BAHAYA PENYAKIT TUBERCULOSIS (TIBI)

Tibi penyakit sepanjang zaman

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my

PESAKIT tibi hilang selera makan dan berat badan turun secara mendadak.



PELBAGAI cara telah dilakukan. Langkah pencegahan juga telah dilaksanakan. Namun, penularan penyakit tibi (tuberculosis) tetap tidak ada surutnya.

Malah angkanya terus meningkat dari tahun ke tahun.

Menurut perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hari ini terdapat lebih kurang 20 juta kes tibi aktif di seluruh dunia.

Penyakit ini dikatakan menjangkiti antara 50 hingga 100 juta penghuni dunia terutama kanak-kanak secara tahunan.

Tiga juta kematian berlaku setiap tahun disebabkan penyakit jangkitan tibi dan 80 peratus daripadanya melibatkan negara-negara membangun.

WHO juga menyatakan hampir 26 peratus kematian di negara dunia ketiga boleh dielakkan sekiranya pesakit tibi mendapatkan rawatan sewajarnya.

Apakah punca utama penyakit yang sudah wujud sejak zaman kuno ini terus bertahan? Bagaimana pula peranan kita dalam usaha untuk memastikan penyakit ini tidak lagi menjadi antara pembunuh utama penyakit berjangkit ini?

Senario jangkitan tibi di Malaysia

Di negara ini, angka mereka yang dijangkiti penyakit ini semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Sejak 1989 secara purata sebanyak 11,500 hingga 12,000 kes dikesan setiap tahun. Separuh daripada kes ini didapati positif dijangkiti tibi.

Pada 2006, seramai 14,000 pesakit tibi telah dapat dikesan dimana nisbah jangkitan adalah 61 untuk setiap 100,000 penduduk.

Tahun berikutnya, sebanyak 16,000 kes baru dicatatkan dan pada 2008 pula sebanyak 17,506 kes baru didaftarkan. Daripada angka ini, 10,441 disahkan dijangkiti kuman tibi dengan 2207 kes melibatkan pendatang asing.

Angka jangkitan terus meningkat tahun lalu dengan 17,496 kes baru direkodkan.

Bagaimanapun, kes tibi di Malaysia masih rendah berbanding Filipina, Thailand dan Indonesia, namun lebih tinggi dari negara Singapura.

Tibi dan pendatang asing

Kemasukan pekerja dari negara-negara dunia ketiga sememangnya menjadi punca utama jangkitan tibi masih berleluasa biar pun tahap kebersihan dan kesihatan di negara ini boleh dikatakan berada pada paras sederhana.

Menurut Dr. Hairulfaizi, tibi sememangnya sangat sinonim dengan negara mundur dan kemasukan pekerja dari negara-negara ini turut membawa sekali penyakit tersebut.

“Pemeriksaan kesihatan menyeluruh perlu dilakukan kepada pekerja asing ini agar mereka tidak membawa sekali kuman yang mudah berjangkit ini. Bagaimanapun, langkah ini masih belum boleh diimplementasi sepenuhnya atas beberapa sebab, antaranya kemasukan pendatang tanpa izin,” kata beliau.

Penyebaran kuman di kalangan pendatang berlaku dengan mudah disebabkan keadaan persekitaran yang memudahkan penyakit merebak dan menular.

Boleh dikatakan dengan keadaan tempat tinggal yang sempit dan kurang ventilasi menjadi salah satu sebab penting kepada jangkitan ini menular dengan mudah.

Selain itu kata beliau, negara maju seperti Amerika Syarikat juga turut berdepan dengan masalah ini disebabkan kemasukan pendatang asing dari negara membangun seperti Mexico.

Rawatan

Bakteria tibi mempunyai dinding sel yang tebal dan amat sukar untuk dibunuh menggunakan antibiotik. Kuman ini juga boleh hidup di dalam sel-sel darah dan di dalam tisu anggota badan lain.

Oleh itu, rawatan tibi perlu terus diberikan selama enam bulan supaya semua kuman di dalam dan di luar sel dapat dibunuh sepenuhnya.

Cara rawatan adalah dengan memberikan antibiotik kepada pesakit. Ini adalah untuk mengelakkan kuman tibi menjadi kebal kepada ubat (multidrug resistance tibi). Ubat yang biasa diberi adalah isoniazid, rifampicin, pyrazinamide, streptomycin dan ethambutol. Pesakit perlu mengambil ubat-ubat ini setiap hari bagi dua bulan pertama, sehinggalah pemeriksaan doktor dijalankan.

Sekiranya pemeriksaan doktor menunjukkan kemajuan dari segi simptom, imej imbasan sinar-X dan pemeriksaan kahak, cara pengambilan ubat akan diubah kepada dua kali seminggu untuk empat bulan seterusnya. Imbasan sinar-X dan ujian kahak perlulah dijalankan setiap dua bulan sepanjang tempoh rawatan, sehinggalah pesakit didapati sembuh sepenuhnya (selalunya hanya dalam tempoh enam bulan).

Seperti antibiotik lain, ubat-ubat untuk tibi juga mempunyai kesan sampingan termasuk loya, muntah, rasa gatal badan dan letih. Adalah sangat penting pesakit memaklumkan doktor atau jururawat jika terjadi sebarang kesan sampingan yang teruk.

Kejadian kuman tibi yang kebal kini didapati meningkat di beberapa negara di rantau Asia. Kuman jenis ini amat sukar dihapuskan dan kadar kematian pesakit akibat jangkitan kuman tibi kebal adalah setinggi 80 peratus.

Langkah pencegahan

Menurut kajian, pesakit yang aktif tibi akan menjangkiti 10 hingga 15 orang di sekelilingnya.

Bagi pesakit yang disahkan tibi mereka perlu:

  • Mematuhi arahan pengambilan ubat yang telah ditetapkan tempohnya.
  • Ambil cuti dan tidak ke tempat kerja atau sekolah bagi mengelakkan kuman tibi tersebar.
  • Selepas beberapa minggu rawatan, pesakit akan rasa lebih baik dan tidak akan menjangkiti orang lain lagi. Doktor akan menasihatkan waktu yang paling sesuai untuk kembali berkerja atau ke sekolah.
  • Asingkan bilik tidur, jangan berkongsi pakaian, makanan dan sebagainya. Elakkan sentuhan dengan orang lain bagi mengurangkan risiko jangkitan.
  • Dari segi ventilasi, pastikan sistem pengudaran rumah dan pejabat dalam keadaan baik. Halakan kipas ke arah tingkap untuk meniup angin keluar dari ruang bilik. Ini akan mengurangkan peluang bakteria tibi untuk terus berada dalam ruang dan menjangkiti orang lain.
  • Selain itu, kanak-kanak yang merupakan golongan mudah dijangkiti digalakkan tidak mengunjungi hospital bagi mengelakkan penyebaran kuman tibi. Bagi bayi baru lahir, suntikan BCG mampu memberi perlindungan daripada bakteria tibi.

    Pemeriksaan kesihatan menyeluruh perlu dilakukan ke atas pekerja yang masuk ke negara ini terutama jika dari negara dunia ketiga.

    We’re on the move – tema Hari Tibi Sedunia 2010

    Tahun ini menjadi titik tengah kepada Rancangan Memerangi Tibi Global yang dilancarkan WHO pada 2006. Pertubuhan itu menyasarkan tahun 2015 sebagai noktah kepada penyakit berbahaya ini. Pelbagai langkah dan usaha ditingkatkan demi satu matlamat iaitu memberhentikan penyebaran penyakit yang menjadi pembunuh utama penyakit berjangkit di dunia ini.

    Slogan on the move memerangi tibi menunjukkan tema yang dipilih tahun ini ringkas, fleksibel dan mudah difahami. Sesuai dengan kempen tahun ini memberi fokus kepada individu tidak kira dari seluruh pelosok dunia yang berjaya menemui cara memberhentikan tibi untuk menjadi inspirasi kepada orang lain.

    About these ads

    Tinggalkan Jawapan

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

    Connecting to %s

    Follow

    Get every new post delivered to your Inbox.

    %d bloggers like this: