PENGAJIAN AM STPM : LARAS SAINS

Gaya Pemakanan Mempengaruhi Kesihatan Masyarakat Norkumala binti Awang
Pegawai Penyelidik

05/03/2007 | Artikel Bahasa Malaysia
Memang mudah melakar impian, tetapi mungkin sukar untuk menterjemahkannya mengikut hakikat. Namun, biar apapun kemungkinan yang bakal berlaku, kita sebagai umat Islam perlu sedaya upaya menguatkan semangat agar apa yang dicitakan tercapai. Sejajar dengan itu, seharusnya amalan pemakanan seharian kita perlu diubah agar dapat meningkatkan taraf kesihatan dengan pemakanan yang sihat berteraskan faham halalan tayyiban. Mungkin runtunan nafsu terhadap makanan yang tidak berkhasiat menjadi penghalang kerana ia telah menjadi tabiat kita tetapi jika kita memiliki keazaman untuk mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang, ia mungkin dapat diatasi. Jika sebelum ini, kita seorang hamba Allah yang tidak pernah mengambil berat tentang sumber makanan yang menjadi darah daging kita, anjakkanlah sikap kita agar dapat berubah kepada gaya pemakanan dan hidup yang sihat serta menekankan kepentingan pengambilan makanan yang memberi kesan yang mendalam sama ada jasmani mahupun rohani.
Tidak dapat disangkal lagi bahawa amalan pemakanan seseorang akan mempengaruhi kesihatan masyarakat. Kehidupan yang sihat bertitik tolak daripada pemakanan yang baik. Bagi yang menjalani gaya hidup yang sihat, barangkali mempunyai banyak pilihan untuk mempertingkatkan tahap kesihatan contohnya mengurangkan berat badan dengan cara yang betul, melakukan aktiviti yang sihat, pengambilan makanan yang seimbang walaupun sesetengah daripada kita dihambat dengan kesibukan tugas. Untuk meningkatkan lagi kualiti kehidupan, kita tidak boleh lupa akan faktor yang mempengaruhi tubuh kita, kerana tubuh badan manusia adalah satu organisma hidup yang amat mengkagumkan di mana ia mempunyai kemampuan untuk membesar, mengawal, memperbaiki dan mempertahankan diri jika diberi pemakanan seimbang, bermutu tinggi dan semula jadi.
Di dalam memilih makanan, Islam menekankan agar umatnya mencari yang halal serta baik. Ini kerana faham halalan tayyiban yang dianjurkan dalam Al Quran mencerminkan kepada kita bahawa Islam itu syumul hatta di dalam bab pemilihan makanan sekalipun diperincikan dengan faham yang cukup lengkap panduannya. Intipatinya mudah, pilih makanan yang halal, sumber rezeki yang halal, menekankan unsur mutu makanan iaitu pemakanan yang sihat serta makanan yang baik dan bersih untuk kesihatan. Kalau sebelum ini, kita mengambil mudah dengan sumber makanan yang disuapkan ke mulut kita sehari- hari, anjakkanlah pemikiran kita agar unsur halal itu menjadi satu perkara yang amat penting mempengaruhi kesihatan rohani dan jasmani malah juga penting dalam pembentukan peribadi anak- anak. Sewajarnya kita menitikberatkan bahawa jika kita memberikan mereka makanan yang haram dan kotor, anak akan cenderung menjadi derhaka dan biadab.

Apakah yang ditakrifkan sebagai makanan yang bermutu supaya ia benar- benar memenuhi ciri- ciri tayyib? Makanan yang hendak dimakan itu dikatakan tayyib jika ia memenuhi kriteria seimbang. Jika sebelum ini, kita tidak pernah prihatin terhadap pemakanan yang seimbang, seharusnya kita sedar dan mengubah tabiat makan agar lebih menjuruskan kepada mementingkan unsur kesihatan. Saranan untuk mengambil makanan bagi memenuhi keperluan tubuh mengikut jumlah zat dan mineral dapat dilihat daripada amalan Rasulullah SAW sendiri di mana baginda mencampurkan beberapa jenis makanan untuk dimakan. Daripada Salh bin Saad pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah memakan buah tembikai dengan tamar basah. Dan amalan ini merupakan satu pendekatan yang dipamerkan oleh Rasulullah dalam pola pemakanan yang seimbang.
Dari satu sudut lain yang kini dipandang sepi oleh sesetengah daripada kita ialah industri perusahaan makanan. Dunia industri makanan dan minuman kita gersang dengan penyertaan dari umat Islam. Mereka lebih rela disogokkan dengan budaya makan gaji berbanding dengan berusaha sendiri untuk menjadi usahawan muslim yang berjaya contohnya dalam bidang industri makanan dan minuman. Umat Islam masih lagi bergantung harap kepada bukan Islam untuk keperluan harian. Seharusnya umat Islam tidak cepat melatah kerana isu makanan tidak halal yang diusahakan oleh pengilang bukan Islam. Ini kerana kebanyakan daripada makanan dan minuman yang digunakan oleh umat Islam adalah dikeluarkan oleh pengusaha bukan Islam. Sejajar dengan itu penyertaan oleh ramai lagi usahawan muslim ke dalam industri ini seharusnya lebih hebat lagi dan digalakkan oleh orang Islam itu sendiri. Barangkali dengan wujudnya pengusaha dari kalangan orang Islam akan menjamin ciri- ciri kebersihan dan kehalalan sesuatu produk makanan. Oleh itu, kita perlu persiapkan akal fikiran dan seharusnya menyokong peniaga dan usahawan Islam yang lain dengan memilih makanan yang diusahakan mereka jika kita sendiri tidak mampu untuk merintis menjadi usahawan makanan muslim. Sekurang- kurangnya, kita dapat membantu golongan seagama kita berjaya dalam perniagaan sekaligus memperkembangkan makanan muslim yang halal lagi baik.
Seharusnya, kita mampu mengubah pola pemakanan ke arah yang lebih sihat mengikut kemampuan kita. Makanan itu dikatakan memenuhi ciri tayyib apabila ia selamat dimakan. Mungkin di kalangan kita tidak memperhalusi erti tayyib sebenar dan mengambil mudah tentangnya sebelum ini. Namun, kita boleh menanamkan niat agar kita menekankan soal keselamatan makanan yang merangkumi soal kebersihan dan keracunan makanan. Apabila ingin mengubah selera makan diluar, sebagai pengguna yang bijaksana perlulah memilih kedai yang bersih, halal dan selamat. Penyajian makanan juga tidak meragukan kita. Di dalam satu hadis, Anas Ibn Malik meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW membersihkan buah kurma terlebih dahulu sebelum makan. Ini menunjukkan walaupun buah kurma itu makanan yang segar, ia mungkin tercemar oleh debu atau benda- benda lain yang menyebabkan ia tidak elok untuk dimakan. Oleh itu, membasuhnya adalah salah satu cara untuk kita mengekalkan keselamatan makanan tersebut.

Dalam sudut lain mengenai pemakanan, kadang- kadang ramai di antara kita bimbang dengan penampilan saiz badan masing- masing terutamanya wanita. Mungkin ada di kalangan kita mengalami masalah kegemukan. Kegemukan bukan sekadar masalah lahiriah tetapi dari sudut kesihatan ia mungkin mendatang bahaya yang lebih besar iaitu penyakit berkaitan jantung. Ia amat membimbangkan kerana penyakit ini dapat membunuh manusia secara senyap tanpa disedari. Oleh itu, pemakanan yang sihat dapat menjamin bentuk badan yang cantik secara langsung kesihatan yang baik. Bagi yang memiliki bentuk badan yang tidak memuaskan, dengan gaya pemakanan yang seimbang dan senaman yang berkala dapat menurunkan berat badan kepada bentuk yang diingini. Oleh itu, tiket atas dasar kesihatan mungkin menjadi satu titik tolak untuk kita berusaha mencapai berat badan yang unggul dalam memperbaiki taraf kesihatan yang lebih baik. Dengan azam yang kental, kita dapat menterjemahkan impian kita kepada kenyataan.

Sewajarnya kita sendiri berusaha ke arah pemakanan yang sihat. Daripada bab pemilihan makanan halal dan baik, penglibatan dalam industri makanan halal sehinggalah kepada penyediaan sendiri makanan yang baik di rumah menjadi tanggungjawab setiap individu muslim. Ayuh, kita tanamkan niat agar kita sendiri menjadi seorang insan yang bertaraf tinggi, kesihatan yang baik dan terjamin untuk kesinambungan masyarakat pewaris beradab pada masa hadapan.
Soalan
‘Amalan Pemakanan Baik’ perlu diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat. Bincangkan rasional amalan ini dan langkah-langkah untuk menghindarkan penyakit dalam kalangan warga emas di negara-negara membangun.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: