PENGAJIAN AM STPM : KEPELBAGAIAN BIODIVERSITI

BYLINE: Rencana- Siti Mariam Md. Zain
KETUA Taman-taman dan Projek-projek Khas Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Andrew J. Sebastian berkata, jika tujuh keajaiban dunia boleh ditambah menjadi lapan, beliau tidak teragak-agak meletakkan nama Malaysia dalam kategori itu.
Ini kerana mengikut pendapatnya, sebagai sebuah di antara 12 negara mega biodiversiti yang menguasai 75 peratus daripada spesies hidupan hutan dan laut yang terdapat di dunia, Malaysia tidak syak lagi wajar menerima pengiktirafan tersebut.“Bayangkan dengan usia hutan hujan kita yang dianggarkan 200 juta tahun, tentunya terdapat pelbagai hidupan yang sehingga kini masih terus menjadi misteri,” katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
Jelas Andrew, di samping binatang dan haiwan liar, hutan hujan kita juga dihuni oleh 15,000 spesies tumbuhan berbunga selain turut menjadi tumpuan 736 spesies burung, 150,000 spesies invertebrat (binatang atau haiwan tanpa tulang belakang), 4,000 spesies ikan laut, 449 spesies ikan air tawar dan beberapa jenis batu karang. Malangnya, khazanah di hutan dan lautan yang begitu berharga di sekeliling kita, gagal dihayati oleh kita sendiri.Kemusnahan hutan atas nama pembangunan, pencemaran laut dan sikap tidak bertanggungjawab kita yang memilih membuang sampah merata-rata, adalah antara `sumbangan’ yang hanya akan melenyapkan nama Malaysia dalam senarai impian.
Memperkatakan tentang khazanah alam ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri beberapa kali menegaskan, betapa perlunya semua pihak menyedari tanggungjawab menjaga kestabilan biodiversiti yang tidak ternilai harganya. Malah ketika melancarkan Dasar Bioteknologi Negara (DBN), Abdullah berkata, ia menandakan permulaan era baru yang cukup bermakna dalam usaha kerajaan menggunakan kekayaan biodiversiti negara melalui pendekatan sains dan teknologi. Sewajarnya isu pembangunan seimbang seperti yang diutarakan oleh Perdana Menteri yang mahu agar alam sekitar diberi perhatian dan tidak dimusnahkan semata-mata untuk mencari keuntungan seharusnya dipandang serius.
Berkesan
Namun satu soalan yang sering menjadi pertanyaan ialah adakah kita benar-benar menjaga hutan dan alam sekitar? Sejauh manakah kita berusaha melindungi kawasan-kawasan ini daripada dirosak atau dimusnahkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab terutamanya mereka yang hanya bertuhankan wang ringgit?
Menurut Andrew, kesedaran itu tidak wujud sebenarnya kerana negara langsung tidak mempunyai `sistem pembesar suara’ yang dapat melarang pihak-pihak berkenaan melakukan perkara-perkara tersebut. “Kita ada kawalan undang-undang malangnya sehingga kini ia gagal dilaksanakan dengan berkesan,” katanya kesal. Kekesalan seperti yang ditunjukkan oleh Andrew bukan suatu perkara baru.
Sebelum ini kita juga sering terdengar malah turut marah dengan tindakan golongan yang hanya mengejar keuntungan semata-mata. Malangnya, marah itu tidak kekal lama. Mungkin sikap kita yang `hangat-hangat tahi ayam’ merupakan faktor penyumbang kepada kemusnahan alam sekitar yang kian membimbangkan kebelakangan ini. Kemusnahan alam sekitar yang menjadi nadi kehidupan kepelbagaian biodiversiti di negara ini, secara sedar atau tidak juga membawa mudarat kepada kita semua.
Jika hutan ditebang, bukan sahaja tumbuhan, serangga, haiwan atau binatang liar yang menjadi mangsa malah ia turut mengganggu sumber atau bekalan air akibat pengaliran takungannya yang terganggu. Di Kedah, hal ini pernah menjadi isu apabila hasrat kerajaan negeri memberi konsesi balak kepada sebuah syarikat swasta mendapat tentangan walaupun kaedah yang dipilih – pembalakan helikopter dikatakan mampu mengurangkan kadar pencemaran air empangan di kawasan terbabit.
Walaupun hutan yang dimaksudkan sehingga hari ini masih `selamat,’ namun tanpa kesedaran, orang seperti Andrew melihat keselamatannya tetap tidak terjamin. Sambil memberi contoh satu lagi kawasan `selamat’ yang mungkin hanya menunggu masa untuk `diterokai,’ katanya, adalah satu kerugian besar jika keaslian kawasan-kawasan berkenaan yang kaya dengan khazanah alam fauna dan flora dibiarkan musnah demi keuntungan jangka pendek.“Satu-satunya paya air tawar yang tinggal di Johor sehingga kini masih dapat dipertahankan, tetapi sampai bila?” soalnya. Menyingkap perasaannya lebih lanjut, Andrew mengaku beliau agak hairan dengan sikap kebanyakan rakyat Malaysia.
Jika pelancong luar datang ke negara ini semata-mata untuk menikmati keindahan alam sekitarnya, masyarakat kita pula seolah-olah langsung tidak tahu menilainya.
“Kelip-kelip di Kuala Selangor misalnya. Orang luar menganggap ia sebagai satu keajaiban dunia tetapi kita tidak pernah menghargai kewujudannya,” kata Andrew. Lebih mendukacitakannya apabila sehingga kini, MNS belum menerima permohonan daripada mana-mana pelajar tempatan yang berminat membuat kajian tentang kehidupan serangga tersebut berbanding yang diterima daripada pelajar asing.
“Mereka datang dari jauh untuk melihat dengan mata kepala sendiri fenomena ini tetapi anak-anak kita langsung tidak peduli,” katanya sekali lagi dengan nada kesal. Justeru tegas Andrew, demi kebaikan semua pihak, sudah sampai masanya kerajaan sendiri lebih bersikap proaktif dalam usaha merapatkan jurang yang berlaku. Ditanya tentang masa depan alam sekitar, biarpun tidak mempunyai jawapan yang pasti, namun Andrew tetap percaya perjuangannya akan berhasil suatu hari nanti. “Hanya masa akan menentukan. Apa pun harapan saya ialah agar kesedaran ini akan timbul bukan hanya setelah kita tidak mampu berbuat apa-apa lagi,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: