PENGAJIAN AM STPM : KEPELBAGAIAN BIODIVERSITI

BYLINE: Rencana- Siti Mariam Md. Zain
KETUA Taman-taman dan Projek-projek Khas Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Andrew J. Sebastian berkata, jika tujuh keajaiban dunia boleh ditambah menjadi lapan, beliau tidak teragak-agak meletakkan nama Malaysia dalam kategori itu.
Ini kerana mengikut pendapatnya, sebagai sebuah di antara 12 negara mega biodiversiti yang menguasai 75 peratus daripada spesies hidupan hutan dan laut yang terdapat di dunia, Malaysia tidak syak lagi wajar menerima pengiktirafan tersebut.“Bayangkan dengan usia hutan hujan kita yang dianggarkan 200 juta tahun, tentunya terdapat pelbagai hidupan yang sehingga kini masih terus menjadi misteri,” katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
Jelas Andrew, di samping binatang dan haiwan liar, hutan hujan kita juga dihuni oleh 15,000 spesies tumbuhan berbunga selain turut menjadi tumpuan 736 spesies burung, 150,000 spesies invertebrat (binatang atau haiwan tanpa tulang belakang), 4,000 spesies ikan laut, 449 spesies ikan air tawar dan beberapa jenis batu karang. Malangnya, khazanah di hutan dan lautan yang begitu berharga di sekeliling kita, gagal dihayati oleh kita sendiri.Kemusnahan hutan atas nama pembangunan, pencemaran laut dan sikap tidak bertanggungjawab kita yang memilih membuang sampah merata-rata, adalah antara `sumbangan’ yang hanya akan melenyapkan nama Malaysia dalam senarai impian.
Memperkatakan tentang khazanah alam ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri beberapa kali menegaskan, betapa perlunya semua pihak menyedari tanggungjawab menjaga kestabilan biodiversiti yang tidak ternilai harganya. Malah ketika melancarkan Dasar Bioteknologi Negara (DBN), Abdullah berkata, ia menandakan permulaan era baru yang cukup bermakna dalam usaha kerajaan menggunakan kekayaan biodiversiti negara melalui pendekatan sains dan teknologi. Sewajarnya isu pembangunan seimbang seperti yang diutarakan oleh Perdana Menteri yang mahu agar alam sekitar diberi perhatian dan tidak dimusnahkan semata-mata untuk mencari keuntungan seharusnya dipandang serius.
Berkesan
Namun satu soalan yang sering menjadi pertanyaan ialah adakah kita benar-benar menjaga hutan dan alam sekitar? Sejauh manakah kita berusaha melindungi kawasan-kawasan ini daripada dirosak atau dimusnahkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab terutamanya mereka yang hanya bertuhankan wang ringgit?
Menurut Andrew, kesedaran itu tidak wujud sebenarnya kerana negara langsung tidak mempunyai `sistem pembesar suara’ yang dapat melarang pihak-pihak berkenaan melakukan perkara-perkara tersebut. “Kita ada kawalan undang-undang malangnya sehingga kini ia gagal dilaksanakan dengan berkesan,” katanya kesal. Kekesalan seperti yang ditunjukkan oleh Andrew bukan suatu perkara baru.
Sebelum ini kita juga sering terdengar malah turut marah dengan tindakan golongan yang hanya mengejar keuntungan semata-mata. Malangnya, marah itu tidak kekal lama. Mungkin sikap kita yang `hangat-hangat tahi ayam’ merupakan faktor penyumbang kepada kemusnahan alam sekitar yang kian membimbangkan kebelakangan ini. Kemusnahan alam sekitar yang menjadi nadi kehidupan kepelbagaian biodiversiti di negara ini, secara sedar atau tidak juga membawa mudarat kepada kita semua.
Jika hutan ditebang, bukan sahaja tumbuhan, serangga, haiwan atau binatang liar yang menjadi mangsa malah ia turut mengganggu sumber atau bekalan air akibat pengaliran takungannya yang terganggu. Di Kedah, hal ini pernah menjadi isu apabila hasrat kerajaan negeri memberi konsesi balak kepada sebuah syarikat swasta mendapat tentangan walaupun kaedah yang dipilih – pembalakan helikopter dikatakan mampu mengurangkan kadar pencemaran air empangan di kawasan terbabit.
Walaupun hutan yang dimaksudkan sehingga hari ini masih `selamat,’ namun tanpa kesedaran, orang seperti Andrew melihat keselamatannya tetap tidak terjamin. Sambil memberi contoh satu lagi kawasan `selamat’ yang mungkin hanya menunggu masa untuk `diterokai,’ katanya, adalah satu kerugian besar jika keaslian kawasan-kawasan berkenaan yang kaya dengan khazanah alam fauna dan flora dibiarkan musnah demi keuntungan jangka pendek.“Satu-satunya paya air tawar yang tinggal di Johor sehingga kini masih dapat dipertahankan, tetapi sampai bila?” soalnya. Menyingkap perasaannya lebih lanjut, Andrew mengaku beliau agak hairan dengan sikap kebanyakan rakyat Malaysia.
Jika pelancong luar datang ke negara ini semata-mata untuk menikmati keindahan alam sekitarnya, masyarakat kita pula seolah-olah langsung tidak tahu menilainya.
“Kelip-kelip di Kuala Selangor misalnya. Orang luar menganggap ia sebagai satu keajaiban dunia tetapi kita tidak pernah menghargai kewujudannya,” kata Andrew. Lebih mendukacitakannya apabila sehingga kini, MNS belum menerima permohonan daripada mana-mana pelajar tempatan yang berminat membuat kajian tentang kehidupan serangga tersebut berbanding yang diterima daripada pelajar asing.
“Mereka datang dari jauh untuk melihat dengan mata kepala sendiri fenomena ini tetapi anak-anak kita langsung tidak peduli,” katanya sekali lagi dengan nada kesal. Justeru tegas Andrew, demi kebaikan semua pihak, sudah sampai masanya kerajaan sendiri lebih bersikap proaktif dalam usaha merapatkan jurang yang berlaku. Ditanya tentang masa depan alam sekitar, biarpun tidak mempunyai jawapan yang pasti, namun Andrew tetap percaya perjuangannya akan berhasil suatu hari nanti. “Hanya masa akan menentukan. Apa pun harapan saya ialah agar kesedaran ini akan timbul bukan hanya setelah kita tidak mampu berbuat apa-apa lagi,” katanya.

About these ads

Satu Respons

  1. Ancaman Terhadap Biodiversiti
    Rosmidzatul Azila binti Mat Yamin
    Pegawai Penyelidik

    01/11/2007 | Artikel Bahasa Malaysia

    Pada hari ini kepelbagaian kehidupan atau biodiversiti negara berhadapan dengan pelbagai krisis yang memberi ancaman besar dan menyumbang kepada kemerosotan dan kehilangannya. Dalam keadaan tersebut, terdapat banyak unsur yang menyumbang kepada kemusnahan khazanah yang tidak ternilai ini sama ada unsur secara langsung ataupun unsur tidak langsung.

    Pemusnahan habitat umpamanya merupakan unsur utama yang menyumbang kepada kehilangan biodiversiti kita pada hari ini. Jika dilihat di negara kita sendiri habitat hutan telah banyak dimusnahkan untuk tujuan pembangunan, perumahan dan sebagainya. Dalam ruang lingkup ini, ahli biologi menganggarkan bahawa kawasan seluas 10 km2 mengandungi dua kali ganda banyak spesies dengan kadar purata kawasan 1 km2. Langkah mengurangkan ekosistem kepada satu per sepuluh jumlah asal akan menyebabkan sesetengah daripada spesies mengalami kepupusan. Sebagai contoh, haiwan aras tertinggi dalam kitar makanan seperti singa, beruang, harimau, gajah dan sebagainya memerlukan habitat yang luas bagi memastikan jumlah spesies terus dapat dikekalkan.

    Unsur kemusnahan biodiversiti yang seterusnya ialah pencerobohan spesies, iaitu pengenalan secara tiba-tiba spesies asing dalam sesuatu ekosistem yang boleh mengganggu aliran biasa ekosistem tersebut, yang mana ia sekaligus akan memberi kesan buruk kepada spesies asal yang menghuni dalam ekosistem tersebut. Pengenalan spesies asing ini bukan sahaja memberi kesan buruk kepada flora dan fauna, bahkan ia juga turut menjejaskan kegiatan manusia. Satu contoh jelas yang telah dikenalpasti ialah peristiwa pencerobohan spesies ubur-ubur di Lautan Atlantik. Pencerobohan spesies ini telah menyebabkan persaingannya dengan spesies asal yang mana kini ia terdiri daripada 95% jumlah biojisim lautan tersebut, dan ia merupakan satu bencana yang memberi kesan besar terhadap ekonomi di kawasan tersebut. Sementara itu, pada abad lampau didapati 70% spesies ikan air tawar di Amerika Syarikat telah mengalami kepupusan akibat daripada pengenalan spesies luar biasa (exotic species). Begitulah besarnya pengaruh dan kesan daripada pencerobohan spesies asing ke atas spesies asal di dalam sesuatu ekosistem yang mana, sekiranya terus dibiarkan ia akan membawa kepada kepupusan yang lebih besar lagi ke atas spesies-spesies lain.

    Selain itu, pencemaran juga turut menjadi penyumbang utama kepada kemusnahan biodiversiti kita. Pencemaran bahan kimia ke atas spesies air tawar, laut dan tanah misalnya boleh membawa kepada lenyapnya jumlah dan spesies di dalam sesuatu ekosistem. Bahan-bahan yang terhasil daripada usaha-usaha pertanian, seperti baja dan racun serangga pula, boleh meresap ke dalam akuifer dan sungai yang akhirnya akan sampai ke laut dan akan meracuni hidupan laut. Keadaan ini sekaligus akan mengancam sumber makanan kita yakni ikan yang kita sedia maklum merupakan sumber protein utama dalam kehidupan kita. Bukan itu sahaja, malah lebih buruk lagi ia akan turut mempengaruhi dan merencatkan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara. Manakala pencemaran atmosfera pula boleh menyumbang kepada perubahan iklim mendadak yang dijangka akan mengakibatkan gangguan ke atas taburan spesies, dan seterusnya membawa kepada kepupusan biodiversiti yang sedia ada.

    Pada hari ini perubahan iklim dunia menjadi mawdu’ hangat yang sering diperdebatkan oleh peminpin-pemimpin dunia dalam mana mana persidangan. Malah perkara ini turut dibincangkankan dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke-62 baru-baru ini, yang mana sangat bersesuaian dengan tema perhimpunan tersebut iaitu “Masa Depan Di Tangan Kita: Menghadapi Cabaran Kepimpinan Terhadap Perubahan Iklim”. Perkara ini sebenarnya bukan perkara yang baru, malah jika diimbas kembali, kesan daripada perubahan iklim lebih sedekad yang lepas misalnya telah menyebabkan suhu dunia meningkat antara 0.3 dan 0.6 oC yang mana ia merupakan peningkatan terbesar dalam jangkamasa 1000 tahun, dan daripada peningkatan suhu ini ia telah menyebabkan ‘kesan rumah hijau’ (greenhouse effect). Malah akhbar ada melaporkan kajian terbaru IPCC menjangkakan bahawa suhu purata Malaysia akan meningkat antara 0.6 oC hingga 4.5 oC menjelang tahun 2060. Jangkaan ini amatlah membimbangkan dan jika ia menjadi kenyataan bermakna biodiversiti kita akan berhadapan dengan pelbagai ancaman yang lebih besar lagi.

    Bukan itu sahaja, malah akibat perubahan iklim ini juga telah memberi kesan yang ketara kepada paras air laut yang mana ia telah meningkat kepada 10-20 cm di seluruh dunia, pencairan glasier di kutub, perubahan bentuk pemendapan dan meningkatnya peristiwa kejadian suhu melampau. Perubahan ini sekaligus menyebabkan kitaran musim seluruh bumi terganggu. Apa yang lebih membimbangkan lagi ialah perubahan ini berlaku dalam jangkamasa yang cukup pantas dan ini akan menimbulkan masalah kepada kebanyakan spesies untuk menyesuaikan diri, dan sekaligus akan memberi masa depan yang suram kepada nasib biodiversiti kita.

    Unsur kepupusan biodiversiti yang seterusnya ialah disebabkan oleh penuaian berlebihan yang dilakukan ke atas sumber biodiversiti secara berterusan. Pada hari ini, bukan sahaja di negara kita malah di negara-negara lain juga didapati banyak spesies yang diburu dan dituai secara berterusan untuk tujuan pembangunan. Malah kadar ekonomi sesebuah negara sangat bergantung kepada hasil yang diperoleh daripada sumber biodiversiti. Salah satu contoh jelas kepupusan secara langsung yang disebabkan oleh penuaian secara berlebihan ialah melibatkan spesies burung merpati dan kakak tua Carolina dalam abad yang ke-20. Jika pemburuan dan penuaian sumber biodiversiti dilakukan secara berterusan tanpa adanya langkah pemuliharaan yang berkesan, dikhuatiri biodiversiti yang masih lagi wujud pada hari ini akan menerima nasib yang sama dengan kedua-dua spesies yang disebutkan tadi. Sebagai contoh, pada hari ini di negara kita spesies harimau merupakan antara salah satu spesies yang semakin berkurangan dan diancam kepupusan berikutan pemburuannya untuk tujuan perdagangan.

    Meskipun kadar pertumbuhan masyarakat adalah penggerak utama kepada kelima-lima unsur yang disebutkan tadi, kehilangan biodiversiti tidak dapat dielakkan yang mana ia sangat mempengarauhi pertumbuhan dan pembangunan masyarakat dan ekonomi sesebuah negara. Namun ia hanyalah sebahagian daripada unsure khusus secara menyeluruh yang bertitik tolak daripada asas kemasyarakatan, ekonomi, siasah, budaya dan sejarah masyarakat. Kekurangan pengetahuan terhadap kepentingan biodiversiti, terutamanya di kalangan masyarakat khasnya, merupakan antara unsur langsung yang menyumbang kepada terancamnya sumber biodiversiti kita yang masih wujud pada hari ini.

    Kita sebagai pemegang amanah di muka bumi ini sepatutnya sedar bahawa biodiversiti yang terdapat di negara kita merupakan khazanah yang tidak ternilai, dan ia adalah sumber tempat manusia bergantung untuk meneruskan kelangsungan hidup. Namun perkembangan terkini menunjukkan semakin manusia maju dengan bermacam-macam bentuk pembangunan, satu aspek yang terpaksa dikorbankan ialah alam dan biodiversiti yang dimilikinya. Manusia mengeksploitasi biodiversiti tanpa mengambilkira kepentingan masa depan dan padah yang akan diterima apabila biodiversiti yang menjadi pendokong kepada kehidupan manusia dieksploitasi tanpa batasan.

    Jika dilihat, agama Islam sendiri sangat menuntut umatnya prihatin terhadap keselamatan biodiversiti yang dikurniakan Ilahi dan kita sebagai sebagai pemegang amanah disaran agar memakmur dan menjaganya sama seperti nyawa sendiri kerana ia menjanjikan sumber rezeki kepada kehidupan kita. Sebarang tindakan menzalimi biodiversiti dan alam akan memudaratkan dan membahayakan umat manusia itu sendiri. Sebenarnya menjaga biodiversiti adalah sama seperti menjaga keturunan kita dan ia merupakan suatu kelangsungan generasi manusia pada masa akan datang. Oleh itu sudah tiba masanya kita meletakkan kepentingan pemeliharaan biodiversiti sebagai matlamat utama dalam kehidupan kita serta berusaha menjaga dan menyelamatkan khazanah yang tidak ternilai ini daripada terus dimusnahkan. Malah, Rasulullah S.A.W sendiri pernah bersabda yang bermaksud, “Dunia ini indah dan segar dan sesungguhnya Tuhan Yang Maha Kuasa (yakni Allah SW.T) telah menjadikan kamu sebagai penjaganya, dan Dia melihat apa yang kamu lakukan” (Riwayat Abu Said Al-Khudri). Daripada hadis ini, jelas menunjukkan bahawa setiap lapisan masyarakat perlulah sedar bahawa hasil bumi anugerah Allah S.W.T haruslah dipertahankan dan tidak boleh dieksploitasi dan dizalimi sesuka hati mengikut hawa nafsu. Ini kerana dikhuatiri kerakusan pengeksploitasian secara berlebihan sumber biodiversiti akan membawa padah yang buruk kepada kehidupan manusia sejagat.

    Justeru itu, pemeliharaan dan pengurusan biodiversiti secara mapan dan lestari adalah perlu bagi menjamin kehidupan yang sejahtera dan makmur kepada manusia sejagat. Jadi, sama-samalah kita muhasabah diri kita agar menjadi umat yang bijaksana dan bersyukur ke atas nikmat yang Allah S.W.T telah kurniakan kepada kita dalam usaha mencapai keberkatan hidup kita di dunia dan juga akhirat.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: