FILEM SERAM: PEROSAK AKIDAH

Drama seram, tahyul belenggu ummah

Oleh SITI FATIMAH ABDUL RAHMAN

KEBELAKANGAN ini, timbul keghairahan di kalangan penerbit filem dan drama tempatan untuk menerbitkan cerita-cerita yang mengandungi unsur seram, karut serta tahyul.

Sebelum itu, majalah seumpama ini mendapat sambutan hebat daripada masyarakat. Kini filem dan drama seperti ini pula yang digemari penonton sehinggakan begitu banyak sekali filem seperti ini diterbitkan. Pemilik stesen televisyen pula berlumba-lumba menyiarkan drama bersiri yang ada unsur-unsur ini.

Bagi penerbit filem serta drama, juga pemilik stesen televisyen, pastinya mereka mengejar keuntungan. Mereka akan menawarkan filem serta drama yang akan menarik paling banyak penonton kerana ini akan menentukan untung rugi pelaburan yang mereka telah keluarkan. Tetapi, apakah yang terkorban dalam perlumbaan mencari keuntungan ini? Tentunya pemikiran masyarakat yang terdiri daripada orang dewasa dan kanak-kanak.

Penonton dewasa – sedikit demi sedikit – akan terus percaya kepada benda-benda karut dan tahyul, manakala kanak-kanak berkemungkinan untuk membesar dengan kepercayaan karut yang sama.

Memang benar bahawa adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mengelakkan anak-anak daripada mempercayai cerita-cerita seperti itu. Ibu bapa yang baik tidak akan membawa anak-anak mereka menonton cerita seram di pawagam. Begitu juga, ibu bapa ini tidak akan membenarkan anak-anak menonton cerita seram di televisyen. Namun, ada kalanya, kita tidak dapat mengelak daripada menonton imbasan-imbasan daripada cerita-cerita ini.

Misalnya, pernah sekali penulis sekeluarga sedang menunggu untuk menonton berita saluran stesen televisyen swasta. Beberapa minit sebelum berita ke udara, sedutan daripada salah satu drama seram disiarkan. Maka, dalam beberapa saat itu, kami sekeluarga ‘tertonton’ imbasan-imbasan ‘hantu’ serta ‘jembalang’ yang disertai dengan kesan bunyi yang mengerikan.

Maka, kelam-kabutlah anak penulis melarikan diri dari televisyen itu. Memang dia dapat mengalihkan pandangannya namun, dia gagal menutup telinga daripada mendengar kesan bunyi yang menyeramkan.

Dalam usaha stesen televisyen meuaruarkan rancangan terbaru, slot-slot seperti itu kerap kali disiarkan tanpa mengira keadaan, baik ketika waktu puncak mahupun semasa kanak-kanak berada di depan televisyen. Akibat daripada pendedahan yang kerap itu, maka lahirlah kanak-kanak yang penakut dalam keluarga kita. Anak-anak yang perlu ditemani untuk masuk ke bilik tidur, ke bilik air, ke ruang tamu dan sebagainya. Masalah ini bukan berlaku pada anak penulis sahaja tetapi anak-anak kawan-kawan penulis juga.

Di satu pihak, ibu bapa yang berilmu telah mendidik anak-anak untuk tidak percaya pada kewujudan hantu dan jembalang ini, tetapi di pihak yang lain, filem dan drama ini menzahirkan pula bentuk-bentuk hantu serta jembalang yang pelbagai rupa. Sekiranya penulis adalah seorang kanak-kanak, pastinya penulis keliru. “Hantu ni ada ke tidak? Ayah kata tak ada. Tapi menurut televisyen ada”. Tambah malang lagi, kanak-

kanak akan lebih percaya kepada apa yang mereka lihat, dan bukan kepada apa yang mereka dengar.

Umum maklum bahawa kita ada garis panduan yang boleh membimbing ibu bapa dalam menentukan cerita apa yang sesuai dan tidak sesuai untuk kanak-kanak. Saya pasti, ramai ibu bapa yang mengikuti panduan ini. Namun, seperti yang disebutkan tadi, sedutan-sedutan drama yang disiarkan tanpa mengira waktu, telah berjaya menembusi pemikiran anak-anak kita sedikit demi sedikit. Apakah garis panduan tersebut tidak terpakai untuk sedutan-sedutan seperti ini?

Sesuatu perlu dilakukan agar perkara ini tidak berterusan. Agak menghairankan di zaman sains dan teknologi ini, masyarakat Melayu khususnya, masih terpesona dan percaya dengan kisah-kisah seram, tahyul dan karut. Benarkah mereka menontonnya untuk suka-suka? Benarkah mereka tidak percaya sedikit pun tentang perkara karut-marut yang dibawa oleh kisah-kisah itu? Benarkah mereka tidak akan berjumpa bomoh apabila kehilangan sesuatu atau untuk memikat kembali hati suami selepas melihat cara itu berkesan dalam drama yang ditonton? Tahukah mereka bahawa kepercayaan kepada perkara-perkara itu biarpun sedikit akan menjejaskan akidah mereka?

Seandainya masih ramai penonton dewasa yang terpaut dengan kisah seram yang tidak membina akal fikiran ini, biarkanlah mereka menontonnya. Tambah pula, kita selalu percaya bahawa orang dewasa lebih waras dalam menentukan buruk baik sesuatu perkara. Namun, seandainya dilihat bahawa adalah wajar drama-drama tersebut ditonton, pastikan ia ke udara pada masa yang betul-betul sesuai untuk orang dewasa. Selepas 10 malam, misalnya. Pada masa yang sama, pastikan sedutan-sedutan drama itu tidak ke udara pada masa-masa yang lain. Akal fikiran dan jiwa kanak-kanak perlu dipelihara dan tidak patut dikorbankan demi keuntungan yang berapa banyak pun.

Namun, soalan berikut lebih wajar ditanyakan. Bermanfaat sangatkah cerita-cerita seram, tahyul dan karut sehingga perlu dijadikan hidangan utama setiap stesen televisyen?

Penting sangatkah keuntungan kepada stesen-stesen televisyen sehingga mewajarkan hidangan kisah-kisah yang hanya membawa pemikiran masyarakat kembali ke belakang serta menyesatkan?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: