maklumat yang menghasut.

• Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998
Melarang penyebaran bahan berunsur kesat/lucah melalui kenyataan undang-undang tertentu (Seksyen 211 dan 233) dan penyelarasan industri di bawah Kod Kandungan (Content Code).

Klasifikasi Kod Kandungan

• Forum Kandungan Komunikasi Multimedia Malaysia berdasarkan Akta
Komunikasi dan Multimedia 1998;

• Kandungan lucah – perbuatan berunsurkan seks secara nyata, pornografi,
pornografi kanak-kanak;

• Kandungan tidak bermoral – lucah, tidak bermoral;

• Kandungan berbentuk ancaman – propaganda menghasut, menanam kebencian, mengancam keselamatan negara, kesihatan dan keselamatan awam;

• Bahasa kesat – ucapan yang menghasut, keganasan;

• Kandungan salah/tidak tepat – salah, mengelirukan.

Cabaran Menangani Masalah Keselamatan Siber

• Luar Negara

o Laman web didaftarkan dan dihoskan di luar negara.

o Perintah mahkamah diperlukan untuk tindakan penguatkuasaan.  Penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan tidak dapat dikuatkuasakan di negara luar secara terus.

o Kerjasama di peringkat antarabangsa tertumpu kepada kes-kes
pornografi kanak-kanak (child porn), pencerobohan laman web dan
kecurian identiti secara on-line dan tidak kepada isu-isu berkaitan isi
kandungan (content).

• Dalam Negara

o Agensi-agensi pemantauan dan penguatkuasaan melihat isu ini
secara global.

o Kurang pendakwaan yang melibatkan kes siber di mahkamah.

Cadangan

• Mewujudkan rangka kerjasama antara pelbagai pihak dalam menangani laman-laman web luar negara yang berunsur hasutan, berniat jahat atau mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam.

• Melaksanakan tindakan lanjut bersama agensi-agensi penguatkuasaan yang lain terhadap laman-laman web tempatan yang ekstrem, berunsur hasutan, lucah, berniat jahat atau mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Penutup

Kekebalan sistem pertahanan negara bukan sahaja perlu dilihat daripada sudut ketenteraan, malah negara juga perlu sentiasa bersiap sedia untuk menangkis sebarang serangan siber. Aspek keselamatan siber ini amat penting dititikberatkan kerana dalam dunia tanpa sempadan, sebarang ancaman dan serangan terhadap negara boleh dilakukan beribu-ribu batu jauhnya. Oleh kerana itu, masyarakat hendaklah sentiasa peka dengan isu keselamatan siber kerana penggunaan internet kini telah menjadi sebahagian gaya hidup dan keperluan dalam mencari maklumat dan melakukan tugasan harian.

Sumber maklumat :
Malaysian Cyber Security Agency (MCSA)

Advertisements

DASAR KANAK-KANAK NEGARA

DASAR KANAK-KANAK NEGARA

PENGENALAN

Kanak-kanak merupakan sebahagian daripada masyarakat yang amat penting, yang menjadi aset negara dan penyumbang nadi pembangunan negara pada masa hadapan. Pada tahun 2008, terdapat seramai 10.5 (37.9%) orang kanak-kanak daripada 27.7 juta penduduk Malaysia[1].  Dengan itu, pihak Kerajaan amat prihatin kepada kesejahteraan dan kepentingan kanak-kanak.

Sehubungan ini, Malaysia telah meratifikasi Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak atau Convention on the Rights of the Child (CRC) pada 17 Februari 1995.  Konvensyen ini memberi tumpuan terhadap kebajikan dan kehidupan kanak-kanak yang menjurus kepada aspek kelangsungan hidup (survival), perlindingan (protection), perkembangan (development) dan penyertaan (participation).  Sebagai sebuah negara pihak (state party) kepada CRC, Malaysia amat prihatin dan komited terhadap tanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak yang merupakan generasi pewaris negara masa hadapan.

Kepentingan golongan kanak-kanak jelas dibuktikan dalam pernyataan Wawasan 2020 di mana institusi keluarga dan kanak-kanak merupakan salah satu fokus yang diberi keutamaan dalam usaha negara mencapai status negara maju di samping melahirkan masyarakat yang saksama dan penyayang.

DEFINISI

Kanak-kanak didefinisikan sebagai seseorang yang di bawah umur 18 tahun seperti yang termaktub dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak dan Akta Kanak-Kanak, 2001.

PERNYATAAN DASAR

Dasar Kanak-Kanak Negara adalah satu dasar mengenai hak kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak agar dapat menikmati peluang dan ruang untuk mencapai perkembangan holistik dalam persekitaran yang kondusif.

PERNYATAAN MATLAMAT

Dasar Kanak-kanak Negara bertujuan untuk melahirkan individu yang sihat, cergas, berilmu, inovatif, kreatif, berjati diri, berdaya saing, progresif dan mempunyai nilai-nilai murni.

OBJEKTIF

Objektif utama Dasar Kanak-kanak Negara ialah untuk memastikan:

1.         Setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk hidup dengan diberi jagaan, pemeliharaan, kasih sayang, perkhidmatan kesihatan, sokongan dan bantuan sosial;

2.         Setiap kanak-kanak termasuk kanak-kanak kurang upaya mempunyai hak untuk dilindungi daripada sebarang bentuk pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi; dan seterusnya diberi habilitasi, rehabilitasi dan di integrasi ke dalam keluarga dan masyarakat.

3.         Setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk perkembangan holistik dari segi fizikal, kognitif, bahasa, sosio-emosi, sahsiah dan kerohanian;

4.         Setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk bersuara, menyertai (turut serta) dan melibatkan diri mengikut tahap keupayaan dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan kepentingan terbaik dan kesejahteraan mereka;

5.         Kanak-kanak, ibu bapa, penjaga, komuniti dan masyarakat sedar akan hak-hak kanak-kanak untuk kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan; dan

6.         Penyelidikan dan pembangunan mengenai kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak dilaksanakan dari semasa ke semasa.

STRATEGI

Strategi-strategi bagi mencapai objektif di atas adalah seperti berikut:

Objektif 1

Kelangsungan Hidup

1.         Menyediakan keperluan asas seperti identiti, tempat tinggal, makanan, minuman, pakaian, kasih sayang, keselamatan dan persekitaran yang kondusif dan mesra kanak-kanak.

2.         Meningkatkan kerjasama antara agensi kerajaan, NGO, pihak swasta dan masyarakat setempat dalam penjagaan kesihatan, keselamatan dan pendidikan bagi menjamin kesejahteraan dan kebajikan kanak-kanak;

3.         Meningkatkan kualiti dan memperluaskan perkhidmatan sokongan dan bantuan sosial mengikut keperluan kanak-kanak termasuk kanak-kanak OKU dan anak yatim.

4.         Memperluaskan akses kepada maklumat dan bahan bersesuaian daripada pelbagai sumber supaya kanak-kanak mendapat pengetahuan dan kemahiran demi kelangsungan hidup mereka;

5.         Memastikan kanak-kanak mendapat perlindungan keselamatan sosial.

Objektif 2

Perlindungan

1.         Meningkatkan latihan kepada semua pihak yang berurusan dengan kanak-kanak supaya mempunyai pengetahuan, kelayakan dan kemahiran yang mencukupi serta bersikap positif dalam pengendalian kes penganiayaan, pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi terhadap kanak-kanak;

2.         Memberi perkhidmatan pemeliharaan, perlindungan dan pemulihan kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa penyeksaan, pengabaian, penganiayaan, keganasan, pengeksploitasian atau kanak-kanak tidak terkawal serta penyediaan rawatan pemulihan kepada pesalah kanak-kanak (child offender);

3.         Memberi perlindungan ke atas mangsa, pengadu dan keluarga daripada gangguan atau ancaman pihak-pihak tertentu;

4.         Memastikan kanak-kanak diberi hak kepada perundangan dan perkhidmatan sokongan;

5.         Memberi sokongan kepada keluarga yang berisiko tinggi supaya kanak-kanak dalam keluarga tersebut dapat menikmati hak-hak mereka;

6.         Memastikan semua pihak yang mempunyai hubungan atau memberi perkhidmatan kepada kanak-kanak mewujudkan dasar dan protokol perlindungan kanak-kanak dan melaksanakannya.

7.         Menyediakan program khusus bagi kanak-kanak jalanan, kanak-kanak tanpa dokumen, kanak-kanak tercicir, kanak-kanak terlibat dengan penagihan dadah dan kanak-kanak yang berada dalam situasi genting, kepayahan dan lain-lain bahaya (under difficult circumstances).

8.         Memastikan kanak-kanak mangsa bencana menerima rawatan yang sewajarnya bagi pemulihan, pembangunan dan pengintegrasian semula ke dalam masyarakat.

9.         Memastikan kanak-kanak mangsa eksploitasi seksual (termasuk perdagangan kanak-kanak, pelacuran kanak-kanak, child pornography) dan perdagangan orang diberi perlindungan, pemulihan dan pengintegrasian semula ke dalam masyarakat atau dihantar pulang ke negara asal.

10.      Mewujudkan mekanisme amaran awal dan mengukuhkan mekanisme perlindungan kanak-kanak di peringkat nasional dan antarabangsa.

11.      Menggalakkan penyediaan persekitaran yang sihat dan selamat untuk kanak-kanak.

Objektif 3

Perkembangan

1.         Meningkatkan perkhidmatan pengasuhan dan pendidikan kanak-kanak yang berkualiti, mudah diperoleh dan mampu dibiayai dalam persekitaran yang kondusif bagi merangsang perkembangan optimum kanak-kanak.

2.         Menyediakan kemudahan prasarana dan persekitaran mesra kanak-kanak.

3.         Memperluaskan program dan kemudahan khusus bagi perkembangan kanak-kanak kurang upaya dalam semua aspek seperti pengesanan dan intervensi awal, pemulihan, pendidikan dan pengintegrasian semula dalam masyarakat.

4.         Menyediakan bantuan, latihan dan pemantauan yang berterusan bagi memastikan kanak-kanak mendapat pengasuhan, penjagaan dan pendidikan yang bermutu tinggi.

Objektif 4

Penyertaan

1.         Memastikan kanak-kanak diberi akses kepada maklumat yang berkualiti dan bahan bersesuaian daripada pelbagai sumber supaya kanak-kanak dapat menyertai aktiviti yang berkaitan dengan hal ehwal mereka.

2.         Menggalakkan media massa dan pihak swasta untuk menyebarkan maklumat yang bersesuaian dan berkualiti.

3.         Menggalakkan kanak-kanak menyuarakan pendapat dan pandangan secara bertanggungjawab dan beretika sebagai input dalam merangka program untuk mereka atau program yang berkaitan dengan kepentingan mereka.

Objektif 5

Advokasi

1.         Meningkatkan kesedaran keluarga dan masyarakat akan kepentingan penjagaan kesihatan kanak-kanak.

2.         Meningkatkan kesedaran keluarga dan masyarakat mengenai hak kesamarataan kanak-kanak daripada sebarang bentuk diskriminasi.

3.         Memantapkan program sedia ada dan memperkenalkan program yang sesuai bagi mencegah penganiayaan, pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi terhadap kanak-kanak.

4.         Meningkatkan kesedaran ibu bapa, penjaga dan ahli masyarakat akan pentingnya pengasuhan dan pendidikan kanak-kanak.

5.         Meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai hak, kesejahteraan dan kepentingan kanak-kanak kepada semua pihak yang berkenaan.

Objektif 6

Penyelidikan dan Pembangunan

1.         Memperbanyakkan penyelidikan dan pembangunan dalam bidang pembangunan kanak-kanak dan menyebarluaskan hasil-hasil penyelidikan bagi tujuan penambahbaikan.


[1] Sumber Jabatan Perangkaan Malaysia,2008