PENGAJIAN AM : INTERNET

INTERNET MAKLUMAT TERUS TANPA SEKATAN

Sana sini orang memperkatakan tentang Internet (International Network – saluran perhubungan komputer tercanggih masa kini). Kecanggihan teknologi maklumatnya merangkumi pelbagai fungsi samada menyediakan maklumat politik antarabangsa dan setiap negara di dunia, sosio~ekonomi, aliran pelaburan dan kewangan, peperangan, sistem perbankan, sukan, seiarah, sains dan teknologi, geografi, lukisan dan lain-lain maklumat terkini yang kita inginkan.
Internet sudah mula menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat moden hari ini. Bukan hanya orang dewasa sahaja yang menggunakan Internet malah kanak-kanak pun tahu menggunakannya.
Internet bukan sahaja beriaya menghubungkan komunikasi ke seluruh dunia tetapi juga boleh menyelesaikan banyak permasalahan, pertikaian ekonomi dan aliran pelaburan global.
Kini terdapat lebih daripada 40,000 rangkaian yang membentuk Internet di seluruh dunia dan Malaysia juga turut mencapai kejayaan yang membanggakan apabila ahli seluruh Malaysia.
Jaring (salah satu daripada rangkaian dalam Internet)telah mencapai bilangan ahli seramai lebih daripada 30,000 orang di seluruh Malaysia.
Perkhidmatan Internet di Malaysia dikendalikan oleh Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia . (MlMOS) dengan menggunakan Sistem Jaring.
“Pendekata penggunaan Internet sudah semakin bertambah. Pada tahun 1995 bilangan pelanggan Jaring telah bertambah seramai 22 peratus setiap bulan,” kata Pengarah Bahagian Sistem Komputer MIMOS, Dr. Mohamed Awang Lah.
Menurut Dr. Mohamed, Internet, membolehkan komputer berkomunikasi untuk memindahkan maklumat di antara satu tempat dengan satu tempat yang lain.
Katanya, semua maklumat yang terdapat dalam Internet boleh digunakan oleh sesiapa sahaja yang inginkan maklumat terkini. Apabila komputer disambung melalui wayar telefon maklumat di seluruh dunia akan diperolehi oleh pelanggan Internet dalam sekelip mata sahaja.
Setiap komputer yang menggunakan modem berfungsi menyampaikan maklumat atau menghantar dan memberi laluan data. Pendekata maklumat dalam Internet boleh dicari kerana ianya ada dalam sistem Internet tersebut.
Tambahnya lagi, melalui Internet setiap pengguna mendapat pelbagai maklumat yang diingini termasuklah maklumat perniagan. Iklan juga akan dapat diperolehi melalui Internet sehinggakan banyak barangan boleh dibeli melalui Internet.
Pengguna Internet hanya memerlukan sebuah komputer samada DOS, Window’s, 05/2 ataupun Machintosh yang mempunyai kecepatan modem yang tinggi untuk memperolehi informasi dalam bentuk teks, grafik dan gambar.
Antara program yang terkandung dalam Internet ialah E-Mail, Chatting, Gopher, WWW, News Reader, Netscape- Win Tapestry, Mozaic dan lain-lain.
Sebagai contoh melalui WWW, pengguna Internet boleh melihat hampir 3 juta homepage yang menyediakan pelbagai informasi data perniagaan, pelajaran, objek, berita daripada Rumah Putih liputan berita daripada Malaysia seperti New York Times, Time, Life dan lain akhbar dan majalah dari seluruh negara.
Melalui Gopher kita mendapat bahan rujukan ilmu pengetahuan, majalah dan buletin tertentu dan buku, melalui Hot Java pula pengguna boleh menikmati muzik, games dan video klip daripada penyanyi seluruh dunia dan pelbagai maklumat lagi.
Sementara melalui perpustakaan Internet pula, setiap permasalahan dapat diketahui dengan mendalam. Sebagai contoh, seorang pelajar yang melanggan Internet akan dapat mempelajari sesuatu bidang atau mata pelajaran dengan cepat dan mudah hanya dengan menekan satu butang sahaja.
Kalau dahulu kita berhubung dengan syarikat atau rakan karib dengan berutus surat tetapi kini semuanya boleh dilakukan melalui Internet. Melalui program E-Mail, kita dapat berhubung terus dengan syarikat atau individu lain tidak kira di mana sahaja untuk membincangkan soal perniagaan, peribadi, pendidikan dua hala dan sebagainya. Program ini benar-benar mendatangkan faedah dan menjimatkan kos perhubungan dua hala.
Dengan kata lain Internet menyediakan maklumat secara terus tanpa sekatan atau tapisan dan terpulanglah kepada pelanggan untuk memilih mana yang terbaik untuk mereka.
Namun penggunaan Internet tanpa sekatan hanya akan memberi kesempatan kepada pihak yang tidak bertanggunglawab melakukan sesuatu yang tidak baik sedangkan Internet diperkenalkan untuk membantu manusia dalam mengharungi arus teknologi maklumat.
Kadang-kadang apabila bercakap tentang Internet kita terlalu mengharapkan tahap keselamatan yang tinggi. Sedangkan kalau kita lihat maklumat yang ada dan bukannya dalam Internet tidaklah selamat. Apabila bercakap tentang komputer kita lebih memberi penekanan tentang soal keselamatan sedangkan apabila dilihat dalam penggunaan harian seperti penggunaan telefon, faks, kertas, fail dan lain-lain perkhidmatan ini juga tidak cukup kuat tahap sekuritinya. “Berbalik soal sekuriti, terdapat banyak tahap sekuriti untuk menentukan bahawa maklumat itu tidak dicerobohi oleh orang lain. Walau bagaimana kuat pun tahap keselamatan ini tidak boleh menjamin 100 peratus sebagaimana kita tidak boleh menjamin kekukuhan sebuah bank menyimpan duit akhirnya kena rompak juga. Jadi pel- ,bagai langkah perlu diambil untuk memberi tahap kese- lamatan yang tinggi. Ini termasuklah dari segi penggunaan hardware, sofware dan sebagainya. Tetapi lagi tinggi tahap keselamatan lagi tinggi kosnya. Kalau kita sanggup membayar lebih kita boleh mendapat tahap sekuriti yang tinggi juga,” ujarnya memberi pandangan.
Menurut beliau lagi, soal sekatan adalah masalah yang sukar dibuat dan tidak boleh diatasi dengan mudah kerana maklumat boleh disebarkan bukan sahaja dengan Internet tetapi boleh disebarkan melalui CD-Roms atau pita video yang tidak boleh dikawal penggunaannya.
“Masalah boleh wujud bukan hanya dengan Internet sahaja. Tetapi dari soal maklumat kita mesti melihat dari dua pihak. Pertama ialah dari segi maklumat negatif yang masuk dalam saluran Internet dan yang kedua ialah saluran yang sama yang boleh digunakan untuk menyebarkan maklumat kita sendiri. Jadi kita harus menggunakan saluran yang sama untuk menangkis maklumat yang salah itu.
“Internet telah memberi satu cara hidup yang baru dari segi sosial, politik, kerajaan dan sebagainya. Ia memberi implikasi yang besar kepada kita. Kita tidak boleh lagi hidup dengan kaedah lama iaitu dengan cara yang bukan berasaskan elektronik. Kita perlu menukar cara-cara kita melakukan sesuatu. Kerajaan juga telah menekankan soal pendemokrasian maklumat. Maknanya maklumat harus diperolehi oleh sesiapa sahaja dan sesiapa sahaja boleh memberi pandangan. Asalkan ia tidak sensitif dari segi bangsa dan agama. Selagi kita tidak lari daripada landasan itu ia tidak menjadi masalah yang besar.
Kesimpulannya, sekatan fizikal bukanlah cara untuk menyekat maklumat. Dengan kata lain maklumat hanya boleh dikawal melalui tangkisan sendiri,” beritahunya.
Selain itu ujarnya, kesan sampingan hanya boleh berlaku kerana kita belum bersedia untuk menerima atau berhadapan dengan maklumat-maklumat yang kita tidak sangka-sangkakan atau perkara yang berlaku di luar daripada jangkaan kita.
“Dalam mana-mana hal sekalipun jika kita sudah bersedia bahawa perkara itu akan datang dan kita pula telah dididik sepenuhnya serta diberi peluang untuk mengkaji masalah itu saya rasa ia tidak akan memberi kesan sampingan. Yang penting adalah ketahanan diri dan bagaimana kita dapat menangkis segala maklumat-maklumat baru ini kerana maklumat ini sentiasa akan datang melalui Internet, televisyen dan parabola,”jelasnya lagi.
Apa yang datang dari sumber Internet akan terus sampai kepada pengguna dan tidak ada orang tengah yang boleh menapis setiap maklumat tersebut. Dengan kata lain, peranan orang tengah akan menjadi lebih kecil dengan adanya Internet. Kawalan hanya boleh dikeluarkan daripada pihak pengguna samada dari segi kawalan emosi atau fizikal. Sebagai contoh ibu bapa boleh mengawal anak-anak supaya menggunakan Internet dengan betul.
“Ada perisian tertentu yang boleh digunakan oleh ibu bapa untuk mengawal anak mereka dari menggunakan Internet secara berleluasa dan berseorangan. Kanak-kanak perlukan bimbingan dari ibu bapa. Sebagai contoh softwore yang dipanggil Net Nanny dan Cyber Patrol program membenarkan ibu bapa mengawal penggunaan Internet terhadap anak-anak,” tegasnya.
Menyentuh tentang masa depan Internet dalam jangka masa 10 tahun lagi, kata Dr. Mohamed, mungkin di masa hadapan setiap rumah mempunyai Terminal Internet atau Terminal Network mereka sendiri.
“Kami berhasrat agar setiap rumah di masa akan datang mempunyai telefon yang boleh disambungkan kepada Internet. Apabila masuk sahaja ke rumah sudah ada alat Internet cuma jika mereka hendak menggunakan Internet untuk tujuan mendapatkan maklumat tertentu kita harus membayarnya. Sistem Internet juga boleh menjadi saluran untuk pemasaran jualan. Mungkin di masa hadapan kita tidak perlu membeli televisyen kerana dengan adanya terminal penggunaannya pun seakan sama dengan fungsi televisyen. Dan sudah tentu ketika itu harganya akan lebih murah dan mampu dimiliki oleh semua lapisan masyarakat,” tambahnya lagi.
NONA, JULAI 1996, BIL: 174, M/S 157-159

PENGAJIAN AM : DIET (BAIK & BURUK)

Tanya mana-mana wanita, semuanya pasti mengatakan tubuh yang langsing menambah daya tarikah pada diri mereka. Jesteru, mereka sanggup melakukan apa sahaja asalkan dapat kelihatan cantik dan langsing termasuklah mengamalkan diet. Ada yang mementingkan kesihatan diri selain daripada mahu dilihat langsing, tetapi membuat program diet sendiri mengikut kesukaan. Apa yang penting berat badan turun dan tubuh kekal langsing. Ikuti buruk baik diet sesuka hati begini.

1. Diet epal dan detoks.
Makan hanya epal manis (selalunya epal merah) selama 7 hari berturut-turut. Setiap kali makan dua hingga tiga biji dan dalam sehari menjadi sampai lima hingga enam biji. Selain epal, hanya minum air dan mengambil suplemen untuk detoksifikasi. Tujuannya untuk menjadikan tubuh lebih segar dan pencernaan lebih lancar. Seminggu boleh turun sehingga 2 kilogram(kg).

Fakta: Buah-buahan hanya mengandungi vitamin dan karbohidrat. Tidak ada protein dan lemak seperti yang diperlukan oleh tubuh badan untuk menjalankan fungsinya setiap hari.

Komen Pakar : Menurut pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penurunan berat badan yang sihat adalah 1 hingga 1.5 kg/minggu dengan pengurangan makanan sebanyak 500 kalori/hari. Dalam setiap penurunan berat badan, sebaik-baiknya kurangkan jumlah lemak di dalam badan. Pengambilan buah-buahan untuk menurunkan berat badan bukan hanya menyebabkan jumlah lemak di dalam tubuh menurun, tetapi juga kandungan protein otot dan jumlah cairan di dalam tubuh berkurang. Kehilangan air yang terlalu banyak dapat membahayakan ginjal. Bila berat badan kembali naik, kemungkinan lemak semakin meningkat. Sebenarnya tubuh kita mampu mendetoksifikasikan bahan-bahan beracun dan yang tidak diperlukan tubuh secara semulajadi. Proses detoksifikasi berlaku di hati. Jadi, pengambilan suplemen untuk detoksifikasi bukanlah satu keperluan.

2. Diet elak nasi.
Langsung tidak menyentuh nasi dan hanya sesekali makan roti atau mi, selebihnya makan sayur dan buah-buahan. Malah, makanan bergoreng, terus dielakkan. Minuman seperti kopi dan gula juga tiada di dalam menu seharian. Makan selepas jam 7 malam? Tidak sesekali!

Fakta: Makanan seperti nasi, roti dan mi semuanya mengandungi karbohidrat. Nasi yang berasal daripada beras merah sebenarnya lebih menyihatkan kerana ia bukan sahaja mengandungi karbohidrat tetapi juga kaya dengan protein dan serat.

Komen Pakar : Beras merah, kentang (dengan kulitnya), roti dari biji-bijian dan bijirin amat disarankan sebagai pengganti sumber karbohidrat. Karbohidrat yang mengandungi banyak serat dapat digunakan untuk mengendalikan kadar gula rendah, kadar lemak darah, dan juga berat badan. Jangan terus ‘bermusuh’ dengan nasi. Cara terbaik, kurangkan saja kuantitinya. Ikut pola pemakanan sihat mengikut piramid makanan Asia bermula seperti hasil beras, tepung dan bijiran, diikuti dengan sayur dan buah-buahan. Seterusnya protein haiwan dan tumbuhan seperti susu rendah lemak, daging tanpa lemak dan kekacang dan akhir sekali makanan yang paling sedikit diambil seperti lemak atau minyak dan gula.

3. Makan tiga sudu.
Berat badan mudah naik bagi sesetengah orang, jadi diet seperti ini sering diamalkan. Sayur-sayuran menjadi sahabat baik. Lauk kegemaraan seperti ikan atau dada ayam tanpa kulit. Biasanya, makan secara perlahan-lahan agar mudah rasa kenyang. Juga banyak minum air putih.

Fakta: Makan dengan perlahan memberi peluang kepada otak untuk mengirimkan signal sudah kenyang. Cara begini membantu menggelakkan anda daripada makan berlebihan.

Komen Pakar: Pola pemakanan yang sihat, lengkap dengan air, karbohidrat, protein, lemak dan serat. Namun, masih kurang pengambilan protein tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan sehingga kekurangan keperluan vitamin dan mineral. Cuba variasikan sumber protein dengan menambah pengambilan makanan seperti kekacang. Nutrien makanan harus seimbang kerana tubuh amat memerlukannya. Apatah lagi protein tumbuhan yang kaya dengan isoplavon sebagai antioksidan, fitestrogen sebagai sumber estrogen dari tumbuhan yang digunakan untuk meningkatkan kadar estrogen dalam tubuh dan fitesterol. Perhatikan juga cara memasak. Kurangkan menggoreng makanan. Makan tiga sudu sudah cukup kerana pengambilan sayur-sayuran sudah cukup banyak. Tambahan, sayur dan buah juga mengandungi karbohidrat yang tinggi serat.

Kelolaan: Khairun Nisa Ishak, Sumber : Majalah Mingguan wanita, Bil: 1286, 11-17 Julai 2008.

PENGAJIAN AM : HIDROPONIK

Hidroponik (berasal daripada perkataan Greek hydro iaitu air dan ponos iaitu bekerja) adalah kaedah bercucuk tanam dengan meletakkan akar pohon ke dalam air baja (nutrien) tanpa mengunakan tanah. Kaedah ini menggunakan bahan seperti bulu mineral, sabut kelapa, pasir, batu bata pecah, habuk kayu dan lain-lain menggantikan tanah.
Penanaman secara hidroponik dilakukan oleh individu sebagai hobi dan juga secara besar-besaran untuk tujuan komersil. Di negara Singapura misalnya, oleh kerana kekurangan tanah, bumbung-bumbung bangunan dijadikan tempat untuk menanam sayur-sayuran seperti bak choy, sawi, kailan dan bayam di mana semuanya menggunakan kaedah hidroponik. Begitu juga, untuk penerokaan angkasa lepas, angkasawan boleh bercucuk tanam sayur-sayuran di dalam kapal angkasa. Kaedah yang sama digunakan oleh tentera di atas kapal perang, maupun kapal selam. Dengan cara ini mereka tidak perlu membawa bekalan makanan yang banyak, hanya sekadar membawa benih-benih sayur-sayuran dan boleh ditanam semasa dalam perjalanan.
Kelebihan
• Tidak memerlukan tanah sebagai media tanaman.
• Akar pokok boleh dipantau dengan cara mengangkat pasu dan melihat akarnya.
• Pembaziran baja tidak berlaku; kerana air baja sentiasa dikitar semula.
• Tidak perlu menyiram baja setiap hari.
• Hasil tanaman boleh di makan keseluruhannya, sebab akarnya bebas dari kotoran dan penyakit.
• Penyakit pokok tanaman dapat dikurangkan kerana banyak penyakit akar/pokok berpunca dari kandungan tanah.
• Pengusaha secara komersial tidak memerlukan tenaga pekerja utk tugasan menyiram.
Kelemahan
• Tanaman boleh mati dengan cepat jika sistemnya gagal.
• Hidroponik lebih rumit daripada menanam menggunakan tanah.
• Tumbuhan yang ditanam secara hidroponik selalunya lebih mahal daripada yang ditanam biasa.

PENGAJIAN AM : MAKANAN SEGERA

PENSYARAH Sosiologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Fatimah Daud berpendapat, langkah kerajaan mewajibkan pengeluar makanan segera mempamerkan kandungan produk mereka dilihat sebagai perang psikologi. Itu adalah tindakan yang dirasakan wajar dalam usaha menyedarkan orang ramai supaya lebih berhati-hati akan kesan makanan segera terhadap kesihatan menerusi peringatan berterusan.
“Tidak dinafikan bukan semua akan membelek fakta kandungan kalori makanan yang mereka beli atau makan, tetapi sekurang-kurangnya maklumat itu ada depan mata. Jika tidak hari-hari, sekali sekala pasti terbaca juga.
“Masyarakat perlu sentiasa didedah dan diingatkan kesan makanan segera terhadap kesihatan mereka. Cara terbaik ialah menerusi pendidikan berterusan termasuk meletakkan maklumat khasiat makanan,” katanya.
Beliau berkata, selain menyebabkan penyakit kronik dan obesiti, budaya menjadikan makanan segera sebagai pilihan utama turut mendatangkan kesan terhadap institusi keluarga.
Prof Fatimah berkata, remaja hari ini menganggap makanan segera sebagai satu gaya hidup dan tidak hairan jika setiap hari restoran makanan segera dipenuhi golongan berkenaan.
Beliau berkata, disebabkan lebih gemar menikmati makanan segera, suasana kemesraan antara ibu bapa dan anak semakin terhakis kerana budaya makan bersama satu keluarga kini semakin hilang.
Tambahan pula, kebanyakan ibu bekerja dan ada kalanya disebabkan penat atau tidak sempat memasak, mengambil langkah mudah membeli makanan segera sebagai hidangan cepat untuk keluarga.
“Sebab itu ada anak yang tidak sayang ibu bapa mereka kerana tidak makan air tangan emak, asyik makan makanan segera. Bagi pasangan yang baru kahwin, makan luar terutama di restoran makanan segera menjadikan mereka malas masak.
“Perkara ini mungkin dianggap remeh oleh sesetengah pihak, tetapi ia tetap menjejaskan hubungan kekeluargaan seterusnya memberi kesan kepada pembangunan masyarakat yang ahlinya terdiri daripada institusi keluarga,’ katanya.
Beliau berkata, ekonomi keluarga juga boleh terjejas dan amalan menyimpan tidak dapat dilaksanakan apabila wang lebih kerap dibelanjakan untuk membeli makanan segera.
Pof Fatimah berkata, pengaruh makanan segera turut menyebabkan remaja sekarang sudah tidak kenal makanan tradisional yang menjadi kebanggaan setiap negeri di negara ini.
“Inilah yang berlaku apabila makanan segera sudah menguasai kehidupan masyarakat hari ini. Anak sudah tidak kenal nasi kerabu dan nasi dagang kerana lebih terdedah kepada makanan segera,” katanya.
Muncul di Berita Harian (Nasional) pada 23.3.2007

PENGAJIAN AM : PENYAKIT TIBI

Penyakit TIBI

TIBI ialah sejenis penyakit yang merbahaya yang boleh membawa maut jika tidak mendapat rawatan sempurna. Disebabkan oleh bacteria TIBI (Tubercle Bacilli) dan hanya boleh dilihat dengan mikroskop. Bakteria ini biasanya menjangkiti paru-paru dan boleh menyerang organ-organ lain seperti selaput otak, tulang, kelenjar leher, buah pinggang, kulit dan lain-lain.

Bagaimana TIBI Merebak ?

Bakteria TIBI disebarkan melalui udara. Pesakit TIBI yang menderita akan mengeluarkan berjuta-juta bacteria TIBI terawang-awang di udara seketika apabila bersin atau batuk. Individu yang menyedut udara tercemar ini mempunyai peluang dijangkiti bacteria TIBI. Biasanya pesakit TIBI boleh menyebarkan bacteria TIBI kepada individu yang berhubung rapat dengannya.

Tanda-Tanda TIBI

  • Batuk yang berterusan lebih dari 2 minggu
  • Kahak yang mungkin mengandungi darah
  • Demam dan berpeluh di sebelah petang dan malam
  • Susut berat badan dan hlang selera makan
  • Mengalami sakit dada apabila batuk atau semasa menarik nafas panjang
  • Mudah menjadi letih

Cara Mengesan Penyakit TIBI

Jika anda mengalami batuk yang berterusan atau tanda-tanda yang disebutkan tadi hendaklah :-

  1. mendapatkan pemeriksaan doktor
  2. melakukan pemeriksaan kahak untuk mengenalpasti bakteria TIBI
  3. menjalani pemeriksaan x-ray dada

Rawatan

Penyakit TIBI mengambil masa 6 bulan di bawah penyeliaan anggota-anggota kesihatan yang dilantik.

  • 2 bulan pertama dengan 4 jenis ubat diambil setiap hari
  • 4 bulan berikutnya dengan 2 atau 3 jenis ubat yang diambil 2 kali seminggu

Pencegahan

  • Bayi-bayi yang baru dilahirkan mestilah diberikan suntikan BCG. Dapatkan suntikan dos ke 2 sekiranya tiada bekas parut dna pada umur 12 tahun.
  • Sekiranya batuk yang berterusan lebih daripada 2 minggu, segeralah berjumpa doktor
  • Kontek iaitu ahli keluarga atau sesiapa sahaja yang tinggal sebumbung dengan pengidap TIBI dalam tempoh yang lama hendaklah datang membuat pemeriksaan di klinik atau di hospital kerajaan

PENGAJIAN AM STPM : SELSEMA BURUNG

Apakah selesema burung?
Lebih seabad, selesema burung hanya beredar di kalangan unggas sahaja, terutamanya ayam ternakan. Bagaimanapun, penyakit ini mula dikenali Avian Influenza apabila beberapa jenis virusnya menjangkitinya manusia. Virusnya pula semakin bertambah kuat dan tegar, malah bermutasi (berlaku perubahan genetik sesuatu organisma seperti tumbuhan, haiwan, dan sebagainya yang mengakibatkan perubahan ciri tertentu organisma tersebut) pula. Ia kini berjangkit dari unggas kepada manusia.
Pada 1997, terbukti selesema burung memang membawa maut apabila ada penduduk Hong Kong mati kerananya. Ketika para saintis sedang bergelut mengenal pasti jenis-jenis virus berbahaya dan mencari pencegah wabak membawa maut ini, wabak selesema burung ini terus berjangkit merentas dunia dari sebuah negara ke sebuah negara lain.
Bagaimana selesema burung berjangkit?
Lazimnya, virus selesema burung dibawa di dalam usus unggas liar dan tidak berbahaya. Namun virus ini mula menyesuaikan diri mengikut keadaan dan bermutasi menjadi virus yang paling berbahaya sehingga menyerang manusia.
Avian Influenza boleh berjangkit melalui air liur, lelehan hidung, dan najis burung. Burung-burung lain yang menyentuh cairan itu membawa virus tersebut ke tempat lain pula. Begitulah seterusnya. Keadaan ini sukar dibendung kerana unggas liar ini berhijrah dari satu negara ke negara lain.
Virus Avian Influenza merebak di dalam udara dan baja serta hidup lebih lama di dalam udara sejuk. Ia juga boleh dipindahkan melalui air dan makanan tercemar, peralatan serta pakaian. Tempoh pengeraman ialah antara tiga hingga lima hari. Virus berbahaya seperti H5N1 boleh membunuh dalam masa beberapa hari sahaja.
Kenapa ditakuti?
Untuk berjangkit, tiga perkara mesti berlaku terlebih dahulu:
1. Munculnya virus jenis baru.
2. Ia menyebabkan penyakit yang serius kepada manusia.
3. Berjangkit dengan mudah sesama manusia.
Faktor pertama dan kedua sudah pun berlaku. Virusnya baru bagi manusia dan menyebabkan sakit yang serius. Walau bagaimanapun, oleh kerana setakat ini ia berjangkit dari burung kepada manusia, tahap ketiga belum lagi berlaku. Ia masih belum berjangkit dari manusia kepada manusia.
Inilah faktor yang ditakuti. Dikhuatiri virus itu akan terus bermutasi hingga ke tahap boleh berpindah dari manusia kepada manusia. Semakin banyak manusia dijangkiti, ia mungkin berpotensi untuk bermutasi. Jika suatu hari nanti ia berlaku, rawatan semakin mustahil. Ramai manusia akan mati.
Selesema burung sangat bahaya kepada manusia kerana sistem imun kita tidak mempunyai antibodi untuk menentang penyakit berasal daripada haiwan. Lantas ia bersarang di paru-paru dan menolak ubat-ubatan anti-bakteria serta antiviral dan membunuh manusia dengan cepat.
Orang dewasa sihat lebih berisiko dijangkiti virus selesema burung. Virus H5N1 menyebabkan tindak balas imunologi yang besar terhadap virus yang ada di dalam sistem imun orang yang paling kuat. Malangnya keadaan ini menyebabkan pula pembebasan enzim manusia yang dipanggil cytokines yang memusnahkan sel paru-paru.
Sehingga kini, lebih 60 orang mati di serata dunia kerana dijangkiti wabak selesema burung.
Bagaimana membendung selesema burung
Sehingga kini, belum ada penawar yang dapat mengubati unggas mahupun manusia. Apa yang dapat dilakukan ialah membunuh semua ternakan yang ada secara besar-besaran biarpun hanya seekor dua yang dijangkiti. Itu sahaja langkah terbaik setakat ini.
Menghapuskan ternakan ayam ini telah menjejaskan pula ekonomi sesebuah negara. Para penternak kerugian kerana ternakan ayamnya terpaksa dimusnahkan. Manakala penjual ayam runcit juga mengalami nasib sama kerana para pengguna takut hendak menyentuh atau makan ayam.
Bagaimana mencegah selesema burung berjangkit
Kita tidak semestinya memulaukan memakan ayam sama sekali. Apa yang penting ialah mengampil berat aspek kebersihan. Apa yangboleh kita lakukan ialah:
1. Pastikan ayam masak sepenuhnya. Suhu memasak mestilah sekurang-kurangnya 70-75 darjah Celcius.
2. Basuh tangan dengan sabun (sabun antibakteria) sebelum dan selepas menyentuh daging mentah.
3. Basuh dengan bersih semua permukaan dan peralatan dapur yang terkena daging mentah.
4. Masak telur sampai masak sepenuhnya. Elakkan makan telur separuh masak.
Jenis-jenis virus
Virus-virus Avian Influenza dikenali sebagai H5N1 (paling bahaya), H7N2, H1N7, H7N3M, H13N6, H5N9, H11N6, H3N6, HPN2, H5N2, H4N8, H10N7, H2N2, H8N4, H14N5, H6N5, H12N5, dan banyak lagi.
Rawatan dan pelalian
Gejala selesema burung pada manusia berbeza-beza dari selesema (demam, batuk, sakit kerongkong dan sengal otot) sehinggalah sakit mata, paru-paru berair, penyakit pernafasan teruk, dan beberapa komplikasi mengancam nyawa yang teruk. Gejala selesema burung bergantung kepada jenis virus yang menyebabkan jangkitan.
Terdapat ubat untuk rawatan dan pencegahan penyakit ini tetapi keberkesanannya masih dalam kajian. Virus H5N1 merupakan jenis virus yang dianggap paling merbahaya kerana mampu merebak kepada manusia dan menyebabkan kematian. Virus H5N1 kebal kepada ubat antivirus biasa seperti amantadine dan rimantadine. Dua jenis ubat antivirus lain, Oseltamavir (Tamiflu) dan zanamavir, kemungkinan berkesan merawat selesema yang disebabkan oleh virus H5N1. Setakat ini masih belum ada ubat pelalian.

PENGAJIAN AM STPM : H1N1 (SELSEMA BABI)

Influenza A (H1N1)
ABSTRAK
Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau World Health Organization (WHO) pada 24 April 2009 telah mengisytiharkan krisis kecemasan kesihatan antarabangsa ekoran merebaknya wabak Virus Influenza A (H1N1) (Selesema Babi atau Swine Flu) bagi memberi amaran wabak yang dianggap makin mencemaskan dan berpotensi untuk menjadi pusat ‘pandemik’ atau wabak yang akan merebak. Selesema babi yang disebarkan oleh manusia ini telah mencetuskan keadaan panik di seluruh dunia terutamanya di Mexico dan Amerika Syarikat (AS). Sehingga 6 Mei 2009, wabak ini telah mengorbankan 29 orang di Mexico, 2 orang di United State (US), 1786 orang telah disahkan dijangkiti dan lebih 4169 orang disyaki dijangkiti di seluruh dunia. Jumlah kematian dan mereka yang dijangkiti meningkat dari semasa ke semasa dan amat dikhuatiri merebak ke Negara ini.
PENGENALAN
Demam Virus Influenza A (H1N1) adalah sejenis penyakit sistem pernafasan (respiratory) yang biasanya ditemui dalam kawanan babi. Virus Influenza A (H1N1) atau demam babi ini biasanya berlegar dalam spesies babi sahaja dan tidak menjangkiti manusia. Namun jangkitan terhadap manusia telah berlaku dan penyebaran virus ini dalam kalangan manusia telah mula dikesan sejak tahun 1988.
Apakah Virus Influenza A (H1N1)?
Virus Influenza A (H1N1) adalah sejenis penyakit respiratory yang ditemui dalam kawanan babi disebabkan oleh virus influenza jenis A (H1N1). Selesema babi ini dikesan saban tahun dan biasanya terjadinya kepada mereka yang mempunyai kaitan dengan babi. Manusia biasanya tidak dijangkiti oleh virus ini tetapi jangkitan terhadap manusia telah dikesan. Virus selesema babi telah dilaporkan merebak dari manusia ke manusia lain. Tetapi pada masa lepas, pemindahan virus ini adalah terhad dan menjangkiti sehingga tiga orang sahaja.

Adakah Terdapat Jangkitan Demam Virus Influenza A (H1N1) di US?
Pada akhir Mac dan awal April 2009, beberapa kes jangkitan virus ini (H1N1) terhadap manusia telah dilaporkan di Southern California berdekatan San Antonio, Texas. Beberapa negeri lain di US juga telah melaporkan jangkitan yang sama pada manusia dan juga telah dilaporkan di peringkat antarabangsa. (Perkembangan terkini mengesahkan bilangan jangkitan virus di Amerika Syarikat boleh di dapati di http://www.cdc.gov/swineflu/investigation.htm. Pusat pencegahan dan kawalan penyakit (CDC – Centers for diseases control and prevention dan Jabatan serta agensi kesihatan sedang bekerjasama dalam menyiasat situasi ini).

Adakah Virus Ini Berjangkit?
CDC telah mengesahkan bahawa virus ini (H1N1) adalah berjangkit dan merebak dari seorang ke seorang manusia lain. Walau bagaimanapun masih belum diketahui cara dan bagaimana mudahnya jangkitan ini terjadi.
Apakah Tanda-tanda dan Simptom Virus Influenza A (H1N1) Terhadap Manusia?
Simptom Virus Influenza A (H1N1) ini terhadap manusia adalah sama dengan simptom selesema biasa seperti demam, batuk, sakit tekak, sakit badan, pening kepala, sejuk dan kelesuan. Ada juga sesetengah kes cirit-birit dan muntah yang berkait dengan selesema burung yang dilaporkan.
Pada masa yang lepas, beberapa penyakit (kegagalan paru-paru dan sistem pernafasan) dan kematian telah dilaporkan dengan jangkitan selesema babi dalam manusia. Seperti virus selesema bermusim, selesema babi boleh menyebabkan keadaan kesihatan kronik.

Bagaimanakah Selesema Burung Merebak?
Virus jenis A (H1N1) selesema burung ini dijangka akan merebak seperti mana virus selesema bermusim lain. Virus selesema ini biasanya disebarkan dari seorang ke seorang yang lain melalui batuk dan bersin mereka yang terkena jangkitan. Kadang-kadang seseorang itu boleh dijangkiti melalui barang yang disentuh dengan tangan dan kemudiannya menyentuh mulut dan hidung mereka.
Bagaimanakah Seseorang Yang Dijangkiti Selesema Menjangkiti Seorang Lain?
Seseorang yang dijangkiti mungkin boleh menjangkiti seorang lain bermula sehari sebelum simptom itu merebak hingga ke hari ke-7 selepas dijangkiti (sakit). Ini bermakna kita mungkin boleh menyebarkan virus ini sebelum mengetahui yang kita telah dijangkiti.

Apa Yang Perlu Dilakukan Untuk Mengelak Daripada Dijangkiti Selesema?
Perkara yang terpenting sekali adalah membasuh tangan. Cuba untuk berada pada tahap yang paling sihat. Dapatkan tidur yang cukup. Sentiasa aktif, menangani tekanan, minum banyak air dan makan makanan berkhasiat. Cuba mengelak dari menyentuh tempat yang dicemari dengan virus. Mengelak hubungan dengan mereka yang sakit.
Adakah Terdapat Ubat Untuk Virus Influenza A (H1N1) Ini?
CDC menyarankan pengambilan ubat seperti oseltamivir atau zanamivir untuk merawat dan/atau mencegah jangkitan virus selesema babi ini. Ubat antiviral adalah ubat-ubatan berpreskripsi (pil, cecair ataupun ubat sedut) yang melawan virus dari terus membiak di dalam badan anda.
Jika anda jatuh sakit, ubat antiviral akan dapat melegakan dan membuat anda sihat dengan lebih cepat. Ia juga dapat mencegah dari komplikasi selesema yang lebih serius. . Untuk tujuan rawatan, ubat antiviral adalah lebih berkesan untuk diambil sebaik sahaja jatuh sakit (dalam dua hari selepas simptom).

Berapa Lama yang Diambil oleh Seseorang yang Dijangkiti dengan Selesema Burung Untuk Menyebarkan Kepada Orang Lain?
Mereka yang dijangkiti dengan virus ini boleh dikira sebagai pembawa virus selagi mereka di dalam simptom sehingga tujuh hari dari bermula sakit. Kanak-kanak, terutama anak-anak kecil berpotensi untuk dijangkiti untuk jangka masa yang lebih lama.
Apakah Kawasan-kawasan Yang Berkemungkinan Sebagai Tempat Yang Dicemari?
Kuman boleh merebak apabila seseorang menyentuh sesuatu yang dicemari dengan kuman dan menyentuh pula mata, mulut dan hidung mereka. Titisan rembesan dari batuk dan bersin dari mereka yang dijangkiti boleh bergerak melalui udara. Kuman boleh merebak apabila seseorang itu menyentuh titisan rembesan batuk dan bersin dari seorang di atas permukaan seperti meja dan permukaan lain dan menyentuh mata, mulut dan hidung sebelum membasuh tangan mereka.
Berapa Lama Virus Tersebut Boleh Hidup Di Luar Badan?
Seperti yang diketahui sesetengah virus dan dapat hidup sehingga lebih dua jam di permukaan seperti meja kafeteria, tombol pintu dan meja. Membasuh tangan dengan kerap akan mengurangkan kesan pencemaran yang didapati dari permukaan-permukaan ini.
Apa Yang Boleh Dilakukan Untuk Mengelak Daripada Dihinggapi Penyakit?
Buat masa ini belum lagi ada sebarang vaksin untuk melindungi dari selesema babi ini. Terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk membantu menghalang penyebaran kuman yang menyebabkan penyakit pernafasan seperti demam selesema. Cubalah langkah-langkah ini untuk melindungi kesihatan anda:

• Tutup/lindung mulut dan hidung anda dengan tisu sewaktu bersin atau batuk. Buangkan tisu tersebut ke dalam tong sampah selepas menggunakannya.

• Basuhlah tangan dengan sabun dan air dengan kerap terutamanya selepas batuk atau selesema. Pembersih tangan berasaskan alcohol juga berkesan.

• Mengelak dari menyentuh mata, hidung dan mulut. Kuman boleh merebak dengan cara ini.

• Jika anda sakit akibat demam selesema, disyorkan supaya anda tidak bekerja atau ke sekolah juga mengehadkan pergaulan dengan orang lain supaya mereka tidak dijangkiti.
Apakah Cara Terbaik Untuk Mengelak Dari Menyebarkan Virus Melalui Batuk Dan Bersin?
• Jika anda sakit, hadkan pergaulan anda sebaik yang mungkin.
• Jangan pergi ke sekolah;
• Tutup mulut anda dengan tisu semasa batuk dan bersin. Ia boleh membantu mengelak orang-orang di sekeliling kamu dari jatuh sakit;
• Buangkan tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah;
• Tutup mulut anda semasa bersin dan batuk jika tiada tisu;
• Basuhlah tangan kamu setiap kali batuk dan bersin.

Apakah Teknik Terbaik Untuk Mencuci Tangan Dan Mengelak Dari Jangkitan Selesema?
Membasuh tangan dengan kerap akan membantu melindungi anda daripada kuman. Basuhlah dengan sabun dan air ataupun pembersih tangan berasaskan alcohol. Basuhlah tangan antara 15 ke 20 saat dengan air suam dan sabun. Jika tiada air dan sabun, tisu pakai buang berasaskan alcohol atau pembersih gel boleh digunakan. Ianya boleh didapati di kedai-kedai ubat dan pasar raya. Jika menggunakan gel, sapulah tangan anda sehingga gel itu kering. Alkohol di dalam gel tadi akan membunuh kuman dan ianya tidak memerlukan air untuk berkesan.

Apa Yang Perlu Saya Lakukan Jika Jatuh Sakit?
Jika anda tinggal di kawasan yang dikenal pasti wabak Virus Influenza A (H1N1) itu merebak dan mempunyai simptom-simptom demam selesema termasuk demam panas, sakit badan, selesema, sakit tekak, muntah mual dan cirit-birit, anda perlu berjumpa dengan doktor, terutamanya jika anda risau tentang simptom-simptom tadi. Doktor akan mengesahkan sama ada sebarang ujian atau rawatan adalah perlu.
Jika anda sakit anda perlu:-
• Tinggal di rumah dan mengelak hubungan dengan orang lain sebaik mungkin untuk mengelak jangkitan;
• Mendapatkan rawatan kecemasan jika mengalami tanda-tanda awal penyakit;
Untuk kanak-kanak tanda-tanda dan perlu dibawa untuk dirawat adalah seperti berikut:-
• Kesukaran bernafas dan pernafasan yang terlalu cepat;
• Warna kulit bertukar kebiru-biruan;
• Tidak minum air yang secukupnya;
• Tidak bangun dan berinteraksi;
• Tidak suka dipegang dan asyik merengek;
• Simptom seperti selesema dan pulih tetapi kemudiannya berulang bersama demam dan batuk yang lebih teruk;
• Demam dan beruam.

Bagaimana Seriusnya Jangkitan Virus Influenza A (H1N1) ini?
Seperti demam selesema yang lain, kesan selesema babi (Virus Influenza A) (H1N1) pada manusia adalah berbeza dari tahap sederhana ke tahap serius. Antara 2005 hingga Januari 2009, 12 kes jangkitan pada manusia tanpa kematian dikenal pasti di Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun kesan dari selesema babi ini boleh menjadi serius. Pada September 1988, seorang wanita mengandung berumur 32 tahun dari Wisconsin dimasukkan ke hospital akibat jangkitan paru-paru akibat selesema babi dan meninggal dunia 8 hari kemudian. Pada tahun 1976, wabak selesema babi dikesan di Fort Dix, New Jersey mengakibatkan lebih 200 kes serius dan satu kematian.

Bolehkah Saya Dijangkiti Melalui Memakan Dan Menyediakan Masakan Berasaskan Babi?
• Tidak.

Selesema babi tidak boleh merebak melalui makanan. Ianya tidak boleh dijangkiti melalui makanan dan produk berasaskan babi. Memakan produk berasaskan babi yang dimasak dan disediakan dengan sempurna.
TINDAKAN SERTA-MERTA KEMENTERIAN KESIHATAN
• Kementerian Kesihatan menguat kuasa serta-merta empat langkah pencegahan:-

i. Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia mengaktifkan Bilik Gerakan untuk membuat pemantauan situasi wabak Virus Influenza A (H1N1) dengan pihak WHO bagi memastikan tindakan-tindakan proaktif diambil untuk melindungi kesihatan awam penduduk Malaysia.

ii. Semua Pengamal Perubatan termasuk di sektor swasta yang merawat kes-kes yang mempunyai tanda-tanda atau gejala ‘influenza-like illness’ atau ‘severe pneumonia’ dan mempunyai sejarah melawat Mexico, California, Kansas, Ohio, Texas, New York atau Kanada selepas 17 April 2009 diminta untuk memaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat dengan serta merta melalui telefon untuk tindakan pencegahan dan kawalan.

iii. Saringan tanda-tanda jangkitan Virus Influenza A (H1N1) di semua pintu masuk negara untuk pelawat atau warga Malaysia yang ada melawat ke negara Mexico, California, Kansas, Ohio, Texas, New York atau Kanada selepas 17 April 2009.

iv. Membuat kenyataan akhbar dari masa ke semasa situasi wabak Virus Influenza A (H1N1) untuk maklumat orang awam di Malaysia dan langkah kawalan dan pencegahan yang diambil oleh Kerajaan.
• Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menyatakan pada Sidang Media pada 26 April 2009 mengenai wabak berkenaan amat berbahaya kerana ia tersebar melalui manusia bukannya haiwan seperti selesema burung atau ‘avian flu’ yang pernah melanda negara ini.
• Beliau bagaimanapun meminta rakyat negara ini supaya tidak panik kerana Kerajaan sentiasa berwaspada terhadap apa jua wabak yang boleh menyebabkan kematian.
• Pengawasan itu membabitkan pemeriksaan kesihatan terhadap orang ramai antaranya mereka yang menunjukkan tanda-tanda demam panas.
• Pengawasan di semua pintu masuk negara diperketatkan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengekang penularan wabak selesema babi dari merebak ke dalam negara terutama penumpang penerbangan dari luar negara termasuk AS.
• Orang awam yang ingin mendapat maklumat lanjut berkaitan dengan wabak Virus Influenza A (H1N1) ini boleh mendapatkan maklumat tersebut melalui talian 03-88810200 atau 03-88810300 pada waktu pejabat atau di laman web Kementerian http://www.moh.gov.my

Sumber : Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)
• Pusat Pencegahan dan Kawalan Wabak Amerika Syarikat (US Centers of Diseases Control and Prevention) atau CDC
• Akhbar-akhbar Utama Tempatan

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.