BUKAN EKSPERIMEN MAINAN

Bukan eksperimen mainan

Penghadaman protein dan lemak, status nutrisi dan potensi kanser dapat dikesan dalam satu ujian mudah? Sebenarnya, kesahihan di sebalik diagnosis analisis darah hidup (LBA) oleh pengamal perubatan alternatif perlu dikaji semula.



PENGAMAL perubatan alternatif mampu mendiagnosis penyakit hanya dengan setitis darah? Mungkin itu satu pilihan buat sesetengah orang namun ada perkara lain menanti di sebaliknya.

Sebagai contohnya, caj yang dikenakan terhadap analisis darah hidup (LBA) agak melampau. Bukan sahaja boleh mencecah ratusan ringgit malah seseorang perlu menanggung kos ubatan lain ekoran hasil analisis tersebut.

Mengikut laporan akhbar tempatan sebelum ini, beberapa pengamal perubatan alternatif di Lembah Klang, mendakwa, LBA mampu menjadi rujukan terhadap tahap kesihatan malah penyakit yang dihidapi pesakit, termasuk kanser.

Di sebalik ‘kepakaran’ mereka melakukan diagnosis pesakit dengan hanya menggunakan setitis darah, analisis tersebut sebenarnya tidak diperakui oleh kebanyakan pakar perubatan bertauliah.


SETIAP sampel darah yang diambil dari tubuh pesakit perlu diperiksa di makmal yang bertauliah.


Malah di Amerika Syarikat serta Australia, pihak kesihatan di sana menganggap LBA ini hanya sebagai mainan eksperimen sains. Mahkamah Tinggi Amerika Syarikat sebagai contohnya, telah mengambil tindakan undang-undang terhadap pengasas LBA, Robert W. Bradford.

Apa pula pandangan pengamal perubatan moden di negara ini? Menurut Profesor Hematologi di Universiti Putra Malaysia, Dr. Elizabeth George, saringan kesihatan menggunakan darah terbahagi kepada dua bahagian utama.

“Pertama, bagi saringan kanser. Dengan diagnosis darah, tahap kanser tersebut akan dapat dikenal pasti seterusnya menentukan jenis ubatan serta rawatan untuk membantu pesakit menangani penyakit tersebut,” katanya.

Untuk ujian darah kedua, saringan tersebut dilakukan bagi mengetahui tahap kesihatan secara umum dan ini sering kali dilakukan setiap tahun oleh individu serta majikan terhadap pekerjanya.

Ketelitian makmal

Elizabeth menegaskan, terdapat sebuah mesin lain yang digunakan untuk mengira jumlah darah bagi pemantauan penyakit amenia.

“Satu ujian bukan untuk mengenal pasti semua penyakit seperti yang didakwa oleh pengamal perubatan alternatif. Malah, interpretasi terhadap analisis darah tersebut juga harus dibuat oleh pakar perubatan dan bukannya saintis atau mereka yang bukan dari bidang perubatan,” tegasnya.



Di samping itu, Elizabeth menyatakan bahawa setiap sampel yang diambil daripada pesakit haruslah diperiksa di makmal yang bertauliah.

Setiap makmal yang melakukan analisis darah di negara ini perlu mengikut standard perubatan antarabangsa serta diiktiraf Kementerian Kesihatan.

“Jadi, sekiranya terdapat saringan darah yang dilakukan di pasar raya, tempat awam serta klinik persendirian, itu tidak dibuat mengikut prosedur. Maka, keputusannya tidak boleh dianggap tepat,” kata Elizabeth.

Diagnosis berbahaya

Dalam pada itu, menurut sumber dari salah sebuah makmal bebas yang menjalankan ujian terhadap sampel darah di Kuala Lumpur, diagnosis sebegitu amat berbahaya.

“Ketepatan ujian LBA malah ujian lain tidak akan mencapai 100 peratus disebabkan oleh pelbagai faktor. Jadi amat penting agar pesakit menghantar sampel darah setelah berjumpa dengan doktor bertauliah. Bukan pengamal perubatan alternatif,” tegasnya yang merupakan seorang pengurus makmal kanan.

Sumber tersebut menambah, kos sebenar bagi setiap darah yang diuji bergantung kepada ujian ke atas jenis penyakit yang dikehendaki namun tidak semahal yang dikenakan oleh pengamal perubatan alternatif.

“Melalui ujian tersebut, setiap sampel yang diambil mampu memberi keputusan mengenai tahap glukosa, hemoglobin serta kolesterol di dalam tubuh pesakit,” ujarnya.

Malah, ujian dilakukan hanya melalui sampel ujian darah. mengenai preskrispsi ubat-ubatan yang perlu diambil, ia perlu dirujuk pada doktor bertauliah.

Menyentuh mengenai penggunaan mikroskop berteknologi tinggi, beliau menyatakan itu bukanlah masalah dalam mengenal pasti sampel darah tersebut kerana di beberapa makmal serta hospital turut menggunakan peralatan tersebut.

“Masalah utama ialah ia digunakan oleh mereka yang tidak terlatih. Lebih serius, mereka menggunakan peralatan tersebut bagi menyakinkan pesakit agar membeli ubat-ubatan serta suplemen nutrisi sampingan,” tegas sumber tersebut.


PROSES ujian darah di negara ini perlu mengikut standard perubatan antarabangsa serta diiktiraf Kementerian Kesihatan.


Pemeriksaan menyeluruh

Secara asas, saringan pemeriksaan kesihatan dilakukan dengan tubuh pesakit diperiksa dari kepala hingga ke kaki dan bukan hanya melibatkan sampel atau bahagian tertentu sahaja.

Menurut Ketua Perkhidmatan Kesihatan Eksekutif Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Rohini K. Van Hoboken, saringan pemeriksaan yang lengkap memerlukan prosedur standard dan jenis pemeriksaan tersebut berkait antara satu sama lain.

“Saringan kesihatan ini juga akan memberi gambaran jelas kepada pesakit mengenai tahap asas kesihatan mereka termasuk kiraan darah, tahap kolesterol serta kardiovaskular pesakit,” ujarnya kepada Jurnal.


SARINGAN pemeriksaan kesihatan perlu dilakukan secara terperinci pada tubuh pesakit, iaitu pemeriksaan dari kepala hingga ke kaki.


Menyentuh mengenai peralatan yang digunakan, Rohini menjelaskan saringan kesihatan tidak terhad pada ujian darah serta sampel tisu pesakit sahaja.

“Imbasan bunyi, sinar X, serta mesin pengimbas otak (CT Scan) dilakukan dan bergantung kepada hasil maklumat yang didapati melalui pemeriksaan awal serta sejarah keluarga pesakit.

“Justeru, hasil saringan ini akan lebih tepat sekali gus membantu pakar perubatan mengenal pasti penyakit serta rawatan yang diperlukan,” tegas Rohini yang menekankan bahawa faktor usia, gaya hidup serta persekitaran pesakit turut menjadi penentu keputusan ujian.

Menurut Rohini lagi, saringan kesihatan penting untuk mencegah penyakit. Lebih awal penyakit itu dikesan, lebih besar peluang untuk penyakit itu dirawat.

“Jangan kedekut untuk mendapatkan saringan kesihatan daripada pakar perubatan bertauliah. Sekiranya kita boleh menghabiskan ratusan malah ribuan ringgit untuk pakaian atau hiburan, mengapa tidak pada kesihatan?” tegasnya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: