PENGAJIAN AM STPM : SOALAN GRAF GABUNGAN

Graf Gabungan
Dengan berpandukan maklumat yang diberikan di bawah ini, sediakan sebuah graf bar yang sesuai untuk menunjukkan kuantiti eksport tiga komoditi utama antara tahun 1989 hingga tahun 1992.
Pada gambarajah yang sama, tunjukkan juga jumlah pendapatan eksport tiga komoditi utama itu bagi tempoh yang dinyatakan, dengan menggunakan graf garis.

Eksport lada hitam Malaysia berkurang 3.2 peratus menjadi 28 500 tan metrik pada tahun 1990 berbanding dengan 29 440 tan metrik pada tahun 1989. Kemerosotan ini disebabkan oleh permintaan luar negeri yang lemah akibat pertambahan pengeluaran lada hitam dunia sebanyak 12.0 peratus. Selaras dengan kejatuhan harga lada hitam, nilai eksportnya merosot sebanyak 29.4 peratus daripada RM163 juta pada tahun 1989 kepada RM115 juta pada tahun 1990. Walaupun harga eksport lada hitam merosot dengan ketara (16.8 peratus), eksport lada hitam Malaysia pada tahun 1991 masih menurun sebanyak 5.3 peratus menjadi 27 000 tan metrik berbanding dengan tahun 1990.Ini disebabkan negara-negara pengimport utama mengurangkan import lada hitam dari Malaysia kerana negara-negara itu kini mengimport lada hitam dari negara-negara lain pada kos yang lebih rendah. Dengan ini, pendapatan daripada eksport lada hitam berkurang dengan ketara sebanyak 13.0 peratus menjadi RM100 juta. Selaras dengan peningkatan pengeluaran dan penggunaan tempatan, eksport lada hitam meningkat sebanyak 7.4 peratus menjadi 29 000 tan metrik pada tahun 1992 berbanding dengan tahun sebelumnya. Pendapatan eksport pula meningkat sebanyak 10.0 peratus menjadi RM110 juta selaras dengan peningkatan kecil harga eksport lada hitam.
Eksport timah pada tahun 1990 merosot sebanyak 2.0 peratus menjadi 48 500 tan metrik berbanding dengan eksport pada tahun 1989 sebanyak 49 500 tan metrik. Begitu juga pendapatan eksport daripada timah berkurang sebanyak 31.1 peratus menjadi RM800 juta berbanding dengan RM1161.4 juta pada tahun 1989. Kejatuhan pendapatan eksport ini disebabkan oleh kemerosotan harga timah di pasaran dunia. Ini menyebabkan sumbangan pendapatan eksport timah kepada jumlah pendapatan eksport pada tahun 1990 berkurang sebanyak 0.6 peratus berbanding dengan sumbangannya pada tahun 1989. Eksport timah pada tahun merosot sebanyak 5.0 peratus menjadi 46 075 tan metrik berbanding dengan tahun 1990. Ini berikutan keadaan permintaan yang kurang menggalakkan dari negara-negara pengguna akibat keadaan pertumbuhan ekonomi yang perlahan. Nilai eksport berkurang dengan ketara, iaitu sebanyak 3.1 peratus menjadi RM775 juta berbanding dengan RM800 juta yang dicatatkan pada tahun 1990. Ini disebabkan oleh kejatuhan jumlah dagangan dan harga eksport timah. Kejatuhan harga sebanyak 5.8 peratus menjadi RM15.50 sekilogram disebabkan oleh lebihan bekalan dan kedudukan stok timah dunia yang terus tinggi di samping permintaan timah yang rendah. Kedudukan stok timah yang tinggi dalam pasaran terus mempengaruhi dan melemahkan harga timah pada tahun 1992. Kedudukan harga timah yang rendah menyebabkan pengurangan pengeluaran dan penutupan lombong-lombong kecil. Kekurangan bekalan ini menyebabkan harga timah meningkat sedikit. Justeru itu, harga purata timah meningkat sebanyak 3.2 peratus pada tahun 1992 menjadi RM16 sekilogram, dan pendapatan eksport timah meningkat sebanyak 3.2 peratus menjadi RM800 juta hasil eksport 50 000 tan metrik.
Pada tahun 1990, eksport koko merosot akibat kelembapan prestasi eksport komoditi pertanian secara keseluruhan. Eksport koko dari Malaysia meningkat menjadi 170 000 tan metrik pada tahun itu berbanding 169 200 tan metrik pada tahun 1989. Walaupun jumlah eksport meningkat sebanyak 0.5 peratus, pendapatan daripada eksport koko merosot sebanyak 13.3 peratus menjadi RM451 juta berbanding dengan RM520 juta pada tahun 1989. Bersesuaian dengan asas-asas pasaran koko yang lemah, eksport koko dari Malaysia merosot dengan ketara menjadi 155 000 tan metrik pada tahun 1991. Pendapatan daripada eksport koko pula merosot menjadi RM403 juta pada tahun itu berbanding dengan tahun 1990. Ini berpunca daripada kejatuhan jumlah eksport sebanyak 8.8 peratus, dan kejatuhan harga eksport sebanyak 5.7 peratus. Eksport koko pada tahun 1992 merosot dengan ketara kerana harga koko yang rendah. Eksport komoditi ini merosot sebanyak 39.2 peratus berbanding dengan tahun sebelumnya. Pendapatan eksport juga dengan ini merosot sebanyak 39.9 peratus menjadi RM242.1 juta berbanding dengan tahun 1991.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Laporan Ekonomi:
1989/90, 1990/91, 1991/92, dan 1992/93)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: