PENGAJIAN AM STPM : SOALAN GRAF BAR KOMPONEN

Graf Bar Komponen
Berdasarkan maklumat yang diberikan dalam petikan di bawah ini, sediakan graf bar yang sesuai untuk menunjukkan jumlah kenderaan bermotor yang berdaftar dan juga data setiap jenis kenderaan bermotor di Malaysia bagi tempoh yang dilaporkan.

Bilangan kenderaan bermotor yang berdaftar di Malaysia sentiasa bertambah tahun demi tahun. Pertambahan ini jika tidak diseimbangkan dengan perkembangan rangkaian dan sistem jalan raya pasti akan menimbulkan masalah kesesakan lalu lintas. Sebagai contoh, pada tahun 1996 terdapat sejumlah 7 686 684 unit pelbagai jenis kenderaan, dan bilangannya meningkat sebanyak 863 785 unit pada tahun berikutnya. Bilangan ini terus meningkat kira-kira hampir 600 000 unit pada tahun 1998.
Kenderaan bermotor yang paling banyak didaftarkan sepanjang tempoh tersebut ialah motosikal. Pada tahun 1996, sebanyak 3 951 931 unit motosikal didaftarkan, dan bilangan ini meningkat kepada 4 328 997 unit pada tahun 1997. Bilangan motosikal yang didaftarkan terus meningkat sebanyak 363 186 unit pada tahun berikutnya. Seterusnya, motokar merupakan kenderaan kedua popular di Malaysia selepas motosikal. Pada tahun 1996, sebanyak 2 886 536 unit motokar telah didaftarkan, dan bilangan ini terus bertambah untuk dua tahun berturut-turut, iaitu masing-masing sebanyak 384 768 dan 181 584 unit berbanding bilangan motokar pada tahun sebelumnya.
Selain itu, pendaftaran kereta sewa atau teksi dan bas juga turut bertambah. Walaupun tidak sebanyak bilangan motosikal dan motokar, perkembangan ini menggambarkan kemajuan yang baik dalam bidang pengangkutan awam di Malaysia. Pada tahun 1996, sebanyak 59 456 unit kereta sewa atau teksi dan 38 965 unit bas telah didaftarkan. Bilangan kereta sewa atau teksi terus bertambah menjadi 62 119 unit manakala bilangan bas bertambah menjadi 43 444 unit pada tahun 1997. Seterusnya pada tahun 1998, bilangan kereta sewa atau teksi yang didaftarkan bertambah kepada 64 632 unit. Begitu juga dengan bilangan bas yang didaftarkan bertambah kepada 45 643 unit pada tahun 1998.
Perkembangan pendaftaran kenderaan barang di Malaysia dalam tempoh ini menunjukkan ciri yang agak menarik kerana bilangannya sentiasa melebihi 500 000 unit. Pada tahun 1997, sebanyak 574 622 unit kenderaan barang telah didaftarkan dan bilangan ini melebihi sebanyak 62 457 unit berbanding tahun sebelumnya, tetapi kurang sebanyak 24 527 unit berbanding bilangan pada tahun 1998.
Malahan, pada tahun 1998 juga terdapat sejumlah 286 898 unit kenderaan-kenderaan lain seperti kereta kerajaan, treler, dan kenderaan sekolah memandu yang didaftarkan. Bilangan ini merupakan jumlah terbanyak berbanding tahun-tahun sebelumnya, iaitu 237 631 unit pada tahun 1996 dan 269 983 unit pada tahun 1997.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada
Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia, Statistics Handbook 1999)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: