PENGAJIAN AM STPM : KEGANASAN ANTARABANGSA

KEGANASAN antarabangsa semakin menjadi-jadi. Pengeboman dua pesawat Russia, penahanan dan pembunuhan tebusan di Beslan, Ossetia Utara, pengeboman kedutaan Australia di Jakarta, pembunuhan pejuang berani mati di Iraq, Palestin, Afghanistan dan Sudan menunjukkan keganasan terus menular.

Keadaan menjadi di luar kawalan hingga negara polis dunia iaitu Amerika Syarikat (AS) menyatakan matlamat utama dasar luar negara itu ialah unilateralisme dalam mengekang keganasan antarabangsa.

Berikutan dasar itu, keadaan menjadi lebih menyedihkan apabila AS memencilkan dan menidakkan peranan pertubuhan antarabangsa khususnya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam penyelesaian konflik antarabangsa di beberapa negara.

AS turut menyemarakkan sesetengah pihak untuk bertindak lebih rakus dan melampau seperti yang dilakukan Israel di Palestin, hingga beberapa kumpulan pejuang di Iraq, Afghanistan, Chechnya dan Palestin menjadi semakin terdesak dan hilang kepercayaan terhadap sistem penyelesaian konflik antarabangsa sedia ada.

Dengan keadaan yang bercelaru, rejim Israel terus meluaskan penguasaan mereka di Palestin hingga pejuang kemerdekaan bertindak nekad melancarkan pengeboman berani mati di mana saja mereka beroperasi.

Sebenarnya tidak sukar memahami tindakan kumpulan ini yang terdesak lebih-lebih lagi apabila kekuasaan semakin tidak berpihak kepada mereka.

Stalemate yang berlaku dalam perhubungan antarabangsa kini sebenarnya didorong oleh sikap negara kuasa besar khususnya AS dan konconya yang melihat penyelesaian masalah keganasan antarabangsa daripada sudut yang salah.

Angkuh dengan penguasaan teknologi dan ekonomi, mereka silap mengarahkan dasar membanteras keganasan antarabangsa melalui tindakan unilateral dan pre-emptive yang berorientasikan falsafah might is right atau besar atau kuat itu benar.

Mereka mengetepikan soal kemanusiaan, maruah bangsa, kemerdekaan, kedaulatan dan hak orang yang tertindas, miskin dan terabai.

Segala yang ada pada mereka termasuk kekuatan teknologi dan ekonomi digunakan untuk mengeksploitasi negara miskin dan bangsa yang lemah bagi membolehkan mereka terus berkuasa.

Senario hubungan antarabangsa nampaknya tidak akan berubah dalam masa yang terdekat. Gambaran kesinambungan falsafah kuno itu kini dapat kita lihat terus dipertahankan oleh negara kuasa besar.

Di Asia Tenggara, sebagai wakil atau Timbalan Syerif kepada AS di rantau ini, Australia bersungguh-sungguh mentaati suruhan tuannya dalam menangani keganasan antarabangsa.

Perdana Menteri Australia, John Ho-ward, buat kali keduanya baru-baru ini membuat penegasan semula untuk bertindak secara unilateral dan pre- emptive merentasi sempadan negaranya dalam menangani keganasan antarabangsa.

Kenyataan itu dibuat sebagai maklum balas Howard kepada tragedi pengeboman kedutaan Australia di Jakarta baru-baru ini. Sikap itu sama sekali membelakangkan nilai kejiranan rantau Asia Tenggara dan dilihat sebagai ancaman yang terus menjadikan rantau ini sasaran kumpulan pengganas antarabangsa.

Meskipun apa yang didakwa sebagai suspek pengeboman itu ialah warga negara Malaysia, tidak wajar kerakyatan negara ini dijadikan sebab untuk bertindak dan menyerang demi membanteras keganasan.

Apakah rasional pemimpin Australia mengugut rakyat rantau ini termasuk Malaysia yang majmuk dan komited dalam menghadapi keganasan antarabangsa?

Rakyat Malaysia bersedia mempertaruhkan nyawa demi mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan tanah air serta tidak akan membenarkan sama sekali rantau ini diheret ke dalam satu konflik seperti di Palestin atau Iraq.

Sudahlah pribumi di Australia ditindas di bumi sendiri, kini rantau Asia Tenggara pula hendak dijadikan medan penguasaan mereka. Jika ini matlamat dan hasrat Australia, selama-lamanya dunia akan gagal menangani keganasan antarabangsa.

Kitaran keganasan yang kini berpusar di Timur Tengah, Afghanistan, Asia Tengah dan Afrika Utara wujud pula di rantau ini. Percaya pusaran dan kitaran keganasan di mana-mana pun tidak akan mendatangkan keuntungan kepada mana-mana negara sebaliknya akan membawa kesengsaraan yang berpanjangan.

Bagi rakyat biasa di Malaysia dan barangkali di Australia, gelagat pemimpin seperti Howard amat mendukacitakan kerana majoriti rakyat kedua- dua negara inginkan keamanan dan kestabilan serantau, beliau pula seolah- olah dengan sengaja mengundang masalah.

Barangkali ia adalah gimik politik Howard kali ini terutama ketika berusaha menghadapi pilihan raya umum Oktober ini.

Malaysia berusaha menjadi model terbaik negara Islam majmuk yang sederhana dan selaras dengan prinsip kemanusiaan sejagat.

Nilai Islam yang cintakan perdamaian dan kesejahteraan manusia yang dipancarkan melalui kepemimpinan negara kini dan dimanifestasikan dalam dasar sosial dan luar negara termasuk dalam menangani isu keganasan antarabangsa.

Bagi Malaysia, sebarang ancaman kepada usaha menangani keganasan mesti berasaskan penyelesaian pokok iaitu masalah itu seharusnya disokong dan bukan sebaliknya.

Perdana Menteri Malaysia dijangka membangkitkan hal yang sama pada Persidangan Agung PBB minggu depan dan pasti memberi penekanan kepada penyelesaian keganasan kepada punca keganasan antarabangsa terus berleluasa iaitu kemiskinan, kemunduran, pengabaian, penindasan, ketidakadilan, penafian hak akibat kerakusan memonopoli kuasa ekonomi dan mentaliti imperialis sesetengah kuasa besar.

Barangkali ada baiknya isu berkaitan dengan campur tangan asing dan tindakan unilateral dibangkitkan oleh Malaysia bagi menghindar kuasa besar dan konco seperti Australia daripada terus merosakkan keadaan.

Penegasan semula juga harus dibuat oleh Malaysia bagi memberi PBB peranan lebih besar, bebas, adil dan berkesan dalam menghadapi keganasan antarabangsa.

Walaupun pendirian Malaysia tegas tidak menyokong kempen keganasan mana- mana kumpulan pejuang di dunia, hakikatnya diakui bahawa permasalahan yang menghantui dunia dan mencetuskan keganasan tidak dapat diselesaikan selagi dunia terutama negara kuasa besar gagal mengiktiraf dan menyelesaikan masalah asas serta pokok yang disebutkan tadi.

Mereka juga harus mengambil kira pandangan dan peranan setiap negara, kumpulan negara serantau yang terbabit dengan konflik dan peranan organisasi seperti PBB, Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

Dunia tidak mempunyai pilihan selain terus mendukung prinsip multilateralisme dalam perhubungan antarabangsa.

© 1992 – 2009 INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA (IKIM)

About these ads

Satu Respons

  1. 1. kehilangan banyak nyawa orang awam yang tidak bersalah

    2. kemusnahan sumber ekonomi dan sumber alam

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: