PENGAJIAN AM STPM : HUTAN (FLORA)

1.0 PENGENALAN
Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan sumber alam semulajadinya.Hutan adalah salah satu daripada sumber alamnya.Ia dikenali sebagai Hutan Hujan Tropika.Hutan hujan tropika di Semenanjung Malaysia adalah hutan yang tertua di dunia yang mana ia hanya boleh ditemui di kawasan Khatulistiwa.

Malaysia beruntung kerana mempunyai kawasan-kawasan hutan asli.Sebagaimana yang diketahui hutan hujan tropika di Semenanjung Malaysia mempunyai ekosistem yang kompleks.Ia sangat penting kepada kehidupan flora dan faunanya yang pelbagai jenis.Hutan bukan sahaja menyediakan berbagai keperluan asas kepada kehidupan flora dan fauna yang wujud di dalamnya, bahkan ia turut menyediakan pelbagai keperluan kepada kehidupan manusia.
Berdasarkan kepada penemuan fakta dan bukti-bukti botani, manusia telah bergantung hidup pada hutan sejak zaman purba lagi.Di peringkat itu, manusia hidup di dalam hutan dan menjadikan hutan sebagai sumber makanan untuk meneruskan penghidupan mereka.Manusia hidup sebagai pemburu, memburu binatang dan mengumpul makanan daripada tumbuhan serta menjadikan gua-gua batu kapur sebagai tempat kediaman.Jelas di sini, hutan sangat berguna dan berperanan dalam kehidupan manusia.Untuk melihat kegunaan dan peranan hutan terhadap manusia, tajuk-tajuk seterusnya akan membincangkan dengan lebih lanjut lagi.
2.0 KEGUNAAN DAN PERANAN HUTAN TERHADAP MANUSIA
2.1 Hutan sebagai Sumber Bahan Mentah
Hutan merupakan tempat asal kebanyakan daripada tanaman makanan manusia dan haiwan.Hutan hujan tropika di Semenanjung Malaysia adalah habitat asal beberapa pokok buah-buahan tempatan seperti durian (Durio sp.), manggis (Garcinia mangostana), tampoi (Baccaurea griffthii) dan rambutan (Nephelium lappaceum).Pada asalnya buah-buahan ini hanyalah merupakan sumber karbohidrat bagi kaum orang Asli dan masyarakat tempatan.Tetapi kini, ia mula menjadi salah satu daripada keluaran hutan yang diperdagangkan.Buah-buahan ini, telah dikomersilkan dan ini sekaligus membantu ekonomi manusia.
Selain daripada itu, hutan juga merupakan gedung yang penuh dengan pokok-pokok yang mempunyai nilai-nilai perubatan.Campuran bahan kimia penting yang terdapat pada tumbuh-tumbuhan telah menghasilkan bahan yang boleh dijadikan ubat.Contohnya, ubat anti-Malaria dan quinine telahpun ditemui dan terbukti mujarab.Di samping itu, terdapat juga sumber-sumber yang mempunyai nilai dagangan yang tinggi seperti damar, resin, pencelup (dyes) dan sebagainya.Hasil penemuan penyelidikan yang terbaru ialah minyak pokok keruing gondol (Dipterocarpus kerrii) sebagai bahan asas dalam pemprosesan minyak wangi tempatan.

Spesies durian (Durio sp.) merupakan tumbuhan asal dari hutan Sumber kayu-kayan yang bermutu tinggi
2.2 Hutan sebagai Sumber Kayu-kayan
Hutan hujan tropika di Semenanjung Malaysia mempunyai berbagai spesies pokok-pokok balak komersil negara seperti merbau, bitis, nyatoh dan kempas yang bernilai tinggi.Kewujudan berbagai spesies tumbuhan pokok di kawasan hutan jelas menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai bekalan sumber kayu-kayan yang banyak.
Satu bancian telah dijalankan di kawasan hutan dipterokarpa pamah seluas 10 hektar di Hutan Simpan Pasoh, Negeri Sembilan.Berdasarkan kajian ini, terdapat sebanyak 473 spesies pokok yang berdiameter lebih daripada 10cm ukuran pada paras dada.Ini tidak termasuk pokok-pokok kecil, herba, palma, paku-pakis dan tumbuhan lain.Kepelbagaian flora dan spesies kayu-kayan telah telah membolehkan industri yang berasaskan kayu-kayan berkembang dengan lebih pesat lagi.Sektor perhutanan dan industri kayu-kayan ini telah membangunkan sosio-ekonomi negara dari segi pendapatan pertukaran asing, hasil kerajaan, pelaburan dan pekerjaan.
2.3 Hutan sebagai Habitat Tumbuhan, Haiwan dan Serangga
Hutan hujan tropika di Semenanjung Malaysia merupakan habitat yang sesuai untuk tumbuhan, haiwan dan serangga.Ini dapat dilihat dengan jelas kerana terdapat lebih daripada 8000 spesies tumbuhan berbunga telah direkodkan.2500 daripadanya adalah jenis berpokok.Manakala haiwan pula, terdapat sejumlah 200 spesies mamalia dan 600 spesies burung,115 spesies ular, 80 spesies katak dan 80 spesies cicak.Jumlah ini jauh lebih besar jika dibandingkan dengan hanya 470 spesies yang terdapat di seluruh Eropah.Manakala serangga pula adalah komuniti haiwan terbesar di hutan hujan tropika.Kumpulan serangga ini sesetengahnya mengandungi lebih daripada 1000 spesies (Whitemore 1984).Hutan merupakan pembekal makanan secara langsung atau tidak langsung kepada haiwan dan serangga.Sekiranya hutan dimusnahkan, maka ini akan menyebabkan kehilangan spesies-spesies flora dan fauna ini.
2.4 Hutan sebagai Kawasan Tadahan Air
Air amat penting dalam kehidupan seharian manusia.Oleh itu, sekiranya hutan dimusnahkan ia akan menjejaskan sumber air yang diperlukan oleh manusia.Ini kerana hutan adalah kawasan tadahan air.Air berpunca dari hujan.Air hujan akan diserap oleh hutan yang berfungsi sebagai bunga kerang (sponge) yang berongga, seterusnya dialirkan perlahan-lahan ke dalam anak-anak sungai.Hutan juga bertindak sebagai penapis dalam menentukan kebersihan dan kejernihan air.

Selain daripada itu, hutan berperanan sebagai “regulator” air dan mengawal kadar alirannya.Contohnya silara pokok hutan boleh menyerap air hujan antara 20% hingga 28% yang mana sebahagian besarnya akan kembali ke atmosfera melalui sejatan pepeluhan.Kemusnahan hutan akan menyebabkan air hujan terus mengalir ke sungai-sungai dan akhirnya mengakibatkan banjir kilat secara tidak langsung akan mendatangkan bencana kepada manusia.

2.5 Hutan mengawal Hakisan Tanah
Hutan bertindak sebagai penutup bumi semulajadi serta melindungi tanah-tanih daripada hakisan air dan angin.Keupayaan ini mengelakkan butir-butir tanah daripada pecah dan dihakis oleh air.Manakala pokok-pokok pula berfungsi sebagai pengikat dengan cara mencengkam tanah-tanih dengan akarnya.Berdasarkan kepada keupayaan ini, hutan dapat memelihara kualiti alam sekitar daripada dicemari dan mencegah kejadian-kejadian buruk seperti banjir kilat yang boleh merosakkan harta benda serta mengancam nyawa manusia.
2.6 Hutan mengawal Kestabilan Cuaca
Hutan amat mempengaruhi cuaca.Oleh itu, pemusnahan kawasan hutan hujan tropika akan memberi kesan terhadap cuaca.Ini berlaku kerana kurangnya penukaran karbon dioksida kepada organik karbon di udara.Semasa proses fotosintesis, tumbuhan menyerap karbon dioksida dan mengeluarkan oksigen.
Manakala proses karbonisasi pula, haiwan dan manusia akan menggunakan oksigen dan mengeluarkan karbon dioksida ke udara.Jika kedua-dua proses ini dapat diseimbangkan,keadaan cuaca akan dapat distabilkan.Begitulah sebaliknya.
Saintis telah membuat ramalan bahawa pemekatan karbon dioksida di udara akan mengakibatkan pemanasan dunia (global warming effect).Inilah yang sedang berlaku sekarang.Cuaca di dunia semakin panas dan lapisan ozon di atmosfera semakin nipis.Kehadiran gas-gas seperti karbon dioksida, Chlorofluorocarbons (CFC), methene, tropospheric ozone dan nitrid oksida telah menyekat pelepasan tenaga sinaran daripada permukaan bumi dan menyebabkan suhu meningkat.Fenomena ini dikenali sebagai “kesan rumah hijau”.
3.0 PENGARUH MANUSIA TERHADAP KOMPONEN-KOMPONEN EKOSISTEM
Manusia memainkan peranan yang sangat penting di dalam mempengaruhi evolusi flora dan fauna selain daripada merubah komponen ekosistem hutan di sepanjang hayatnya.Pengaruh paling nyata yang dilakukan oleh manusia ialah aktiviti-aktiviti pembalakan dan pertanian yang tidak terkawal yang mengakibatkan hakisan kepada tanah.Ini secara tidak langsung akan memusnahkan pelbagai spesies flora dan fauna selain daripada mengubah sistem aliran air di muka bumi.
Di samping itu, hutan yang terdedah kepada aktiviti-aktiviti manusia telah mempengaruhi ciri-ciri hawa dalam ekosistem hutan.Pertambahan penduduk yang meningkat dari masa ke semasa memerlukan ruang-ruang hutan yang lebih luas untuk diterokai dan dieksploitasikan.Ini akan mengubah sistem kehidupan dan ekosistem hutan dan alam sekitar itu sendiri.
Selain daripada itu, pembunuhan binatang secara haram juga turut mempengaruhi komponen-komponen ekosistem.Aktiviti ini semakin berleluasa dan sukar untuk dibendung.Ini adalah akibat permintaan yang tinggi terhadap binatang-binatang ini untuk dikomersilkan.Bahagian-bahagian tertentu yang terdapat pada binatang-binatang seperti kulit, gading dan sebagainya amat berguna untuk dijadikan barangan-barangan yang bernilai.Contohnya pembuatan sebuah beg tangan atau sepasang kasut kulit.Ini sudah tentulah akan mengorbankan binatang-binatang yang sekaligus akan menyebabkannya pupus.
Akhir sekali, manusia turut berperanan dalam mempengaruhi kepelbagaian biologi dan perubahan yang terjadi terhadap haiwan, tumbuhan dan organisma-organisma mikro ‘biodiversity’ yang terdapat di hutan.Ini termasuklah pengaruh terhadap baka (genetik), spesies tumbuhan dan haiwan serta habitat di hutan.Hampir kesemua ini mempunyai potensi yang besar untuk menghasilkan baka-baka bermutu tinggi menerusi sistem kacukan spesies-spesies hutan, samada haiwan, ikan, unggas dan tanaman dengan spesies-spesies ternakan atau tanaman tempatan.Contohnya selembu atau durian.
Sistem ini dapat menambah sumber makanan kepada manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan baja hijau untuk tanaman pertanian.Namun demikian, kemusnahan hutan yang terjadi masa kini telah mengurangkan peluang-peluang bagi memperbaiki pengeluaran tanaman dan ternakan yang sedia ada.
4.0 KESIMPULAN
Hutan hujan tropika di Semenanjung Malaysia sememangnya menyediakan pelbagai keperluan asas kepada kehidupan manusia dan haiwan.Daripada sumber air dan makanan, hinggalah bahan-bahan untuk menyediakan kediaman.Walau bagaimanapun akibat daripada eksploitasi yang tidak dikawal dengan sewajarnya menjadikan kawasan hutan semakin berkurangan.Ini memberikan kesan terhadap perubahan alam sekitar dan kehidupan flora dan fauna.
Masyarakat sepatutnya lebih prihatin dan bertanggungjawab memelihara hutan kerana sekiranya kawasan hutan ini dimusnahkan, ia akan menjejaskan sistem penampungan penghidupan bersumberkan hasil hutan yang sedia ada.Kita tidak seharusnya mengabaikan masalah-masalah yang sedang mengancam kawasan hutan.Hutan tidak boleh dimusnahkan semata-mata untuk mengaut keuntungan jangka pendek.
Oleh yang demikian itu, sebagai warganegara Malaysia yang mempunyai rasa tanggungjawab kita hendaklah sentiasa melindungi hutan kita daripada dicerobohi secara tidak wajar.Sesungguhnya manusia dan hutan mempunyai kaitan yang erat dan kuat.

About these ads

Satu Respons

  1. I’m not sure where you are getting your info, but good topic. I needs to spend some time learning more or understanding more. Thanks for excellent information I was looking for this information for my mission.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: